Pengikut

Hadith Hari Ini

Remaja dan Keganasan: Bagaimana Mengekangnya?

Semakin kerap dada akhbar memaparkan kes mahkamah atau laporan jenayah yang sebahagiannya melibatkan belia Melayu.

Mengapakah sesetengah belia tidak menghayati Islam lagi sehingga terjebak ke kancah kerosakan?

Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya mengganggu harta milik orang lain atau mencederakan fizikal mereka dengan memukul apatah lagi membunuh, juga tidak dibenarkan menjatuhkan maruah dengan memalukan atau menceroboh kehormatan. Perbuatan tersebut juga adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Amalan beragama masyarakat kita masih berteraskan penyebaran kedamaian dan kesejahteraan, seperti yang difahamkan daripada galakan memberi salam semasa bertemu. Ia bukan sekadar kalimat ´salam´ yang dilafazkan, tetapi menghendaki agar lafaz itu dihayati dalam seluruh kehidupan, tidak terbatas kepada masyarakat sendiri tetapi juga pada masyarakat majmuk dan global.

Demikian juga lafaz salam yang diucapkan setelah melakukan ibadah solat, dengan berpaling ke kiri dan ke kanan. Ia adalah lambang yang menunjukkan bahawa seorang yang beriman hendaklah terus memberikan sumbangan kepada kesejahteraan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Meskipun kesejahteraan merupakan asas utama hidup bermasyarakat, masih terdapat ramai yang melakukan jenayah dari kalangan masyarakat Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu cabaran bagi semua - bagaimana kadar jenayah ini dapat dibendung yang akhirnya menjadikan masyarakat kita bebas jenayah.

Mereka yang terlibat dalam kes jenayah berat semakin bertambah, peratusan anak Melayu yang ditahan di pusat pemulihan akhlak juga agak tinggi jika dibandingkan dengan jumlah peratusan masyarakat Melayu di negara kita.

Masyarakat lain akan bertanya: apakah agama Islam sebagai agama ´salam´ atau sejahtera yang dianuti gagal menanamkan nilai kedamaian dan keharmonian kepada pengikutnya?

Tiada agama di dunia yang bertolak ansur dengan jenayah yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan boleh menjerumuskan negara ke dalam jurang kebinasaan.

Tidak juga ada sebab mengapa seseorang terlibat dengan jenayah. Kemiskinan tidak menghalalkan orang yang susah mencuri atau merompak, kerana ada skim bantuan yang boleh dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

Kemarahan yang meluap bukan sebagai alasan untuk memukul atau membunuh orang lain. Kalau pun kemarahan berpunca daripada sikap seseorang yang memalukan atau mengugut, ada saluran undang-undang yang boleh menjadi penyelesaian.

Masyarakat harus dibentuk agar mengikut acuan yang betul berdasarkan nilai keyakinan mereka, dan tidak boleh melakukan sesuka hati sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menjadi ancaman kepada sesiapa sahaja.

Perbuatan tidak bertanggungjawab harus dibanteras dari peringkat akarnya - dari kecil sewaktu asuhan ibu bapa.

Pakar psikologi jenayah berusaha sungguh-sungguh mencari punca yang mendorong perlakuan jenayah. Mereka akan cuba melihat latar belakang keluarga dan kaitannya dengan tabiat antisosial.

Mereka juga akan menyelami jiwa pelaku jenayah untuk mengenal pasti motif dan dorongan yang menyebabkannya bertindak liar.

Dapat pakar harus menjadi iktibar yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan membina persekitaran yang baik sehingga jenayah dapat dikekang atau dibanteras.

Pendekatan Islam ialah melalui pembentukan peribadi, meningkatkan nilai keyakinan beragama atau akidah.

Dengan keyakinan yang kukuh seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada mencerorohi harta benda, maruah atau membelasah fizikal orang lain, kerana perbuatan itu bercanggah dengan keimanan.

Menurut sejarah, Saidina Umar r.a telah menguji hati seorang hamba yang menjadi penggembala kambing - memujuknya agar menjualkan seekor kambingnya.

Hamba itu menjawab:

“Saya tak sanggup tanpa izin tuan saya.”

Saidina Umar menyatakan kepadanya:

“Tuan kamu tidak nampak.”

Hamba itu lantas menjawab:

“Kalau tuan saya tak nampak, Tuhan saya nampak.”

Apa yang dinyatakan penggembala ini adalah tanda keyakinannya kepada Yang Maha Esa. Beliau tidak berani melakukan pecah amanah kerana takut kepada akibat yang akan dihadapinya.

Sifat ini adalah sesuatu yang tersemai dalam diri, beliau tidak takut kepada insan tetapi lebih takut kepada yang mencipta manusia.

Jika sifat yang dimiliki oleh penggembala yang jujur itu dapat diterapkan dalam diri masyarakat tentunya masalah jenayah akan dapat dikurangkan.

Program membanteras jenayah bermula dalam kehidupan berkeluarga. Masyarakat Islam perlu menanam nilai mulia dengan cara yang berkesan.

Asas masyarakat ialah keluarga atau rumah tangga. Sayangnya, banyak rumah tangga yang bobrok disebabkan perceraian atau sengketa yang berlarutan sehingga menjejas pertumbuhan generasi muda kita.

Satu pendekatan baru yang lebih terancang perlu diperkenal untuk memperkukuh rumah tangga Muslim agar setiap anak muda kita menjadi pembina masyarakat.

http://www.yadim.com.my/Remaja/RemajaFull.asp?Id=152

0 ulasan:

Catat Ulasan