Pengikut

Hadith Hari Ini

Kitab Bahru al-Maazi (Bahagian Empat): Islamnya Saidina Umar RA


Sambungan

(Teks asal yang dialih daripada jawi ke rumi)

6) Masalah: Apa sebab Islam Saidina Umar? (Ya saudaraku) Adalah sebab Islam Saidina Umar itu ialah mulanya iaitu ada baginya saudara perempuan yang telah Islam dahulu daripadanya ianya dengan suaminya. Apakala didengarnya orang dua laki isteri telah Islam naiklah meradang didalam hatinya kerana panaskan mengapa orang dua laki isteri meninggalkan ugama datuk nenek, iapun terus pergi kerumah saudaranya itu bermaksud hendak dideranya manakala sampai ia kesana lalu dibacakan oleh saudaranya akan Quran. Orang arab bila mendengar Quran istimewa orang yang tinggi akal seperti Saidina Umar itu sudahlah disambar oleh kelazatan Quran akan papan hatinya dan sempurna kenyang perasaan ruhnya. Didalam itu pun sudah tertanya-tanya mana Muhammad, mana Muhammad SAW? Dan berbetulan pada masa itu ada seorang sahabat nabi bersama disitu bernama Khabab lalu berkata: terimalah khabar kesukaan ya Umar! Engkau telah didoakan oleh Rasulullah SAW malam kemarin pada Tuhan, ia minta muliakan Islam dengan salah seorang daripada dua Umar, iaitu engkau atau Abu Jahal. Maka Tuhan sudah makbulkan doanya menjadikan engkau memuliakan Islam. Maka pergilah is kepada Rasulullah SAW dirumahnya disisi tempat bernama al-Sofa di Mekah dan menzahirkan Islamnya dihadapan segala sahabat. Maka sekalian orang Islam pun mengucap takbir belaka oleh mendapat kesukaan kerana Islamnya.

Huraian:

Sebelum Saidina Umar RA memeluk Islam, beliau telah didahului oleh adiknya. Setelah mengetahui Islamnya adik dan suaminya maka meradanglah Saidina Umar RA. Sejurus itu, Saidina Umar RA terus ke rumah adiknya dengan tujuan meyakiti adiknya suami adiknya itu. Namun setibanya dirumah adiknya itu, beliau mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang amat menusuk jiwanya yang menjuruskan dirinya untuk memeluk Islam. Ketika itu terdapat salah seorang sahabat Nabi SAW berada disitu dan menyatakan kepada Umar RA bahawa beliau merupakan salah seorang dari dua Umar yang didoakan Nabi SAW agar memasuki Islam. Maka pergilah Saidina Umar RA kepada Rasulullah serta menzahirkan Islamnya dihadapan Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain. Maka gembiralah sekalian para sahabat setelah seorang yang sangat berani telah bersama-sama Islam.

0 ulasan:

Catat Ulasan