Pengikut

Hadith Hari Ini

Herba: Khazanah Bernilai

Oleh: ZALILA ISA

MASYARAKAt di negara China terkenal dengan amalan pemakanan dan kesihatan berasaskan ginseng. Masyarakat India, Nepal dan Sri Lanka pula boleh berbangga dengan amalan ‘ayurveda’ dan yoga, yang dikatakan boleh mempengaruhi kehidupan yang baik dan sihat. Indonesia pula terkenal dengan jamu-jamunya yang menjadi makanan atau minuman wajib sejak mereka kecil.

Malaysia boleh berbangga dengan kekayaan sumber semulajadi yang menghuni hutan hujan tropikanya. Di situ terkumpulnya segala khazanah bumi yang boleh dimanfaatkan. Salah satu daripadanya ialah tumbuhan herba yang dikatakan menjadi bahan asas bagi segala ubat-ubatan dan makanan untuk kesihatan.

Secara umumnya, hutan amat penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.

Hutan hujan tropika menjadi habitat semula jadi kepada hampir 50 peratus hingga 90 peratus spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia walaupun ia hanya meliputi 12 peratus kawasan dunia. Hutan menempatkan 8000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga.
Di Sarawak pula, 70 peratus daripada kawasannya adalah diliputi oleh hutan hujan tropika. Ia menempatkan lebih daripada 8000 spesies flora dan 20,000 spesies fauna.

Selain bertindak sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli, hutan juga menjadi kawasan tadahan air, penutup bumi semulajadi dan berfungsi sebagai bunga karang (sponge) yang berongga dalam memelihara kualiti alam sekitar dengan menyerap dan menapis air hujan sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai.

Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi dan hampir 70 peratus daripada penawaran oksigen dunia adalah datangnya dari hutan hujan tropika, agen pembersih udara melalui proses fotosintesis dan membekalkan sumber bahan mentah untuk makanan manusia dan haiwan. Sumber bahan getah, damar, resin, pencelup dan bahan-bahan dasar pengeluaran minyak yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi juga diperolehi dari hutan yang mengandungi khazanah yang tidak ternilai harganya seperti pokok-pokok balak iaitu balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.

Paling penting, hutan menjadi gedung kesihatan kerana dipenuhi dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Tumbuhan herba merupakan tumbuhan yang mendiami hutan hujan tropika yang mempunyai khasiat tersendiri.
Sebenarnya, semenjak dahulu lagi tumbuhan herba telah digunakan sebagai asas perubatan. Bapa perubatan iaitu, hippocrates juga telah mempelajari ilmu perubatan dengan menggunakan herba daripada orang-orang Mesir.

Dalam aspek pengubatan, tumbuhan herba digunapakai untuk memulihkan sesuatu penyakit sejak zaman berzaman. Pemerhatian dan kajian yang dibuat terhadap alam sekitar membuahkan hasil yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk dunia.

Antara pokok herba yang sehingga kini memberi sumbangan kepada dunia perubatan ialah pokok Chichona yang berasal dari Peru, menghasilkan ‘quinine’ yang boleh menyembuhkan penyakit malaria. Daun-daun pokok koka pula menghasilkan kokain yang digunakan sebagai pelali atau ubat bius.

Kebiasaannya, pokok herba merujuk kepada tumbuhan renek berbatang yang lembut dan mengandungi banyak air. Selain sebagai ubat, masyarakat Melayu juga mengamalkan beberapa jenis tumbuhan herba sebagai ulam-ulaman dalam makanan seharian mereka. Selain itu, tumbuhan herba juga digunakan sebagai minyak atau puput (hancurkan dengan lumat seperti krim) sebelum diletakkan di bahagian yang sakit.

Penawar alami yang kedapatan di hutan belukar, bukit bukau, paya, sawah, padang, kampung dan dusun ini digunakan oleh masyarakat Melayu zaman berzaman. Potensi tumbuhan herba berkembang dengan pesat di Malaysia terutama selepas Tongkat Ali dan Kacip Fatimah dikomersialkan sebagai herba yang mengandungi bahan yang boleh memulihkan tenaga dalaman.

Selepas itu, tanaman herba mula mendapat tempat di dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. Tumbuhan herba ini mula dicari, dikaji dan dikomersilkan sebaiknya sehingga herba yang dahulunya hanya boleh di dapati dari hutan belukar, sudah boleh ditanam sendiri di halaman rumah. Malahan juga sudah punya ladang yang luas yang hanya ditanam dengan tumbuhan herba.

Antara tumbuhan herba yang mula mendapat tempat dan perhatian pakar perubatan di seluruh dunia ialah mas cotek, misai kucing, hempedu bumi, serai wangi, dukung anak, lempoyang gajah, kemunting cina, vanilla, pokok gaharu, derhaka mertua, gandarusa, ubi jaga, tenggek burung, manjakani, paku tunjuk langit, jarum tujuh bilah dan ratusan yang lain lagi.

Budaya lisan yang mendominasi komunikasi masayarakat zaman dahulu menjadikan khasiat dan kegunaan herba-herba sebegini tidak didokumentasikan dengan baik. Kepandaian atau kemahiran mengenalpasti khasiat herba juga hanya ada pada orang-orang tertentu seperti bomoh, dukun dan bidan.

Kini, dengan teknologi yang baik dan moden, tumbuhan herba bukan sahaja boleh didokumentasikan dengan baik melalui badan-badan tertentu seperti Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Malahan banyak pihak telah mula mendokumentasikan serta membuat kajian lebih lanjut tentang khasiat herba. Mereka terdiri daripada pakar penyelidik di universiti-universiti, pakar perubatan persendirian dan pengamal perubatan berasaskan herba itu sendiri.

Perkembangan tumbuhan herba juga dibantu dengan medium seperti laman-laman sesawang yang memaparkan atau mengumpulkan maklumat terkini tumbuhan herba di Malaysia dan seluruh dunia. Laman sesawang yang dibangunkan oleh pengusaha, pengeluar, dan individu-individu tertentu yang terlibat dalam dunia herba banyak membantu dalam mengembangkan pemasaran dan penyelidikan tumbuhan herba. Dengan menggunakan nama laman botani, myherba, penawar alami dan sebagainya, masyarakat mula membuka mata dan tidak ketinggalan dalam usaha menyelongkar khazanah alam yang berharga yang terdapat di sekeliling mereka.

Selain itu, buku-buku mengenai herba juga banyak dihasilkan bermula dari hanya pemaparan gambar-gambar dan sedikit penerangan tentang herba sehinggalah kepada kegunaannya yang pelbagai.
Antaranya buku “Dunia Perbidanan Melayu” yang ditulis oleh Datin Syarifah Anisah Barakbah. Buku ini memancarkan kegemilangan tamadun Melayu dan bangsa yang begitu prihatin akan penjagaan diri dan keturunannya.

Penerbitan semula “Kitan Tib Melayu” yang dikarang oleh bapa perubatan Islam, Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau lebih dikenali dengan Ibnu Sina di kalangan masyarakat Islam dan Aviceanna di kalangan masyarakat Barat. Tindakan Yayasan Karyawan menerbitkan semula kitab ini harus dipuji kerana berusaha memelihara manuskrip perubatan tulisan tangan Melayu silam. Ia merujuk kepada kesemua manuskrip perubatan dan kebiasaannya membicarakan cara mengubati berbagai jenis penyakit yang menggunakan bahan dari pokok dan tanaman yang dicampur dengan ramuan rempah, di antaranya ubat sembelit, senggugut dan meroyan, selain disertakan dengan doa-doa.

Usaha kerajaan dan pihak swasta juga amat besar dalam mengembangkan pemasaran dan pengkomersialan tanaman herba. Pameran NATPRO 2008 (5th Asia Pacific Natural Products Expo 2008) yang akan diadakan pada 27-29 Mac ini di PWTC, Kuala Lumpur yang memungkinkan tanaman herba semakin teguh berada di pasaran antarabangsa di samping memperkenalkan penemuan herba-herba baru kepada masyarakat.

Begitu juga dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan diadakan pada 11-23 Ogos 2008 bertempat di serdang yang sebelum ini pernah melakar sejarah menjadi ekspo terbesar di Malaysia berasaskan Industri Pertanian.

Selain itu, Malaysian Herbal Corporation (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia juga akan menganjurkan temasya herba pertama di Menara Kuala Lumpur pada 20 April ini. Temasya ini mempamerkan dan menjual produk berasaskan herba merangkumi produk makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Untuk tujuan pengkomersialan pula, kerajaan telah mengambil inisiatif memperuntukkan sejumlah dana untuk membina beberapa buah kilang dan memperuntukkan tanah-tanah terbiar untuk diusahakan dengan tanaman herba di samping merealisasikan hasrat negara menjadi pengeluar produk herba bertaraf dunia melalui bioteknologi dan penghasilan kaedah baru daripada kepelbagaian ramuan herba yang dimiliki kini.

Sebagai contoh pembinaan kilang TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang yang bernilai hampir RM35 juta sebagai prasarana pemprosesan tumbuhan herba yang boleh digunakan oleh 150 syarikat untuk memproses produk mereka. Kilang-kilang yang lain juga bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemprosesan, malah menjadi lokasi penyelidikan bagi tumbuhan herba untuk di komersialkan melalui penyelidikan dan pembangunan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Pasaran dunia herba memperlihatkan sambutan yang begitu menggalakkan. Menurut MHC, nilai keluaran industri herba tempatan akan meningkat kepada RM8 billion tahun ini daripada 7.5 bilion tahun lepas. Pasaran industri yang semakin berkembang ini memberi banyak faedah terutama kepada petani dan juga generasi muda yang mula memandang pertanian amnya dan industri herba khasnya, sebagai suatu peluang yang baik dari aspek penjanaan ekonomi diri dan negara. Bidang pertanian yang dahulunya dipandang sepi semakin popular. Malahan, ada yang sanggup meninggalkan jawatan bergaji besar dan mula mengerjakan tanah-tanah terbiar di kampung dan pinggir bandar untuk mengambil peluang keemasan ini.

Selain itu, industri herba yang mempunyai pulangan yang besar untuk bersaing di dalam pasaran global mempunyai nilai yang tinggi dalam jangkamasa yang panjang. Individu yang terlibat bukan sahaja bertindak sebagai pengeluar bahan mentah, malah penanaman, pemprosesan dan pemasaran herba juga boleh dilakukan sendiri dengan bantuan pihak yang berkenaan.

Kesan daripada ledakan maklumat dan sokongan dari pelbagai pihak juga, tumbuhan herba atau amalan pemakanan dan kesihatan berasaskan tumbuhan herba tidak lagi dianggap sebagai cara yang kolot, tahyul, kotor atau memudaratkan sepertimana yang digembar gemburkan oleh barat yang kononnya mereka adalah pelopor teknologi perubatan yang terbilang. Stigma tentang perubatan tradisional mula berubah.

Perkembangan dunia herba juga memperkaya sumber makanan bagi orang Melayu dan masyarakat Islam yang sering tertindas dengan makanan yang disediakan oleh pengeluar bukan Islam. Persoalan halal dan haram dapat diatasi dengan kekayaan sumber asli ini yang boleh di tanam sendiri, dimakan begitu sahaja atau penggunaan herba yang telah mengalami tranformasi dari pelbagai aspek.


Sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan