Pengikut

Hadith Hari Ini

Daripada penyair menjadi pahlawan

Oleh HAPPIS BASHA

SALAH seorang tiga penyair Rasulullah s.a.w adalah Abu Abdillah atau nama lengkapnya Ka’ab bin Malik bin Amr bin Qain Al-Anshari As-Salami Al-Khazraji. Beliau termasuk salah seorang penyair terkemuka Rasulullah s.a.w.

Mengenai syairnya, Rasulullah s.a.w pernah mengatakan kepada Ka’ab ; “Anda benar-benar memiliki syair yang sangat bagus,” dan “Sungguh syairmu ini lebih dahsyat daripada tikaman anak panah”.

Tatkala turunnya firman Allah s.w.t yang bermaksud ; “ Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat- tidak berketentuan hala.” (Surah Asy-Syu’ara : 224).

Menyedari akan perkara itu, maka Ka’ab dengan segera menemui Rasulullah s.a.w dan bertekad untuk berhenti melantunkan syair kerana takut akan kesalahan syairnya mengenai kebenaran sirah Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w mengatakan kepadanya ; “Seorang mukmin itu dapat berjuang dengan pedang dan lisannya.”

Turunnya firman Allah s.w.t ( Asy-Syu’ara : 224) ini adalah kerana menerangkan perbezaan di antara Rasulullah s.a.w yang benar serta mendapat wahyu Allah s.w.t, dan ayat-ayat sambungan daripada Surah tersebut bahawa Al-Quran ul-Karim bukanlah syair, dan Baginda yang menyampaikan bukanlah sebagai seorang penyair sebagaimana dituduh oleh kaum kafir musyrik kerana lazimnya penyair-penyair tidak berasaskan kebenaran dan mereka menjadi ikutan bagi orang-orang yang sesat.

Walau bagaimanapun, pada ayat 227 Surah Asy-Syu’ara pimpinan Ar-Rahman menerangkan bahawa bukan semua syair dan ahli-ahli penyair itu keji, bahkan ada di antaranya yang terpuji dan diredhai Allah s.w.t, iaitu syair-syair yang dicipta oleh penyair yang beriman dan bertakwa serta berdasarkan kebenaran Rasulullah s.a.w, kebenaran Islam, dan hidayah petunjuk-Nya sebagaimana penyair-penyair Islam di zaman Rasulullah s.a.w.

Antara yang pernah mendengar syair Ka’ab bin Malik adalah Ibnu Sirin, yang mengatakan; “Aku pernah mendengar berita bahawa kabilah Dus masuk Islam kerana takut dengan ucapan Kaab dalam bait syairnya yang berbunyi” ;

“Kami telah membinasakan penduduk Tahamah dan Khaibar. Kemudian kami kumpulkan semua pedang (senjata) milik mereka.”

”Kami bertanya kepada pedang-pedang itu, seandainya pedang-pedang itu dapat berbicara, maka mereka menjawab akan menebas leher orang-orang Dus dan Tsaqif.”

Semasa perang Uhud, Ka’ab bin Malik mengenakan perisai milik Rasulullah s.a.w yang berwarna kuning. Beliau terkena sebelas luka sewaktu mempertahankan Islam.

Kaab bin Malik juga pernah mengikuti perjanjian Ba’it Aqabah II bersama orang-orang Ansar dan Rasulullah s.a.w mempersaudarakannya dengan Thalhah bin Abdullah.

Sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan