Pengikut

Hadith Hari Ini

Berhias Diri Bagi Muslimah

Oleh SMAHADZIR

BERHIAS adalah perkara yang lumrah dilakukan oleh seorang manusia, sama ada lelaki atau wanita. Islam sebagai agama yang sesuai dengan naluri manusia tentu saja tidak meremehkan masalah berhias. Sehingga masalah berhias ini tentu saja sudah dibahas dalam syariat Islam. Yang jelasnya, berhias ini boleh menjadi amal soleh ataupun amalan salah, bergantung kepada sikap kita, mahu atau tidak menghiraukan kaedah syariat tentang berhias tersebut.

Di sini akan dijelaskan beberapa kaedah dan disiplin dalam berhias yang dibolehkan, agar dapat menjadi panduan setiap kali wanita hendak berhias, sama ada dengan menggunakan hiasan tradisonal mahupun moden.

KAEDAH PERTAMA

Hendaknya cara berhias itu tidak dilarang dalam agama kita. Segala bentuk perhiasan yang dilarang oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bererti haram, baik Rasulullah s.a.w telah menjelaskan bahayanya kepada kita mahupun tidak.

KAEDAH KEDUA

Tidak mengandungi sesuatu yang mengarah kepada penyerupaan diri dengan orang kafir. Ini merupakan kaedah terpenting yang harus dicermati dalam berhias. Batas penyerupaan diri yang diharamkan adanya kecenderungan hati dalam segala hal yang telah menjadi ciri khas orang kafir, kerana kagum dengan mereka sehingga hendak meniru mereka, baik dalam cara berpakaian, penampilan, dan lain-lain lagi.

Meskipun pelakunya mengaku tidak bermaksud meniru orang kafir, namun penyebabnya tetap menunjukkan kekerdilan dirinya dan hilangnya jati diri sebagai Muslim yang berasal daripada kelemahan akidahnya sendiri. Anehnya, seseorang Muslim kadang-kadang mengamalkan suatu amalan yang memiliki dasar dalam ajaran syariat kita, tetapi kemudian dia berdosa dalam melakukannya kerana dia berniat meniru cara orang kafir.

Contohnya, seorang lelaki yang membiarkan janggutnya panjang. Membiarkan janggut menjadi panjang pada dasarnya adalah salah satu dari syariat Islam bagi kaum lelaki, tetapi ada sebahagian lelaki yang membiarkan janggutnya panjang kerana mengikuti gaya dan meniru mentah-mentah orang Barat. Dia berdosa dengan perbuatannya itu.

Contoh di kalangan wanita, memanjangkan hujung pakaian. Perbuatan itu (yakni memanjangkan hujung satu jengkal atau satu hasta) adalah termasuk sunnah-sunah bagi kaum wanita yang telah ditinggalkan orang pada masa sekarang ini. Tetapi ketika orang-orang kafir juga melakukannya dalam beberapa acara rasmi mereka, sebahagian kaum Muslimin yang sudah ternodai fikiran, mereka menganggap itu sebagai kebiasaan, dan mereka pun mengikutinya, untuk meniru orang-orang kafir tersebut. Sebaliknya, pada lain-lain acara rasmi tersebut mereka kembali kepada kedaaan itu mereka tetap berdosa.

KAEDAH KETIGA

Jangan sampai menyerupai kaum lelaki dalam segala aspek.

KAEDAH KEEMPAT

Jangan berbentuk kekal sehingga tidak hilang seumur hidup.

KAEDAH KELIMA

Jangan mengandungi unsure pengubahan ciptaan Allah s.w.t.

KAEDAH KEENAM

Jangan mengandungi bahaya terhadap tubuh.

KAEDAH KETUJUH

Jangan sampai menghalangi masuknya air ke kulit atau rambut terutama wanita yang tidak di dalam keadaan haid.

KAEDAH KELAPAN

Jangan mengandungi unsure pemborosan atau membuang-buang wang.

KAEDAH KESEMBILAN

Jangan membuang-buang waktu lama, dalam erti berhias itu menjadi perhatian utama seorang wanita.

KAEDAH KESEPULUH

Penggunaannya jangan sampai membuat si wanita takbur, sombong, dan membanggakan diri di hadapan orang lain.

KAEDAH KESEBELAS

Terutama, dilakukan untuk suami. Boleh juga ditampakkan di hadapan yang halal melihat perhiasannya sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran ayat 31 surah An-Nur.

KAEDAH KEDUA BELAS

Jangan bertentangan dengan fitrah.

KAEDAH KETUGA BELAS

Jangan sampai menampakkan aurat ketika dipakai. Aurat wanita di hadapan sesama wanita adalah dari pusat hingga lutut, namun itu bukan bererti seorang wanita boleh dengan wanita menampakan perut atau betisnya di hadapan sesama wanita tetapi maksudnya adalah apabila diperlukan, seperti ketika hendak menyusukan anak atau mengangkat kain baju untuk satu keperluan sehingga sebahagian betisnya kelihatan, dan sebagainya.

Adapun apabila dia sengaja melakukannya kerana mengikuti gaya dan meniru wanita-wanita kafir, tidak dibolehkan. Wallahu’alam. Dan terhadap kaum lelaki adalah seluruh tubuhnya tanpa terkecuali.

KAEDAH KEEMPAT BELAS

Meskipun secara implisit, jangan sampai menampakkan bentuk tubuh wanita bagi lelaki yang bukan muhrim menampakkan diri wanita dan menjadikannya berbeza daripada wanita lain, sehingga menjadi perhatian.

KAEDAH KELIMA BELAS

Jangan sampai meninggalkan kewajipannya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian wanita pada malam pengantin mereka atau pada pelbagai kesempatan lainnya.

Inilah beberapa kaedah penting secara ringkas bagi wanita yang terdapat di dalam nas-nas dan pernyataan para ulama. Wallahu‘alam.

Sumber: SINI
Baca selanjutnya...

Masihkah Wujud Abu Jahal Versi Moden?

Salam Maulidurrasul diucapkan kepada semua pengunjung blog Fiqh Semasa ini. Mudah-mudahan kita sentiasa melaksanakan apa yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, di negara kita sambutannya cukup meriah sekali. Pelbagai program telah dirancang sehinggakan sebulan Rabiulawwal ini begitu padat dengan aktiviti. Di masjid dan surau dianjurkan juga pelbagai aktiviti termasuklah kuliah yang berkisar keagungan dan kemuliaan Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah cukup meriah!!!!!

Perkara yang paling penting yang perlu ditekankan ialah sejauhmana penghayatan kita terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Tiada gunanya menyambut maulidurrasul tetapi menjadi penentang ajaran Rasullullah sebagaimana Abu Jahal yang meraikan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dengan mengorbankan beratus ekor unta tetapi akhirnya menjadi penentang utama ajaran yang di bawa Nabi Muhammad S.A.W. Mudahan Allah S.W.T menghindarkan kita daripada bersikap seperti Abu Jahal ini.

Dikesempatan ini, saya menyeru kepada diri saya dan keluarga saya serta semua, marilah sama-sama kita menjunjung sunnah Nabi SAW dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita semua. Dan sunnah yang terbesar ialah mewujudkan daulah Islamiyyah. Mudahan kita semua termasuk dikalangan manusia yang mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W di Mahsyar kelak dan bukannya manusia yang tidak diakui sebagai ummatnya.

Akhirnya, marilah sama-sama kita meraikan sambutan ini dengan menghadiri segala program ilmu yang dianjurkan. Perlu diingat sambutan memperingati Nabi Muhammad S.A.W bukan hanya pada tanggal 12 Rabiulawwal semata-mata tetapi setiap detik dan ketika. Mudahan kita semua mendapat rahmat Allah S.W.T.

Baca selanjutnya...

Nasihat Untuk Remaja

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SESUNGGUHNYA seluruh alam ini, baik yang besar mahupun yang kecil dan yang ada di dalamnya, semua menuju kepada Allah s.w.t, bertasbih kepada-Nya (menyucikan-Nya), mengagungkan-Nya dan bersujud kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tidak ada sesuatu pun kecuali dia bertasbih kepada Allah s.w.t dengan memuji-Nya.” (Al-Isra’: 44)

Sesungguhnya semua makhluk yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t akan berhenti, menundukkan kepalanya, merendahkan diri kepada Allah s.w.t, mengakui anugerah yang dilimpahkan kepadanya. Akan tetapi masih banyak tersisa di alam ini makhluk yang kecil lagi rendah, diciptakan daripada setitis air mani, tetapi tiba-tiba dia menjadi musuh. Dia berjalan di suatu lembah, sedang alam seluruhnya berada di lembah lain. Dia tidak mentaati Allah s.w.t, tidak tunduk kepada-Nya dan tidak bertasbih kepada-Nya, walaupun semua makhluk yang ada di sekitarnya tekun berzikir dan bertasbih kepada Allah s.w.t.

Sesungguhnya makhluk ini adalah manusia yang bermaksiat kepada Allah s.w.t. Padahal Allah s.w.t adalah Maha Besar, alangkah rendah dan hinanya dia ketika menyendiri di alam yang teratur ini. Sesungguhnya syaitan selalu berusaha menyesatkan manusia dan menghancurkannya dengan berbagai cara, di antaranya menghiasi kemaksiatan dengan keindahan serta mengajak manusia untuk melakukan kemaksiatan tersebut agar ia mendapat murka Allah s.w.t.

Semua manusia kehendaknya lemah dalam menghadapi keinginan buruknya dan nafsu syahwatnya. Jika kamu melihat ada kelemahan dan kecenderungan dirimu untuk melakukan maksiat, maka berhentilah sebentar sebelum kamu melangkukan kemungkaran. Dan fikirkanlah tentang dunia ini dengan segala kerendahannya, sedikit kenyataannya, banyak sia-sianya dan cepat berakhirnya.

Fikirkanlah tentang para penghuni dunia dan keasyikannya, yang mereka dalam keadaan mabuk terhadap nikmat sementara itu. Sungguh, dunia telah menyeksa mereka dengan berbagai-bagai seksaan, memberikan mereka minuman yang pahit, dan dunia telah menjadikan mereka sedikit tertawa dan banyak menangis.

Sebelum kamu melakukan kemungkaran terhadap Allah s.w.t, kamu harus fikirkan tentang akhirat. Kekalnya dan bahawa akhirat adalah kehidupan yang hakiki, negeri abadi, tempat berhentinya bepergian dan akhir perjalanan.

Sebelum kamu bermaksiat kepada Allah s.w.t, kamu harus fikirkan tentang neraka, bahan bakarnya, perapiannya, kedalaman dasarnya, kedahsyatan panasnya, dan besarnya azab penghuninya. Kamu juga harus fikirkan tentang penghuninya, yang berada dalam kepanasan yang sangat, diseret di atas wajah-wajah mereka, dan di neraka mereka seperti kayu bakar yang dinyalakan.

Sebelum kamu bermaksiat kepada Allah s.w.t, fikirkanlah syurga dan segala yang telah Allah s.w.t janjikan untuk orang-orang yang taat, yang belum pernah terlihat mata, terdengar oleh telinga, dan juga belum terlintas di hati manusia. Berupa kenikmatan abadi lagi mencukupi dan dengan berbagai puncak kenikmatan berupa makanan, minuman, pakaian, gambar-gambar, kebahagiaan dan kegembiraan. Tidak akan merindui syurga kecuali manusia yang rugi dan bodoh.

Wahai para remaja,
Sebelum kamu melakukan kemungkaran kepada Allah s.w.t, ingatlah berapa lama kamu akan hidup di dunia ini? 60 tahun, 80 tahun, 100 tahun atau 1000 tahun? Kemudian datanglah kematian. Setelah itu syurga kenikmatan atau neraka jahim, kita mohon perlindungan kepada Allah s.w.t.

Yakinlah dengan seyakin-yakinnya bahawa malaikat maut selain menuju orang lain, maka ia juga berjalan menuju kepadamu. Tidaklah kematian itu melainkan tinggal beberapa tahun lagi, atau beberapa hari saja, atau bahkan beberapa saat lagi! Kemudian kamu akan sendirian di alam kuburmu. Tidak ada harta, tidak ada teman. Lantaran itu fikirkanlah kegelapan kubur, kesendiriannya, kesempitannya, kengeriannya, kedahsyatannya, awal kedatangannya serta keras himpitannya.

Ingatlah hari kiamat, pada hari dilihatkan semua amalan kepada Allah s.w.t. Ketika hati dipenuhi rasa takut, ketika kamu terpisah dari anakmu, ibumu, ayahmu, suamimu dan saudaramu. Ingatlah segala kejadian itu beserta kedahsyatannya. Ingatlah pada hari diletakkannya mizan dan lembaran-lembaran catatan amal berterbangan. Berapa banyak kesalahan, berapa banyak cacat dalam buku amalmu.

Fikirkanlah seolah-olah kamu berdiri di hadapan Zat Yang Maha Kuasa, Yang Maha Besar, Uang Maha Menjelaskan segala sesuatu menurut hakikat sebenarnya. Yang kamu lari daripada-Nya, padahal Dia memanggilmu, tetapi kamu berpaling daripada-Nya.

Bayangkan, kamu berdiri sedangkan lembaran catatan amal di tanganmu tidak meninggalkan segala dosa dan pahala yang kecil dan besar kecuali telah dihitung. Kerananya dengan telapak kaki yang mana kamu mampu berdiri di hadapan-Nya? Dengan mata mana kamu sanggup melihat-Nya? Dan dengan hati yang mana kamu menjawab ketika disodorkan pertanyaan kepadamu: “Hamba-ku, kamu telah meremehkan pengawasan-Ku terhadapmu? Bukankah Aku telah berbuat baik kepadamu? Bukankah Aku telah memberikan kenikmatan? Tetapi mengapa kau bermaksiat kepada-Ku padahal Aku telah memberimu kenikmatan?’

Wahai para remaja,
Di sana masih ada para wanita yang berkeyakinan bahawa mereka diciptakan tanpa ada hikmah dan mereka dibiarkan begitu saja. Sehingga kehidupan mereka hanya sia-sia dan permainan, pandangan mereka terselubungi oleh sesuatu, di telinga mereka ada tersumbat dari mendengarkan petunjuk, mata hati mereka buta, hati mereka terbalik, mata mereka tertutup dan hati mereka dibutakan. Kamu dapati di majlis-majlis mereka segala macam kemungkaran, dan kamu tidak akan mendapati al-Quran dan zikrullah.

Mereka laripada dari Allah s.w.t, padahal mereka di hadapan Allah s.w.t adalah hamba -hamba-Nya dan mereka berada dalam genggaman-Nya. Allah s.w.t menyeru mereka tetapi mereka tidak mahu memenuhi seruan-Nya. Bahkan mereka penuhi seruan syaitan, seruan keinginan buruk mereka dan seruan hawa nafsu mereka.

Bagaimana mungkin mereka penuhi ajakan syaitan sedang mereka meninggalkan seruan Allah s.w.t? Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.” (Al-Hajj: 46)

Keburukan apa yang telah Allah s.w.t berikan kepada mereka, hingga mereka bermaksiat kepada Allah s.w.t dan tidak mahu mentaati-Nya? Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah mereka merasa aman daripada tipu daya Allah s.w.t. Tidak akan merasa aman daripada tipu daya Allah s.w.t kecuali orang-orang yang rugi.” (Al-A’raf: 99)

Maka wahai para remaja, hendaklah kamu berhati-hati. Jangan sampai menjadi seperti wanita-wanita tersebut. Menjauhlah kamu dari mereka, dan beramallah sesuai dengan tujuan kamu diciptakan. Allah berfirman yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku.” (Ad-Dzariyat: 56)

Wahai orang yang bermaksiat kepada Allah s.w.t,
Kembalilah kepada Rabb-mu dan takutlah kepada api neraka, takutlah neraka sa’ir. Sesungguhnya di depanmu kedahsyatan-kedahsyatan dan kesulitan-kesulitan. Sesungguhnya di depanmu ada neraka jahim dan azab yang pedih. Sesungguhnya di depan ada ular yang sedia mematukmu dan segala perkara-perkara yang dahsyat.

Demi Allah yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain-Nya, berbagai-bagai nyanyian, hiburan, sinetron-sinetron dan hal-hal remeh lainnya tidak akan mendatangkan manfaat buatmu. Demikian juga segala cerita dan sandiwara-sandiwara, tidak akan berguna untukmu. Keluarga dan anak-anak juga tidak akan memberikan manfaat kepadamu. Saudara dan teman-temanmu juga tidak akan memberi manfaat kepadamu. Juga segala baju, model-model, permata-permata dan perhiasan-perhiasan tidak akan memberi manfaat kepadamu.

Apa yang akan memberikan manfaat kepadamu hanyalah seluruh kebaikan dan amalan soleh setelah mendapat rahmat Rabb langit dan bumi.

Wahai para remaja,
Demi Allah, tidaklah kita mengungkapkan semua perkara ini kecuali kerana rasa takut kita terhadap wajah-wajah yang putih akan berubah menjadi hitam pada hari kiamat. Kita bimbang wajah yang bercahaya ini akan menjadi gelap, tubuh yang segar akan dibakar api neraka.

Maka, sentiasalah kita bertaubat . Ketahuilah bahawa orang-orang yang buruk dan rosak selalu mengintaimu, mereka ingin agar kamu melepas hijab dan meninggikan pakaianmu. Mereka ingin kamu terbuka di pasar-pasar, mereka juga ingin kamu berakhlak buruk dan jelek. Lantaran itu hindarkanlah hasutan orang-orang yang lemah akal itu. Berpeganglah dengan agamamu, kemuliaanmu dan hijabmu. Sesungguhnya dunia itu hanya bayang-bayang yang menggelincirkan kamu, sedang akhirat adalah kampung keabadian.

Yakinlah bahawa kamu tidak akan pernah menyesal atas semua itu selamanya. Bahkan justeru sebaliknya, kamu akan bahagia dengan izin Allah s.w.t. Dan jangan sekali-kali kamu ragu dan menunda waktu untuk melakukan kebaikan di dalam hidup kamu.

Sumber: SINI
Baca selanjutnya...

Cuti-Cuti Malaysia: Pulau Langkawi

Langkawi adalah gugusan 99 buah pulau yang terletak di luar pesisiran pantai Kedah. Ia sebuah pulau legenda yang penuh misteri, selain pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dunia.

Tanyalah sesiapa saja di pulau ini, tentang kisah seorang wanita cantik bernama Mahsuri. Anda akan mendengar kisah cinta, cemburu, dan sumpah yang diletakkan ke atas pulau ini selama tujuh keturunan.

Nikmati keindahan alam semulajadi serta ketenangan landskap padi di sini dengan memandu di seluruh pulau ini.

Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir.

Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir.

Jika anda seorang yang gemar cabaran yang lasak, anda boleh juga menjelajah kawasan hutan di Langkawi, menaiki bot mengelilingi kawasan paya bakau, menyelam, atau bermain golf di pusat peranginan bertaraf lima bintang di pulau ini.


Tips

Langkawi menawarkan peluang dan kemudahan membeli-belah yang hebat.


Pengangkutan

Feri
Perkhidmatan feri bertolak dari pelabuhan Kuala Kedah setiap satu jam mulai pukul 7.00 pagi hingga pukul 6.00 petang. Perjalanan ini memakan masa 1 1/2 jam. Terdapat juga perkhidmatan feri dari pelabuhan Kuala Perlis dan pelabuhan Satun di Thailand. Kedua-dua perjalanan feri ini memakan masa hanya 45 minit ke Langkawi.

Penerbangan
Kedua-dua syarikat penerbangan, MAS dan Air Asia menyediakan penerbangan terus dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang mendarat di Lapangan Terbang Langkawi.


Talian Untuk Dihubungi

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Maklumat Pelancong Langkawi di talian +604-9667789.

Penginapan

Terdapat pelbagai kemudahan penginapan di pulau ini untuk para pengunjung seperti chalet hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Tatkala Bangsanya Kembali Buta

Dua lelaki yang sudah berumur itu duduk agak lama di kedai kopi mewah di dalam bangunan kedua tertinggi di dunia yang tersergam indah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Orang ramai lalu lalang dengan urusan masing-masing. Salah seorang daripada mereka bernama Azhar. Dia berambut pendek,berkumis dan berjanggut.Dia melepaskan berat tubuhnya untuk ditampung oleh kerusi yang sedang disandarinya sambil kedua-dua tangannya memegang tempat meletak tangan yang dibuat selari antara satu sama lain. Kedutan pada wajahnya menggambarkan dia sudah banyak menghadapi dugaan dalam hidup. Dia masih gagah dan bersedia untuk menghadapi apa lagi yang akan datang menguji.

Temannya pula seorang penulis sepenuh masa yang berambut, berkumis dan berjanggut panjang. Warna putih ubannya juga membayangkan pengalaman hidupnya menempuhi seribu ranjau untuk hidup dengan perjuangannnya sendiri. Bicaranya lembut dan kata-kata yang keluar dari mulutnya sering tersusun dan bagaikan dipilih dengan teliti.

Hari itu bertarikh 23 April. Azhar dan teman penulisnya itu berada di KLCC pada hari itu. Mereka berdua hadir ke sebuah gedung buku yang besar di KLCC itu untuk membeli beberapa buah buku. Selain daripada itu, mereka juga berada di sana untuk meraikan sebuah hari yang istimewa, tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang hari tersebut, apatah lagi untuk bersusah-payah meraikannya.

Azhar membelek-belek buku yang baru dibeli.Dibacanya catatan yang tertera pada kulit belakang buku itu. Ada komentar dan pandangan oleh mereka yang telah membaca buku itu. Semuanya baik- Buku ini mampu memberi provokasi pada minda pembaca- Renungan yang mendalam. Itulah ulasan-ulasan yang tertera di belakang buku itu. Teman lamanya pula menghirup kopi mewah dan kaya aroma itu dengan begitu asyik.
“Orang kata jangan menilai buku dari kulitnya...tetapi itu sudah ketinggalan zaman. Masyarakat kapitalis hari ini semuanya mahu gambaran awal yang baik pada buku sebelum terdetik untuk membelinya......itu baru perihal membeli buku, membacanya pula cerita lain..” temannya memecah kebuntuan bicara antara mereka berdua sambil ketawa kecil.

Azhar tidak menyambut tawa temannya itu tetapi ekor matanya menjeling pada temannya. Memang betul apa yang dikatakan. Zaman kapitalis. Buku juga tidak terlepas daripada hukum perniagaan. Mesti mematuhi adat pemasaran. Kalau berdegil, tersadailah buku-buku di rak tanpa pembeli.

Azhar bertanya,“Bagaimana dengan buku-buku lama engkau, penjualan bagus?”

“ Dengan syarikatku sendiri....bolehlah. Ada juga ongkos yang masuk,”

Ruang sembang antara mereka berdua itu seakan terhenti seketika apabila Azhar berfikir sesuatu tentang temannya. Barangkali memang benar masalah sebenar pada masyarakat adalah mereka tidak ghairah membaca dan menuntut ilmu. Penulis-penulis berjiwa besar seperti temannya itu susah untuk bergantung sepenuhnya pada wang royalti hasil penjualan buku. Tidak seperti penulis-penulis Barat yang kaya raya dengan buku-buku fiksyen bestseller mereka. John Grisham, Sidney Sheldon, Tom Clancy, Michael Crichton.Kekayaan hasil tulisan mereka menjanjikan kesenangan yang lama. Makan tak habis untuk berapa keturunan agaknya? Kalau masyarakat suka membaca, pasti para penulis boleh hidup dengan lebih selesa. Buku-buku mudah terjual dan para penulis ini akan memiliki motivasi untuk terus menulis lagi.

“ Walau bagai mana sukarnya kehidupanku..aku tetap akan berjuang dengan caraku sendiri.Biarlah aku tidak berkereta mewah, berumah besar dan memiliki harta benda yang banyak untuk simpanan keluargaku tujuh keturunan, tetapi ini jalan yang telah aku pilih....”

Azhar menghadam kata-kata teman penulisnya itu. Itu luahan nurani yang tahan berjuang dengan hidup dengan hanya menjadi penulis.

“ Rasanya orang lebih ghairah menyambut Valentine’s Day daripada menyambut hari ini. ..yalah, buat apa buang masa seperti kita meraikan dunia perbukuan. Tak nampak pun pulangannya kecuali kepada mereka yang tahu,”

Hari yang mereka raikan itu rupanya Hari Buku Sedunia. Tarikh itu dipilih untuk mengenang sumbangan para ilmuwan dan sarjana yang telah menghasilkan buku untuk kelansungan pembinaan tamadun manusia. Meraikan hari istimewa itu pula bukan memerlukan pesta, cukup sekadar ( kalau mampu) pergi membeli beberapa buku untuk dibaca. Itu pun terlalu ideal, sekadar menjadi impian dan idaman. Mencapainya jauh sekali.

“ Hahahaha, kau tahu?..... ada macam macam kegilaan yang bersabit dengan buku.Ada yang gila membeli buku. Ada juga yang gila membeli dan membaca buku.Tapi yang lebih jahanam adalah mereka yang suka merosakkan buku,” temannya itu ghairah tertawa sendiri sambil menambah, “ Manusia, manusia........hahahahaha!”

Yang gila membeli buku itu dipanggil bibliomania. Yang gila membeli, membaca dan memahami isinya itu digelar bibliofil. Yang jahanam itu pula digelar bibliocast.Suara ilmunya berbisik kepada Azhar tentang perlakuan manusia yang bersangkut dengan buku dalam kotak fikirannya sambil perhatiaanya tertumpu pada temannya yang masih berceloteh.

“Yang minta dikuburkan bersama buku pun ada....,”Azhar mencelah.
“Aaaaa, John Steward namanya. Aku tahu kisah dia, aku tahu...”

Mereka terus berbual selama beberapa jam sehingga tidak tahu apa yang hendak dibualkan lagi. Kalau tidak kerana khuatir terlepas solat Asar, pasti mereka tidak teringat untuk pulang.
Ketika berjalan dan beredar dari tempat pertemuan mereka, Azhar menoleh apabila namanya dipanggil beberapa kali dari belakang oleh temannya itu. Keningnya diangkat sedikit, isyarat pertanyaan buat temannya itu yang sekadar bersuara tinggi dari jarak yang jauh. Dia tidak mahu berjalan mendekati Azhar, sebaliknya berjalan dengan langkah ke belakang.

“ Oh ya, ada budak-budak dari universiti ....universiti mana ya?....universiti mana aku tak pasti...lupa....tapi itu tak penting. Yang penting adalah mereka nak telefon kau untuk minta jadi penasihat kelab pencinta buku....”
Azhar mengerutkan dahi, “ Kelab pencinta buku?”
“ Ya, mungkin malam nanti mereka telefon. Aku beri nombor telefon “gudang” buku engkau. Tunggu ya, jangan tidur pula malam ni...”
Azhar melihat sahaja tubuh kawannya hilang ditelan kesesakan orang yang datang ke pusat membeli-belah itu dengan seribu tujuan. Hakikatnya, dia sudah malas untuk menjadi penasihat atau penaung untuk apa-apa jua persatuan.

Pada hari yang sama tetapi di bahagian malam, Azhar sudahpun pulang ke rumah .Malam itu Azhar masih duduk di atas kerusi malas di dalam bilik bacaannya sambil membaca beberapa buah akhbar. Hujan lebat sedang membasahi bumi di luar. Kilat sabung menyabung, guruh terus berdentum. Dia sendirian di dalam rumah kayu di atas sebuah kawasan hutan yang terletak tidak berapa jauh dari ibu kota. Rumah kayu yang dimilikinya itu adalah tempat Azhar sering melarikan diri untuk mencari ilham dan mendapatkan ketenangan jiwa. Di situ dia sering menghabiskan masa untuk membaca, menulis dan berfikir tentang pelbagai perkara. Rumah itu tidak banyak perkakas, tetapi lebih sarat dengan buku-buku yang dibeli.

Dia duduk di atas sebuah kerusi kusyen yang empuk. Azhar dikelilingi oleh rak-rak buku yang menjadi tempat terhimpunnya pelbagai buku yang dikumpulkan sepanjang kehidupannya. Tak cukup dengan rak-rak buku, ada juga buku-buku yang dibiarkan bertimbun dan disusun berdiri, menjadi lautan dan menara . Terlampau banyak dan tidak lagi terhitung oleh Azhar sendiri akan jumlah sebenar bukunya itu.

Pernah dia memasang angan-angan untuk mewasiatkan semua bukunya itu untuk diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia apabila dia mati nanti. Mudah-mudahan boleh menjadi sedekah amal jariah yang memberikan pahala yang tidak berputusan walaupun jasadnya sudah kaku di liang lahad. Tetapi apabila difikirkan tentang masalah masyarakat yang tidak membaca, mewakafkan buku-buku itu pun belum ada jaminan lagi. Kalau tiada siapa yang membacanya, bagaimana hendak mengutip pahala?

Azhar menatap dada akhbar yang sedang tekun dibacanya. Dia berfikir sambil membaca ruangan akhbar yang menghimbau peristiwa yang telah menimpa dunia sepanjang 2004. Memang terlalu banyak peristiwa besar. Pembunuhan, peperangan, penindasan dan perampasan jiwa manusia. Daripada rejim Israel kepada bapa terorisme dunia, Amerika Syarikat.

Jauh di sudut hati, Azhar semakin resah. Dia gelisah memikirkan satu lagi bencana kemanusiaan yang sedang menimpa bangsanya. Bencana budaya dan etos. Tahun 2004 mengukir sejarah lagi dengan peristiwa dua buah majalah berita terpaksa gulung tikar dan menghentikan penerbitan. Majalah tersebut adalah DEMI MASSA dan MINDA MASYARAKAT. DEMI MASSA adalah majalah berita mingguan yang cuba untuk mengikut jejak langkah TIMES, ECONOMIST dan NEWSWEEK, malangnya akhirnya para jurnalis dan penerbit terpaksa akur dengan sambutan lesu pembaca.

Azhar sedih kerana sudah tidak ada lagi majalah tempatan yang dapat memberikan ulasan dan berita nasional dan antarabangsa. Tidak ada lagi liputan daripada penulis yang akan melihat isu-isu dunia daripada perspektif Malaysia. Siapa kata tidak penting? Hanya wartawan-wartawan kita di dalam majalah tersebut yang mengganggap Yasser Arafat sebagai pejuang pembebasan Palestin. Majalah-majalah Barat tetap memanggil Arafat sebagai pengganas, walaupun pada hari Tuhan menjemputnya pulang. Masyarakat Malaysia tidak akan berpeluang lagi membaca tulisan-tulisan wartawan Malaysia yang cuba membetulkan perspektif para pembaca tentang kebenaran. Diterbitkan oleh syarikat berita yang terkemuka di negara, tetapi hanya mampu bertahan selama 6 tahun. Masyarakat tidak menyokong penerbitan DEMI MASSA, apatah lagi untuk membeli dan membacanya. Akhirnya , DEMI MASSA terpaksa akur kepada kehendak masyarakat dan menurut sahaja selera akademia pembaca yang rendah.

MINDA MASYARAKAT juga mengalami nasib yang sama. Majalah bulanan ini turut cuba menjadi majalah ilmu dan maklumat kepada khalayak pembaca Malaysia. Azhar masih ingat kali pertama ia melihat majalah itu dijual ketika ia sedang membeli kelapa parut di kedai mamak. Daripada segi kulit dan isinya, malajah ini agar baik dengan kemampuannya mengupas isu-isu terkini dan berlainan daripada majalah yang lain. Majalah ini memberi ruang kepada semua penulis daripada segenap latar belakang, sama ada yang berdarah nasionalis, berfikiran pembangkang mahupun yang berdiri atas pagar untuk menulis dan menyumbang pemikiran mereka. Buat seketika, majalah ini juga mendapat sambutan. Anak-anak muda yang sedang bertarung dengan hidup di menara gading antara khalayak yang banyak membeli, membaca dan menyumbang kepada majalah ini.
Ketika pihak penerbit DEMI MASSA mengumumkan bahawa majalah ini akan dihentikan penerbitannya, Azhar terus menelefon seorang teman yang menjadi wartawan di MINDA MASYARAKAT.

“ Din, apa cerita ni? Macam mana DEMI MASSA boleh bungkus?”
Dengan sinis Din menjawab , “ Haha, jangan tanya aku. Tanyalah pada jiran, saudara mara, ketua kampung, kariah masjid, para eksekutif, penjual ikan.......”

Azhar terus memintas,“ Cukup,cukup....aku dapat tangkap maksud kau...”

“ Orang putih kata....look on the bright side...sekurang-kurangnya persaingan dah kurang...semenjak pengumuman tu dibuat, majalah aku dah semakin laris. Orang dah mula beralih kepada MINDA MASYARAKAT,”

Hahahaha! Optimis benar Din ketika itu. Azhar ketawa sendiri memikirkan andaian serong temannya itu. Din menjangka dengan penutupan DEMI MASSA, pembaca akan beralih membaca MINDA MASYARAKAT. Malangnya itu adalah indikasi awal bahawa majalah itu juga kini sedang berada pada hari-hari terakhirnya sebelum ditamatkan penerbitan. Azhar cuba mencari jawapan sama ada Din masih terus optimis seperti dulu. Memang tidak lagi. Dengan khabarnya Din sudah diberhentikan kerana syarikatnya juga sudah gulung tikar.

Sebagai seorang pemikir masalah negara yang tidak dibayar gaji, Azhar takut dengan apa yang sedang berlaku pada rakyat Malaysia. Majalah-majalah seperti itu dipinggirkan. Tetapi masalahnya bukan kerana mereka buta huruf ataupun tidak membaca. Pembaca lebih gemar membaca kisah pontianak yang mengilai di atas pokok dan kisah penunggu yang menunggu di jalan sunyi untuk menyakat orang di waktu malam. Apa lagi yang boleh dilakukan. Memang manusia suka ditakut-takutkan dengan kisah-kisah begini. Suka terus menjadi bangsa yang hidup dalam tahyul dan kekarutan. Berbeza dengan orang Barat, mereka lebih suka menjadi bangsa yang mampu menggunakan ilmu dan sains untuk mencipta bom nuklear untuk menguasai dunia, mencipta pesawat supersonik dan menghasilkan senjata-senjata berteknologi tinggi untuk mencuri minyak di bumi orang lain pada siang-siang hari! Tetapi dalam kejahatan itu, majalah-majalah ilmiah dan bermaklumat mereka terus hidup subur. Sejahat-jahat mereka, mereka tetap membaca.

Azhar terhimbau kata-kata teman penulisnya petang tadi yang terus menyambung sesuatu sambil bergelak ketawa dan melurut janggutnya yang panjang ,“ Aku nak cadangkan tafsiran baru kepada peribahasa buta huruf. Zaman sekarang ni...buta huruf bukan lagi patut dirujuk kepada mereka yang tak tahu membaca, tetapi lebih wajar kita rujuk pada yang tahu membaca, tetapi tak membaca. Kalau membaca pun, entah apa yang dibaca mereka.....hahaha,”

Dahinya berkerut memikirkan apa yang akan berlaku selepas ini, 10 tahun nanti, 20 tahun nanti dan seterusnya. Dosa siapa jika masyarakat tidak mahu membaca? Pastinya bukan dosa mereka yang tekun menjadi penulis buku mahupun penerbit buku. Pastinya dosa ini merupakan dosa petualang yang lebih hebat mencipta program-program televisyen sehinggakan manusia mampu jadi mabuk menonton siaran sehingga berjam-jam lamanya. Dahulu pernah para cerdik pandai memanggil peti televisyen itu sebagai kotak bodoh, idiot box.Tetapi yang lebih bodoh ialah orang yang menontonnya sehingga tak berminat membuat perkara-perkara lain.

Pasti juga ini semua adalah dosa mereka yang mencipta permainan video sehingga anak-anak lebih suka bermain Playsatation2, X Box, Game Boy dan macam-macam lagi. Mereka dibawa berkhayal berjam-jam lamanya tanpa faedah yang jelas. Barangkali anak-anak hari ini lebih hebat memburu menggunakan senapang canggih dan membedil seteru dengan kereta kebal seperti yang diberikan oleh permainan video berimej 3 dimensi daripada seronok membaca kisah manusia yang mengelilingi dunia dalam masa 80 hari. Atau mereka lebih senang menjadi samurai dan memenggal leher lawan tanpa belas kasihan daripada mengetahui kisah perjuangan manusia menentang penindasan dalam El Filibusterimo dan Noli Ne Tanggere karangan Jose Rizal. Itupun kalau mereka kenal siapa itu Jose Rizal.

Apa lagi yang boleh dibuat? Memang itulah realitinya.Dahulu pernah seorang tokoh politik muda yang mencadangkan kepada sekelian ahli politik dan pemimpin kerajaan yang lazimnya menerima cenderamata bagi merasmikan sesuatu majlis agar diberikan buku untuk menggantikan cenderamata yang bukan-bukan. Itu cadangan yang cukup baik. Sekurang-kurangnya mereka diingatkan agar sentiasa membaca untuk menjadi pemimpin yang baik. Tetapi kini hanya sekadar menjadi cadangan dan memenuhi peribahasa hangat-hangat tahi ayam. Siapa yang nak menyambut cadangan-cadangan sebegitu? Ahli poltik lebih berminat membeli undi dan jiwa dengan hadiah wang ringgit!

Lamunan Azhar diganggu apabila dia mendengar bunyi berkeriuk. Dari mana datangnya? Azhar bangun daripada kerusinya itu sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, cuba mengenal pasti bunyi apakah sebenarnya. Dia menolak kaca mata berbingkai tebal itu ke atas batang hidungnya sambil cuba mengamati lagi bunyi itu. Akhirnya dia dapat menangkap dari mana bunyi itu datang. Azhar berjalan berhati-hati ke arah rak buku yang terletak di sebelah kiri bilik bacaannya itu. Memang dia pasti bunyi itu datang dari pada rak itu.
Azhar mendongak memandang tingkat rak buku yang paling atas. Rasa-rasanya tinggi rak itu lebih kurang tiga kali ganda tingginya sendiri. Sudah hampir dua puluh tahun rak buku itu berperanan sebagai tempat Azhar menyusun buku-bukunya. Ada yang tersusun secara melintang. Ada yang tersusun secara menegak. Ruang-ruang kecil dan celahan di antara buku-buku itu juga disumbat dengan buku-buku. Asal ada ruang dan asal boleh sumbat! Terdapat ribuan buku yang tersusun di setiap para rak buku tersebut. Dari jauh, Azhar dapat melihat beberapa para rak buku tersebut sudah mula melengkung, menandakan beban berat buku yang ditanggung setelah sekian lama.

“ Alamak, kacau ni.....nak roboh ke?” Azhar bertanya pada dirinya sendiri. Persoalan itu terjawab apabila dengan tidak disangka-sangka, kedengaran bunyi yang amat kuat seperti papan kayu dipecahkan. Azhar tersentak dan terloncat sedikit kerana terkejut. Dia semacam tidak mahu percaya bahawa rak itu sudah tidak mampu menampung berat buku-bukunya dan roboh. Buku-buku yang mulanya tersusun di atas rak itu akhirnya jatuh menimpa Azhar satu demi satu. Kemudiannya keadaan menjadi seperti hujan buku. Azhar tidak sempat untuk melarikan diri apabila koleksi ensaiklopedia Britannica yang sudah berusia hampir tiga dekad itu jatuh menghempapnya. Selepas itu dia dihukum pula oleh kamus-kamus tebal yang lebih berat.

Pantas dan bagaikan kilat. Itulah gambaran kejadian runtuhan itu. Setelah episod runtuhan buku itu berakhir, Azhar cuba untuk bangkit. Memang berat dan sakit dihempap buku-buku itu, tetapi Azhar merasakan kudratnya masih mampu untuk bangkit. Cuma buat beberapa ketika dia bercadang untuk baring dan ditimbuni buku-buku itu. Sekonyong-konyong dia teringat kepada seorang ilmuan yang pernah diceritakan mati akibat dihempap buku-bukunya yang banyak. Al Jahiz namanya. Tokoh itu lumpuh dan bekerja sebagai penjual ikan dan roti. Tetapi ia minat akan membaca dan menuntut ilmu dengan cendiakawan yang cukup ramai di Mirdad, sebuah kawasan di pinggir kota Basra.

Dalam pada itu juga, Azhar terkenangkan pula kisah Nabi Yunus AS yang ditelan ikan paus ketika ia cuba membawa diri kerana seruan dakwah yang disambut dingin oleh umatnya. Allah mengajar nabi pilihannya agar tidak berputus asa dengan perjuangan.

Sedang ia berfikir tentang Nabi Yunus AS dan al Jahiz itu, telefon antik di rumahnya itu berdering. Azhar menduga bahawa pasti itu panggilan daripada anak-anak muda dari sebuah universiti tempatan yang memintanya untuk menjadi penasihat kepada sebuah kelab pembaca. Dahulu ia menolak kerana rasa kecewanya pada masyarakat Malaysia yang tidak suka membaca. Tetapi, timbunan buku, al Jahiz dan kisah Nabi Yunus AS segera pula memberikan ia sedikit harapan untuk mencuba dan berjuang, walaupun hasilnya tidak seberapa. Yang penting perjuangan itu, bukan natijahnya.
Azhar segera cuba bangkit daripada timbunan buku-buku itu dan telefon itu terus berdering, menjerit-jerit minta disambut.

Penulis : Luqman Husaini ( Cerpen ini belum pernah disiarkan)

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Suri Rumah Berkumis!

Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

SUAMI lumrahnya berperanan sebagai ketua rumah tangga dan pencari rezeki bagi membina keluarga. Peranan itu sudah dipikul boleh dikatakan sejak azali lagi. Budaya yang dikendong juga memandang peranan sang suami sebegitu. Jika diterbalikkan peranan itu kepada sang isteri, sangatlah janggal bagi telinga dan budaya negara ini, sepertimana janggalnya kedengaran kenyataan yang dibuat Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah mengenai kemungkinan fenomena ini berlaku suatu masa nanti.

Tidak dapat disangkal, fenomena ini telah lama diterima di negara-negara Barat dan sedang berkembang pesat di hemisfera lainnya. Seramai 189,000 lelaki daripada hampir 61 juta jumlah penduduk di United Kingdom mengambil keputusan menjadi suri rumah.

Di Seoul, Korea Selatan, seperti laporan akhbar Berita Harian edisi Selasa (23 Oktober 2007) bahawa jumlah suami yang memilih untuk menjadi ‘suri rumah’ meningkat 40 peratus sejak tiga tahun lalu.

Pejabat Perangkaan negara tersebut mendedahkan jumlah suami yang memilih untuk tinggal di rumah bertambah kepada 151,000 pada 2006, berbanding 106,000 pada 2003.

Kejanggalan ini dinyatakan boleh berlaku oleh pelbagai punca. Punca utama adalah apabila semakin ramai kaum wanita memiliki kerjaya yang menawarkan pendapatan yang tinggi yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki.

Di Malaysia, senario ‘kekurangan’ pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan diseluruh institusi pengajian tingginya dengan nisbah 40:60 itu menjadi kerisauan pelbagai pihak ditakuti fenomena tersebut ‘berjangkit’ di negara ini pula.

Jika dilihat dari sudut akal yang terbatas ini, adalah tidak menjadi masalah sekiranya sama ada pihak suami menjadi suri rumah asalkan masing-masing mempersetujui dan selesa akannya. Melihatkan kepada punca utama tadi, wanita (isteri) yang berkerjaya dan memiliki pendapatan yang lebih tinggi berbanding lelaki (suami) lebih mampu menanggung perbelanjaan.

Malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri melihat fenomena ini adalah suatu fenomena yang sihat kerana ia berupaya mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta menguruskan rumah tangga. Menurutnya lagi, apa yang penting di dalam sesebuah perkahwinan adalah rasa hormat-menghormati sesama pasangan (Utusan, 23 Ogos 2007).

Selain itu, sebagai suatu langkah proaktif mempersiapkan diri dalam ‘menghadapi’ fenomena ini, kemahiran keibubapaan akan dijadikan satu kursus di kolej komuniti di seluruh negara mengambil contoh sepertimana yang telah dijalankan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jepun.

Kementerian Pengajian Tinggi yang mencadangkan kursus tersebut berpendapat bahawa kemahiran keibubapaan ini penting bagi generasi muda dalam mempersiapkan diri menjadi ibu bapa yang baik kelak.

Langkah yang diambil ini merupakan suatu langkah yang terpuji. Islam juga tidak menganggap fenomena ini salah jika suami menguruskan rumah tangga. Namun peranan ini perlulah bersifat sementara berpadanan dengan tanggunjawab hakiki suami sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah keluarga.

Tanggungjawab isteri pula adalah menjaga maruah suaminya, mencari keredaan Allah dan suami serta menguruskan keluarga. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid,” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Islam meletakkan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak di atas bahu seorang lelaki tanpa syarat sama ada tahap pendidikannya tinggi ataupun rendah berbanding isteri. Itu yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

Seorang lelaki bergelar suami wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga selain wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Jika tidak mampu mengajar sendiri suami wajib menanggung pembiayaannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika isterinya membangkang).”

Islam itu indah dan keindahannya itu adalah bersesuaian dan berkekalan sepanjang zaman. Justeru kejanggalan dan kecanggungan fenomena suami suri rumah ini seharusnya dikaji dan diperhalusi disetiap sudut dan sisinya berdasarkan ketetapan agama bukannya berdasarkan tuntutan zaman.

Pengadaptasian fenomena tersebut ke negara ini dikhuatiri akan hanya membawa perubahan besar terhadap struktur ekonomi dan masyarakat serta mengubah keseimbangan institusi perkahwinan itu sendiri.


Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Dadah Tetap `Musuh Nombor Satu’

MASALAH utama belia khususnya golongan remaja atau belia bermula dari pencarian jati diri. Mereka mengalami krisis identiti kerana untuk dikelompokkan ke dalam kelompok kanak-kanak, merasa sudah besar, namun kurang besar untuk dikelompokkan dalam kelompok dewasa. Hal ini merupakan masalah bagi setiap remaja dan belia di belahan dunia ini terutama di negara kita Malaysia.

Oleh kerana pergulatan masa remaja ini, maka remaja ataupun golongan belia mempunyai keperluan sosialisasi yang seoptima mungkin, serta diperlukan pengertian dan sokongan orang tua dan keluarga dalam menghadapi atau menjalani zaman remaja. Apabila keperluan remaja kurang diperhatikan, maka belia akan terjebak dalam perkembangan peribadi yang ‘lemah’, bahkan dengan mudah boleh terjerumus ke dalam belenggu penyalahgunaan dadah.

Hingga sekarang, penyalahgunaan dadah semakin luas di dalam masyarakat kita, terutama semakin banyak di kalangan para belia yang sifatnya ingin tahu dan ingin mencuba. Pelbagai alas an diberikan mengapa ramai yang terjerumus ke lembah terlarang dan berbahaya ini yang kemudian tidak mampu melepaskan diri lagi. Alasannya antara lain ialah perkara ini sudah dianggap sebagai suatu gaya hidup masa kini, dipujuk orang agar merasakan nikmatnya, ingin lari dari masalah yang ada, untuk merasakan kenikmatan sesaat, kebergantungan dan tidak ada keinginan untuk berhenti dan banyak lagi alasan lainnya.

Ada baiknya kita mengintip sedikit tentang dadah. Apa itu jenis-jenis dadah? Menurut pakar kesihatan, pada dasarnya dadah terbahagi kepada 4 kumpulan, iaitu:

1. Narkotik, terutama opiat atau candu.
2. Halusinogenik, contohnya ganja atau marijuana
3. Stimulan, contohnya ecstasy dan shabu-shabu
4. Depresan, contohnya ubat penenang.

Semua kumpulan mempunyai pengaruh tersendiri terhadap tubuh dan jiwa penggunanya. Opiat, yang menghasilkan heroin atau putauw menimbulkan perasaan seperti melayang dan perasaan enak atau seronok yang luar biasa, yang disebut euforia. Tetapi kebergantungannya sangat tinggi dan boleh menyebabkan kematian.

Marijuana atau ganja, yang termasuk dalam kumpulan halusinogenik, mengakibatkan timbulnya halusinasi sehingga pengguna kelihatan seronok berkhayal. Tetapi sekitar 40-60 perauts pengguna melaporkan berbagai-bagai kesan sampingan yang tidak menyenangkan, misalnya muntah, sakit kepala, otot berasa lemah, bingung, cemas, ingin bunuh diri, dan beberapa akibat lainnya.

Bahan yang tergolong dalam ‘dadah perangsang’ menimbulkan pengaruh yang bersifat merangsang sistem saraf pusat sehingga menimbulkan rangsangan secara fizikal dan psikologi. Ecstasy, contohnya, menyebabkan pengguna merasa terus bersemangat tinggi, selalu gembira, ingin bergerak terus, sampai tidak ingin tidur dan makan. Akibatnya hingga boleh menimbulkan kematian.

Sebaliknya, bahan yang tergolong dalam kumpulan depresan menimbulkan pengaruh yang bersifat menenangkan. Depresan atau yang biasa disebut ubat penenang, dibuat secara ilmiah di makmal. Berdasarkan indikasi yang benar, ubat ini banyak digunakan sesuai dengan arahan doktor. Dengan ubat ini, orang yang berasa gelisah atau cemas misalnya, boleh menjadi tenang. Tetapi bila ubat penenang digunakan tidak sesuai dengan indikasi dan arahan doktor, apalagi digunakan dalam dos yang berlebihan, akan menimbulkan akibat buruk lainnya.

AKIBAT PENYALAHGUNAAN DADAH

Pada dasarnya, akibat penyalahgunaan dadah boleh dibahagikan kepada akibat fizikal dan psikologi. Akibat yang terjadi tentu bergantung kepada jenis dadah yang digunakan, cara penggunaan, dan lama penggunaannya.

Beberapa akibat fizikal ialah kerosakan otak, gangguan hati, ginjal, paru-paru, dan penularan HIV/AIDS melalui penggunaan jarum suntikan bergantian. Sebagai contoh, sekitar 70 peratus pengguna dadah suntikan di China menghidap penyakit HIV/ AIDS.

Di Malaysia, sejak beberapa tahun terakhir ini jumlah kes HIV/AIDS yang menular melalui penggunaan jarum suntikan di kalangan pengguna dadah jelas meningkat. Akibat lain juga timbul sebagai komplikasi cara penggunaan dadah melalui suntikan, misalnya infeksi pembuluh darah dan penyumbatan pembuluh darah.

Di samping akibat tersebut di atas, terjadi juga pengaruh terhadap irama hidup yang menjadi kacau seperti tidur, makan, minum, mandi, dan kebersihan lainnya. Lebih lanjut, kekacauan irama hidup memudahkan timbulnya berbagai penyakit. Akibat psikologi yang mungkin terjadi ialah sikap yang apatis, euforia, depresi, kecurigaan atau kebimbangan tanpa, kehilangan kawalan perilaku, sehingga mengalami penyakit mental atau jiwa.

Akibat fizikal dan psikologi tersebut boleh menimbulkan akibat lebih jauh yang mungkin mengganggu hubungan sosial dengan orang lain. Bahkan acapkali pula merugikan orang lain. Sebagai contoh, pergaduan dan kemalangan jalan raya yang terjadi kerana pelaku tidak berada dalam keadaan normal, baik fizikal mahupun mental.

Penggunaan dadah boleh menimbulkan masalah kebergantungan. Kebergantungan terhadap dadah ternyata tidak mudah diatasi. Meski ramai belia yang berjuang untuk keluar dari kebergantungan terhadap dadah, namun acap kali gagal. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melancarkan program substitusi ubat dengan menggunakan metadon. Diharapkan dengan pemberian metadon ini penggunaan dadah suntikan dapat dikurangi atau dihentikan.

Penggunaan dadah suntikan amat berisiko menularkan penyakit Hepatitis C dan HIV. Kajian di RS Cipto Mangunkusumo, Indonesia mendapati bahawa angka kekerapan Hepatitis C di kalangan pengguna dadah suntikan mencapai 7%. Sedangkan kekerapan HIV pada pengguna dadah suntikan di Malaysia berkisar antara 60 – 90 peratus.

KEPENTINGAN SOKONGAN

Setelah beban fizikal pengguna dadah suntikan dapat diatasi, maka masih ada beban psikologi dan sosial. Beban psikologi dan sosial ini kadang-kadang amat berat sehingga boleh menyebabkan belia kembali menggunakan dadah suntikan. Oleh kerana itu, perlu diwujudkan lingkungan yang menyokong.

Di Malaysia terutamanya, lingkungan yang paling penting adalah keluarga. Kesediaan keluarga untuk menerima belia yang pernah menggunakan dadah suntikan merupakan sokongan yang amat berharga. Sebahagian belia dapat meneruskan pendidikannya dan memperoleh pekerjaan. Namun, sebahagian lagi tidak mungkin dapat meneruskan persekolahan dan harus menghadapi kenyataan bahawa mereka perlu berjuang untuk hidup dengan bekal pendidikan yang terbatas.

Hendaknya kita dapat meningkatkan berbagai potensi yang ada di tengah masyarakat. Kita perlu berganding tangan untuk mencegah belia menggunakan dadah. Adapun bagi belia yang telah menggunakannya, diperlukan layanan yang terpadu untuk membawa mereka kembali ke tengah masyarakat. Layanan tersebut rumit dan memerlukan usaha jangka panjang, tetapi semua usaha itu wajar kita laksanakan kerana masa depan negara, bangsa dan agama ada di tangan mereka.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Muhammad Abu Zahrah (1898-1974M) : Imam Fuqaha Dari Al-Azhar

Oleh Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Nama penuhnya ialah Muhammad Ahmad Mustafa Abu Zahrah dilahirkan pada 29 Mac 1898M di Mahallah al-Kubra, Mesir. Keluarganya adalah sebuah keluarga yang memelihara adab-adab agama dan nilai-nilai Islam. Dalam suasana tersebut, beliau dibesarkan dan memberi kesan terhadap pembentukan jiwa dan peribadinya. Ketika berusia sembilan tahun, beliau telah menghafal al-Quran dari guru-gurunya seperti Syeikh Muhammad Jamal, Imam Masjid Dahaniah, Syeikh Muhammad Hika, Imam Masjid Hanafi dan Syeikh Mursi al-Misri, Imam Masjid Syeikh Abu Rabah. Muhammad Abu Zahrah mengakui bahawa permulaan kehidupan ilmiahnya bermula dari pengajian dan penghafalan al-Quran.

Dalam aspek pendidikan peringkat rendah, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Rendah al-Raqiyyah dan ilmu-ilmu moden seperti Matematik dan lain-lain di samping ilmu agama dan bahasa Arab. Abu Zahrah meneruskan pengajian di Kolej al-Ahmadi al-Azhari di Masjid Ahmadi, Tanta pada tahun 1913. Pada tahun 1916, beliau memasuki Sekolah Kehakiman Syariah, Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1907 dan hanya mengambil pelajar yang cemerlang. Kolej ini dibina bertujuan melahirkan ahli feqah yang semasa dan pratikal yang bersesuaian dengan realiti masyarakat bagi mengisi jawatan hakim syar’i di Mesir.

Kolej mempunyai sistem pendidikan yang lebih teratur dan pelengkap kepada al-Azhar. Di sinilah Muhammad Abu Zahrah dididik terutama dari sudut pembentukan peribadi daripada guru-gurunya di situ seperi Abd Wahab Khalaf dan juga kehidupan ilmiah dengan membuat penyelidikan dan penulisan. Beliau belajar di kolej sehingga tahun 1925. Namun malangnya, kolej ini ditutup pada tahun 1923 dan pelajar-pelajar di pindahkan ke Dar Ulum, Kaherah. Hanya beberapa pelajar yang dibenarkan tamat sehingga tahun 1925. Apabila tamat di kolej tersebut, beliau memasuki Institut Latihan Kehakiman untuk menjadi peguam selama setahun. Pada tahun 1927, beliau belajar di Dar Ulum selama enam bulan bagi membolehkan ia memasuki peperiksaan bagi mendapat Sijil Dar Ulum.

Antara guru-gurunya ialah Muhammad Atif Barakah (1872-1924), guru di Kolej Ahmadi, Tanta, Muhammad Faraj Shanhuri (1891-1977), Abdul Wahab Azam (1894-1959) Ahmad Ibrahim Bik, Muhammad Khudri al-Afifi, Abdul Wahab Khalaf, Abdul Jalil Isa, Muhammad al-Banna, Ali Khafif, Husain Wali, Ahmad Amin,Abdul Aziz al-Khuli, dan Mustafa Ana’i. Muhmmad Abu Zahrah pernah bekerja sebagai guru di Pusat Penyediaan Dar Ulum secara kontrak selama setahun (10 Oktober 1927-14 November 1928), kemudian beliau mengajar di sekolah menengah di Kaherah dan Suhaj selama dua tahun iaitu bermula dari tahun 1930 sehingga akhir tahun 1932.

Pada awal 1933, beliau bertugas di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar. Beliau mengajar subjek khitabah (pengucapan) dan perbandingan agama. Pada masa ini, beliau telah menerbitkan buku Khitabah, Tarikh al-Jidal (Sejarah Perdebatan), Diyanat al-Qadimah (Agama-Agama Kuno), Muhadarat fi Nasraniah (Isu-Isu Dalam Agama Nasraniah).

Beliau mengajar sebagai guru sepenuh masa di al-Azhar selama satu tahun dan lapan tahun sebagai guru pelawat apabila beliau berpindah ke Kuliah Undang-Undang, Universiti Kaherah. Beliau mengajar di Kuliah ini bermula pada 1 November 1934 di samping mengajar di al-Azhar. Sejak tahun 1942, beliau menumpukan sepenuhnya di Kuliah Undang-Undang dengan menjadi Ketua Jabatan Syariah sehinggalah persaraan beliau pada tahun 1958. Beliau terus mengajar dan menjadi pembimbing di peringkat Ijazah Tinggi sehinggalah beliau meningggal dunia. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Dekan bagi Kuliah Undang-Undang selama lima tahun sehingga beliau bersara pada tahun 1958.

Beliau digelar sebagai imam yang menunjukkan kealiman dalam ilmu. Namun menurut Abdul Halim Jundi, bahawa gelaran imam bukan sahaja menunjukkan kealiman dalam bdang ilmu atau gelaran yang diberikan oleh kerajaan tetapi pendirian dan keberanian dalam menyatakan kebenaran dalam isu-isu masyarakat. Syeikh Abdul Halim Mahmud mantan syeikh al-Azhar menyebutkan bahawa jika terdapat masalah dalam Lujnah Fatwa, maka kami akan merujuk kepada Muhammad Abu Zahrah. Beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama dalam isu pengharaman riba. Menurutnya, pengharaman riba bagi memelihara kebajikan umat Islam.

Muhammad Abu Zahrah seorang yang prihatin dan pakar dalam ilmu al-Quran dan tafsir. Semasa zaman beliau ditegah menulis di akhbar dan majalah dan bertugas di Universiti, beliau mula menulis mengenai al-Quran dengan mengarang buku “Mukjizat al-Kubra al-Quran”. Buku ini merupakan mukadimah dalam beliau mengarang tafsir al-Quran. Namun tafsir ini tidak sempat disempurnakan kerana beliau meninggal dunia terlebih dahulu. Sebahagian tafsir beliau ini telah diterbitkan Dar al-Fikir al-Arabi dalam 10 jilid yang berjudul Zahrah al-Tafasir.

Muhammad Abu Zahrah meninggal dunia pada petang hari Jumaat pada 12 April 1974 di Rumahnya di Zaitun, Kaherah ketika berumar 76 tahun. Beliau meninggal dunia ketika memegang pen untuk menulis tafsir al-Quran dalam surah al-Naml, ayat 19 yang bermaksud : “ Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (al-Naml, ayat 19)

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Kain Putih Apa Coraknya?

Oleh: Zalila Isa

Dunia hampir kiamat. Itulah kalimat yang terucap apabila menyaksikan dan menilai beberapa perkara yang dilakukan oleh manusia hari ini. Batas-batas ketamadunan seorang manusia semakin menipis. Manusia tidak lagi wujud sebagai makhluk tuhan paling mulia berbanding haiwan dan ciptaan Tuhan yang lain.

Menurut SMahadzir melalui artikelnya Antropologi Dalam Al-Quran (laman web YADIM, 22 Mei 2007), terdapat tiga istilah yang menerangkan makna asas manusia, iaitu ‘basyar’, ‘insan’, dan ‘al-nas’. ‘Basyar’ memberikan rujukan kepada manusia sebagai makhluk biologi.

Konsep ‘basyar’ selalu dihubungkan dengan sifat-sifat biologi manusia, iaitu makan, minum, seks, dan sebagainya.Konsep insan pula jelasnya merupakan keistimewaan manusia sebagai khalifah atau pemikul amanah, insan dihubungkan dengan ‘predisposition’ negatif dan positif diri manusia dan insan dihubungkan dengan proses penciptaan manusia. Ini bermakna semua konteks insan menunjukkan pada sifat-sifat psikologi atau spiritual.

Manakala konsep al-nas pula dikaitkan dengan hubungan manusia sesama manusia (hablu minan nas). Al-Quran menjelaskan bagaimana manusia dengan kelompok sosialnya berinteraksi sesama mereka. Ini menunjukkan bahawa al-Quran memandang manusia sebagai makhluk biologi, psikologi, dan sosial.

Manusia hari ini dilihat sebagai satu konsep yang terpisah. Aspek biologi tidak selari dengan psikologi malah terpisah dari konteks sosial. Kerana itu maka terlahir insan dan manusia yang tidak punya nilai yang konsisten. Percanggahan identiti dan krisis nilai yang berlaku menjadikan keadaan semakin tidak terkawal dan mengundang pelbagai konflik.

Bagaimana mahu membentuk ´basyar´, ´insan´ dan ´al-nas´ secara tersusun walaupun Allah s.w.t sendiri menyatakan sifat manusia itu sentiasa bersemuka dengan yang baik dan buruk iaitu manusia mempunyai predisposisi negatif dan positif?

Firman Allah dalam surah Al-Sajdah yang bermaksud;

“Tuhan yang membuat segala sesuatu yang diciptakan dengan sebaik-baiknya dan yang memulakan penciptaan manusia daripada tanah. Kemudian Dia menciptakan keturunannya daripada saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan ke dalam tubuhnya akan roh ciptaan-Nya”.

Allah s.w.t menciptakan manusia sebaik-baik ciptaan. Hal yang membezakan manusia dengan ciptaan yang lain ialah akal. Dengan akal, tuhan membiarkan manusia berfikir dan menilai antara yang baik dengan yang buruk.

Islam sebagai agama yang paling sempurna menjanjikan syurga kepada umatnya yang taat dan beriman kepada Allah s.w.t. Ganjaran pahala dan syurga yang dijanjikan mudah digapai jika umat Islam menurut apa yang diperintahkan dan menghindar apa yang dilarang.

Namun, semua itu tidak menjanjikan umat Islam menggunakan akal sebaiknya. Ramai yang tersungkur dan gagal dalam perjalanan menggapai syurga yang dijanjikan. Mengapa hal ini boleh berlaku sedangkan Islam dari aspek penyampaiannya amat jelas kepada umat Islam iaitu setiap perkara yang buruk itu ada balasannya.

Mungkin juga hal ini boleh dikaitkan dengan peristiwa semasa Allah s.w.t meminta syaitan sujud kepada Adam. Syaitan enggan kerana merasakan Adam yang dicipta daripada tanah lebih rendah tarafnya daripada syaitan yang dicipta daripada api.

Surah al-A´araf, ayat 14-16 menjelaskan;

“Iblis menjawab: "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh” .Iblis menjawab: "Kerana Engkau Telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus.”

Melihat dendam dan keazaman sang syaitan mahu menyesatkan manusia, manusia harus sedar peranan yang perlu dimainkan dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Tanpa iman yang kukuh, syaitan dan iblis dengan mudah menunaikan sumpah mereka untuk menyesatkan umat manusia yang beragama Islam.


Mendidik Manusia Sedari Awal Pembentukannya.

Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya´, ´bagaimana contoh begitulah gubahannya´, ´bagaimana ditanam, begitulah dituai´, ´bagaimana rupa begitulah bayangnya´, dan banyak lagi. Ungkapan pepatah dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si cilik, begitulah nanti dewasanya si cilik dengan didikan kita.

Ungkapan itu juga menjelaskan betapa didikan yang pelbagai untuk anak-anak bakal memanusiakan mereka atau menjadikan mereka bukan manusia. Istilah memanusiakan anak-anak memerlukan kefahaman yang tinggi bukan sahaja dari sudut material malahan paling penting kefahaman dari aspek mental.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda; “Tahukah engkau siapakah yang mandul?”

Para sahabat menjawab; “ Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.”

Lalu Rasulullah s.a.w berkata ; Orang yang mandul ialah orang yang memepunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia meninggal dunia.”

Firman Allah s.w.t melalui surah al-A’raaf ayat 58 bermaksud;

“Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut…”

Meninjau kisah Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya?". Jawab bapa Imam Abu Hanifah “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”.

Ini bermakna, bapa Imam Hanifah telah menyiapkan dirinya yang terbaik agar anak yang dilahirkan kelak mewarisi kebaikan dan akhlaknya. Hal ini harus dipandang berat oleh ibu bapa masa kini yang beranggapan bahawa pertalian mereka dan anak-anak hanya atas dasar pertalian darah semata.Sebenarnya ia lebih dari itu.

Dalami juga nasihat-nasihat berguna Luqman Al-Hakim kepada anaknya ketika mereka sedang dalam sebuah perjalanan yang jauh. Luqman Al-Hakim adalah seorang hamba yang miskin, namun telah mengayakan anaknya dengan nasihat-nasihat yang berguna sehingga nasihat beliau diwahyukan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran dan menjadi sebahagian ilmu yang berguna kepada umat Islam hari ini.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud;

"Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis tersebut memberi maksud seperti pepatah lama Melayu di atas iaitu ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Ini bermakna tugas ibu bapa bukan sahaja mendidik diri sendiri menjadi manusia yang baik, malah mendidik anak sejak di dalam kandungan sehingga ia lahir ke dunia.

Peranan Ibu Bapa

Setiap insan yang berpasangan pasti mengimpikan agar dikurniakan anak-anak bukan sahaja sebagai penyeri rumah tangga malah terlebih tepat sebagai penyambung zuriat dan keturunan. Menyedari hakikat ibu bapa sebagai pemegang amanah, mereka harus memainkan peranan dengan baik dan konsisten.

Terdapat pelbagai jenis buku ditulis bagi memberi panduan kepada ibu bapa dalam menghadapi dunia keibubapaan. Sedari penjagaan bayi dalam kandungan, menamakan bayi dengan nama yang baik, panduan penjagaan bayi selepas dilahirkan sehingga bayi berusia akil baligh, serta panduan bagi psikologi ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Tidak terlupakan juga banyak bengkel dan seminar-seminar diadakan untuk ibu bapa menangani konflik dalam penjagaan anak-anak. Pelbagai medium terutama medium berbentuk teknologi dan ciptaan moden diwujudkan bagi membantu ibu bapa memainkan peranan sebaiknya dalam usaha memanusiakan anak-anak mereka.

Al-Quran sendiri memainkan tanggungjawab yang besar dalam mengingatkan ibu bapa tentang peranan mereka mendidik anak. Begitu juga peranan anak terhadap ibu bapa serta hubungan baik sesama manusia.

Kelalaian ibu bapa tidak harus digaduhkan atau dipanjang-panjangkan. Terutama apabila si anak melakukan sesuatu yang tidak baik. Ungkapan ‘bukan salah ibu mengandung’ seringkali diluahkan oleh ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak. Memang bukan salah ibu mengandung sehingga terlahir anak yang begitu atau begini. Namun, kesilapan kecil ibu bapa dan kelekaan yang mereka lakukan tidak harus diambil ringan dan dilupakan begitu sahaja.

Antara kelekaan ibu bapa yang sering berlaku adalah ;

1. Kurang berdoa semasa mengandung dan membesarkan anak. Banyak doa yang boleh diamalkan seperti doa Saidul Istighfar, memohon rahmat, memohon zuriat yang baik dan sebagainya.

2. Memberi ajaran tarhib (menakutkan) daripada targhib (dorongan atau motivasi). Biasanya ibu bapa mengambil jalan mudah dengan menakut-nakutkan anak dengan sesuatu agar anak mendengar kata-kata mereka. Antara perkara tarhib yang mereka gunakan ialah menakutkan anak dengan hantu, binatang yang berbisa dan sebagainya.

3. Tidak tegas dalam mendidik anak-anak iaitu tidak mendisiplinkan anak-anak dengan hukum agama terutamanya solat dan aurat sejak mereka kecil.

4. Menegur anak secara negatif dengan menggunakan kata-kata yang kasar dan menjatuhkan maruah mereka. Hal ini harus dielakkan kerana kata-kata ibu dan bapa merupakan doa buat anak mereka.

5. Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani, rohani dan intelektual.

6. Kurang memberi sentuhan kepada anak-anak seperti menghabiskan masa yang berkualiti untuk anak-anak kerana sibuk bekerja.

7. Penampilan diri ibu bapa yang tidak manis untuk anak-anak. Walaupun punya talian darah, etika berpakaian tetap harus dijaga dan batas pandangan antara anak dan ibu bapa harus dipelihara.

8. Institusi kekeluargaan yang tidak harmoni menyumbang peribadi yang tidak seimbang dalam jiwa anak-anak.

9. Tidak mengawasi aktiviti anak-anak. Ibu bapa tidak mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak di luar rumah, rancangan yang ditonton di televisyen dan sebagainya.

10. Memberi tanggungjawab memelihara anak kepada pembantu rumah sedangkan ibu bapa telah diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk memelihara dan mendidik anak-anak.

Melihat kepada beberapa kelekaan yang telah dilakukan oleh ibu bapa masa kini, jika tidak ditangani, tidak mustahil setiap hari kita akan membaca berita tentang tingkah laku anak-anak yang tidak masuk akal.

Selalunya anak-anak yang menerima pendidikan dan persekitaran yang tidak baik akan menunjukkan sikap sebenar mereka apabila mereka berada di alam persekolahan atau meninjak usia remaja. Tidak hairan, kebanyakan kes jenayah melibatkan usia remaja. Ini termasuklah anak-anak remaja yang terlibat dalam kes mencuri, mencederakan orang lain, dadah, seks rambang, pembuangan anak dan paling memilukan jenayah berat seperti membunuh dan sebagainya.

Apabila membaca berita begini, terlintas di fikiran kita tentang pengaruh-pengaruh luar yang menyebabkan anak-anak menjadi liar dan tidak terkawal. Ya, pengaruh dari persekitaran memang tidak dapat dihalang. Namun, Seperti yang diberitakan sejak awal bahawa keikhlasan menjalankan amanah sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak akan membantu mereka menggunakan akal dalam menerima atau menolak pengaruh yang mendatangi mereka.

Anak-anak umpama kain putih. Ibu bapa adalah pencoraknya. Apabila anak-anak dewasa, mereka akan cuba mengubah atau menokok tambah corak yang telah dilakarkan. Jika corak yang dilukis sedari awal oleh ibu bapa merupakan corak kelekaan, maka apabila si anak dewasa, corak kelekaan itu akan merugikan anak-anak kecuali anak tersebut bijak berfikir dan mencorakkan sendiri kehidupan mereka dengan corak yang bermakna.

Membentuk manusia bukan dengan menghantarnya ke sekolah semata-mata. Setinggi atau selama mana manusia bersekolah, tidak akan mampu mengubah sikap buruknya jika akar umbinya iaitu iman tidak ditanam sedari kecil. Malah sedari awal pembentukan manusia di dalam rahim ibu, manusia di sekelilingnya terutama ibu bapanya harus mencorak diri mereka dengan corak yang bermakna disulami dengan iman dan akal yang utuh. Dengan demikian, generasi yang terlahir dan membesar kelak adalah generasi yang bermakna dan bermanfaat untuk bangsanya dan agamanya.

Sumber: Disini
Baca selanjutnya...

Mari La Sat, Jengok Baling: Air Panas Ulu Legong

Kolam Air Panas Ulu Legong

Terdapat lima kolam air panas semulajadi di lokasi ini. Ulu Legong juga terletak dekat dengan perkampungan orang asli.

Baling terletak di selatan Kedah, dan tempat ini menjadi tarikan bagi mereka yang menggemar untuk mencuba terapi kolam air panas.

Terletak 22km dari Baling, tempat ini sesuai untuk pengunjung pelbagai lapisan umur, terutamanya apabila suhu menurun pada malam hari.

Ada juga yang berkunjung ke sini untuk mendapatkan rawatan terapi bagi pelbagai jenis sakit. Mereka merendamkan diri dalam kolam air dengan kandungan sulfur yang tinggi ini.

Suhu air antara 30 °C dan 60°C, dengan kandungan sulfur yang tinggi di kolam air panas tersebut menjadikan ia tempat yang sering dikunjungi orang ramai.


Tips


Ulu Legong terletak berdekatan perkampungan orang asli dan air terjun. Ia dibuka kepada orang ramai 24 jam dengan bayaran yang berpatutan.


Pengangkutan


Kereta
Gunakan lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dan ambil laluan Sungai Petani Selatan. Ikuti papan tanda ke pekan Baling. Lokasinya kira-kira 10 km dari pekan Baling.


Talian Untuk Dihubungi


Untuk maklumat lanjut, hubungi Pejabat Ulu Legong Hot Spring di talian: +604-473 2284 . Atau hubungi pejabat Tourism Malaysia Kedah di talian +604-731 2322 / 730 1322 atau Pusat Penerangan Pelancongan Bukit Kayu Hitam di talian +604-9222 078.

Penginapan


Kolam Air Panas Ulu Legong turut menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan seperti chalet VIP, chalet biasa dan hostel. Penginapan terdekat adalah di pekan Baling, yang turut menyediakan kemudahan hotel bertaraf 2 bintang.

Sumber: http://www.tourism.gov.my/my/destinations/item.asp?item=ululegong


Gambar-Gambar Sekitar Air Panas Ulu Legong:











Sumber : Disini
Baca selanjutnya...

Pemerkasaan Ilmu Asas Dakwah Manhaj Maliziy: Perspektif Abim

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
(Kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Dakwah dan Generasi Muda, pada 10, 11 September 2007 di UKM.)

MUKADDIMAH

Masyarakat Islam dewasa ini sekali lagi didepani dengan cabaran ekstremisme. Ia menjelma sekurang-kurangnya dalam dua bentuk; mereka yang melonggarkan dan penisbikan pentafsiran agama sehingga tercabut dari akar umbinya yang asli dan mereka yang menyempitkan pentafsiran agama sehingga menjadikannya begitu keras dan tertutup, justeru mudah mengeluarkan sebahagian masyarakat Islam yang lain dari ruanglingkup agama.

Sementara golongan pertama, atas nama kebebasan, kemanusiaan, pencerahan dan pembukaan pintu ijtihad telah merungkaikan segala asas-asas keagamaan yang telah baik terjalin dalam tradisi keagamaan Islam, golongan kedua pula, atas nama pemurnian akidah dan perjuangan menegakkan sunnah dan membenteras bid’ah, telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dengan serangan terhadap ijtihad dan budaya amal Islami yang telah sedia berakar umbi dalam masyarakat Islam di rantau ini.

Walaupun penjelmaan wajah-wajah ekstrem ini bukanlah kisah baru dalam tradisi ilmu Islam, akan tetapi disebabkan kekeliruan sebahagian masyarakat terhadap intipati pengajaran Islam yang sebenar, badai kehadiran aliran-aliran ini sedikit sebanyak telah menggoncang bahtera kefahaman agama mereka sehingga tidak kurang juga yang hanyut lemas dipukul badai tersebut. Sudah tentu keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya bahtera kefahaman ini kukuh dan arus perdana yang membawanya ke destinasi kebenaran juga kuat berbanding badai yang melanda.

Dengan kata lain, sekiranya masyarakat kembali dididik dengan ajaran Islam yang sebenar melalui proses ta’dib yang betul, gejala ekstremisme dalam kefahaman dan pengamalan agama akan dapat dibendung. Justeru itu terdapat keperluan terhadap satu manhaj penyebaran agama yang realistik kepada keadaan setempat dan cabaran lingkungan yang tersendiri. Manhaj Maliziy, yang dipelopori oleh ABIM dan yang menggambarkan pendekatan yang dimaksudkan seharusnya menjadi pencetus kepada usaha yang lebih tersusun untuk kembali mendidik masyarakat Islam dengan ta’dib yang sebenar terhadap intipati ajaran Islam yang sebenar.

MANHAJ MALIZIY: SATU PENJELASAN

Manhaj Maliziy, sebagaimana yang digagaskan oleh pemimpin awal ABIM, secara dasarnya, merujuk kepada pendekatan ketidakbergantungan secara totok gerakan Islam, khususnya ABIM, kepada manhaj gerakan-gerakan Islam yang lain terutama gerakan–gerakan Islam awal seperti Ikhwan Muslimun di Timur Tengah, Jamaat Islami di India dan Pakistan, atau pendekatan siyasah revolusioner dari Iran. Pendekatan ini juga merupakan penegasan kepada hakikat perlunya gerakan Islam mempunyai pendekatan tersendiri dengan mengambilkira persekitaran dan lingkungan yang tersendiri sekaligus menolak imitasi buta terhadap gerakan Islam luar yang mempunyai persekitaran sosio-politik yang berbeza. Ijtihad haraki yang diambil oleh pemimpin ABIM ini ternyata serba sedikit tidak disenangi oleh beberapa rakan gerakan terutama yang melihat bahawa gerakan Islam yang wujud di seluruh dunia termasuk di Malaysia harus meletakkan wala’ serta menuruti secara total keseluruhan sistem dan manhaj gerakan-gerakan Islam utama tersebut justeru bertindak tidak lain sekadar extension dan carbon copy kepada mereka.

Pendekatan Manhaj Maliziy ini bertitik tolak dari premis bahawa Alam Melayu mempunyai cabaran-cabarannya yang tersendiri dan sudah pasti memerlukan kaedah dan model dakwah yang tersendiri untuk menanganinya. Tanpa menafikan manhaj dakwah Nabi yang sejagat, Manhaj Maliziy, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Siddiq Fadhil, hanyalah merumuskan satu pendekatan keMalaysiaan bagi menangani isu dakwah setempat yang masih bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Melalui manhaj ini, gerakan Islam di Malaysia seharusnya mampu untuk menyaring pendekatan-pendekatan yang dikemukakan oleh gerakan Islam yang lain dan menyesuaikannya dengan konteks negara Malaysia dan Alam Melayu.

Dari segi siyasah, dengan mengambil pesekitaran Malaysia yang tersendiri dan unik, manhaj ini di terjemahkan melalui beberapa konsep penting seperti ‘non-partisan’ dan independent political force iaitu ABIM terlibat secara langsung dalam proses politik kenegaraan tanpa perlu menjadi parti politik. Dengan mengambil pendekatan perpaduan dan politik pemersatu di kalangan parti politik, ABIM juga mengambil jalan menyumbang kepada pembangunan negara dengan berperanan sebagai ‘Rakan dalam Pembinaan Negara’ (partner in nation building). Keunikan realiti Malaysia yang bermasyarakat majmuk, kepelbagaian agama, perkongsian kuasa antara kaum, kesemuanya menjadi faktor penentu sikap dan pendekatan dakwah ABIM dalam operasi mereka di Negara ini.

Sementara dari segi kefahaman keagamaan, manhaj ini dijelmakan melalui prinsip wasatiyyatul Islam iaitu kesederhanaan Islam. Salah satu unsur wasatiyyah yang dijalankan ialah dengan menggabungkan orientasi salaf iaitu tradisi amalan Islam generasi awal Islam dan tajdid iaitu prinsip pembaharuan nilai-nilai keagamaan. Dengan kata lain, ABIM berusaha mengekalkan warisan lama disamping bersifat realistik dengan hal-hal semasa dan faktor persekitaran. Penjelmaan dari prinsip ini ialah pembukaan seluas-luasnya ruang dakwah kepada umat Islam dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Tidak ada keseragaman atau regimentation yang ketat ditekankan kepada ahli, sebaliknya kelonggaran diberikan kepada ahli-ahli selagi prinsip-prinsip utama dalam agama dipelihara. Juga tiada pendekatan ekstrem dan emosional dibudayakan seperti memuja pemimipin, cepat menghukum dan taksub kepada kumpulan.

Prinsip wasatiyyah ini juga terlihat melalui penekanan faham Siyasah Shar’iyyah yang sesuai dengan konteks negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk dari segi ras, agama, bahasa dan adat resam. Faham Siyasah Shar’iyyah ini terikat dengan prinsip shari’ah yang berpaksi kepada prinsip penekanan kepada perkara-perkara yang tetap (thawabit) dan berlapang dada dengan perbezaan kepada perkara-perkara yang berubah (mutaghayyir) dan juga bermatlamatkan melaksanakan kepentingan hamba-hambanya (masalih al-‘ibad) dan melaksanakan tujuan-tujuan murni shari’ah (maqasid shar’iyyah).

Sementara dalam pendekatan dakwah, Manhaj Maliziy telah dilaksanakan dalam bentuk dakwah yang lebih sederhana dan realistik terutama kepada bukan Islam. Pendekatan ini penting untuk untuk menjamin pendekatan dakwah dapat dilakukan dengan sempurna dan Islam dapat diterima oleh pihak lain dengan hati yang terbuka tanpa sebarang paksaan. Antara pendekatan yang dirangka ialah pendekatan “relevan,” iaitu pendekatan yang mengambil kira permasalahan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat bukan Islam, pendekatan “Nilai Islam Intrinsik,” iaitu penekanan kepada nilai-nilai dalaman Islam yang universal, pendekatan tidak berkonfrontasi, iaitu mengambil kira soal memikat hati di samping memaparkan kebenaran Islam; dan pendekatan “Refined” iaitu mengkaji latarbelakang mad’u dengan mendalam serta memberi jawapan yang khusus dan fokus kepada sesuatu masalah yang dihadapi.

Secara ringkas, Manhaj Maliziy dapat digambarkan sebagai pendekatan penyesuaian. Ia bukanlah pemisahan mutlak metod keagamaan di Malaysia dengan pendekatan Islam yang sejagat sehingga menggambarkan bahawa Islam mempunyai pelbagai wajah dan bersifat pluralis. Ia sekadar menunjukkan bahawa dalam beberapa aspek cabangan dan perlaksanaan, suasana persekitaran termasuk aspek geografi, cara berfikir dan ‘uruf setempat memainkan peranan penting dalam mengembangkan sesuatu faham keagamaan. Kepelbagaian di peringkat perlaksanaan ini bukanlah sesuatu yang baru dalam Islam kerana ia telahpun wujud sejak zaman awal Islam lagi apabila manhaj-manhaj fikah yang berbeza juga wujud disebabkan persekitaran dan lingkungan geografi yang berbeza.


MANHAJ MALIZIY SEBAGAI PENDEKATAN ILMI DAN CERMINAN KEBIJAKSANAAN DAKWAH ISLAM
Berdasarkan huraian di atas, kita dapat simpulkan bahawa Manhaj Maliziy berpijak kepada sekurang-kurangnya kepada dua landasan yang utama, iaitu kebijaksanaan (hikmah) dan kesederhanaan (wasatiyyah). Kedua-dua landasan ini sememangnya penting bukan sahaja kepada sesuatu manhaj dakwah, akan tetapi kepada kerangka budaya ilmu Islam itu sendiri. Dalam tradisi ilmu Islam, hikmah, seperti yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, merujuk kepada “pengetahuan mengenai tempat letak duduk sesuatu yang benar” dan ia merupakan salah satu daripada ibu kepada segala sifat keutamaan (ummahat al-fada’il) yang amat berkait rapat dengan prinsip keadilan. Dalam penjelmaannya dalam sejarah, hikmah sememangnya menjadi lambang ketinggian ilmu dan kebijaksanaan sehinggakan tradisi pemikiran dan falsafah Islam satu ketika telah diistilahkan dengan perkataan ‘Tradisi Hikmah.’ Al-Qur’an juga mengangkat martabat mereka yang dikurniakan hikmah dan mengaitkannya dengan kebaikan yang banyak (khayran kathiran). Sementara dalam manhaj dakwah, hikmah merupakan pra-syarat utama dan metod terbaik dalam usaha mengajak manusia kepada jalan Tuhan (ud’u ila sabili rabbika bi al-hikmah). Ini kerana pendekatan bil-hikmah yang disaran al-Qur’an ini, seperti yang dihuraikan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi, menggunakan hujah yang mantap (adillah qati’ah), yang tiada keraguan dan yang menjadi lambang kebenaran dan kebijaksanaan. Sementara landasan kedua kepada Manhaj Maliziy, iaitu kesederhanaan, merupakan ciri utama umat Islam (ummatan wasatan) yang juga bertindak sebagai kayu ukur dan neraca kepada ekstremisme yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu.

Justeru itu, Manhaj Maliziy yang berpaksikan kebijaksanaan dan kesederhanaan tidak harus dilihat hanya sekadar pernyataan perbezaan yang harus diambil oleh ABIM disebabkan perbezaan lingkungan atau sekadar tindakbalas terhadap kritikan sesetengah pihak, akan tetapi ia harus ditanggap sebagai cerminan kebijaksanaan yang sememangnya dituntut dalam Islam. Dengan kata lain, penekanan terhadap manhaj ini bukan sekadar dari aspek “ketempatanan”nya yang kelihatan agak sempit akan tetapi terhadap tradisi ilmu dan kebijaksanaannya yang lebih sejagat sesuai dengan wajah Islam.

Ekoran dari itu, Manhaj Maliziy harus dikenali dan dipopularkan sebagai manhaj ilmi, manhaj yang berdasarkan kekuatan hikmah dan tradisi ilmu. Dari segi epistemologi, ia juga merupakan manhaj dakwah yang sealiran dengan manhaj ilmu yang telah dipegang oleh Ahl Sunnah wa al-Jama’ah iaitu pendekatan yang berdasarkan sumber ilmu yang seimbang antara akal dan naqal, yang mengambilkira ‘illah dalam mengeluarkan hukum dan mengambil kira maslahah setempat. Ia harus dilihat sebagai manhaj Islam yang sebenar, manhaj sejagat yang harus dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia akan tetapi di mana-mana sahaja.

Manhaj ini juga tidak harus dilihat sebagai produk mutakhir yang terputus dari hakikat sejarah pendakwahan Islam di rantau ini. Keberadaannya harus dikaitkan dan ditelusuri dengan lebih jauh terutama hubungannya dengan sejarah pengembangan Islam di rantau Melayu yang sememangnya mempunyai kekuatan ilmu yang mantap sehingga Islam dapat mangakar dan bertahan selama ratusan tahun. Dengan kata lain, Manhaj Maliziy tidak lain merupakan penerusan manhaj pengembangan Islam yang telah dilakukan oleh ulama-ulama nusantara yang telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh gugusan Alam Melayu dengan begitu cepat tanpa menumpahkan darah. Tanpa kekuatan ilmu dan hikmah yang mendalam proses Islamisasi ini tidak akan menunjukkan hasil yang kita lihat sekarang ini.

Manhaj ilmi ini juga jelas tergambar dalam disiplin-disiplin ilmu yang berkembang sepanjang penyebaran Islam di Alam Melayu. Misalnya pengajaran akidah Islam di rantau ini dihuraikan dengan huraian akliah mantiqiyyah yang mantap berdasarkan nas-nas wahyu sebagaimana yang terserlah dalam karya-karya akidah seperti Aqai’d al-Nasafi, Umm al-Barahin, Sharah Jawharah al-Tawhid. Begitu juga dengan huraian faham-faham tasawuf tinggi yang terserlah dalam karya-karya Hamzah Fansuri dan Nur al-Din al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel jelas mementingkan kejelasan akliah dalam menghuraikan faham-faham penting mereka. Di samping itu, kebijaksanaan ulama-ulama silam serantau yang memberi ijtihad-ijtihad yang memenuhi keperluan masyarakat setempat menggambarkan mereka telahpun mengamalkan prinsip Manhaj Maliziy dalam konteks amalan keagamaan. Pengenalan amalan-amalan dalam ibadat, zikir-zikir yang diamalkan dalam ajaran tasawuf, kesemuanya menggambarkan kebijaksanaan manhaj ini. Walaupun pada asasnya para ilmuan ini masih lagi mengikut kerangka fikh mazhab Shafie dan aqidah aliran Ash’ariyyah Maturidiyyah, akan tetapi penghuraiannya mengambil kira lingkungan setempat. Begitu juga dengan pendekatan da’wah yang mengambil kira realiti budaya dan seni setempat seperti yang tergambar dalam manhaj da’wah Wali Sembilan kepada tanah Indonesia.

ANCAMAN BARU MANHAJ MALIZIY: CABARAN SEJAGAT DI LINGKUNGAN SETEMPAT

Tujuan kita menekankan kepentingan Manhaj Maliziy sebagai manhaj ilmi yang sejagat dan sebagai manhaj dakwah yang sebenar ialah kerana gerakan dakwah ketika ini menghadapi cabaran-cabaran baru yang lebih besar. Di zaman yang tandai dengan perkembangan keterbukaan dunia tanpa sempadan, kampung global, cabaran sejagat telah juga menjadi sebahagian dari cabaran lingkungan atau setempat. Alam Melayu dewasa ini bukan lagi alam tertutup yang sekadar menghadapi masalah serantau akan tetapi sudah mula di terobosi masalah-masalah global yang berasal-usul dari luar, khususnya sama ada dari pengalaman Tamadun Barat atau dari Timur Tengah. Sekiranya dahulu, ancaman-ancaman pemikiran seperti sekularisme, humanisme, liberalisme agama, feminisme hanya menjadi masalah yang serasi dengan tamadun dan pengalaman Barat, namun sekarang ini ia menjadi sebahagian dari kemelut yang merebak ke Alam Melayu. Begitu juga dengan aliran penyempitan pentafsiran agama, literalisme, Wahhabisme, Shi’isme yang dahulunya lebih popular sebagai polemik di Timur Tengah, namun sekarang, ia telah menjadi sebahagian dari masalah di Alam Melayu. Justeru itu, Manhaj Maliziy, di samping wajah tempatannya, harus juga mengorak langkah mempersiapkan diri sebagai manhaj yang juga bersedia menghadapi cabaran-cabaran sejagat ini.

Cabaran-cabaran sejagat yang kita maksudkan di atas, jika diteliti dapat dirangkumkan sebagai bentuk ektremisme agama yang datang dalam dua bentuk Yang pertama ialah liberalisasi agama yang cuba menekankan pentafsiran agama yang longgar, menolak batasan-batasan agama. Yang kedua, ialah aliran penyempitan agama yang mengetatkan pentafsiran Islam. Sekiranya kelompok yang melonggarkan agama menyeru kepada penisbian pentafsiran agama, kelompok yang menyempitkan agama pula, atas nama pemurnian aqidah, amat mudah sekali mengeluarkan individu Muslim lain dari parameter agama. Disebabkan pendekatan literalisme yang kaku, segala-galanya mengenai agama dilihat dari perpektif pertentangan sempit antara sunnah dan bid’ah. Aliran ini sememangnya tidak selari dengan kerangka epistemologi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang telah mengakar dan menyejarah di Alam Melayu. Malah, kedua-duanya menjadi antitesis kepada aliran Manhaj Maliziy yang diperjuangkan oleh ABIM dan sebahagian besar umat di rantau ini yang menjunjung prinsip kebijaksanaan dan kesederhanaan. Akan tetapi disebabkan kelemahan umat Islam dalam memahami tradisi ilmu yang menjadi arus perdana menyebabkan kelompok ekstrem bermaharajalela sehinggakan cacing sudah bertukar menjadi ular naga dan belalang sudah menjadi helang. Apabila itu sudah berlaku, yang jahil akan diangkat menjadi penentu benar dan salah dan masyarakat menjadi keliru tidak tentu arah.

Berdasarkan hakikat tersebut, harus menjadi keutamaan gerakan Islam untuk kembali memperkukuhkan aliran pertengahan Ahl Al-Sunnah wa al-Jamaah, melalui penegasan semula Manhaj Maliziy sebagai manhaj ilmi bagi mengembalikan umat Islam ke landasan agama yang sebenar.

PENERUSAN PEMERKASAAN BUDAYA ILMU DALAM MELALUI MANHAJ MALIZIY: PERANAN ABIM:

ABIM telah sekian lama menjadi peneraju aliran dakwah sederhana dalam konteks gerakan dakwah di Malaysia. ABIM juga telah menjadikan budaya ilmu sebagai salah satu teras gerakannya. Budaya ini yang selari dengan manhaj ilmi yang dipegang telah menyumbang dalam proses pendidikan yang berlaku sama ada di kalangan ahli ataupun di kalangan masyarakat secara umum. Namun begitu disebabkan cabaran-cabaran baru yang mendatang terutama yang berbentuk pemikiran atau yang menusuk terus ke jantung kehidupan beragama masyarakat Islam, yang menggegarkan tiang seri akidah mereka, sudah tentu tradisi ilmu yang sedia ada harus diperkasakan. Antara yang dapat dilakukan ialah:

i. Orientasi keilmuan sama ada di kalangan masyarakat umum dapat diperkukuhkan lagi dengan pengenalan, secara bertahap dan konsisten, terhadap ilmu-ilmu asas dalam tradisi Islam seperti Tafsir, Mustalah al-Hadis, Ilmu Kalam dan Mantiq. Ini kerana cabaran-cabaran baru terutama dalam bentuk pemikiran terhadap umat Islam amat berkait dengan disiplin-disiplin ini. Misalnya kefahaman yang baik terhadap ilmu Mustalah al-Hadis akan memberikan landasan kefahaman umat yang mantap terhadap konsep dan sejarah hadis dan dapat mempertahan meraka dari serangan golongan inkar sunnah dan liberalis agama. Sementara ilmu Tafsir memberikan kefahaman tentang asas-asas kefahaman al-Qur’an, metod pentafsiran al-Qur’an dan ini akan memberikan mereka jawapan terhadap serangan yang datang dari aliran liberal yang mencanangkan Hermeneutika al-Qur’an. Manakala ilmu Kalam dan Mantiq dapat mempersiapkan ahli dengan pertahanan akidah Islam yang lebih mantap terutama dari aspek akliah bagi menghadapi serangan dari kelompok liberalis agama dan kelompok agama lain. Walaupun pengetahuan yang mendalam mengenai disiplin-disiplin ini pada asasnya merupakan fardu kifayah kepada masyarakat Islam secara umumnya, namun memandangkan ancaman ekstremisme agama yang semakin membimbangkan, kefarduan mempelajari ilmu-ilmu ini telah mula bertukar ke tahap individu.

ii. Bahan-bahan bacaan harus diperluaskan melewati bacaan-bacaan berbentuk haraki terutama ke bacaan-bacaan yang bersifat ketamadunan. Cabaran-cabaran baru yang dihadapi sekarang ini ternyata memaksa kita untk menggali semula khazanah ketamadunan Islam bagi menyediakan tindakbalas yang lebih mantap. Jika diteliti premis yang mendasari aliran-aliran yang menjadi cabaran sekarang ini, ia tidaklah banyak berbeza secara dasarnya dengan premis yang dibawa oleh aliran-aliran yang telah wujud sepanjang sejarah keilmuan Islam. Misalnya, pandangan golongan liberalisme agama banyak menuruti hujah-hujah yang telah dibawa oleh golongan Falasifah, Mu’tazilah atau Sufasta’iyyun dalam sejarah pemikiran Islam. Sementara golongan yang menyempitkan agama pula berkongsi hujah dengan golongan-golongan ekstrem dalam tradisi Islam seperti Khawarij, Hasywiyyah dan sekelompok Hanabilah. Malah jika diteliti, hujah-hujah yang diberikan oleh golongan dalam sejarah ini lebih kuat. Justeru, dengan mengambil manfaat dari pengalaman dan khazanah ketamadunan, persiapan akliah dan diniah ahli dan masyarakat akan lebih mantap. Dengan mendekatkan masyarakat dengan bacaan-bacaan sebegini akan sekurang-kurangnya membuka spektrum kefahaman mereka kepada agama dengan lebih luas.

iii. Institusi usrah, halaqah ilmu, kuliah-kuliah yang berterusan harus diperkasa dalam gerakan Islam seperti ABIM. Kesemua ini harus menjadi alternatif untuk ahli dan masyarakat Islam untuk mendapatkan pengisian ilmiah dengan lebih meluas. Institusi-institusi ini juga harus digerakkan dengan perencanaan yang lebih rapi terutama dari segi persediaan kurikulum dan bahan bacaan. Pertemuan dua jam seminggu secara konsisten untuk usrah misalnya, sekiranya dirancang dengan rapi dari segi tajuk dan bahan perbincangan sudah semestinya dapat menghasilkan natijah ilmiah yang cukup baik untuk ahli. Tradisi kuliah yang membahaskan disiplin-disiplin ilmu penting seperti tafsir, akidah dan tasawwuf yang telah mula dibudayakan oleh ABIM ternyata memberikan manfaat yang amat berguna kepada ahli-ahi dan masyarakat sekitar dan ia harus diteruskan dan diperkasakan.

Sumber: http://www.mindamadani.my/content/view/192/6/
Baca selanjutnya...