Pengikut

Hadith Hari Ini

Manusia bila dah jumpa makanan.........


Sempena hari Jumaat yang amat mulia ni saya nak memberi teguran sedikit mengenai perangai dan sikap yang kurang baik. Sikap dan perangai ni berlaku di sekitar masjid terutamanya hari Jumaat waktu khatib tengah berkhutbah. Saya yakin ramai orang pernah melihat ataupun berpengalaman dengan sikap tersebut. Sikap tersebut ialah menikmati makanan.

Pelik bukan? takkan makan pun tak boleh. Jawapannya: Makan tak salah. Tapi yang salahnya ialah makan ketika khatib tengah berkhutbah. Ada ka patut khatib sedang berkhutbah dia sedang layan buah pisang, rambutan dan macam macam lagi la. Tak ada adab lansung. Kalau nak makan sangat datang la awal.

Niat orang yang bersedekah dengan meletakkan makanan untuk para jamaah adalah sangat baik. Tapi yang malangnya ada sesetengah orang (bukan semua) yang tak tau adab ketika nak makan. Sebab itu saya kata manusia ni pantang jumpa makanan. Nak makan, boleh tapi jaga la adab dan dahulukanlah hak dengan Allah SWT.

Ada lagi masalah. Bila dah makan kadang-kadang tu sampai bersepah-sepah. Apa ni? Bukankah dah jadi haram? Jadi kepada orang yang selalu bertabiat makan ketika khatib berkhutbah dan meyebabkan sampah bersepah-sepah, saya nasihatkan tolong la ubah sikap. Hormatilah hari yang mulia ni dengan ibadat yang sempurna. Nak makan, makanlah, tapi sebelum khatib berkhutbah pastikan dah ada kat dalam masjid. Saya sendiri tak penah makan pun makanan yang disediakan. Takut perut kenyang tapi berdosa.
Baca selanjutnya...

ANAK KECIL YANG TAKUT API NERAKA


Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis. Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?" Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Quran sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka." Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka." Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa." Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"


Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Asal Usul Daerah Baling


Daerah Baling, di pendalaman negeri Kedah, terdiri daripada enam mukim iaitu Mukim Tawar, Mukim Pulai , Mukim Kupang, Mukim Teloi Kanan, Mukim Bongor dan Mukim Siung. Kebanyakan penduduk daerah ini bersawah padi dan menoreh getah. Bandar ibu daerah ini juga bernama Baling. Ada berbagai cerita tentang kemunculan nama baling, termasuk yang dikaitkan dengan Raja Bersiung, raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa.

Raja Bersiung gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Baginda melarikan diri setelah kegemarannya yang menjijikkan itu diketahui rakyat. Ketika Raja Bersiung lari daripada kepungan menteri dan rakyatnya, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi taring atau siungnya. Apabila kesakitannya itu tidak reda-reda, baginda mengambil keputusan untuk mencabut siungnya itu. Namun siung itu masih kejap dan tidak mudah dicabut. Sudah beberapa kali baginda menjerit kesakitan ketika cuba untuk mencabutnya. Apabila siungnya itu akhirnya berjaya dicabut baginda terus membalingnya jauh-jauh, tanda marah. Tempat siung itu jatuh dinamakan ‘Baling’.

Dalam cerita kedua, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira dua ratus tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka Ban-Lin yang bererti ‘Kampung kera’. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi ‘Baling’.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Sombongnya dia……


Hari ini menemani isteri untuk bawa Muhammad Muhaimin ke Klinik. Macam biasa la kat klinik ramai sangat orang walaupun saya dan isteri ke klinik jam 7.30 pagi. Lebih-lebih lagi kat bahagian kanak-kanak. Meriah dengan kanak-kanak dan bayi-bayi yang semuanya comel-comel belaka. Masing-masing tunggu giliran untuk pemeriksaan daripada timbang, ukur tinggi dan berbagai lagi la.

Dari segi layanan daripada para jururawat dan doktor amat memuaskan hati. Biasanya senyuman sentiasa terukir dan melayan setiap pertanyaan yang kita kemukakan. Pengalaman saya berkomunikasi dengan para doktor atau para jururawat sama ada di Pusat Perubatan Universiti Malaya atau Hospital Kuala Lumpur boleh dikatakan mereka ini sangat profesional sama ada dari segi layanan dan sebagainya.

Tapi hari ini dapat pengalaman baru pulak. Ada la seorang jururawat yang agak sombong. Senyum jangan harap la. Cakap pun agak kasar.Dah la bertugas dibahagian suntikan pulak tu. Tapi saya taknak la salahkan dia. Mungkin itu imejnya secara sejak azali kot. Nak buat macam mana bukan salah dia.

Setahu saya la kan, para jururawat dilatih untuk berinteraksi dengan orang ramai secara sopan, lemah lembut, mesra, berakhlak dan lain lagi. Tak tau la plak kot kot jururawat yang sombong tu dah lupa ilmu yang dia belajar masa latihan kejururawatan dahulu. Harap la para jururawat yang bertugas jangan la lupa ilmu-ilmu masa latihan dulu.

Tapi apa pun, masih ramai lagi jururawat yang baik, sopan, berhemah, murah senyuman dan sebagainya. Jururawat yang sombong itu hanyalah kes terpencil dan hanya segelintir sahaja. Diluar sana masih ramai lagi yang begitu dedikasi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
Baca selanjutnya...

Bila Islam Difikirkan Sempit


Islam adalah agama yang sangat mulia disisi Allah SWT. Bahkan dalam perlembagaan Negara Malaysia pun mengiktiraf bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia. Ini perlu tidak dipertikaikan oleh sesiapapun. Bahkan boleh dikatakan ada peruntukkan khusus yang diberikan untuk memajukan beberapa institusi atau Majlis yang berkaitan dengan Islam. Ini tidak perlu dipersoalkan lagi.

Apa yang nak disebutkan disini ialah mengenai kefahaman Umat Islam itu sendiri terhadap Islam yang dianutinya. Ada yang memahami Islam dari pelbagai sudut dan dimensi masing-masing. Ada yang memahami Islam hanya semata-mata berkaitan puasa, solat, haji, zakat dan sebagainya. Dan ada pulak yang memahami Islam dari perspektif yang syumul dan lengkap. Jadi disini, saya mahu kemukakan beberapa sikap dan kefahaman masyarakat Islam terhadap Islam mengikut perspektif dan pemerhatian saya.

Pertama: Memahami Islam Secara Syumul
Kefahaman sebeginilah yang dikehendaki dalam kehidupan manusia dalam beragama. Islam itu dilihat sebagai penyelesai masalah dalam masyarakat. Islam dijadikan cara hidup dan pengamalan dalam segenap perbuatan dalam pelbagai bidang sama ada politik, sosial, ekonomi, sukan, kebudayaan dan sebagainya. Dalam erti kata lain, inilah masyarakat yang mahu melihat Islam dipraktikkan dalam kehidupan seharian serta betul-betul menghayati Islam.

Kedua: Islam dalam konteks tertentu
Bagi golongan ini, Islam hanya dalam persoalan ibadat khusus semata-mata umpamanya puasa, haji, solat, zakat dan sebagainya. Perkara lain yang berkaitan ekonomi, politik, pemerintahan, sukan dan sebagainya dianggap perkara yang tidak berkaitan Islam. Ini adalah usaha pemisahan antara Islam dan cara hidup. Kefahaman ini adalah sangat bercanggah sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Juga di sebut sekularisme.

Ketiga: Tidak Memahami Islam
Golongan ini adalah golongan yang lansung tidak memahami Islam. Islamnya hanyalah diwarisi daripada keturunannya semata-mata serta tiada usaha untuk memahami Islam dengan mempelajari ilmu-ilmu Islam sama ada secara formal atau tidak. Mereka sentiasa tidak memahami tentang Islam serta tidak ada usaha untuk memahami Islam.

Keempat: Golongan yang buat-buat tidak faham Islam
Golongan ini, jika ada dalam masyarakat, maka amat menjadi sesuatu yang amat mengelirukan. Mereka memahami Islam, mempelajari Islam tetapi sepi dalam menyampai Islam yang sebenar. Kehidupan mereka hanya mencari kemewahan dan keselesaan hidup semata-mata dengan mengetepikan kebenaran. Golongan inilah sekiranya ada dalam masyarakat akan mengelirukan masyarakat Islam.

Kesimpulan:
Dalam kekhidupan manusia seharian, Islam hendaklah menjadi asas utama. Jika Islam menjadi asas maka tidak berlakulah perkara yang menyimpang dari ajaran Islam bahkan segala gerak geri dan tindakan akan mendapat keredhaan Allah SWT. Yakinlah bahawa dengan mengamalkan ajaran Islam secara lengkap sahajalah yang mampu membentuk masyarakat yang diredhai Allah SWT.
Baca selanjutnya...

Pasar Siti Khadijah


Cara bijak untuk meneliti kehidupan di sebuah bandar di Malaysia ialah dengan melawat pasar tempatannya yang menjadi nadi kehidupan setiap bandar. Pasar Siti Khadijah dinamakan sempena isteri pertama Nabi Muhammad yang merupakan seorang ahli perniagaan. Nama yang sesuai untuk sebuah pasar yang mana penjaja di dalamnya kebanyakannya terdiri dari kaum wanita.

Terdapat sesuatu untuk semua orang yang berkunjung ke pasar ini dari hasil tanaman segar hingga kraftangan dan kuih-muih tradisional. Ianya juga menggambarkan budaya dan cara hidup di Kelantan yang penuh dengan warna, bau dan bunyi yang unik milik penduduk di situ.

Tips
Pelawat digalakkan mengambil gambar di sini tetapi sekiranya anda ingin mengambil gambar potret pastikan anda meminta kebenaran dari empunya badan terlebih dahulu.

Pengangkutan
Jalan Kaki atau Teksi
Pasar Siti Khadijah (Central Market) terletak di Jalan Hulu.


Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Kelantan di talian : +609-747 7520/ 7554. Faks: +609-747 8010

Penginapan
Kota Bharu menawarkan pelbagai jenis tempat penginapan samada asrama pengembara yang ringkas atau hotel mewah bertaraf 4-bintang.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Mengenal Masalah Kegemukan

OBESITI atau yang biasa kita kenal sebagai kegemukan merupakan suatu masalah yang cukup merisaukan khususnya di kalangan remaja. Pada remaja perempuan, kegemukan menjadi permasalahan yang cukup berat dan menekan, kerana keinginan untuk tampil sempurna yang seringkali diertikan dengan memiliki tubuh ramping atau langsing dan cantik, merupakan idaman bagi mereka.

Perkara ini semakin disemarakkan dengan berbagai-bagai iklan di kaca televisyen, akhbar, majalah, dan media massa lain yang selalu menonjolkan watak-watak wanita yang langsing di samping iklan berbagai-bagai macam ramuan ubat-ubatan, makanan dan minuman untuk merampingkan tubuh.

Akibatnya, ribuan ringgit wang dibelanjakan untuk diet, ubat-ubatan, dan perawatan-perawatan bagi menurunkan berat badan. Tidak berbeza dengan remaja perempuan, remaja lelaki juga takut atau bimbang menjadi gemuk. Bagi mereka, lelaki yang gemuk berlebih dianggap akan mengalami permasalahan yang cukup berat untuk menarik perhatian indan berlainan jenis. Banyak remaja lelaki yang berharap dapat membuatkan tubuh merela ideal (menjadi sedikit berotot atau tegap) dan keinginan mereka untuk itu pada sebahagian remaja disalurkan melalui aktiviti sukan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang gemuk, aktiviti sukan akan terasa sebagai suatu seksaan. Hal inilah yang seringkali dimanfaatkan oleh para penjual produk-produk ubat-ubatan atau makanan penurun berat badan dan alat sukan ringan untuk melariskan barangan perniagaan mereka. Dengan melihat fenomena yang terjadi sekarang ini, tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa obesiti merupakan salah satu masalah rumit yang seringkali dihadapi remaja, termasuk juga orang dewasa.

Hal ini tergambar menerusi banyaknya wang yang dikeluarkan untuk melakukan diet, membeli ubat-ubatan pelangsing dan peralatan sukan yang bertujuan untuk menurunkan berat badan. Obesiti atau kegemukan terjadi pada ketika badan menjadi gemuk (obese) yang disebabkan oleh penumpukan ‘adipose’ (adipocytes: jaringan lemak khusus yang disimpan di dalamtubuh) secara berlebihan. Jadi, obesiti adalah keadaan di mana seseorang memiliki berat badan yang lebih berat dibandingkan berat idealnya yang disebabkan terjadinya pengumpulan lemak di dalam tubuhnya.

Berhadapan dengan obesiti, seringkali seseorang remaja memberi tindak balas secara berlebihan. Kerap pula mereka menjadi kecewa kerana meskipun sudah melakukan diet secara terancang dan ketat serta mengambil ramuan atau ubat-ubatan penurun berat badan, ternyata kegemukan tubuh tidak juga susut. Apa sebenarnya yang terjadi? Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu melihat faktor-faktor yang menjadi penyebab obesiti.

Menurut para pakar kesihatan, berasarkan pada hasil kajian, obesiti boleh dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktor. Faktor-faktor tersebut di antaranya adalah faktor genetik, disfungsi salah satu bahagian otak, pola makan yang berlebihan, kurang bersukan, emosi, dan faktor persekitaran.

GENETIK

Kegemukan boleh diturunkan daripada generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini nampaknya faktor genetik telah ‘ikut campur’ dalam menentukan jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh.

Hal ini demikian kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, maka unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik akan diturunkan kepada bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah apabila bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang relatif sama besar.

KEROSAKAN PADA SALAH SATU BAHAGIAN OTAK

Sistem pengawal yang mengatur perilaku makan terletak pada suatu bahagian otak yang disebut ‘hipotalamus’, sebuah kumpulan inti sel dalam otak yang berhubungan dengan bahagian-bahagian lain daripada otak dan kelenjar di bawah otak. ‘Hipotalamus’ mengandungi lebih banyak pembuluh darah dari bahagian lain di dalam otak, sehingga lebih mudah dipengaruhi oleh unsur kimia daripada darah.

Dua bahagian ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan, iaitu ‘hipotalamus lateral’ (HL) yang menggerakkan nafsu makan (awal atau ‘pusat makan’); ‘hipotalamus ventromedial’ (HVM) yang bertugas mengekang nafsu makan (pemberhentian atau ‘pusat kenyang’).

Daripada hasil kajian, didapati bahawa apabila ‘hipotalamus ventromedial’ rosak atau hancur, maka individu menolak untuk makan atau minum, dan akan mati kecuali apabila dipaksa diberi makan dan minum (diberi infus). Sedangkan bila kerosakan terjadi pada bahagian ‘hipotalamus ventromedial’, maka seseorang akan menjadi rakus atau gelojoh dan kegemukan.

POLA MAKAN BERLEBIHAN

Orang yang gemuk lebih responsif dibandingkan dengan orang yang berat badannya normal terhadap isyarat lapar luaran, seperti rasa dan bau makanan, atau ketika waktu makan. Orang yang gemuk cenderung makan apabila ia merasa ingin makan, bukan makan pada ketika ia lapar. Pola makan berlebihan inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada perangkap kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangkan berat badan.

KURANG BERSUKAN

Tingkat pengeluaran tenaga tubuh sangat peka terhadap pengendalian berat tubuh. Pengeluaran tenaga bergantung kepada dua faktor, iaitu:

1) tingkat aktiviti dan sukan secara umum;
2) angka metabolisme atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh.

Daripada kedua-dua faktor tersebut, metabolisme mempunyai tanggungjawab dua pertiga daripada pengeluaran tenaga orang yang normal. Meskipun aktiviti fizikal hanya mempengaruhi satu pertiga pengeluaran tenaga seseorang dengan berat normal, tetapi bagi orang yang memiliki kelebihan berat badan, aktiviti mempunyai peranan yang sangat penting. Pada waktu bersukan kalori terbakar, makin banyak bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang.

Kalori secara tidak langsung mempengaruhi sistem metabolisme. Orang yang duduk bekerja sehari-harian akan mengalami penurunan metabolisme tubuhnya. Kekurangan aktiviti ‘gerak’ akan menyebabkan suatu siklus yang hebat, obesiti membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar dan kurang dinikmati dan kurangnya sukan secara tidak langsung akan mempengaruhi turunnya metabolisme tubuh individu tersebut.

Jadi, sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, tidak sahaja kerana dapat membakar kalori, malahan dapat membantu mengatur berfungsinya metabolisme normal.

PENGARUH EMOSIONAL

Suatu pandangan popular adalah bahawa obesiti bermula daripada masalah emosional yang tidak teratasi. Orang-orang gemuk ‘dahaga’ akan kasih sayang seperti kanak-kanak yang menganggap bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu atau makan lebih daripada hadnya adalah sebagai elemen atau unsur untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya.

Walaupun penjelasan demikian sesuai pada beberapa kes, namun sebahagian orang yang mengalami berat badan yang berlebihan tidak terganggu secara psikologi dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Meskipun banyak pendapat yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, namun sebenarnya ketidakbahagiaan tekanan batinnya lebih diakibatkan sebagai hasil daripada kegemukannya.

Hal tersebut kerana dalam sesebuah masyarakat, seringkali orang yang bertubuh kurus disamakan dengan kecantikan, sehingga orang gemuk berasa malu dengan penampilan dan kesukaran mereka mengendalikan diri terutama dalam hal yang berhubung dengan perilaku makan. Orang gemuk seringkali mengatakan bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka di dalam keadaan ketegangan atau cemas, dan eksperimen membuktikan kebenarannya.

Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu keadaan yang sangat mencengkam atau menekan; orang yang mempunyai berat badan secara normal akan dalam keadaan yang kurang mencengkam atau menekan (McKenna, 1999). Dalam suatu kajian yang dilakukan oleh White (1977) pada kumpulan orang dengan berat badan berlebihan dan kumpulan orang dengan berat badan yang kurang, dengan menyajikan kerepek (makanan ringan) setelah mereka menonton empat jenis filem yang mengundang emosi yang berbeza, iaitu filem yang tegang, ceria, merangsang ghairah seksual, dan sebuah ceramah yang membosankan.

Pada orang gemuk didapati bahawa mereka lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan filem yang tegang dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan. Sedangkan pada orang dengan berat badan kurang, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton filem yang tegang mahupun filem yang membosankan.

LINGKUNGAN PERSEKITARAN

Faktor lingkungan persekitaran juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi gemuk. Jika seseoang dibesarkan dalam lingkungan persekitaran yang menganggap gemuk adalah simbol kemakmuran dan kebahagiaan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang mengalami obesiti tidak akan menghiraukan masalah-masalah psikologi yang berkaitan dengan kegemukan.

Jadi, bagi para remaja yang kebetulan memiliki berat badan berlebihan dan masih belum berjaya mengurangkan berat badan, janganlah berasa kecewa. Mungkin dengan mengetahui faktor-faktor penyebab kegemukan seperti tertulis di atas, anda akan menemui penyebab mengapa berat badan anda tidak kunjung susut.

Satu hal yang paling penting untuk diingat adalah selagi tubuh anda tidak menghidap apa-apa penyakit maka, tidak ada yang salah dengan tubuh anda yang besar (gemuk) itu. Perkara lain yang juga tidak kurang penting ialah cubalah untuk bersukan secara teratur dan menjaga emosi anda pada setiap waktu dalam apa jua keadaan.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Akal Tumpul, Terlalu Banyak Menonton Televisyen


Bagaimana kalau kali ini kita berkongsi pendapat tentang satu masalah pembelajaran di sekolah?

Kalau kita mengamati perilaku pelajar yang lemah, baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah, terdapat satu sifat yang sangat nyata. Mereka tidak ada ´attention span´ atau daya tumpuan yang kuat.

Tumpuan mereka terhadap sesuatu perkara sangat singkat. Mereka tidak berupaya menumpukan perhatian pada sesuatu perkara walaupun selama setengah minit. Tumpuan atau konsentrasi mereka sangat lemah dan mudah beralih.

Walau bagaimana menarik sekalipun pelajaran yang diberikan, mereka tidak boleh menumpukan perhatian pada pelajaran. Mereka menoleh ke kiri dan ke kanan, membuat itu dan ini dan tidak boleh fokus pada apa yang sedang diajarkan.

Apabila disuruh membuat sesuatu, guru perlu mengulanginya berkali-kali kerana ketika guru menerangkan sesuatu, mereka tidak mendengar dan fokus pada apa yang diterangkan. Kemudian mereka akan bertanya berulang kali apa yang mesti dibuat.

Dan kalau mereka membuat sesuatu kegiatan yang disuruh, mereka akan membuatnya lekas-lekas tanpa mengira sama ada ia betul atau salah. Mereka hendak lekas membuatnya dan hendak membuat kegiatan lain. Ini kerana tumpuan mereka sudah beralih kepada yang lain. Rencam dan tidak ada sesuatu yang boleh mengekalkan perhatian atau tumpuan mereka.

Akibatnya, mereka tidak memahami dan tidak ingat apa yang diajarkan kalau tidak diulang berkali-kali. Apa saja yang memerlukan usaha minda ditolak, dan menjadi satu kepayahan kepada mereka. Inilah antara sifat-sifat yang menyebabkan mereka gagal dalam ujian dan peperiksaan.

Daya tumpuan atau konsentrasi ini sangat penting dalam pembelajaran. Kajian-kajian menunjukkan para pemikir yang hebat-hebat mempunyai daya konsentrasi yang sangat tinggi.

Mengapa daya tumpuan anak-anak itu lemah?

Pada mulanya, penulis agak-agak, ia adalah akibat menonton televisyen. Apabila saya melayari internet, rupa-rupanya betul. Sudah ada kajian dibuat oleh Akademi Pediatrik Amerika (AAP). Mengikut dapatan mereka, kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah yang selalu terdedah kepada televisyen akan mempunyai masalah pembelajaran di sekolah kelak.

Bagaimanakah boleh terjadi begitu?

Jika kita perhatikan televisyen, imej yang ditonton pantas berubah dari satu imej ke satu imej lain. Cerita yang kita tonton pun berselang-seli dengan iklan. Penonton perlu membuat analisis yang mana cerita yang ditonton dan yang mana iklan.

Anak-anak kecil menerima semua yang mereka lihat sebagai imbasan-imbasan imej yang sentiasa bertukar. Lama-kelamaan, hal yang sentiasa berubah-ubah itu menjadi norma yang sebati dalam minda mereka.

Lagi satu hal yang penulis perhatikan ialah mainan kanak-kanak yang dibeli oleh ibu bapa untuk anak-anak tersayang.

Ini bukanlah mengkritik. Tetapi begitu banyak dibeli sehingga memenuhi satu bilik. Terlalu banyak mainan yang ada sehingga mereka tidak lekat atau fokus dengan sesuatu mainan.

Mungkin kita hendak memberikan rangsangan yang berbeza, tetapi dalam pada itu, mereka ´overstimulated´ - terlalu dirangsang dengan pelbagai rangsangan. Mereka tidak dididik memberi tumpuan fokus pada sesuatu kerana kita tidak memikirkannya dan sebaliknya kita menggalakkan mereka dengan perlra-perkara yang rencam.

Penulis teringat kata-kata ustaz penulis dulu. Katanya, kalau hendak menjadi pakar dalam sesuatu perkara, kita mesti ´asyik´ dengannya. Beliau menggunakan perkataan ´asyik´. Orang sekarang menggunakan perkataan ´fokus´ atau ´konsentrasi´.

Apa pun, daya tumpuan amat penting disemai sejak kanak-kanak lagi supaya apabila di sekolah nanti, mereka tidak mempunyai masalah pembelajaran.

Kadang-kadang kerana kurang maklum, secara tidak sedar kita membuat kesilapan. Kerana hendak senang menjaga kanak-kanak itu, kita hidupkan televisyen untuk mereka tonton dari pagi hingga ke petang. Bukan saja minda mereka terancam, bahkan penglihatan mereka pun boleh menjadi rosak.

Di Asia Tenggara ini, kadar kanak-kanak yang rabun adalah yang tertinggi di dunia. Itu pun ada hubungan dengan televisyen juga. Dan sekarang ditambah satu lagi - komputer. Kanak-kanak bermain komputer berjam-jam.

Bukanlah televisyen dan komputer itu tidak baik atau perosak. Cuma manfaatnya bergantung pada cara kita menggunakannya.

Terlalu banyak menonton boleh menumpulkan akal. Atau sebenarnya kita telah mengalami simptom tersebut tetapi kita sengaja menafikannya?

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Penafsiran al-Quran : Kaedah dan Penghayatan


Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali

Tafsir dari sudut bahasa ialah keterangan dan kenyataan. Dari segi istilah ialah ilmu yang membicarakan perihal al-Qur'an berdasarkan dalil-dalil terhadap maksud dan tujuan Allah sekadar yang termampu oleh daya pemikiran manusia. Sesetengah ulama memberikan pengertian tafsir sebagai merangkumi perkara-perkara yang berhubung dengan kedudukan kalam Allah yang dimulai dari sudut sanad atau sandaran lafaz dan pengertian makna yang berhubung dengan sesuatu hukum.

Ini termasuk sebab-sebab diturunkan sesuatu ayat dan masa sesuatu kejadian itu berlaku. Sesuatu penafsiran yang dapat diterima sebagai hujah oleh ahli-ahli tafsir mestilah mengandungi sususan ilmu bacaan (al-qiraat), yang lengkap, ilmu usul dan ilmu bahasa yang melingkupi nahu, saraf, balaghah, bayan, badi' dan sebagainya.

Para ulama menyebutkan bahawa antara semulia-mulia ilmu walaupun tidak secara mutlak ialah ilmu tafsir. Di samping itu, para pentafsir mestilah membuktikan keaslian data-data yang digunakan olehnya. Sarjana-sarjana tafsir menyebutkan sumber yang asli sebagai asil dan sumber-sumber yang tidak berpandukan al-Qur'an dan sunnah sebagai dakhil atau kemasukan unsur-unsur luar seperti Israiliyyat. Bagi pengkajian ilmu tafsir, asil dikira sebagai tafsiran berpandukan inti dasar yang diambil dari al-Qur'an atau Sunnah nabi atau pendapat para Sahabat dan pengikut yang sezaman dengannya. Adapun dakhil ialah tafsiran yang tidak pernah dimasyhurkan dalam golongan di atas, dan ia terserap menerusi bidang penafsiran al-Qur'an oleh musuh-musuh Islam yang mempunyai tujuan tertentu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Penyelewengan penafsiran berlaku dari luar yang terdiri daripada puak Yahudi, Nasrani dan Majusi yang sengaja menyelidik dengan teliti ruang-ruang kelemahan yang boleh merendahkan kedudukan umat Islam dengan menimbulkan keraguan dan memaparkan masalah-masalah palsu. Penyelewenagn dari dalam pula tertumpu kepada golongan –golongan yang tertentu seperti golongan Batiniah yang menafsirkan al-Qur'an secara simbolik yang bertujuan untuk membatalkan syariat daripada dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat. Mereka mendakwa setiap ayat al-Qur'an terdapat maksud-maksud kebatinan. Sumber-sumber asli Asil bagi tafsir ialah al-Qur'an, sunnah, pendapat-pendapat Sahabat dan tabi'in, kaedah-kaedah penggunaan ilmu bahasa dan ijtihad yang bedasarkan dalil dan bukti yang lengkap.

Pada zaman awal Islam, Nabi adalah penafsir dengan sunnah qauliah (perkataan) dan sunnah fi'liyat (perbuatan). Rasulullah sentiasa menerang dan menafsirkan ayat-ayat al-Qur'an di hadapan para Sahabat selama masanya turunnya al-Qur'an sehingga akhir hayat baginda.

Syarat-syarat Penafsir al-Qur’an dan Aliran-Aliran Tafsir

Mereka yang ingin menafsirkan al-Qur'an harus memenuhi syarat-syarat sebagai berikut :
i. Memiliki kepercayaan yang benar dan mematuhi segala ajaran Islam.
ii.Mempunyai tujuan yang benardan mengharap keredhaan Allah.
iii. Berpegang teguh kepada dalil-dalil naqal dari Nabi, para Sahabat, para tabi'in serta menghindari segala sesuatu yang tergolong sebagai bid'ah.

Seorang penafsir harus menguasai ilmu-ilmu yang diwajibkan ke atas penafsir iaitu :

1. Ilmu bahasa Arab sebab hanya dengan ilmu ini erti dan maksud perkataan itu dapat diketahui.
2. ilmu nahu kerana erti sesuatu kaokata selalu berubah dan berbeza-beza menurut perbezaan statusnya di dalam struktur kalimat, maka ilmu nahu ini penting difahami dan diperhatikan.
3. Ilmu tasrif atau saraf kerana dengan ilmu ini bentuk kosakata dan kalimat dapat diketahui.
4. Ilmu al-isytiqaq (asal usul kosakata) sebab sesuatu nama kata benda itu mempunyai erti yang berbeza-beza apabila pengambilannya berasal dari dua akar kata yang berbeza.
5. Ilmu al-ma'ani kerana dengan ilmu ini ciri-ciri struktur kalimat dapat diketahui dari segi indikasi maknanya.
6. Ilmu bayan kerana dengan ilmu ini ciri-ciri struktur kalimat dapat diketahui dari segi perbezaannya berdasarkan kejelasan dan ketidakjelasan indikasinya.
7. Ilmu badi' kerana dengan ilmu ini segi-segi keindahan kalimat dapat diketahui. Ketiga-tiga ilmu al-ma’ani, ilmu bayan dan ilmu badi’ dinamakan ilmu al-Balaghah.
8. Ilmu al-qiraat kerana melalui ilmu ini dapat diketahui cara-cara mengucap ayat-ayat al-Qur'an dan dengan ilmu ini bacaan-bacaan yang masih mengandungi beberapa kemungkinan dapat ditarjihkan.
9. Ilmu usuluddin kerana di dalam al-Qur'an itu ada ayat-ayat yang ertinya zahirnya tidak boleh ditujukan kepada Allah. Oleh sebab itu, para ahli usuluddin mentakwilkan erti ayat tersebut dan mengemukakan hujah atau dalil mengenai hal yang mustahil, yang wajib dan yang harus.
10. Ilmu usul fiqh kerana melalui ilmu ini arah istidlal dan istinbat hukum dapat diketahui.
11. llmu asbab al-nuzul kerana dengan ilmu ini maksud sesuatu ayat dapat diketahui sesuai dengan peristiwa yang melatari turunnya ayat tersebut.
12. Al-nasikh wa al-mansukh untuk mengetahui dan membezakan antara lafaz muhkam dari lainnya.
13. Ilmu Fiqh
14. Hadith-hadith Nabi yang menjelaskan penafsiran hal-hal yang mujmal dan mubham
15. Ilmu al-mauhibah iaitu suatu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah kepada orang yang mengamalkan apa yang ia ketahui.

Sebahagian ulama menambahkan lagi syarat-syarat dalam menafsirkan al-Qur’an iaitu niat ikhlas dalam mencari maksud al-Qur’an, mengetahui sejarah dakwah di Mekkah dan Madinah dan ilmu psikologi tentang tabiat manusia.

Namun begitu, syarat-syarat yang dijelaskan tersebut adalah untuk mereka yang ingin menjadi penafsir al-Qur’an. Ia bermaksud untuk mendalami penafsiran al-Qur’an. Sekiranya ia hanya a untuk memahami al-Qur’an dan memahami ayat-ayat secara umum, maka tidaklah disyaratkan perkara tersebut. Mamadai ia memahami secara umum ayat tersebut.. Malahan tuntutan memahami ayat-ayat tafsiran bukan sahaja kepada segolongan ulamak sahaja tetapi seluruh umat Islam harus membaca dan memahami makna dan penafsirannya.

Para ulama membahagikan kaedah tafsir kepada empat jenis iaitu :
i. Tafsir al-Ijmali (Tafsir Secara Ringkas). Tafsir jenis ini hanya mengupas makna-makna ayat secara ringkas seperti Tafsir al-Jalalayn oleh al- Sayuti dan Safwah al-Bayan li Ma’ani al-Qur’an oleh Husayn Makhluf.
ii. Tafsir al-Tahlili (Tafsir Secara Analisa). Tafsir jenis ini membuat analisa dari satu surah ke satu surah atau dari satu ayat ke satu ayat dengan memberi penerangan yang lebih mendalam dalam pelbagai tajuk seperti akidah, bahasa dan perundangan. Antara tafsir jenis ini ialah Tafsir al-Zamakhshari, Tafsir al-Baydawi, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir Ibn ‘Atiyyah, Tafsir al-Qasimi, Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Razi, Tafsir al-Biqa’iyy dan Tafsir Ibn ‘Ashur.
iii. Tafsir al-Muqaran (Tafsir Secara Perbandingan). Tafsir jenis ini membuat perbandingan antara beberapa tafsir dan manhaj. Melalui tafsir ini dapat diketahui manhaj setiap tafsir tersebut serta membuat perbandingan di antaranya. Peneliti juga berusaha membandingkan arah dan kecenderungan masing-masing penafsir dan menganalisis tentang sebab yang melatari seorang penafsir menuju arah dan memilih kecenderungan aliran tersebut.
iv. Tafsir al-Mawdu‘iyy ialah menghimpun ayat-ayat dalam satu tajuk secara lafaz atau hukum dan menafsirkannya mengikut tujuan-tujuan al-Qur'an.

Penafsiran yang mengikut manhaj akidah terbahagi kepada 4 bahagian utama :
i.Tafsir ahli Sunnah wa al-Jamaah
ii. Tafsir mengikut manhaj Muktazilah
iii.Tafsir mengikut mazhab Syiah
v. Tafsir mengikut aliran kesufian
Pembahagian mengikut keilmuan dan sumber-sumber terbahagi kepada 4 bahagian iaitu :
i. Tafsir al-Ma'thur atau tafsir riwayat.
ii. Tafsir al-Ra'yi
iii. Tafsir al-Fiqhi
v. Tafsir al-Isyari/Tafsir al-Sufi

Ada juga yang menambahkan lagi kepada Tafsir al-Falsafi, Tafsir al-Ilmi dan Tafsir al-Adab al-Ijtima'i.

Kebanyakan ulama mempertikaikan penggunaan akal dalam penafsiran yang dikenali sebagai tafsir al-Ray'i. Ada segolongan yang menegah dan ada yang mengharuskannya. Namun keharusan yang diberikan itu adalah penafsiran yang mengikut syarat-syarat yang mesti dipatuhi. Golongan yang mengharuskan penafsiran dengan menggunakan pendapat sendiri berpendapat bahawa mereka yang ingin melibatkan diri dalam penafsiran al-Qur'an mestilah yang benar-benar ahli dan mengetahui bidang ilmu yang tertentu seperti digariskan oleh para ulama.

Tafsir al-Ma’thur atau tafsir riwayat adalah tafsir yang terbatas pada riwayat dari Rasulullah dan dari para Sahabat atau muid-murid mereka dari kalangan tabi’in, dan juga tabi’tabi’in. Namun tafsir jenis ini juga terdapat kelemahan kerana adanya riwayat da’if, mungkar dan maudu’ . Di samping terdapat pertentangan riwayat antara satu sama lain. Manakala tafsir al-Ray’i atau tafsir al-dirayah ialah ijtihad oleh para mufassirin dalam memahami al-Qur’an dengan mengikut syarat-syata tertentu.

Al-Qurtubi menyebutkan bahawa penegahan tafsir dengan pendapat disebabkan pertama, ia membolehkan seseorang itu mengeluarkan pendapat dengan mengikut hawa nafsu untuk mendapat matlamat dan tujuannya. Kedua, ia membolehkan seseorang itu menafsirkan al-Qur’an secara zahir tanpa melihat kedudukan lafaz-lafaz yang asing (Gharib al-Qur’an) dan taqdim wa ta’khir. Tanpa memahami perkara tersebut menyebabkan seseorang itu menghukum secara zahir dan kemungkinan banyak kesalahan. Oleh itu, tafsir pendapat yang tercela adalah tafsiran yang hanya menafsir ayat-ayat atas prinsip hawa nafsu dan tidak berteraskan kepada nas atau ijmak atau kaedah bahasa atau berseiringan dengan nilai-nilai syariat. Manakala jika ia bertujuan untuk menyingkap makna yang sebenar apabila terdapat kekeliruan makna ayat tersebut dengan tidak menyalahi agama, maka adalah harus dan dibolehkan. Perkara yang ditegah ialah menyeret al-Qur’an untuk memperkuatkan hawa nafsunya dan pemikiran yang ia anuti. Dengan itu, maka al-Qur’an menjadi pengikut bukan yang diikuti, dihukumi bukan menghukum. Termasuk dalam perkara yang dilarang ialah keberanian menafsirkan al-Qur’an sebelum memiliki peringkat yang seharusnya dibolehkan dalam menafsirkan al-Qur’an dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Para ulama telah mengariskan beberapa faktor dan unsur-unsur penyerapan dalam penafsiran yang merosakkan tafsiran al-Qur'an iaitu :
i. Israiliyat iaitu penyerapan pengaruh dari golongan Yahudi dan Nasrani dan pengambilan maklumat yang ada hubungan dengan kepentingan masing-masing antara puak yang terlibat. Umat Islam tidak terlepas daripada penyerapan riwayat-riwayat yang disadurkan dari pendapat Yahudi dan Nasrani yang lebih dikenali sebagai ahli kitab.
ii. Hadith daif dan palsu dimasukkan untuk menyokong kumpulan mereka. Hadis-hadith daif dan palsu ini disandarkan kepada Rasulullah secara tipu daya sehingga menjejaskan sumber kedua yang dianggap asli dalam penafsiran.
iii. Penafsiran al-Qur'an dari sudut bahasa semata-mata dengan mengetepikan ilmu-ilmu lain yang ada hubungan dengan penafsiran. Malah terdapat penafsiran yang tidak tepat apabila susunan ayat terkeluar daripada kaedah bahasa Arab yang sebenar.
iv. Ta'wil-ta'wil puak Batiniah yang terpengaruh dengan fahaman Syiah yang menyeleweng. Mereka mengemukakan ta'wil-ta'wil yang batil dan bentuk penafsiran yang tidak mengikut kaedah tafsir yang sebenar.
v. Penyelewengan ahli-ahli sufi dalam penafsiran dengan memutar belitkan makna ayat-ayat al-Qur'an dan membuat ta'wil yang batil.
vi. Penyelewengan puak-puak Babiah, Bahaiah dan Qadianiah yang muncul paada awal kurun ke 19M. Mereka berusaha menjadikan al-Qur'an sebagai alat untuk menyelewengkan pemikiran umat Islam dan merubah ayat Allah yang mulia.
vii. Penyelewengan-penyelewengan ahli-ahli tafsir yang kurang mahir dalam ilmu ketika menyusun kitab-kitab tafsir.

Oleh itu, sememangnya terdapat beberapa kelemahan dan peyelewengan dalam penafsiran. Namun perkara tersebut telah diteliti dan diperhalusi oleh para ulama dengan menolak hujah-hujah golongan yang menyeleweng serta membetulkan pendapat jamhur mufassirin. Oleh itu, dakwaan ingin menafsir semula al-Qur'an perlu dilihat dari perspektif bahawa para ulama telah memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan penafsiran yang betul dan menolak pendapat yang palsu dan daif sepanjang zaman. Adalah menjadi kewajipan mengembalikan perspektif yang betul apabila berinteraksi dengan al-Qur'an dan meletakkan kepercayaan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut untuk meneliti pendapat-pendapat ulama dahulu bersesuaian dengan kehendak al-Qur'an dan keadaan sekarang.

Peringatan bagi orang yang menafsirkan al-Qur'an agar tidak menimbulkan kekeliruan apabila mereka mengabaikan perkara-perkara berikut dalam menafsirkan al-Qur'an iaitu :
i. berhati-hati dalam hadith mawdu' dalam menafsirkannya
ii. berhati-hati terhadap israiliyyat yang menyusup masuk ke dalam tafsir yang mengeruhkan kejernihan peradaban Islam
iii. Berhati-hati terhadap pelbagai riwayat yang daif, bohong terhadap para Sahabat dan tabi'in.
iv. Berhati-hati terhadap pemikiran yang merosak dan tertolak dalam tafsir yang tidak ada seorangpun di antara para ulama yang tertbebas darinya, walaupun ia termasuk salah seorang ahli tafsir yang besar.

Antara kaedah dan prinsip yang terbaik dalam menafsirkan al-Qur’an iaitu :
1. Menggabungkan antara riwayat dan dirayah iaitu menggabungkan aspek nas atau dalil yang sahih dan hasil pemikiran yang jelas yang menggabungkan antara warisan turath dan semasa.
2. Menafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an kerana al-Qur’an, satu bahagian darinya saling membenarkan bahagian yang lainnya. Satu bahagian menafsirkan bahagain yang lain.
3. Menafsirkan al-Qur’an dengan hadith yang sahih.
4. Mempergunakan tafsir sahabat dan tabi’in kerana para sahabat adalah murid madrasah Nabi Muhammad. Dengan madrasah itu, mereka mendapat ilmu dan kefahaman dari Rasulullah.
5. Mengambil kemutlakan bahasa iaitu menggunakan kaedah dan prinsip bahasa Arab yang betul dan standard bertepatan dengan uslub nahu dan balaghah.
6. Memperhatikan konteks kalimat di tempat dalam ayat. Ayat itu harus dikaitkan dengan konteksnya yang ada. Ia tidak boleh diputus hubungannya dengan yang sebelumnya dan yang selepasnya.
7. Memperhatikan asbab al-nuzul kerana ia penting dalam memahami dan menafsirkan al-Qur’an.
8. Menjadikan al-Qur’an sebagai rujukan utama dalam mencari kefahaman. Ia tidak memaksakan kehendak dirinya terhadap al-Qur’an dan menafsirkannya agar bersesuaian dengan kehendak dirinya atau mazhabnya.

M. Quraish Shihab menyebutkan keperluan menafsir al-Qur’an kerana al-Qur’an diturunkan untuk manusia sepanjang zaman dan tempat. Oleh itu, umat dituntut berinteraksi memahami al-Qur’an sebagaimana tuntutan yang pernah ditujukan kepada masyarakat yang menyaksikan turunnya al-Qur’an. Memahami dan menafsir al-Qur’an merupakan tuntutan dan perintah al-Qur’an sendiri selama mana penafsiran tersebut dilakukan secara sedar dan bertanggungjawab. Menurutnya, walaupun Islam memberi kebebasan untuk menafsirkan al-Qur’an namun ia mempunyai batas-batas yang perlu patuhi sebagaimana dalam setiap disiplin ilmu. Mengabaikan pembatasan-pembatasan tersebut akan menimbulkan pemikiran yang songsang dalam kehidupan. Islam juga membezakan antara penafsir dengan seorang yang hanya menguraikan tafsiran tersebut. Menurut M. Quraish Shihab, menafsir berbeza dengan berdakwah dan berceramah berkaitan dengan tafsir al-Qur’an. Seseorang yang tidak memenuhi syarat-syarat penafsir, tidaklah bererti terlarang untuk menyampaikan huraian tafsir, selama huraian yang dikemukakannya berdasarkan pemahaman ahli tafsir yang memenuhi syarat-syarat penafsir. Tetapi apabila ia berdiri untuk mengemukakan pandapat-pendapatnya dalam bidang tafsir, ia perlu memiliki syarat-syarat tersebut.

Muhammad al-Ghazali memperjelaskan kemurnian dan keaslian al-Qur’an. Al-Qur’an al-Karim adalah satu-satunya wahyu yang masih kekal di dunia ini, kitab yang tidak didatangi kebatilan. Kekalnya keaslian al-Qur’an ini merupakan penghormatan tertinggi kepada manusia daripada ketandusan warisan nubuwwah yang terdahulu.

Menurutnya sikap umat Islam kini telah berubah dalam memahami al-Qur’an kerana mereka tidak menghiraukan al-Qur’an yang telah memberi kehormatan yang tinggi kepada manusia. Selanjutnya Muhammad al-Ghazali berkata :

“Tetapi sikap dan pendirian kaum Muslimin terhadap al-Qur’an yang telah memberi penghormatan kepada mereka sungguh menyedihkan. Semenjak beberapa kurun, dakwah al-Qur’an telah dibekukan, risalah Islam laksana sungai yang sudah kering airnya atau piala yang sudah tersumbat mulutnya. Umat yang dipilih oleh Allah s.w.t. supaya berurusan dengan al-Qur’an secara aktif sudah seperti kaum Jahiliyah dahulu yang pekak telinga mereka daripada mendengar bacaan al-Qur’an, hiruk-pikuk dalam majlis al-Qur’an secara terang-terangan mendustakan Rasulullah s.a.w sehingga baginda mengadu kepada Allah ; “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Qur’an sesuatu yang tidak diacuhkan”.(al-Furqan ; 30) Adapun orang-orang Islam hari ini, apabila mereka mendengar al-Qur’an mungkin mereka mengeluh ataupun diam, namun akal mereka lali dan deria mereka berserakan, berjalan di lembah yang asing, seolah-olah dipanggil dari tempat yang jauh.”


Muhammad al-Ghazali menghuraikan sikap kaum Muslimin terhadap al-Qur’an memerlukan kajian yang mendalam. Umat Islam hari ini hanya menumpukan perhatian dari segi bacaannya sahaja tanpa ada usaha untuk memahami, mengerti dan menyelami, secara mendalam makna dan maksud al-Qur’an.

Muhammad al-Ghazali sedih apabila didapati mereka yang berinteraksi dengan al-Qur’an secara tuli dan buta amat banyak. Mereka hanya mampu mendengar tapi tidak memahaminya. Sikap ini hendaklah dilenyapkan dan dijauhkan. Umat harus membaca dan mengkaji al-Qur’an sebaik mungkin dan memahami makna dan maksudnya. Mengkaji al-Qur’an bermaksud membacanya, memahaminya, memikirkannya serta mengungkapkan peraturan-peraturan Allah yang ada di dalam diri manusia atau alam seluruhnya di samping mengemukakan faktor-faktor kekuatannya dalam menghadapi tamadun masa kini. Mengkaji al-Qur’an juga adalah untuk mengetahui pengajaran atau hukum hakamnya, balasan baik dan ancaman buruk serta apa saja yang diperlukan oleh manusia di dalam membina peradaban.

Beliau juga menjelaskan aliran-aliran penafsiran al-Qur’an seperti aliran penafsiran secara ma’thur, penafsiran hukum, penafsiran kalamiyyah, dan penafsiran al-Bayani. Walau bagaimanapun terdapat kelemahan serta kecacatan dalam aliran-aliran tersebut. Beliau menjelaskan bahawa yang mencacatkan aliran penafsiran ini (ma’thur) pada pandangannya ialah mengaitkan ayat-ayat al-Qur’an dengan hadith-hadith yang kebanyakannya da‘if. Ia menghalang usaha untuk mencetuskan pemikiran al-Qur’an kepada matlamat-matlamat yang syumul di dalam penafsiran, lalu menjadi asas kepada media penyebaran hadith-hadith da‘if yang menjadi asas pemikiran para mufassirin pada masa kini.

Beliau juga menerangkan penafsiran hukum yang telah dibuat oleh ahli tafsir, iaitu penafsiran ayat-ayat menurut hukum-hukum yang ditetapkan oleh para fuqaha dan cara-cara mereka menetapkan hukum. Mereka hanya mementingkan ayat-ayat hukum dan membataskan hukum pada hukum syarak tanpa maksud-maksud yang lain. Di sini perlu sedikit pembetulan. Perlu diketahui setiap aliran-aliran tersebut mempunyai kebaikan dan dasar tersendiri. Kita tidak boleh menafikan kelebihan yang disumbangkan oleh aliran-aliran tersebut. Tetapi apa yang diinginkan ialah hubungan dengan al-Qur’an penuh dengan kesedaran sehingga dapat menanggapi dimensi-dimensi dan maksud-maksudnya. Penggunaan hadith-hadith da‘if yang begitu lemah sanadnya adalah satu keaiban yang perlu dibersihkan daripada tafsir-tafsir al-Qur’an.

sumber: sini
Baca selanjutnya...

Wasiat Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari




بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين

Perkara pertama yang diwajibkan ke atas mukallaf menurut pendapat yang paling sahih ialah mengenal Allah SWT. Apabila seseorang mengenal Tuhannya, maka dia akan dapat menggambarkan bagaimanakah Tuhannya menjauhkan seseorang daripada rahmatNya dan bagaimanakah Tuhannya mendekatkan seseorang kepada keredhaanNya. Jesteru itu, seseorang hamba tadi akan sentiasa berasa takut terhadap kemurkaanNya dan sentiasa juga mengharapkan keredhaanNya. Lantas dia akan mendengar dengan teliti segala perintah dan larangan daripada Tuhannya dan berusaha melaksanakan segala perintah tersebut dan menjauhi daripada segala laranganNya. Dengan ini, Allah SWT akan mencintainya dan menggantikannya mengurus dan melaksanakan segala urusan hamba tersebut. Allah SWT akan melantiknya sebagai salah seorang wali yang permohonannya tidak akan ditolak dan sentiasa dilindungi apabila dia memohon perlindungan.

Orang yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk sampai kepada Allah SWT, menjauhkan dirinya daripada akhlak-akhlak yang keji dan mendekatkan dirinya kepada akhlak-akhlak yang mulia. Adapun mereka yang tidak mempunyai keinginan tersebut maka dia mengikuti apa sahaja kehendak nafsunya, tidak mempelajari ajaran agamanya dan akhirnya menyebabkannya terkeluar daripada landasan agama. Maka pilihlah jalan kamu sendiri sama ada kebaikan, kerosakan, kebahagian atau kecelakaan.

Apabila terdetik di hati kamu sesuatu lintasan, maka kamu timbanglah ianya mengikut timbangan syariat. Sekiranya perkara tersebut diperintahkan, maka bersegeralah kamu melaksanakannya kerana ianya ialah lintasan daripada Allah SWT yang Maha Penyayang. Sekiranya kamu takut ibadat yang kamu niatkan semata-mata kerana Allah SWT akan dicederakan oleh rasa riak, ujub dan sebagainya, maka teruskanlah ibadat tersebut kerana kamu tidak bersalah. Istigfar kita sekalipun memerlukan kepada istigfar yang lain, namun ianya tetap tidak menyebabkan kita perlu meninggalkan istigfar tersebut. Beramallah dengan sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT sekalipun kamu takut diselubungi oleh perasaan riya`.

Sekiranya lintasan yang terdetik di hati kamu merupakan perkara yang terlarang, maka jauhilah kamu daripadanya kerana lintasan tersebut sesungguhnya datang daripada syaitan. Jika kamu dapati hati kamu cenderung kepada lintasan tersebut, maka mohonlah keampunan daripada Allah SWT.

Bisikan hati dan keinginan awal berbuat maksiat diampunkan oleh Allah SWT selama mana kedua-duanya tidak dilafazkan dan tidak dilaksanakan. Sekiranya jiwa yang cenderung kepada kejahatan tidak patuh kepadamu, maka hendaklah kamu berusaha bersungguh-sungguh menentang kemahuannya. Sekiranya kamu terdorong dan melaksanakan kehendaknya maka hendaklah kamu cuba sedaya upaya meninggalkan maksiat tersebut serta merta. Sekiranya kamu tidak mampu meninggalkan maksiat tersebut kerana tertipu dengan kelazatannya atau kerana keimanan yang lemah, maka ingatilah kematian dan kedatangannya yang mengejutkan. Namun sekiranya kamu tidak mampu meninggalkan maksiat tersebut kerana berasa putus asa dengan kerahmatan dan keampunan Allah SWT, maka hendaklah kamu wujudkan dalam jiwa kamu rasa takutkan kemurkaan Allah SWT dan keluasan rahmatNya. Bentangkanlah di hadapanmu keinginan bertaubat yang ianya merupakan penyesalan terhadap maksiat. Taubat hanya diterima apabila maksiat ditinggalkan serta merta, berazam untuk tidak mengulanginya dan melaksanakan semula perkara tertinggal yang mampu dilaksanakan semula. Menurut pendapat yang paling sahih, taubat daripada sesuatu dosa diterima sekalipun terlanjur terhadap dosa yang sama setelah itu dan sekalipun masih berkekalan melakukan dosa besar yang lain. Diwajibkan juga taubat daripada dosa kecil menurut pendapat yang sahih tersebut.

Sekiranya kamu tidak dapat memastikan sama ada lintasan tersebut menyeru kepada perkara yang diperintahkan atau kepada perkara yang dilarang, maka hendaklah kamu meninggalkan lintasan tersebut. Sebagaimana orang yang berwuduk meninggalkan basuhan apabila dia syak sama ada basuhannya merupakan kali yang ke tiga atau ke empat.

Setiap perkara di alam ini berlaku dengan kekuasaan dan kehendak Allah SWT. Dialah yang mencipta segala perbuatan hamba dan mengurniakan kepadanya Qudrat untuk membolehkannya berkehendak melaksanakan sesuatu perkara. Tetapi qudrat hamba tersebut tidak mampu mencipta apa-apa perkara. Maka Allah SWT merupakan pencipta perbuatan dan hamba merupakan penyebab penciptaan perbuatan tersebut. Bukanlah sebaliknya iaitu Allah SWT sebagai penyebab dan makhluk sebagai pencipta. Menurut pendapat yang paling sahih, qudrat hamba wujud serentak dengan penciptaan perbuatan. Justeru itu, ia tidak boleh berhubungan dengan dua perkara berlawanan. Begitu juga sifat lemah merupakan satu sifat yang wujud yang bertentangan dengan qudrat sebagaimana pertentangan dua benda wujud yang berlawanan.

Begitu juga keutamaan berkerja atau semata-mata bertawakkal berbeza antara satu insan dengan yang lain. Oleh itu, keinginan untuk menjauhkan diri daripada urusan dunia di waktu Allah SWT meletakkannya di tempat yang sebaliknya merupakan syahwat yang tersembunyi. Begitu juga seseorang yang ingin berurusan dengan urusan dunia di waktu Allah SWT meletakkannya di tempat tawakkal dianggap sebagai menghinakan dan menjauhkan dirinya daripada martabat yang tinggi. Di waktu ini, kadang kala syaitan akan datang membisikkan bahawa hamba tersebut sebenarnya telah menjauhkan diri daripada Allah SWT sekiranya dia berurusan dengan dunia. Syaitan juga akan membisikkan bahawa hamba tersebut bergelumang dengan sifat malas tatkala dia meninggalkan urusan dunia dan hanya bertawakkal. Jesteru, mereka yang diberi petunjuk ialah hamba yang mengkaji dan menghalusi bisikan tersebut dan meyakini bahawa sesungguhnya tidak akan berlaku melainkan perkara yang diingini oleh Allah SWT.

Terjemahan Penutup Kitab Lubb al-Usul

sumber: sini
Baca selanjutnya...

"Tiada Batas Dalam Berdakwah"


Oleh: HAPPIS BASHA

Beliau adalah Sheikh Sayid Abul Hasan Ali al-Hasani An-Nadwi dilahirkan pada 6 Muharam 1333, bersamaan tahun 23 November 1914 Masihi bertempat di Takia Kala, di Bandar Rae Berily.

Sejak zaman remaja, beliau telah mula mengumpulkan kitab-kitab hasil penulisan ulama terdahulu dan juga kitab karangan ayahnya sebagai bahan bacaan dan rujukannya. Beliau mempunyai satu sudut bacaan dan rujukannya sendiri yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali yang bermaksud (Perpustakaan Abul Hasan Ali).

Dengan berlatarkan keluarga yang begitu mementingkan ilmu, tidak hairanlah bahawa minat membaca dan ilmu yang ada pada beliau terserlah sejak usianya yang masih muda lagi. Beliau yang berasal dari India merupakan orang yang pertama diiktiraf untuk menjadi anggota "Majma al-Ilmi al-Lughhawi" (Pusat Bahasa Arab ) bertempat di Damsyik Syria.

Beliau mempunyai ramai guru dalam pelbagai bidang ilmu. Antara gurunya ialah Sheikh Khalil bin Muhammad al-Yamani di mana beliau telah mempelajari bahasa Arab sehingga usianya mencecah 12 tahun. Ketekunan beliau dalam pengajian bahasa Arab menyebabkan beliau dapat bertutur serta memahami bahasa Arab dengan baik.

Selain itu, beliau turut berguru bersama Syeikh Khawajah Abdul Hayy al-Farooqi dalam bidang ilmu tafsir. Manakala dalam bidang ilmu "Nahu", beliau berguru dengan bapa saudaranya sendiri iaitu Syeikh Sayid Muhammad Talhah al-Hasani.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah, beliau telah menjelajah ke beberapa buah negara. Beliau sering bermusafir ke negara-negara Islam bagi mengukuhkan ukhuwah Islamiah terutama dengan para ulama.

Di kalangan para ulama pula, beliau telah berkesempatan bertemu dengan banyak ulama antaranya Syeikh Abdurramad al-Banna al-Saati (ayah kepada As-Syahid Hassan al-Bana), Syeikh Muhammad Syakir, Syeikh Hamid al-Fiqqi dan juga Syeikh Mustafa Shabri (bekas Syeikhul Islam kerajaan Uthmaniah).

Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya berjudul “Tokoh-Tokoh Pemikir Islam” dan “Dakwah dalam Islam”, “Empat Sendi Islam Yang Utama”, “Pertarungan Antara Pemikir Islam dan Barat di Negara-Negara Islam” dan “Riwayat Hidup Rasulullah s.a.w.”

Penulisan beliau diwarnai dengan berlatarbelakangkan sejarah serta dititip dengan tinta kerohanian yang menusuk kalbu, membuatkan karya-karyanya mudah difahami dan memberi kesan terhadap hati para pembaca.

Buku beliau yang berjudul “Apakah Derita Yang Akan Melanda Dunia Bila Umat Islam Mundur”, ternyata telah berjaya membuka hati dan mata pemimpin dan umat Islam tentang perihal kerugian yang dialami oleh dunia keseluruhannya. Dalam buku tersebut penanya menyatakan sekiranya umat Islam terus dilena fantasi, tanpa menyedari bahawa orang-orang Muslim sebenarnya sudah jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang ilmu jika dibandingkan dengan barat.

Ketika berceramah beliau juga tidak pernah leka dalam memberikan idea dan pandangan malah meneruskan usaha dakwahnya itu sehingga ada di kalangan umat Islam yang tersentuh hati dan tidak dapat menahan perasaan, jatuh pengsan, dan terpaksa diusung keluar.

Beliau dianggap sebagai pendakwah ulung yang mampu mengubah perilaku zalim kerajaan Mongol kepada keadaan kesejahteraan Islam melalui sistem dakwahnya ketika itu. Nama beliau telah tersohor di beberapa buah negara Islam malah telah dijemput oleh Raja Jordan, Raja Abdullah bin Raja Syarif Hussain di atas perwatakankannya dan kesungguhan beliau dalam berdakwah.

Selain itu beliau juga sering bertemu dengan ulama-ulama besar negara Islam seperti di Mekah dan Madinah. Di antara ulama besar yang sering dikunjunginya ialah Syeikh Muhammad al-Arabi ait-Tabani bin Abbas al-Maliki, dan banyak lagi.

Dikalangan pemikir Islam pula, beliau pernah bertemu dengan pujangga Iqbal ketika beliau baru berusia 14 tahun. Selain itu, beliau juga pernah bertemu dengan As-Syahid Sayid Qutb, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Dr. Muhammad Hussain Haikal.

Statusnya sebagai seorang “ahlul bait” melalui keturunannya yang sampai pada nasab Saidina Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a, tidak menjadikan beliau terasing dan terpisah daripada masyarakat umum tidak kira darjat atau pangkat. Peribadinya yang begitu sederhana, zuhud, bersikap terbuka dan ikhlas membuatkan orang ramai menyenanginya dan mendampinginya tidak kira usia muda mahu pun tua.

Setelah hampir setengah usianya dihabiskan dengan perjalanan dakwah menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada al-Quran dan Sunah, beliau telah dijemput pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap dikediamannya untuk menghadiri solat Jumaat.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Tidak Beramal Dengan Ilmu

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani berkata: Daku mendengar guruku Sayyidi Ali al-Khawwas r.’a berkata: "Hukum menyampaikan ilmu kepada manusia dan kepada mereka yang diharap dapat mengamalkan ilmu tersebut adalah fardu ain walaupun penyampai sendiri tidak mengamalkannya.

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani menambah: Satu ketika daku mendengar guruku Sayyidi Ali al-Khawwas r.’a berkata: “Tidak terdapat mana-mana orang berilmu melainkan dia beramal dengan ilmunya selama mana berakal walaupun daripada satu sudut ibadat sahaja. Ini kerana jika dia melaksanakan perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan, nescaya dia beramal dengan ilmunya secara yakin jika Allah mengurniakan keikhlasan kepadanya. Sekiranya dia tidak beramal seperti yang telah dinyatakan, lalu dia menyedari dengan ilmunya bahawa dia melanggar perintah Allah lantas bertaubat dan menyesal, nescaya dia telah beramal dengan ilmunya juga. Kerana jika dia tidak berilmu nescaya dia tidak akan menyedari bahawa meninggalkan beramal dengan ilmu ialah maksiat. Oleh itu, ilmu memberi kemanfaatan dalam setiap keadaan. Semua nas yang menyatakan hukuman yang berat bagi mereka yang tidak mengamalkan ilmu disandarkan kepada mereka yang tidak bertaubat.” Kenyataan guruku ini amat bermakna dan bernilai.

Kesimpulannya, untuk seseorang dihukumkan beramal dengan ilmunya, tidaklah disyaratkan dia mesti tidak pernah melakukan maksiat, sebagaimana pemahaman segelintir manusia. Tetapi yang disyaratkan ialah tidak berterusan dalam maksiat atau tidak berterusan dalam keinginan meneruskan maksiat dan seterusnya.

Oleh itu, pelajar agama tidak sepatutnya meninggalkan sunat-sunat muakkad dan menggantikannya dengan semata-mata pengajian kecuali jika pengajian itu fardu ain dari segi syarak dengan syarat ikhlas. Ini untuk mengelakkan pelajar meninggalkan seluruh ibadat sunat sehingga seolah-olah ibadat ini tidak disyariatkan ke atasnya langsung dan dalam masa yang sama dia menghabiskan masanya dengan kelalaian, bersuka ria, mengumpat, batu api, hasad, bangga diri, takabbur dan ujub. Tidak pernah pula semasa melakukan kesalahan ini dia berkata kepada dirinya: “Pengajian lebih afdal daripada semua kelalaian ini”

Oleh itu, janganlah kamu wahai pelajar agama mengelirukan diri kamu dan berkata kepada mereka yang memerintahkan kamu mengamalkan ibadat-ibadat sunat: “Waktu ini untuk pengajian lebih afdal” sekalipun kamu menyedari yang kamu tidak ikhlas sepenuhnya dalam pengajian. Ungkapan sebegini kadang kala menjadi hujjah untuk kurang mengambil berat dalam ibadat.

Renunglah wahai pelajar agama tatkala kamu meninggalkan ibadat-ibadat sunat dan fadilat-fadilat yang lain dan memenuhkan masa dengan berdebat dan meninggalkan wirid-wirid, kamu akan mendapati rasa tidak tenteram di dalam hati dan tiada seorang pun yang akan bersangka baik terhadap kamu, bahkan tiada seorang pun yang memohon doa daripada kamu. Berbeza dengan pelajar-pelajar agama yang membanyakkan ibadat sunat dan zikir, dia akan mendapati manusia bersangka baik terhadapnya dan memohon doa daripadanya. Sesungguhnya Nabi Muhammad saw bersabda: “Kamu semua ialah saksi-saksi Allah di muka bumi, sesiapa yang kamu puji dengan kebaikan nescaya baiklah dia dan siapa yang kamu cela nescaya jahatlah dia.”

Daku mendengar Syeikh Islam Zakaria al-Ansari berkata: “Sekiranya orang berilmu meninggalkan ibadat sunat, wirid-wirid dan adab-adab orang yang dekat dengan Allah, nescaya dia seolah-olah roti kering yang tidak berzat”.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Ilmu al-Faraid: Perkara Yang Menghalang Perwarisan Pusaka


1)Perhambaan
Sseseorang yang mempunyai sifat perhambaan tidak dapat mewarisi harta daripada si mati.

2)Pembunuhan
Sesiapa yang terlibat dengan pembunuhan dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuh.

3)Perbezaan agama
Orang yang beragama Islam tidak mewarisi harta kerabatnya yang bukan beragama Islam. Hartanya juga tidak diwarisi.

4)Pusingan andaian
Pemberian hak perwarisan kepada orang tertentu akan menyebabkan dirinya sendiri terhalang daripada hak mewarisi.

5)Perbezaan agama dikalangan orang bukan Islam
Kafir zimmi tidak mewarisi kafir harbi.
Baca selanjutnya...

Sejarah Negeri Kedah

Nama negeri Kedah mempunyai persamaan dengan perkataan Kadah atau Khedah yang bermaksud perangkap gajah. Namun demikian, besar kemungkinan nama Kedah bukan berasal daripada perkataan tersebut. Nama purba Kedah ialah Kadaram atau Kalagam. Kadaram bermaksud kuali besar dan kalagam pula bermaksud warna hitam. Pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Arab dan Parsi memanggil kawasan yang terletak di sebelah utara Semenanjung sebagai Kilah, Kalah atau Qalha. Kerajaan Langkasuka yang seringkali dikaitkan dengan kisah-kisah percintaan di kalangan orang Melayu juga dipercayai terletak di Kedah. Sisa peninggalan ibu negerinya dijumpai di sebelah tenggara banjaran pergunungan Kedah. Menurut catatan sejarah, Kedah yang dikenali sebagai Khatarai oleh pedagang-pedagang dari India mula dijadikan sebagai tempat persinggahan mereka seawal Kurun ke-6. Para ahli-ahli sejarah mempercayai bahawa Lembah Bujang merupakan pusat kerajaan lagenda Langkasuka. Ini dibuktikan dengan penemuan lebih daripada 50 buah kuil atau candi yang jelas menunjukkan kewujudan tamadun Hindu di tempat ini.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Pengajian Hudud: Siri 2 (Prinsip Hak Masyarakat Dan Hak Individu)


Prinsip Hak Masyarakat Dan Hak Individu

Muhammad Saliim al-'Awwa berkata:

" dalam syariat Islam, perbuatan atau tindak tanduk manusia jika dilihat daripada perspektif arahan syariat itu sendiri boleh dibahagikan kepada dua kategori "

Iaitu:

a)Kategori perbuatan atau perbuatan yang berhubungkait dengan hak Allah SWT.
b)Kategori perbuatan atau tindak tanduk yang berkaitan hak individu.

al-Kasani pula berkata:

a)Perbuatan yang bercanggah dengan syarak disebut kesalahan.
b)Kesalahan yang menyentuh kepentingan masyarakat disebut kesalahan awam.
c)Kesalahan yang menyentuh kepentingan individu disebut kesalahan persendirian.

Pembahagian kesalahan yang disebutkan diatas menjadi asas perbezaan antara jenayah hudud, qisas dan diat. Semua kesalahann hudud adalah bersifat kesalahan awam, manakala qisas dan diat pula bersifat kesalahan persendirian yang dilakukan oleh seseorang individu ke atas individu yang lain. Namun dalam perundangan sivil semua kesalahan bersifat kesalahan awam.

Perlu ditegaskan disini, dalam perundangan Islam tidak semestinya semua kesalahan jenayah itu bersifat kesalahan awam tetapi juga merangkumi kesalahan awam dan kesalahan indivudu yang ditentukan hukuman tertentu sebagai balasan ke atas sesuatu perbuatan jenayah.

Dalam erti kata lain, dalam syariat Islam setiap perbuatan jenayah mempunyai dua kemungkinan sama ada termasuk kategori kesalahan awam seperti kasalahan hudud atau kesalahan persendirian seperti kes-kes jenayah qisas dan kesalahan diat. Malah dalam kes ta'zir kesalahan-kesalahan mungkin bersifat awam dan mungkin bersifat persendirian.

Sumber: Buku karangan guruku Prof. Madya Datin Dr. Paizah Haji Ismail yang berjudul Hudud: Hukum dan Pelaksanaan.
Baca selanjutnya...

al-Qawaid al-Fiqhiyyah


sambungan

Kaedah Asas Yang Pertama

الأمور بمقاصدها
Maksudnya: Setiap perkara dikira berdasarkan niat.

Huraian:
Kaedah ini menggambarkan bahawa segala macam perkara itu dikira berdasarkan matlamat ataupun niat seseorang dalam melakukan sebarang perkara. Oleh yang demikian itu, hendaklah sesuatu perkara yang dilakukan disertakan dengan niat yang baik agar ianya mendatangkan kebaikan.

Sumber Kaedah

a) Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNYA lagi tetap teguh di atas tauhid....."

b)Hadith yang bermaksud:
"Sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambilkira berdasarkan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, hijrahnya itu berdasarkan apa yang diniatkan"

Bersambung
Baca selanjutnya...

Selamat Menghadapi Peperiksaan


Selamat menghadapi peperiksaan semester 2 sesi 2009/2010 kepada semua mahasiswa/i Universiti Malaya khususnya mahasiswa/i Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Semoga mendapat keberkatan dan kejayaan dunia dan akhirat. InsyaAllah. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT.

Baca selanjutnya...

Bab Tasawwuf (Kitab Zaadu al-Muta’allim): Memelihara Diri Daripada Dosa

Memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara:

I. Anggota Daripada Berbuat
Anggota yang terdapat pada diri manusia hendaklah dijaga dan dipelihara daripada melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Contoh anggota seperti tangan dan kaki dan sebagainya. Seseorang hendaklah memelihara tangannya daripada berbuat dosa umpamanya mencuri dan sebagainya. Seseorang juga hendaklah memlihara kakinya daripada bergerak ke tempat maksiat dan sebagainya.

II. Pendengaran Daripada Mendengar
Anggota telinga juga perlu dijaga agar ianya tidak terjerumus kepada dosa dan maksiat. Seseoranh yang beriman akan memelihara dirinya daripada mendengar perkara perkara yang tidak baik seperti mendengar umpatan seseorang ke atas seseorang yang lain atau mendengar sesuatu yang lagha dan bercanggah dengan Islam.

III. Penglihatan Daripada Melihat
Mata juga jika tidak dipelihara akan mendatangkan dosa kepada pemiliknya. Banyak perkara yang boleh mendatangkan dosa melalui mata seperti melihat aurat tanpa hak, menonton filem berunsur lucah dan sebagainya.

IV. Hati Daripada Berfikir
Hati adalah anggota yang perlu dipelihara. Ini kerana hati akan dapat mempengaruhi anggota yang lain. Sekiranya baik hatinya maka baiklah anggota yang lain. Hati hendaklah dipelihara daripada mengingati sesuatu yang membawa maksiat dan dosa.

V. Lidah Daripada Berkata
Lidah juga tidak kurang pentingnya untuk dipelihara. Banyak perkara juga yang boleh membawa dosa melalui lidah ini jika disalahgunakannya seperti memfitnah, mengumpat, menghina orang lain, memaki hamun, berbohong dan banyak lagi.

Baca selanjutnya...

Peranan Wanita dalam Pembangunan Ummah


Oleh: SMAHADZIR

Apakah benar ada masa kebangkitan bagi umat Islam? Jika ada, bagaimana peranan wanita dalam Islam secara umum dan pandangan terhadap wanita berkerjaya, dan bagi yang berpendidikan tinggi secara khususnya? Jawapannya, tidak dapat diragukan lagi bahawa kita hidup dalam era kebangkitan Islam, setelah sedemikian lama kaum Muslimin berada dalam keadaan tidak sedar dan lelap dalam tidur yang berpanjangan, seperti kaum Kahfi, di mana musuh-musuh mereka mengancam dari barat, timur, selatan dan utara. Kemudian menjajah dan menguasai, sehingga dengan mudah memusnahkan mereka daripada pegangan agama, iaitu Islam. Lalu diganti secara paksa akan peraturan-peraturan baru, hukum-hukum baru, baik dalam masalah politik mahupun sosial.

Perkara-perkara tersebut terjadi pada waktu kaum Muslimin berada dalam keadaan tidak sedar. Kemudian berkat perjuangan ahli-ahli fiqh danpara pendakwah, maka terjadilah pembaharuan demi membangunkan pusat dakwah Islamiah di mana-mana.

Dengan takdir Allah s.w.t, maka terjadilah kebangkitan umat Islam. Hal ini sudah biasa bagi umat Islam dan sesuai dengan sifatnya, bahawa umat Islam tidak mungkin rela ditindas selama-lamanyanya tanpa mampu bangkit kembali. Justerui, agama yang hidup mengharuskan umatnya hidup, dan Allah s.w.t dalam setiap masa selalu mengangkat seseorang untuk membawa ´keharuman´ agama bagi umatnya.

Dalam setiap masa, selalu muncul di tengah-tengah umat Islam, orang-orang yang membela kebenaran, walau bahaya mendatanginya, sehingga datangnya hari kiamat. Maka, keluarlah suara-suara untuk mengajak manusia bagi menegakkan kebenaran dan mengamalkan suruhan agama Islam secara total, sebagaimana dapat dirasakan seperti sekarang ini.

Kebangkitan ini termasuk kebangkitan berfikir. Kita telah membaca dan meneliti buku-buku yang telah ditulis oleh ahli-ahli fakir dan penulis-penulis terkenal. Di mana-mana, terutama di perpustakaan, penuh dengan pelbagai buku yang dibaca para generasi muda Islam, mulai dari yang berpendidikan rendah hingga yang berpendidikan tinggi.

PERSOALAN YANG TIDAK MAMPU DIJAWAB

Peradaban masyarakat Barat tidak mampu menjawab pertanyaan berikut: Untuk apakah manusia ini hidup? Dari mana dan hendak ke mana mereka ini?

Peradaban Barat tidak mampu memberi kebahagiaan dan kesejahteraan bagi manusia. Maka Islamlah satu-satunya agama yang mampu mengungkapkan kelemahan dan ketidakmampuan mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan yang menuju ke arah kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat. Islamlah yang mampu menjawab dan memecahkan semua permasalahan, baik masalah politik, sosial dan sebagainya.

PERANAN INTELEKTUAL

Perhatian terhadap masalah-masalah Islam tidak saja terbatas kepada orang-orang yang berusia lanjut, bahkan lebih di kalangan para pelajar dan ilmuwan, baik lelaki mahupun wanita. Mereka giat mempelajari masalah-masalah Islam dan mengamalkannya di masjid dan tempat-tempat ibadat lainnya yang selalu dipenuhi oleh segenap lapisan umat Islam.

PERANAN WANITA

Daripada al-Quran, kita akan dapat memahami bahawa penciptaan Nabi Adam a.s yang kemudian diciptakan Hawa, yang berfungsi sebagai isteri dan kawan hidup baginda. Kita mengetahui kisah isteri Firaun, yang mampu mencegah hasratnya untuk membunuh Nabi Musa a.s. Sebagaimana tercatat dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berkatalah isteri Firaun, ´(Ia) biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat bagi kita atau kita pungut menjadi anak, sedangkan mereka tidak menyedari.” (Al-Qashash: 9)

Kita perhalusi kembali kisah di mana ada dua wanita di kota Madyan, kedua-duanya puteri Asy-Syekh Al-Kabir, yang diberi air minum oleh Nabi Musa a.s. Kemudian kedua-dua wanita tersebut mengusulkan kepada ayahnya supaya memberi pekerjaan kepada Nabi Musa a.s kerana baginda memiliki sifat amanah (boleh dipercayai) dan fizikalnya kuat. Sebagaimana yang tertera dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Salah seorang daripada kedua-dua wanita itu berkata, ´Wahai bapaku, ambillah dia sebagai pekerja (kepada kita), kerana sesungguhnya orang yang terbaik, yang kamu ambil untuk bekerja (kepada kita) ialah orang yang kuat dan boleh dipercayai.” (Al-Qashash: 26)

Kita perhalusi pula kisah Ratu Balqis di negeri Yaman yang terkenal adil dan memiliki berjiwa demokrasi. Ratu ini setelah menerima surat daripada Nabi Sulaiman a.s yang isinya mengandungi seruan agar taat kepada Allah s.w.t dan menyembah kepada-Nya, lalu baginda meminta pendapat daripada kaumnya dan bermusyawarah untuk memperoleh keputusan bersama.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Berkata dia (Balqis), ´Wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini), aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku).´ Mereka menjawab, ´Kita adalah orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang luar biasa (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah yang akan kamu perintahkan.” (An-Naml: 32)

Kemudian dia berkata, sebagaimana yang telah difirmankan Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang terhormat jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat.” (An-Naml: 34)

Kesimpulan daripada pendapat Ratu Balqis ialah bahawa penguasa-penguasa di dunia ini jika mereka hendak menguasai sesebuah negeri, maka mereka akan melakukan dua perkara, iaitu merosakkan negara dan merosakkan moral penduduknya.

Oleh hal yang demikian itu, di dalam al-Quran telah disebutkan nama-nama wanita selain wanita-wanita yang tersebut di atas, yang ada hubungannya dengan kisah masing-masing. Misalnya, ibu Nabi Isa a.s, Maryam Al-Batul.

PERANAN WANITA ZAMAN RASULULLAH S.A.W

Peranan wanita pada zaman Nabi Muhammad s.a.w yang kita kenal ialah mereka yang memelihara Rasulullah s.a.w, iaitu Aminah (ibu baginda); yang menyusui baginda, Halima As-Sa´diyah; dan yang menjadi ´hadina´ (pengasuh) bagi baginda, Ummu Aiman r.a. dari Habsyah.

Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Bahawa dia adalah ibuku sesudah ibuku sendiri.´

Kemudian kita kenal Siti Khadijah binti Khuwailid, wanita pertama yang beriman dan membantu Baginda s.a.w, Siti Aisyah, Ummu Salamah, dan lain-lain, dari Ummahaatul Mukminiin (ibu daripada kaum Mukmin), isteri-isteri Nabi s.a.w, dan isteri-isteri para sahabat Rasulullah s.a.w.

AKITIVITI WANITA MASA KINI

Sebenarnya, usaha (kiprah) kaum wanita cukup luas, meliputi berbagai-bagai bidang, terutama yang berhubung dengan dirinya sendiri, yang diselaraskan dengan Islam, dalam segi akidah, akhlak dan masalah yang tidak menyimpang daripada apa yang sudah digariskan atau ditetapkan oleh Islam.

Golongan Muslimah mempunyai kewajipan untuk memperkukuhkan hubungannya dengan Allah s.w.t dan menyucikan fikiran serta perwatakannya daripada pengaruh fikiran Barat. Mereka perlu mengetahui cara menangkis serangan-serangan kebatilan dan ´syubuhat´ terhadap Islam.

Perlu diketahui dan disedari perkara-perkara yang melatarbelakanginya, mengapa dia harus menerima separuh daripada bahagian yang diterima oleh kaum lelaki dalam masalah hak waris? Mengapa saksi seorang wanita itu dianggap separuh daripada lelaki? Juga perlu memahami hakikatnya, sehingga iman dan Islamnya bersih dan tulus, tiada keraguan lagi yang menyelimuti benak dan fikirannya.

Dia perlu melaksanakan secara keseluruhan mengenai akhlak dan perilakunya, sesuai dengan yang dikehendaki oleh Islam. Tidak boleh terpengaruh oleh sikap dan perilaku wanita bukan Islam atau berfahaman Barat. Mereka tidak terikat pada perkara halal dan haram, baik dan buruk.

Banyak di antara kaum wanita yang meniru cara hidup Barat secara membuta tuli. Misalnya, memanjangkan kuku yang menyerupai binatang buas, pakaian mini, tipis (transparent), atau sesetengahnya berbogel, dan sebagainya. Cara sedemikian itu adalah meniru orang yang buta akan perkara-perkara terlarang. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian dan berkata, ´Aku ikut saja seperti orang-orang itu. Jika mereka baik, aku pun baik; jika mereka jahat, aku pun jadi jahat.´ Tetapi teguhkan hatimu dengan keputusan bahawa jika orang-orang melakukan kebaikan, maka aku akan mengerjakannya; dan jika orang melakukan kejahatan, maka aku tidak akan mengerjakannya.”

PERANAN WANITA DALAM KELUARGA

Di dalam al-Quran telah ditetapkan bahawa semua penetapan dan perintah ditujukan kepada kedua-dua pihak, baik lelaki mahpun wanita, kecuali yang khusus bagi salah satu daripada kedua-duanya. Maka, kewajipan bagi kaum wanita di dalam keluarganya ialah menjalankan apa yang diwajibkan baginya.

Jika dia sebagai anak, kemudian kedua-dua orang tuanya atau salah seorang daripadanya menyimpang dari batas yang telah ditentukan oleh agama, maka dengan cara yang sopan dan bijaksana, dia harus mengajak kedua-dua orang tuanya kembali ke jalan yang benar, yang telah menjadi tujuan agama, di samping tetap menghormati kedua-dua orang tua tersebut.

Wajib bagi setiap wanita (para isteri) membantu suaminya dalam menjalankan perintah agama; mencari rezeki yang halal, menerima dan mensyukuri apa yang dimilikinya dengan penuh kesabaran, dan sebagainya. Wajib pula bagi setiap ibu, mengajar anak-anaknya taat kepada Allah s.wt, iaitu dengan menjauhi segala larangan-Nya dan menjalankan perintah-Nya, serta taat kepada kedua-dua orang tua.

Kewajipan bagi setiap wanita terhadap kawan-kawannya yang seagama, iaitu menganjurkan untuk menyuci dan memperteguhkan akidah dan tauhid daripada pengaruh di luar Islam; menjauhi fahaman-fahaman yang bersifat merosak dan menghancurkan sendi-sendi Islam dan akhlak yang luhur, yang diterimanya melalui buku, majalah, filem, dan sebagainya.

Dengan adanya tindakan-tindakan di luar Islam, yang diwujudkan oleh sebahagian kaum Muslimin terhadap wanita yang kurang bijaksana dan insaf, maka perkara inilah yang menyebabkan mereka terpengaruh pada peradaban Barat dan fahaman-fahaman yang merosakkan diri mereka.

Perlu diakui, bahawa hak-hak wanita di dalam sebahagian masyarakat Islam belum diberikan secara penuh. Harus diketahui pula, bahawa suara pertama daripada kaum wanita dalam menperkukuhkan dakwah dan risalah Nabi Muhammad s.a.w ialah suara Khadijah binti Khuwailid r.a kepada Rasulullah s.a.w: “Demi Allah s.w.t, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau bersilaturrahim, menghubungi keluarga dan mengangkat beban berat, memberi kepada orang yang tidak mempunyai, menerima dan memberi (menghormati) kepada tamu, serta menolong orang-orang yang menderita.”

Wanita pertama yang diangkat sebagai syuhada ialah Ummu Amr binti Yasir Ibnu Amar, dia bersama suaminya diseksa, agar mereka keluar daripada agama Islam. Tetapi mereka tetap bertahan dan sabar, sehingga dia mati syahid bersama suaminya.

Sewaktu Rasulullah s.a.w melintasi mereka, dan melihat mereka dalam keadaan diseksa, lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka, ´Sabarlah wahai Al-Yasir, sesungguhnya kita nanti akan bertemu di syurga.”

PRIORITI AMALAN YANG BERTERUSAN

Al-Quran menjelaskan, sebagaimana yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w, bahawa sesungguhnya perbuatan manusia di sisi Allah s.w.t itu memiliki berbagai-bagai tingkat atau tahap. Ada perbuatan yang paling mulia dan paling dicintai oleh Allah s.w.t daripada perbuatan yang lainnya. Dalam soal ini, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Apakah (orang) yang memberi minuman kepada orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjid al-Haram, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah s.w.t? Mereka tidak sama di sisi Allah s.w.t, dan Allah s.w.t tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah s.w.t dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” (at-Taubah: 19-20)


Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Sesungguhnya iman itu ada enam puluh lebih cabang - atau tujuh puluh lebih – yang paling tinggi di antaranya ialah ´la ilaha illa Allah´, dan yang paling rendah ialah menyingkirkan penghalang yang ada di jalan.”

Hal ini menunjukkan bahawa iman itu memiliki berbagai-bagai nilai dan tingkat. Sehubungan itu, disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud: “Amalan yang paling dicintai Allah s.w.t adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit demi sedikit.”

Bukhari dan Muslim meriwayatkan dan Masruq berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah ra: ´Amalan apakah yang paling dicintai oleh Nabi s.a.w?´ Aisyah menjawab: ´Amalan yang berterusan.´ Diriwayatkan daripada ´Aisyah ra bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w masuk ke rumah waktu itu Aisyah sedang bersama dengan seorang perempuan. Rasulullah s.a.w bertanya: ´Siapakah wanita ini?´ Aisyah menjawab, ´Dia sangat terkenal dengan solatnya (iaitu sesungguhnya dia banyak sekali melakukan solat).´ Rasulullah s.a.w bersabda, ´Lakukanlah apa yang kamu mampu lakukannya. Demi Allah, Allah tidak bosan sehingga kamu sendiri yang bosan.´

KEUTAMAAN AMALAN BERMANFAAT

Di antara keutamaan yang sebaik-baiknya diterapkan dalam pekerjaan manusia ialah keutamaan terhadap perbuatan yang banyak mendatangkan manfaat kepada orang lain. Sebesar mana manfaat yang dirasakan oleh orang lain, sebesar itu pula keutamaan dan pahalanya di sisi Allah s.w.t. Oleh halyang demikian itu, jenis perbuatan jihad adalah lebih afdal daripada ibadah haji, kerana manfaat ibadah haji hanya dirasakan pelakunya, sedangkan manfaat jihad dirasakan oleh umat Islam yanglain. Sehubungan itu, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: ´Apakah (orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjid al-Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah s.w.t? Mereka tidak sama di sisi Allah s.w.t, dan Allah s.w.t tidak memberikan petunjuk; kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah s.w.t dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t; dan itulah orang yang mendapat kemenangan.´ (at-Taubah: 19-20)

Abu Hurairah r.a berkata, “Ada salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang berjalan di suatu tempat yang memilih sumber mata air kecil, yang airnya tawar, dan dia merasa kagum kepadanya, kemudian berkata, ´Wah, jika aku dapat memencilkan diri daripada manusia, kemudian tinggal di tempat ini! (iaitu untuk beribadah). Namun, aku tidak akan melakukannya sebelum aku meminta izin terlebih dahulu daripada Rasulullah s.a.w´. Maka baginda bersabda, ´Jangan lakukan, kerana sesungguhnya keterlibatanmu dalam perjuangan di jalan Allah s.w.t adalah lebih utama daripada solat selama tujuh puluh tahun. Tidakkah kamu gembira apabila Allah s.w.t mengampuni dosamu, dan memasukkan kamu ke dalam syurga. Berjuanglah di jalan Allah s.w.t. Sesiapa yang menyingsingkan lengan baju untuk berjuang di jalan Allah s.w.t, maka syurga baginya.”

Atas dasar itulah, dalam beberapa hadis, ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah, kerana manfaat ibadah hanya kembali kepada pelakunya sedangkan manfaat ilmu pengetahuan adalah untuk manusia yang lebih luas. Di antara maksud daripada hadis-hadis tersebut adaah seperti yang berikut:
1. Keutamaan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada keutamaan ibadah, dan agamamu yang paling baik adalah sifat warak.
2. Kelebihan orang yang berilmu atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama atas seluruh bintang gemintang.
3. Kelebihan orang yang berilmu atas orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan diriku atas orang yang paling rendah di antara kamu.
4. Kelebihan ilmu pengetahuan itu akan bertambah lagi apabila orang yang berilmu itu mahu mengajarkannya kepada orang lain.

Atas dasar itu, para fuqaha mengambil keputusan: “Sesungguhnya orang yang hanya menyibukkan diri untuk beribadah saja tidak dibenarkan mengambil zakat, berbeza daripada orang yang menyibukkan diri untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Kerana sesungguhnya tidak ada konsep kerahiban di dalam Islam, dan orang yang menyibukkan dirinya dalam ibadah hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Sedangkan orang yang menyibukkan diri dalam mencari ilmu pengetahuan adalah untuk kemaslahatan ummah.´

Sesungguhnya, wanita turut berperanan penting dalam usaha pembangunan ummah, sama pentingnya dengan peranan golongan lelaki. Malahan, di dalam beberapa perkara tertentu, ´usaha dan jasa´ mereka lebih berharga. Misalnya, sebagai suri teladan di dalam alam rumah tangga; membesar dan mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang berguna bagi agama, negara dan bangsa.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...