Pengikut

Hadith Hari Ini

Cari kaedah kurangkan guna gula

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan lebih 60 syarikat pengeluar makanan di seluruh negara bagi mencari kaedah mengurangkan penggunaan gula dalam produk yang dihasilkan.


Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada bulan ini bagi membincangkan perkara itu.

Jelasnya, ia selari dengan kempen kementerian untuk mendidik rakyat meminimumkan pengambilan gula.

"Memandangkan harga gula sudah dinaikkan maka kita mencari inisiatif untuk membantu mengurangkan beban rakyat, sekali gus dapat meningkatkan tahap kesihatan orang ramai," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Back to School di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah yang akan dilaksanakan oleh kementerian itu dalam memastikan rakyat tidak terlalu bergantung kepada penggunaan gula dalam kehidupan seharian.

Langkah itu juga adalah bagi mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung dan RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 12 tengah malam tadi.

Rosnah berkata, kebimbangan terhadap penyakit akibat pengambilan terlalu banyak gula di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.

"Setiap hari rakyat kita mengambil 26 sudu gula dalam pemakanan seharian mereka berbanding hanya tujuh sudu yang disyorkan. Fakta ini amat menakutkan memandangkan bahaya gula terhadap kesihatan," katanya.

Mengenai program Back To School yang bertujuan membantu pelajar sekolah kurang bernasib baik, Rosnah berkata, ia akan dilaksanakan secara meluas mulai tahun ini.

Katanya, program itu dilancarkan serentak di seluruh negara pada hari ini dengan menyumbangkan bantuan peralatan sekolah dan wang kepada pelajar kurang bernasib baik untuk memulakan persekolahan minggu depan.

Jelasnya, pelaksanaan program berbentuk kebajikan merupakan sasaran Puteri UMNO kali ini selain program berasaskan kesihatan dan juga pendidikan kepada rakyat terutama golongan muda.

Sumber: Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan