Pengikut

Hadith Hari Ini

Astronomi, matematik dalam genggamannya

Oleh Happis Basha

Nama beliau adalah Abu Al-Hasan Ali bin Abu Sa’id Aburrahman bin Ahmad bin Yunus bin Abdul A’la Ash-Shadafi Al-Mishri. Beliau biasa dipanggil dengan nama Ash-Shadafi, sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Al-Fandi.

Beliau dipanggil dengan nama ini kerana berasal dari desa Shadaf di daerah pendalaman Mesir. Akan tetapi menurut Ibnu Atsir, kata Ash-Shadafi merupakan kata yang berasal dari kata “shadah” kemudiannya menjadi “Ash-Shadafi” yang menunjukan bahawa dia berasal dari kabilah di Yaman yang telah berpindah ke Mesir.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus dijangka hidup di Mesir pada abad keempat Hijrah atau (abad kesepuluh Masihi). Tanggal dan tempat kelahirannya tidak diketahui secara pasti, sekalipun sebahagian sumber ada yang mengatakan bahawa dia dilahirkan pada tahun 341H (952M).

Menurut sejarah, ayahnya adalah seorang ahli hadis dan sejarah yang bernama Yunus bin Abdul A’la yang termasuk diantara sekian banyak ulama terkemuka dan penganut Mahzab Imam Syafi’ie. Malah ayahnya juga menonjol dalam astronomi.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus adalah salah seorang ilmuan astronomi terkemuka dalam sejarah peradaban Arab dan Islam. Beliau termasuk antara ilmuan yang paling teliti dalam melakukan penelitian di bidang astronomi di mana beliau telah melakukan pengkajian dan meneropong bintang di Gunung Al-Muqaththam, Mesir.

Ibnu Yunus mengabadikan dirinya kepada khalifah dari Dinasti Fatimiyyah bernama Al-Aziz Billah. Beliau menyedari dan mengetahui potensi ilmiah dan untuk itu dia selalu memotivasikannya, memberinya jabatan dan membangunkan untuknya teropong bintang di gunung Al-Muqaththam.

Setelah wafatnya Al-Aziz Billah, Ibnu Yunus melanjutkan pengabadian ilmunya kepada anaknya, Al- Hakim Biamrillah yang disebutkan di dalam buku-buku sejarah bahawa dia mencintai ilmu dan memperhatikan ilmu astronomi malah beliau juga memberikan jabatan yang sesuai kepada para ilmuwan.

Sepertimana yang diketahui dalam “Sirah” karangan Ibnu Hisham, bagaimana Al-Hakim biamrillah memperhatikan artikel Ibnu Yunus tentang Nil dan memanggilnya untuk mengawasi. Al-Hakim Biamrillah juga telah membangunkan “Darul Hikmah” di Kaherah sebagai tempat bertemunya para ulama’dan sebagai tandingan “Baitul Hikmah” yang dibangun oleh Khalifah Al-Ma’mun di Baghdad.

Al-Hakim membekalkan Darul Hikmah dengan perpustakaan besar yang disebut perpustakaan Darul Ilmi yang dilengkapi dengan peralatan teropong bintang yang ada di Gunung Al-Muqaththam.

Di Gunung Al-Muqaththam, Ibnu Yunus meneropong dua kali gerhana matahari, iaitu pada tahun 977 dan tahun 978M. Pada tahun yang sama dia juga meneropong gerhana bulan dan mencatat semua peristiwa yang terjadi di dalam jadual astronominya.

Selain itu, Ibnu Yunus menghitung kecondongan daerah gugusan bintang-bintang dengan tingkat ketelitian yang sangat mengagumkan. Hasil daripada peneropongan Ibnu Yunus yang tepat, telah membuatkan para astronomi Barat menjadikannya sebagai rujukan untuk menghitung graviti bulan.

Selain itu, Ibnu Yunus jua yang menemui waktu jam malah mendahului seorang ilmuan Itali, Galileo, enam ratus tahun sebelumnya. Apa yang pasti mereka telah mempergunakannya untuk mengukur waktu ketika sedang melakukan peneropongan bintang kerana lebih tepat daripada jam mesin yang telah banyak digunakan pada masa itu.

Bukan itu sahaja malah banyak lagi penemuan Ibnu Yunus di mana beliau mampu menyelesaikan sebahagian permasalahan yang ada dalam hitungan trigonometri berbentuk bola (spherical trigonometri) dengan bantuan garis vertikal bola langit pada setiap tahap, baik yang bersifat melintang mahupun menegak

Selaian itu, beliau juga telah menemui kaedah-kaedah dan hubungan matematik yang mungkin dapat dijadikan alat untuk mengubah proses pendaraban menjadi proses tambahan. Penemuan ini telah memacu lahirnya matematik logaritma yang ada pada matematik moden.

Beliau telah banyak menulis dan dalam karyanya yang berjudul “Az-Zaij Al-Hakimi”, beliau telah menghasilkan 81 bab yang terdiri daripada jadual-jadual astronomi yang terperinci hasil daripada penelitian astronomi beliau. Buku ini juga telah menjadi buku rujukan bagi para ulama Mesir dalam menetapkan kalendar dan masalah-masalah yang berhubungkait dengan astronomi.

Tetapi apa yang menyedihkan buku tersebut tidak sepenuhnya berada di perpustakaan Darul Kutub di Mesir kerana sebahagian bab-bab buku tersebut berada di pelbagai perpustakaan negara-negara Eropah. Malah beberapa bab buku tersebut juga telah diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam Bahasa Perancis oleh seorang orientalis Perancis, Kausan pada tahun 1804 Masihi.

Karya Ibnu Yunus ini telah banyak diperakui sebagai yang terbaik malah seorang ahli falsafah dan sosiologi Perancis, Gustav Le Bon pernah mengatakan, “Ibnu Yunus menulis buku ini lebih berkualiti dan terperinci daripada semua buku pada bidang yang sama.”

Ibnu Yunus telah meninggal dunia pada tahun 399H (1009M).

Sumber: http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=209

0 ulasan:

Catat Ulasan