Pengikut

Hadith Hari Ini

Al-Qaradawi dan pembaharuan Fiqh

Oleh: Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali, (Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM)

Fiqh mengikut pengertian asal bermaksud kefahaman. Fuqaha memberi takrif yang khusus iaitu faham tentang hukum-hukum syarak. Fiqh ialah ilmu tentang hukum-hukum syarak yang bersifat amali yang diistinbatkan dari dalilnya yang terperinci berdasarkan kaedah-kaedah yang tertentu.

Al-Qaradawi menjelaskan ciri-ciri dan keistimewaan fiqh iatu :

1. Ia bersumberkan rabbani iatu sumber utamanya ialah wahyu )al-Quran).Oleh itu, umat Islam melihat fiqh itu sebagai satu ibadat yang wajib ditaati.

2. Ia berasaskan kepada nilai-nilai agama.

3. Ia menampilkan ciri kemanusiaan yang memelihara kemuliaan manusia. Diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w bahawa jenazah lalu di hadapan baginda lalu Rasulullah berdiri.Seorang sahabat bertanya : wahai Rasulullah, Jenazah ini adalah seoang Yahudi. lalu baginda menjawab: “Bukankah ia juga seorang manusia.”

4. Ia bersifat sempurna dan lengkap serta meliputi segala aspek kehidupan, ekonomi, sosial, politik seperti adab-adab makan dan pembinaan sebuah negara.
5. Ia membentuk akhlak mulia. Oleh itu, Islam mengharamkan riba, zina, judi dan perkara yang merosakkan akhlak.

6. Ia bersifat keantarabangsaan dan tidak terhad kepada sesuatu bangsa.

7. Ia bersifat realistik dan jauh daripada khayalan.

8. Ia bercirikan kesederhanaan dan seimbang antara individu dan jemaah.

9. Fiqh mempunyai kaedah dan syarat dalam mengeluarkan hukum sama ada dengan qias, istihsan, istislah dan sebagainya. Di samping itu, ia mampu berkembang dan diperbaharui.

Antara ciri pembahruan yang diperlukan dalam fiqh Islam ialah mempelajari fiqh secara perbandingan iaitu perbandingan fiqh antara mazhab untuk mengetahui dalil-dalil dan ijtihad yang berbeza bagi memahami pendapat-pendapat yang terbaik dan paling tepat. Di samping itu, ia juga perlu mengetahui keluasan fiqh bagi membuktikan fleksibiliti fiqh.Ia juga dapat mengurangkan taasub kepada mazhab-mazhab tertentu. Ulamak pernah menyebutkan : “ Sesiapa yang tidak mengetahui perbezaan para fuqaha, maka ia bukanlah seorang yang faqih.” Begitu juga perbandingan undang-undang biasa dengan fiqh Islam seperti perbandingan antara undang-undang Barat dengan fiqh Islam seperti yang dilakukan oleh Dr. Sanhuri dan Dr. Safi Abu Talib yang membuat perbandingan antara fiqh dan undang-undang Rom. Antara keperluan fiqh juga adala kembali membuka pintu ijtihad dengan mengikuti syarat-syarat yang telah disepakati. Ijtihad yang diperlukan masa kini ialah perkara-perkara baru yang belum diputuskan oleh para ulamak terdahulu ataupun perkara itu pernah disentuh oleh ulamak dahulu tetapi memerlukan ijtihad baru dalam suasana zaman dan tempat yang berubah. Para fuqaha juga harus menyediakan ensiklopedia fiqh yang lengkap supaya mudah difahami dan dirujuk.

Terdapat juga ulamak yang membahaskan keperluan pembaharuan fiqh seperti yang dilakukan oleh Salim El-Awwa dalam bukunya Fiqh al-lslami fi Tariq al-Tajdid. Dalam buku ini, beliau menegaskan beberapa aspek yang perlu dalam pembaharuan seperti isu hukuman murtad, hukum bugha dalam negara Islam, fiqh yang berhubung dengan perubatan (fiqh al-sihhah). Fiqh al-mar’ah dan fiqh al-Siyasi. Hal yang sama juga dianjurkan oleh Dr. Jamal ‘Atiyyah dan Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam buku Tajdid al-Fiqh al-Islami. Jamal Atiyyah menggariskan dua belas perkara yang diperlukan dalam pembaharuan seperti pembaharuan dari segi tajuk dan manhaj. Antaranya ialah mengemukakan ijtihad baru dalam masalah lama yang bersesuaian dengan perubahan keadaan,masa dan tempat seperti masalah zakat, penghakiman, syura dan hisbah. Begitu juga keperluan kepada ijtihad dalam masalah yang baru timbul. Pembaharuan fiqh dari sumber rujukan fiqh sama ada kitab-kitab turath mahupun kitab semasa terutama tesis-tesis M.A dan Ph.D., termasuk artikel dan kertas kerja yang dibentangkan di nadwah dan muktamar serta majlis fatwa.

Pembaharuan fiqh juga diperlukan untuk meniup semangat ruh dalam kitab fiqh. Banyak hukum fiqh yang kehilangan ruh ibadat seperti tawaf di kaabah yang ruhnya adalah kesatuan dan perpaduan. Oleh itu, kita memerlukan himpunan antara akal dan hati. Pembaharuan fiqh juga harus dilihat dari segi pembelajaran fiqh yang pelbagai seperti empat mazhab Sunni, Jaafariyyah, Zaidiyyah, Zahiri dan mujtahid-mujtahid yang lain. Termasuk dalam hal ini juga ialah perbandingan antara fiqh dengan undang-undang semasa terutama dari segi muamalat, sama ada ia bersesuaian dengan fiqh ataupun tidak. Di samping itu, dalam merangka rujukan fiqh yang baru, ikatan antara fiqh dengan akidah, kesusasteraan dan siyasah al-Syar’iyyah perlu diwujudkan. Ia harus meliputi perkara yang memudahkan kefahaman fiqh kerana kebanyakan kitab yang diajar di al-Azhar merupakan kitab lama yang telah berusia ratusan tahun.Di samping itu, perlu juga ada pengkategorian dan peningkatan bagi tahap kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Antara kitab fiqh semasa ialah :

1. Al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah.
2. Fiqh al-Sunnah oleh Sayyid Sabiq.
3. Mawsu’ah Jamal Abd al-Nasir (Mesir)
4. Mawsu’ah al-Fiqhiyyah (Kuwait)
5. Al-Fiqh al-Islami wa adillatuh oleh Wahbah al-Zuhayli.

Wahbah al-Zuhayli menyarankan agar tajdid fiqh itu dilakukan antaranya dengan menukar istilah fiqh agar bersesuaian dengan keadaan semasa. Menurutnya, tajdid fiqh itu harus meraikan perkara-perkara yang thabit (tetap) dan perkara yang berubah-ubah, samping memahami perkara yang memerlukan perubahan dan yang statik. Di sini perlu difahami perkara yang boleh diijtihadkan dan perkara yang tidak boleh diijtihadkan seperti solat lima waktu, puasa dalam bulan Ramadan dan perkara yang boleh diijtihadkan iaitu hukum-hukum yang nasnya adalah zanni dalalah. Menurut Wahbah al-Zuhayli lagi, tajdid fiqh juga harus mengikut kaedah yang telah disepakati iaitu seorang mujtahid harus merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, ijma’, kemudian qias, istihsan, istislah, uruf, mazhab para sahabat dan istishab mengikut susunan dan aturannya. Dalam perkara tajdid fiqh ini terdapat golongan yang mendakwa melakukan tajdid seperti golongan yang dikenali sebagai salafi. Mereka ingin mengembalikan kepada fiqh salaf dari kalangan sahabat dan tabi’in dan tidak mahu mengunapakai mazhab yang empat. Ada juga golongan yang menolak khazanah fiqh dan mengganggap undang-undang manusia sebagai sesuatu yang terbaik. Namun, Wahbah al-Zuhayli menyarankan agar jalan yang terbaik adalah pertengahan dan wasatiyyah iaitu memelihara perkara yang tetap dan meraikan perubahan semasa dengan asas maslahah bersandarkan kepada nas-nas yang muktabar. Hal ini merupakan manhaj yang dipakai oleh semua fuqaha, dan mujtahid dalam semua zaman.

Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa al-Qaradawi merupakan pakar feqah semasa dan menjadi rujukan umat Islam kini. Fatwanya turutmenjadi rujukan kepada permasalahan yang timbul termasuk di kalangan umat Islam di Malaysia. Beliau juga adalah di antara mereka yang menyuarakan agar feqah itu dipelajari dengan manhaj yang lebih moden dan tersusun.

Kesimpulan

Penulisan al-Qaradawi serta ceramah beliau di Malaysia secara lansung atau tidak langsung telah memberi kesan kepada cara analisa dan istinbat hukum di Malaysia di kalangan sarjan-sarjana Islam. Penulisan al-Qaradawi dalam isu-isu zakat khususnya berkaitan dengan aset-aset yang baru yang sepatutnya dikenakan zakat seperti zakat pendapatan gaji dan aset yang disewakan untuk tujuan mendapatkan pendapatan. Ini merupakan satu interpretasi baru kepada takrifan aset yang dikenakan zakat dan interpretasi ini adalah selaras dengan maqasid al-syariat di mana sebarang bentuk harta yang berkembang adalah tertakluk kepada zakat. Pada umumnya, metodologi pemikiran al-Qaradawi dalam istinbat hukum adalah berbentuk ala maqasid, mudah dan mengambil kira realiti semasa, tetap pada tujuan dan fleksibel pada kaedahya. Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang sesuai dan relevan khususnya dalam kes-kes yang berbentuk umum (umum al-balwa). Pendekatan al-Qaradawi dalam fatwa seperti keharusan seseorang itu bekerja di bank riba Dalam konteks Malaysia, pendekatan untuk memperkenalkan dwi sistem perbankan konvensional dan Islam adalah terjemahan kepada metodologi pemikiran al-Qaradawi.

Sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan