Pengikut

Hadith Hari Ini

Ibu Bapa Tetap ‘Pencorak’ Peribadi Anak


TELAH sering kita mendengar seruan agar ibu bapa harus bekerjasama dengan para guru dan memberi perhatian yang lebih kepada pendidikan anak-anak mereka di rumah.

Kita tidak menafikan ada ibu bapa yang mengambil peduli secara aktif tentang pendidikan anak mereka, tetapi ramai juga yang tidak melakukan demikian. Ada yang tidak punya masa, ada yang tidak tahu bagaimana hendak membantu anak mereka dan ada juga menyerahkan tanggungjawabnya bulat-bulat kepada guru. Kasihan guru.

Sebenarnya, ibu bapa bukan sahaja harus membantu atau bekerjasama dengan guru, bahkan menjadi tanggungjawab utama mereka untuk mendidik anak mereka dan tidak melepaskannya kepada para guru.

Ini terlihat jelas dalam maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanyalah yang menentukan ia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi... ”

Implikasi hadis ini sangat mendalam. Ia merupakan asas utama pendidikan yang menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada anak mereka.

Bayi dilahirkan bersih dan suci. Ibu bapanyalah yang menentukan agama atau kepercayaan dan pegangan hidupnya. Sebagai orang Islam, menjadi tanggungjawab kita menentukan agar anak kita menganuti nilai-nilai murni Islam - tidak mengutamakan kebendaan dan tidak juga mempunyai fahaman yang sempit terhadap Islam.

Ini penting sebab dalam kehidupan manusia di dunia, nilai dan pegangan hidup yang terpenting ialah kepercayaan atau agamanya, yang mencorak pemikirannya dan menjadi tunjang kepada tujuan dan gaya hidupnya.

Bayi belajar banyak daripada didikan dan contoh teladan yang dipaparkan ibu bapanya.

Tempoh sebelum masuk ke sekolah merupakan zaman yang amat penting bagi ibu bapa mendidik anak mereka. Ibu bapa merupakan guru yang pertama.
Kanak-kanak mempunyai keperluan psikologi. Ia perlukan kasih sayang dan pelukan.Apa yang dipelajari dan dialami daripada ibu bapanya akan menjadi sebati dengannya.

Justeru, Islam menganjurkan agar ibu bapa mendidik dan memberi contoh akhlak yang mulia kepada anak mereka.

Sabda Rasulullah sa.w yang bermaksud:

“Kegiatan anak pada masa kecilnya akan menambahkan akalnya pada waktu dia besar.” (Riwayat Tarmizi)

Dalam sebuah hadis lain pula yang turut diriwayatkan oleh Tarmizi, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.”

Rasulullah saw sendiri menyayangi kanak-kanak sebagaimana baginda lakukan terhadap cucu-cucu baginda, dan pernah bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya.”

Ini bererti ibu bapa perlu kenal sifat-sifat anaknya dan prihatin terhadap potensi dan kelemahannya. Mereka juga harus mempunyai ilmu ukhrawi dan duniawi termasuk psikologi, walaupun tidak mendalam, supaya dapat mendidik anak mereka dengan sempurna.

Apabila ibu bapa memasukkan anak mereka ke sekolah atau menyerahnya kepada orang lain untuk mendidiknya, mereka harus ambil tahu apa yang akan dipelajari dan memantau pembelajarannya. Jangan sampai anak-anak mereka itu terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang kurang baik seperti materialisme atau fahaman sempit yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Peranan aktif orang tua dituntut agar memberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi dalam setiap aspek kehidupan anak. Cara ini akan membentuk keperibadian anak supaya dapat tumbuh sihat, baik secara jasmani mahupun rohani, sehingga menjadi zuriat yang baik.

Ini adalah kewajipan ibu bapa yang diamanahkan Allah s.w.t. Jika terdapat anak-anak yang hanya pandai berfoya-foya, selalu menyakitkan hati dan meracuni jiwa orang-orang tuanya, besar kemungkinan puncanya ialah daripada ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama anak-anaknya.

Pada masa yang sama, kita wajib mendidik anak kita agar menjadi anak soleh yang senantiasa mendoakan ibu bapanya. Kini ada juga anak bernama Saleh tetapi amalan tidak soleh.

Akhir sekali, marilah kita didik anak-anak kita dari sekarang, sebelum terlambat, supaya menjadi anak yang soleh. Cuma sebelum ini, kenalah kita menjadikan diri kita sendiri orang yang soleh.

Sumber: Sini

0 ulasan:

Catat Ulasan