Pengikut

Hadith Hari Ini

Selamat Hari Lahir Sayang

Selamat hari lahir buat isteriku sayang. Moga panjang umur, murah rezki ditetapkan iman.Moga Allah menunaikan segala hajat dunia dan akhirat. I love you sayang. Baca selanjutnya...

BANJIR : UJIAN DARIPADA ALLAH S.W.T

Banjir di Terengganu semakin buruk

KUALA TERENGGANU 25 Dis.- Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 4,553 mangsa di seluruh negeri ini dipindah dan ditempatkan di 85 buah pusat pemindahan di daerah masing-masing sehingga pukul 12 tengah hari ini. Daerah Besut mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 1,096 orang melibatkan 243 keluarga berbanding semalam seramai 101 penduduk daripada 26 keluarga.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah kedua tertinggi ialah Hulu Terengganu melibatkan seramai 1,052 mangsa daripada 249 keluarga berbanding semalam hanya 26 penduduk melibatkan enam keluarga. Mangsa di daerah Dungun pula semakin meningkat daripada semalam apabila mencatatkan seramai 744 orang daripada 186 keluarga berbanding semalam seramai 317 penduduk melibatkan 80 keluarga. Ia diikuti daerah Setiu seramai 717 mangsa daripada 193 keluarga manakala daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk seramai 611 orang melibatkan 189 keluarga. Bagi daerah Marang pula seramai 242 orang daripada 60 keluarga telah diarah berpindah dan diikuti daerah paling sedikit terjejas, Kuala Terengganu seramai 91 mangsa melibatkan 25 keluarga dengan satu pusat pemindahan sahaja dibuka iaitu di Sekolah Tanjung Gelam. - UTUSAN 

 Sumber : sini
Baca selanjutnya...

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;


1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa; iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”. Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka. 

Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Sumber : sini Baca selanjutnya...

HUKUM MENYAMBUT PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM

Dalam sebuah negara Islam, warganegara bukan beragama Islam boleh merayakan hari-hari perayaan agama mereka, asalkan tidak menyinggung perasaan umat Islam, tidak mengganggu ketenteraman awam dan tidak membelakangkan undang-undang negara. Pendapat ini lebih sesuai dengan keadaan yang terdapat di Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bangsa, yang sama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara. Ini berdasarkan kepada tindakan dan fatwa para sahabat Rasulullah S.A.W sendiri seperti Khalifah Abu Bakar, Umar, Khalid bin al-Walid dan lain-lain. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah berpegang dengan fatwa-fatwa para sahabat lebih utama berbanding dengan berpegang dengan pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa ulama yang datang kemudian, kerana fatwa-fatwa para sahabat lebih hampir kepada pendapat yang benar, memandangkan zaman para sahabat masih dekat dengan zaman Rasulullah S.A.W. Fatwa-fatwa para sahabat lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi’in, manakala fatwa-fawa tabi’in lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi‘ tabi‘in dan seterusnya.

Walau bagaimanapun warganegara beragama Islam dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan Islam sama sebagaimana yang disambut oleh warganegara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama bukan Islam berdasarkan kepada nas yang lalu kerana termasuk ke dalam ertikata menyerupai bukan Islam dalam upacara keagamaan mereka dan menzahirkan kasih sayang kepada mereka dalam bentuk yang dilarang dalam Islam. 

Menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh warganegara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharamkannya dengan yang mengharuskannya. Pendapat yang menghukumkannya sebagai harus, lebih sesuai diterima pakai dalam konteks Malaysia, kerana telah menjadi tradisi dan adat yang diamalkan oleh penduduknya dan tidak mengandungi ertikata menyerupai orang bukan Islam, yang dilarang. Bukan sahaja warganegara bukan beragama Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan juga diadakan oleh warganegara beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah biasa berlaku kunjung mengunjung pada hari tersebut tanpa mengira latar belakang agama. 

Sheikh Muhammad Uthaymin yang mempunyai pandangan yang agak ketat dalam masalah ini pernah mengulas tentang konsep menyerupai bukan Islam yang dilarang oleh syarak. Bagi beliau ukuran yang melayakkan seseorang Islam dikatakan menyerupai bukan Islam ialah apabila dia melakukan perkara-perkara yang hanya khusus untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika perkara yang diserupai itu telah tersebar secara meluas di kalangan masyarakat dan tidak dapat dibezakan lagi antara yang dilakukan oleh orang Islam dengan bukan Islam atau telah menjadi adat dalam bahasa yang lebih mudahnya, melakukannya tidak lagi dinamakan sebagai menyerupai orang-orang bukan Islam dan hukumnya tidak lagi haram dari aspek tersebut. 

Beliau menguatkan pendapatnya dengan menakalkan keterangan yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, yang menjelaskan sebahagian ulama salaf menghukumkan makruh memakai Burnus iaitu jubah labuh di mana bahagian atasnya menutup kepala pemakainya yang biasa dipakai oleh orang-orang Kristian. Imam Malik pernah ditanya tentang pemakaian jubah seumpama itu pada masa hayatnya dan beliau berpendapat tidak ada apa-apa kesalahan memakainya kepada orang-orang Islam. Apabila diberitahu jubah labuh itu merupakan pakaian orang-orang Kristian, imam Malik menegaskan pakaian seumpama itu telahpun dipakai oleh kebanyakan orang sehingga tidak dapat lagi dibezakan antara yang beragama Kristian dengan bukan yang beragama Kristian. Beliau juga menakalkan ulasan Ibn Hajar al-Asqalani berhubung dengan pemakaian pelana kuda yang dilapik dengan kain sutera, yang menjadi kebiasaan kepada orang-orang bukan Islam, larangan tersebut menurut Ibn Hajar kerana menjaga kepentingan agama Islam. Pemakainya menyerupai orang-orang bukan Islam, kerana pakaian tersebut menjadi syiar agama mereka pada masa itu. Namun pada masa sekarang (pada zaman beliau) pakaian tersebut tidak lagi menjadi syiar agama mereka dan dengan itu hukum makruh memakainya telah berubah menjadi harus.

Walau bagaimanapun perlu meraikan beberapa syarat iaitu: 

Kehadiran di dalam rumah terbuka itu, tidak menggadai akidah dan maruah diri seorang Islam. 

Rumah terbuka itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampiran dengan rumah ibadah. 

Kehadiran ke rumah terbuka sebagai meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berbuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan majlis rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera, antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam. 

Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka. 

Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir seperti hidangan minuman keras, nyanyian yang melalaikan, mengganggu syiar ibadah orang Islam dan seumpamanya. 

Tidak ada unsur atau elemen penghinaan terhadap Nabi S.A.W, kitab suci al-Qur’an dan seumpamanya. 

Tidak terdapat upacara agama mereka di dalam majlis tersebut, sebaliknya semata-mata jamuan makan sahaja. 

Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu, berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya, yang tidak ada unsur membesarkan agama mereka. 

Rumah terbuka itu diadakan oleh orang-orang bukan Islam itu sendiri dan bukannya diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat bukan Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap menganjurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin juga diadakan rumah terbuka, hendaklah dibuat tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya. 

Jika syarat-syarat ini tidak wujud, sewajarnya tidak menghadiri majlis mereka, sebagai mengambil langkah ke arah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada umat Islam. 

Mengucapkan tahniah bersempena dengan perayaan bukan Islam juga menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharuskannya dengan yang mengharamkanya. Namun pendapat yang mengharuskannya lebih sesuai dalam konteks Malaysia, kerana tidak termasuk ke dalam ertikata menyerupai orang-orang bukan Islam yang dilarang, kerana pada kebiasaan ucapan tersebut tidak mengandungi pengertian reda dengan agama mereka. Ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan bersempena hari raya tersebut, kebiasaannya tidak mengandungi sebarang perakuan terhadap agama mereka atau tanda-tanda yang menunjukkan seseorang reda dengan agama mereka, sebaliknya ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan oleh orang ramai setiap kali hari raya masing-masing. Selain daripada itu, tidak menjadi masalah menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah tersebut, kerana Rasulullah S.A.W sendiri menerima hadiah daripada maharaja Muqawqis, asal sahaja tidak melibatkan benda yang diharamkan seperti arak, daging khinzir dan sebagainya. 

*Dipetik dari kertas ”Perayaan Bukan Islam Dalam Sebuah Negara Islam” oleh Dr. Basri bin Ibrahim, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia. Buku terbitan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor berjudul “Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia”
SUMBER : SINI
Baca selanjutnya...

BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA

Riwayat: Bukhari dan Muslim
Kategori: Akhlak

Hadith: 
 Dan daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala”, Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?”,jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup”. Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?” Jawabnya, “Ya”. Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya”.

Huraian Hadith: 
Menjaga dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. 

Islam menyeru umatnya supaya menjaga ibu bapa mereka dengan sebaik-baiknya. 

Hubungan sesama manusia adalah lebih penting lebih-lebih lagi golongan yang lebih muda dengan golongan yang lebih tua. 

Walaupun hijrah itu wajib tetapi apabila bertembung dengan kewajipannya terhadap ibu bapa maka diutamakan kewajipan terhadapa ibu bapa jika agama dapat dipelihara (dilaksanakan perintahnya) disisi mereka, dan jika tidak maka wajiblah berhijrah dengan meninggalkan mereka untuk menyelamatkan agama seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat (muhajirin). 

Kitab Riyadh al-Solihin
Sumber : Sini
Baca selanjutnya...

Mengenali Dr. Zakir Abdul Karim Naik

Berlatar belakangkan bidang kedoktoran, Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pakar dalam bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Beliau sangat terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan, menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti kita Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan banyak lagi.

 Dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India beliau juga terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan serta memberikan jawapan yang menyakinkan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan secara spontan. Beliau diberi gelaran ‘Walking Computer’ kerana ingatan beliau yang luar biasa, selain digelar sebagai ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan beliau berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmad Deedat, guru beliau yang terkenal dengan kelantangannya bersuara dalam dunia perbandingan agama.

Sheikh Deedat menfokuskan perbandingan Islam dan Injil, manakala Zakir Naik bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi beliau turut mendalami agama lain, sehinggakan ramai orang bukan Islam terkejut apabila Dr Zakir naik mampu menghuraikan isi agama mereka dengan tepat, tanpa pertikaian. Sejak zaman belajar lagi beliau dikelilingi oleh individu bukan Islam yang menganut pelbagai agama antaranya Hindu, Buddha dan Kristian, dari situ Dr Zakir berminat untuk mengkaji sedikit demi sedikit mengenai isi agama tersebut. Walaupun beragama Islam tetapi minat yang mendalam telah mendorong beliau memahami sesebuah agama itu melebihi penganutnya sendiri.

 Pembabitan awal Dr Zakir bermula sejak awal 90an lagi apabila menjadi penceramah bidan terjun dalam satu program anjuran beliau sendiri. Beliau sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri, mampu mengulas banyak isu seperti Islam dan perubatan, hak-hak wanita dalam Islam, teknologi dan Islam serta perbandingan agama. Menjelang tahun 2002, beliau sudahpun memberikan lebih daripada 1000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritius, Australia, Malaysia, Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan banyak lagi termasuklah ceramah di tempat asal beliau sendiri; India.

 Dr. Zakir Naik mendapat pendidikan awal di St. Peter’s High School (I.C.S.E), Mumbai sebelum ke Kishinchand Chellaram College, Mumbai dan Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Akhirnya, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan, M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) di University of Mumbai, India. Beliau aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berjaya adalah dialog bersama-sama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000.

 Beliau juga menerima sebuah plag pada Mei 2005 sebagai anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya : “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Ia bermaksud, “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.” Beliau sering dijemput untuk menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara, dan kini ratusan daripada video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD).

 Program Dr Zakir Naik Malaysian Tour 2012 yang menjelajah lokasi Johor Bahru, UiTM Shah Alam, Kuantan dan PWTC ternyata telah mendapatkan sambutan yang sangat menggalakkan. Ramai peserta yang terdiri daripada bangsa dan agama mengikuti ceramah beliau yang dibuka kepada pertanyaan dan soalan. Malah kini rakaman ceramah beliau boleh diikuti di TV9 setiap hari Sabtu jam 9.30 malam. Beliau kini telah meninggalkan karier beliau sebagai seorang doktor perubatan untuk menumpukan seluruh masa dan tenaga beliau untuk aktiviti dakwah Islamiyah. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (I.R.F), Pengerusi I.R.F. Educational Trust, dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.

 Antara buku-buku yang telah dikarang oleh Dr. Zakir Naik termasuklah Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word? dan banyak lagi.

 Islamic Reseach Foundation yang diasaskan pada bulan Februari 1991 merupakan satu pertubuhan rasmi yang tidak berasaskan keuntungan yang berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Kerja-kerja yang dihasilkan oleh I.R.F termasuklah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah telah sampai ke jutaan manusia di serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak; kebanyakan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.

 Islamic Reseach Foundation dinaungi oleh Dr. Zakir Naik Abdul Karim Naik. IRF boleh dihubungi di alamat: 56/58 Tandel Street ( North), Dongri, Mumbai – 400 009 India. Tel : (0091-22) 23736875 (8 lines)
Fax : (0091-22) 23730689. Laman web: http://www.irf.net Susunan Nardin Musammim

Sumber : sini
Baca selanjutnya...

Status Kewajipan Zakat Ke Atas Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-101 yang bersidang pada 27 September 2012 telah membincangkan Status Kewajipan Zakat Ke Atas Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Y. Bhg. Datuk Kamalul Ariffin Othman serta pembentangan oleh Y. Bhg. Tuan Hj. Lokmanulhakim bin Husain (ISRA/Panel Pemikir Fatwa JAKIM) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa di dalam pensyariatan zakat, Syariat Islam telah meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap harta yang dikenakan zakat. Syarat-syarat tersebut iaitu harta yang dimiliki sepenuhnya secara hak pemilikan dan juga pegangan (raqabah dan yad), mencukupi nisab, mencukupi haul iaitu selama 12 bulan qamariyyah dan harta yang boleh berkembang (النماء)amat penting dalam mengenalpasti harta-harta yang wajib dikenakan zakat.

Muzakarah juga menjelaskan bahawa di dalam permasalahan kewajipan zakat ke atas syarikat milik kerajaan sepenuhnya dengan ertikata semua modal syarikat adalah daripada kerajaan dan tidak ada pemilik atau pemegang saham dari kalangan individu perseorangan atau syarikat swasta, maka zakat tidak dikenakan terhadap harta kerajaan. Majoriti ulama’ daripada kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah berpandangan bahawa tidak diwajibkan zakat terhadap harta milik kerajaan yang dijadikan pelaburan dan menjana keuntungan. Muzakarah juga menegaskan bahawa pendapat jumhur ulama’ ini juga difatwakan secara majoriti oleh Nadwah Qadhaya al-Zakah al-Mu’asirah Ke-13. Nadwah memutuskan:

المال العام الذي يستثمر ليدر ربحاً عن طريق مؤسسات عامة مملوكة بالكامل للدولة، يراد لها أن تعمل على أسس تجارية وأن تحقق 
أرباحاً ، وهذا النوع غير خاضع للزكاة في رأى الأكثرية

 Maksudnya: “Harta awam yang dilaburkan untuk memperoleh keuntungan melalui muassasah-muassasah awam yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, dan operasinya adalah berasaskan perniagaan serta memperoleh keuntungan, maka harta seperti ini tidak tertakluk kepada kewajipan zakat pada pendapat kebanyakan”. Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan majoriti para ulama’ bahawa harta milik institusi kerajaan adalah tertakluk sebagai harta awam dan tidak diwajibkan zakat, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang merupakan syarikat milik penuh Kerajaan tidak diwajibkan mengeluarkan Zakat.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Mutiara Kata

"Sesungguhnya hati orang yang bodoh itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya"
Sumber: disini
Baca selanjutnya...

"Bapa Pembedahan"

Oleh HAPPIS BASHA

Beliau adalah Abu Al-Qasim Khalaf bin Abbas Az-Zahrawi Al-Anshari atau dipanggil dengan nama Az-Zahrawi kerana dilahirkan dikota Az-Zahra iaitu sebuah kota di pinggiran Qordova iaitu ketika menjadi pusat pemerintahan Khalifah dinasti Umawiyyah di Andalusia.


Abu Al-Qasim Az-Zahrawi telah dilahirkan pada tahun 325H (937M) setelah kota ini dibangunkan pada masa pemerintahan Khalifah Umawiyyah, Abdurrahman An-Nashir.

Selain dengan gelaran Az-Zahrawi, beliau juga dipanggil Al-Anshari, kerana nenek moyangnya berasal dari Madinah Al-Munawwarah. Dalam bahasa Latin dan bahasa Eropah pada umumnya, nama Az-Zahrawi telah diubah menjadi Alzahravius. Sedangkan julukannya, Abu Al-Qasim, telah diubah ke dalam dua versi, iaitu Albucasis dan Abulcasis di mana kedua nama ini sehingga kini dikenali di Eropah.

Abu Al-Qasim Az-Zahrawi adalah ilmuan Arab dan muslim terbesar dalam bidang pembedahan. Beliau dikenali sebagai ahli bedah terbesar di dunia hingga masa kebangkitan Eropah kerana beliau merupakan pelopor pertama dalam berbagai cabang ilmu bedah dan seninya, serta banyak menemukan berbagai peralatan bedah. Oleh kerana itu, beliau wajar mendapat gelaran bapa pembedahan dalam sejarah kedoktoran.


Ada beberapa sebahagian sumber menyebutkan bahawa Az-Zahrawi bekerja sebagai doktor di istana Abdurrahman An-Nashir. Namun pendapat ini sangat jauh, kerana Abdurrahman bin An-Nashir wafat pada tahun 350H (961M), sedangkan umur Az-Zahrawi pada saat itu masih 25 tahun. Yang benar adalah bahawa dia memang bekerja sebagai doktor di istana, tetapi iaitu di masa khalifah Al-Hakam Al-Mustanshir bin Abdurrahman An-Nashir.

Dalam tatacara pembedahan, beliau menemui berbagai macam ubat-ubatan untuk pembedahan yang sesuai dengan berbagai tujuan pembedahan dan peralatannya seperti gunting, pengikat, alat pelebar, dan baju pelindung daripada besi dengan pelbagai ukuran.

Di dalam karyanya yang berjudul “At-Tashrif” terdapat berbagai-bagai cara dan pelbagai gambar yang menjelaskan tentang alat-alat itu. Di antaranya terdapat alat pelebar untuk mengatasi tertutupnya lubang kencing pada anak yang baru dilahirkan.

Az-Zahrawi juga menjelaskan beberapa kaedah untuk menolong kelahiran yang hingga kini masih dipakai dengan mengeluarkan janin dengan alat-alat khusus.

Beliau juga banyak menemui cara-cara pembedahan dan merupakan orang yang pertama mengikat urat nadi dan pembuluh darah dengan benang sutera untuk mengatasi keluarnya darah ketika sedang melakukan pembedahan, sebagaimana dia menemui cara menjahit luka atau bedah dengan dua jarum dan satu benang. Malah beliau juga telah menggunakan benang yang diperbuat daripada usus binatang (Catgut) dalam menjahit usus manusia.

Az-Zahrawi juga adalah orang yang pertama menemui cara mengeluarkan penampukan zat kapur pada saluran kencing. Dalam bukunya “At-Stashrif” dia menasihatkan kepada para ahli bedah agar melakukan pembedahan dengan cara yang sesuai untuk mengeluarkan tompokan zat kapur yang telah menjadi batu, dan dipecahkan dengan kempa (apitan), lalu dikeluarkan sepotong demi sepotong. Beliau juga telah menemui cara mengeluarkan tompokan zat kapur yang telah menjadi batu melalui alat kelamin pada perempuan.


Az-Zahrawi dikenali dengan memiliki keistimewaan dan pengalaman yang banyak dalam mencampur dan menggunakan ubatan, hingga dapat diperolehi dalam bukunya yang berjudul “At-Tashrif.” Malah dalam bukunya itu terdapat banyak pembahasan iaitu daripada tiga puluh artikel yang ada di dalamnya yang membahaskan secara teliti mengenai ubat-ubatan dan pelbagai permasalahan pembedahan.

Beliau turut diakui oleh pelbagai ilmuan yang lain sebagai ilmuan yang tiada tolok bandingnya dalam ilmu perubatan. Dalam hal ini, Ibnu Abu Ushaibi’ah dalam bukunya, “ Uyun Al-Anba’, “ mengatakan, “Az-Zahrawi adalah seorang doktor yang terkemuka dan berpengalaman dalam mengolah ubat-ubatan baik yang tunggal mahu pun yang dicampur, dan pengubatannya sangat efektif dan berkesan kepada pesakit.

Karyanya yang terkenal dalam ilmu perubatan telah diabadikan dalam kitabnya yang berjudul “ At-Tashrif liman ‘Ajiza ‘an At-Ta’lif” iaitu merupakan ensiklopedia kedoktoran yang lengkap dan ditulis oleh Az-Zahrawi yang meliputi semua cabang kedoktoran, sehingga orang yang telah membaca buku ini tidak perlu lagi membaca buku perubatan yang lain.

Selain itu, Az-Zahrawi juga turut berjaya mengubati ganguan pada gusi dan memperbaiki gigi dengan alat-alat operasi yang ditemukannya sendiri. Beliau juga merupakan orang yang pertama menggunakan sambungan gigi yang diperbuat daripada emas dan perak serta alat penekan mulut.

Beliau juga telah banyak memberikan jasa dan nasihat kepada para ahli bedah yang lain iaitu dengan mempelajari ilmu anatomi terutama apabila melakukan pembedahan dengan membuat latihan sebelum mempraktikannya. Di samping itu juga, mereka juga harus mengetahui kedudukan dan keadaan tulang, urat dan otot serta tempat dan hubungan antara satu dengan yang lain.

Menurut riwayat seorang sejarawan Al-Hasan Al-Wazzan, Az Zahrawi telah meninggal dunia pada tahun 404 H atau 1013 Masihi.

SumbeR: sini
Baca selanjutnya...

Wanita dan Isteri: Antara Hak dengan Tanggungjawab

Oleh HASNAN KASAN
Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia

KEBELAKANGAN ini masyarakat Islam di negara kita kerap kali dipaparkan dengan berita-berita dan ulasan-ulasan berkenaan penganiayaan atau pengabaian terhadap golongan wanita, terutama yang bergelar isteri. Walaupun hakikatnya dalam persoalan ini turut merangkumi anak-anak yang tidak mengerti apa-apa, namun kerana mereka masih lagi di bawah naungan ibu atau bapa, maka perbincangan tentang mereka tidak banyak dilakukan. Kalaupun ada yang melibatkan anak-anak dalam perbincangan, ia tetap diletakkan dalam pengabaian hak isteri yang bergelar ibu kerana apabila berlaku perceraian, pihak yang kerap terbayang dalam persepsi masyarakat akan membela dan menjaga anak-anak adalah si ibu.

Apabila hari-hari berita atau perbincangan mengenai wanita atau isteri ini hanya menekan hak-hak mereka yang tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikannya sama ada suami, bekas suami, ayah, dan sebagainya, maka lama-kelamaan perasaan memihak kepada wanita ini di kalangan masyarakat menjadi menebal. Tekanan yang ditimbulkan oleh berita-berita ini walaupun kadang-kadang tidaklah menggambarkan realiti yang sebenarnya telah membuatkan banyak individu dan banyak pihak yang tampil ke depan untuk memperjuangkan nasib manusia malang yang mendakwa dianiaya dan dinafikan hak mereka. Secara perbandingan, dapatlah dikatakan gambaran yang dipaparkan oleh laporan dan reaksi orang ramai tentang nasib wanita atau isteri di kalangan masyarakat Islam di negara ini samalah seperti nasib Palestin dan Lubnan di Timur Tengah yang dianiaya oleh Israel dan sekutunya.

Reaksi yang paling bernilai dan yang sudah pasti dihargai serta disanjung oleh golongan wanita ialah reaksi yang ditunjukkan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita dan keluarga di negara ini. Berbagai-bagai cadangan, inisiatif dan langkah yang telah dilakukan oleh pihak kementerian ini demi membela nasib golongan wanita yang teraniaya. Terdapat langkah yang diambil bersifat kempen secara diplomasi dan memujuk pihak lelaki supaya tidak menganiaya golongan wanita. Terdapat juga langkah yang dilakukan berbentuk obligasi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh golongan lelaki yang terlibat. Pujian dan ucap terimakasih perlu dihulurkan oleh golongan wanita dan isteri kepada pihak yang telah memperjuangkan dan membela nasib mereka.

Bagaimanapun, jika secara rasionalnya kita meninjau punca-punca kepada pengabaian tanggungjawab atau lebih tepat lagi punca hak-hak wanita atau isteri ini tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikan, maka ada tiga sebab ia berlaku:

1. Kejahilan pihak lelaki terhadap kewajipan dan tanggungjawab yang mereka pikul dan sepatutnya ditunaikan terhadap orang yang di bawah tanggungan mereka. Lawan jahil ialah ilmu. Ilmu berkenaan tanggungjawab membela dan menjaga isteri serta anak-anak di kalangan golongan lelaki ini amat cetek, dan hampir-hampir tidak ada. Golongan lelaki ini hanya pandai mengambil faedah atau mengutip hasil daripada isteri dan anak-anak. Isteri digunakan sebagai alat pemuas nafsu. Kadang-kadang tidak kurang juga isteri digunakan sebagai ´buruh´ untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan secara mudah. Golongan lelaki ini suka memerah tenaga yang ada pada isteri untuk kepentingan peribadi mereka. Bagaimanapun, ketika dalam keadaan harmoni dan sayang, seorang isteri sanggup mengorbankan tenaga dan hasil kerja mereka demi untuk suami yang disayangi. Penyeksaan ini hanya akan digembar-gemburkan apabila situasi sudah tidak harmoni lagi terutama apabila suami mempunyai hubungan dengan wanita lain sama ada sebagai teman wanita atau isteri. Pada ketika ini, secawan air kosong yang diberikan kepada suami pun akan diungkit dan diminta supaya diberikan ganti rugi.

Bagi mengatasi punca ini, golongan lelaki yang bergelar suami dan bapa mesti diberikan pengetahuan tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka dari segi agama sejelas-jelasnya. Kursus perkahwinan yang mesti dilalui oleh setiap pasangan apabila hendak berkahwin mesti dimuatkan dengan penjelasan kewajipan ini secara mendalam dan berjiwakan agama, bukannya berjiwakan sijil kursus. Risalah-risalah berkala dan siaran-siaran media dari semasa ke semasa perlu menghidupkan jiwa golongan suami dan bapa agar sentiasa segar dengan ingatan terhadap kewajipan agama yang perlu mereka tunaikan.

2. Keengganan dan kecuaian suami dan bapa secara sengaja daripada memberikan hak kepada isteri dan tanggungan, walhal mereka berada dalam zon selesa, berkemampuan dan mempunyai akses pendapatan yang mencukupi untuk melayani keperluan keluarga. Isteri dan anak-anak pula tidak pernah buat hal yang boleh menyebabkan suami atau bapa tertekan dan berdemontrasi menunjuk perasaan dengan memotong bekalan hidup daripada sampai kepada mereka. Suami atau bapa kategori ini bukan sahaja berkemampuan melayani keperluan tanggungan mereka yang asasi malah mereka turut berkemampuan melayani keperluan ´luxury´ tanggungan. Namun segala kemampuan yang ada pada suami atau bapa itu sama ada diperap atau digunakan pada tempat lain yang tidak sepatutnya. Situasi yang lebih kritikal lagi ialah mereka cuba melarikan atau menyelamatkan diri apabila pihak isteri dan anak anak menuntut hak mereka ditunaikan. Turun naik mahkamah lebih direlai oleh golongan lelaki ini daripada menyerah diri menunaikan tanggungjawab keluarga secara sukarela. Berbagai-bagai jenis lakonan dan pelbagai bentuk saluran mereka gunakan untuk meneguhkan keengganan dan kecuaian mereka menunaikan tanggungjawab agama terhadap keluarga. Lelaki jenis ini sanggup belanja makan kawan-kawan sepejabat tetapi rasa amat berat sekali untuk mengeluarkan wang membayar yuran pembelajaran anak-anak di sekolah.


3. Suami atau bapa memang realitinya tidak mampu memenuhi keperluan sepatutnya bagi isteri dan anak-anak. Lebih-lebih lagi pada zaman perbelanjaan dalam segenap segi semakin meningkat ini. Sebab kedua ini lebih baik kita tidak mengistilahkannya sebagai pengabaian atau kecuaian menunaikan hak kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan. Sepatutnya mereka diberikan bantuan. Jika diteliti, mereka sudah pasti masuk ke dalam kategori fakir miskin yang layak menerima zakat daripada agihan Baitul Mal. Secara umumnya pula, isu-isu seperti ini jarang dan hampir tak pernah dilaung-laungkan oleh pihak pembela kaum wanita kerana ia tidak bersifat ´konfrantasi´ terhadap pihak lelaki. Dalam keadaan ini, kewajipan suami dan ayah telah berpindah kepada pihak lain samada kerabat atau Baitul Mal dalam memenuhi keperluan asasi ahli keluarga yang terlibat. Dalam keadaan seperti ini juga, tanggungan yang telah mempunyai akal fikiran untuk berfikir perlu mengamalkan pepatah Melayu ´ukur baju pada badan sendiri´ dalam melayani kehendak dan kemahuan memenuhkan keperluan hidup.


4. Suami atau bapa tidak menunaikan tanggungjawab kepada isteri atau anak-anak disebabkan tekanan emosi hasil daripada perlakuan-perlakuan kurang ajar dan tidak beradab yang dilakukan oleh isteri atau anak-anak terhadapnya. Perlakuan kurang ajar ini tidak dapat diterima oleh suami yang tidak pandai berkonfrantasi cara lain kecuali dengan memutuskan bekalan atau tanggungan hidup daripada sampai kepada orang yang ditanggungnya yang berperlakuan memeningkan kepala dan mengganggu emosinya. Suami atau bapa seperti ini pada asalnya memang ikhlas menunaikan tanggungjawab agama dan keluarga terhadap isteri dan anak-anak. Tetapi perlakuan-perlakuan tidak senonoh yang mengganggu emosi dan perasaannya ini telah menekan jiwanya untuk berubah kepada tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Tambahan pula tekanan emosi daripada pihak isteri atau anak ini berpunca daripada perlakuan kurang ajar yang berulang kali dan berterusan walaupun setelah ditegur dan diperingatkan oleh suami. Akhirnya, suami atau bapa yang juga sebagai manusia biasa mengambil keputusan bukan pilihan jiwanya tidak menunaikan tanggungjawab keluarga ini walaupun bukan tindakan itu yang sepatut dilakukannya.

Dengan kesibukan suami mencari nafkah keluarga, memaksa mereka menyimpan segala perangai hodoh dan kurang ajar isteri dalam benak fikiran dan ´freezer´ emosi. Mereka tidak berkesempatan untuk mengheret isteri ke mahkamah untuk memaparkan segala perlakuan hodoh isteri ke hadapan hakim mahkamah syariah walaupun kebanyakan perlakuan isteri mengikut pertimbangan syarak adalah termasuk dalam istilah nusyuz. Si suami berfikir, daripada membayar peguam untuk menguruskan perbicaraan mahkamah bekaitan perangai hodoh isteri, lebih baik wang itu digunakan untuk perbelanjaan yang sepatutnya.

Bagaimanapun, pihak isteri tanpa segan silu dan penuh berani mencari peguam-peguam syariéi yang boleh membantu masalah mereka. Setelah perbicaraan dan si suami sedar tindakan mereka memutuskan bekalan kepada tanggungan adalah salah, maka suami kembali menyara keluarga seperti sedia kala. Namun di dalam hatinya terpahat keberatan dan kebencian terhadap perangai isteri yang tidak senonoh. Si isteri pula, dengan kemenangan yang diberikan oleh mahkamah bertambah sombong dan bongkak meneruskan tindakan-tindakan yang kurang ajar dan biadab itu.

Dua sebab pertama suami tidak menunaikan tanggungjawab yang telah disebutkan di atas adalah bertentangan dengan semangat agama dan undang-undang sepenuhnya. Kesalahan memang terletak pada bahu suami. Si isteri dan anak-anak memang teraniaya dan terabai keperluan hidup hasil sikap suami yang tidak bertanggungjawab. Suami atau bapa seperti ini memang sewajarkan dilayan melalui peruntukan undang-undang yang ada dan yang bakal diadakan di hari-hari berikutnya. Sokongan padu mestilah diberikan kepada pihak pencadang dan pelaksana dalam mengusahakan supaya isteri dan anak-anak tidak lagi tersepit hidup disebabkan sikap dan tindakan suami atau bapa yang tidak bertanggungjawab. Berbagai-bagai kaedah boleh digunakan oleh pihak penggubal undang-undang syariah dalam menjayakan niat baik ini samada menggunakan kaedah masalah mursalah atau saddul zarai´. Hak wanita sebagai isteri mesti dipulangkan kepada mereka supaya dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan terelak daripada perkara-perkara buruk yang tidak diingini.

Sebab yang ketiga pula memang tidak dalah disalahkan samada dipihak suami atau isteri. Suami memang tidak berkemampuan. Namun dalam keadaan suami melayan keluarga dengan penuh kasih sayang isteri dan anak-anak merelakan diri mereka hidup serba kekurangan kerana yang diperlukan ialah seorang suami dan bapa, bukannya kemewahan atau kesenangan.

Manakala sebab keempat suami tidak menunaikan tanggungjawab menyara keluarga perlu kepada perincian. Tujuan tulisan di sini bukanlah untuk mengenal pasti siapakah yang bersalah atau siapakah yang tak bersalah dengan menyelidik kelemahan masing-masing secara mikro. Akan tetapi tujuan yang hendak dicapai di sini ialah membincangkan isu ini dengan menggarap aspek fizikal dan spiritual, aspek jasmani dan rohani, aspek dunia dan akhirat.

Memang betul, apabila suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dengan sengaja dan tanpa berlaku sebab-sebab yang menggugurkan kewajipan suami memberi nafkah, maka hukumnya adalah berdosa. Di dunia, melalui proses undang-undang, isteri boleh menuntut haknya. Peluang terakhir bagi isteri ialah meminta dipisahkan dan ditamatkan ikatan perkahwinan dengan suami. Di akhirat pula, suami akan dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan dosa yang dilakukannya.

Bagaimanapun, jika pemberian nafkah digantung oleh suami dan ini tidak sepatutnya dilakukan disebabkan oleh perangai dan kelakuan hodoh isteri sama ada sampai tahap nusyuz atau tidak, tetapi termasuk dalam mengkasari dan derhaka kepada suami, maka di sini si isteri perlu memikirkan keselamatan dirinya selepas mati. Memang, kadang-kadang di dunia, perbuatan kasar dan tidak menghormati suami itu mendapat pembelaan adik beradik dan kaum kerabatnya terutama apabila diisteri pandai berlakon baik di hadapan mereka. Si isteri juga kadang-kadang dengan lakonannya yang indah dapat menarik simpati daripada berbagai-bagai pihak. Di mahkamah, pula kadang-kadang dengan penilaian luaran yang dilakukan oleh hakim, isteri diberikan kemenangan atas segala tuntutannya.

Akan tetapi si isteri perlu beringat, walaupun suami mengalah, tidak mahu menyibukkan diri dalam proses undang-undang kerana telah sibuk dengan berbagai kerja yang terpaksa dilakukan, namun perkiraan Tuhan Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui perkara zahir dan batin tetap berjalan terhadap perlakuan dan tindak tanduk si isteri. Selagi wanita bergelar isteri, taat adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan terhadap suami selagi suami tidak menyuruh melakukan dosa dan syirik kepada Allah Taala. Kerana imbalan ketaatan mutlak isteri kepada suami inilah, syariat telah mewajibkan suami membayar mas kahwin dan nafkah merangkumi tempat tinggal, makan minum, pakaian, rawatan dan keperluan asasi lain.

Sekiranya si isteri mencari sebab dan alasan untuk tidak taat kepada suami, maka carilah sebab dan alasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Sebab untuk tidak taat kepada suami tidak boleh direka atau diberikan oleh emosi marah, cemburu dan sakit hati yang ada dalam diri isteri sebagaimana sebab tidak memberi nafkah tidak boleh direka oleh suami berdasarkan emosi marah dan sakit hati di dalam dirinya. Sekiranya suami memutuskan tidak memberi nafkah kepada isteri berdasarkan emosi marah dan benci terhadap kelakuan-kelakuan isterinya tidak dapat diterima oleh mahkamah syariah , maka isteri perlu berfikir adakah perlakuannya tidak taat kepada suami, menyakiti hati suami dan menghina suami dapat diterima oleh ´Mahkamah Rabbul Jalil´ di padang mahsyar kelak. Sekiranya di dunia, isteri boleh berlakun di hadapan orang ramai untuk mendapat belas kasihan dan simpati, dapatkah dia terus berlakon di depan Tuhan Yang Maha Adil di akhirat kelak?

Hak isteri tetap akan menjadi hak hingga bila-bila. Apabila hak ini tidak ditunaikan oleh suami, maka ia perlu diperjuangkan supaya dapat dikembalikan semula melalui berbagai saluran dan wadah yang diharuskan oleh agama dan undang-undang. Begitu juga kewajipan isteri tetapi menjadi kewajipan selagi bergelar isteri. Kewajipan wajib ditunaikan dan haram diabaikan. Menunaikannya dapat pahala, manakala meninggalkannya adalah berdosa. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Manakala taat adalah hak suami yang wajib ditunaikan oleh isteri. Apabila suami mengabaikan tanggungjawab akan berdosa dan di dunia keengganan berterusan boleh dipenjaran. Maka, begitu juga apabila isteri mengabaikan kewajipan taat kepada suami akan dibalas dosa dan jika tidak diampunkan akan dipenjarakan di dalam api neraka. Kemungkinan dosa si suami akan diampun apabila telah menerima hukuman daripada hakin mahkamah syariah di dunia dan tidak diambil kira diakhirat kelak. Bagaimana pula dosa isteri yang tidak taatkan suami? Inilah yang perlu difikirkan oleh isteri apabila terlalu mengikut emosi membuat hukuman tidak mentaati suami.

Kesimpulannya, hak tetap hak. Ia perlu diperjuangkan. Namun, dalam memperjuangkan hak, jangan sampai lupa kewajipan. Ini kerana nikah bagi bangsa Melayu Islam adalah urusan agama. Nikah dilaksanakan mengikut tatacara agama. Kewajipan kesan daripada nikah juga adalah kewajipan agama. Maka, hukuman mengabaikan kewajipan ini juga adalah hukuman agama, iaitu dosa dan pahala di samping hukuman pentadbiran manusia di dunia yang diputuskan oleh mahkamah. Pertimbangan agama tidak boleh dibuang daripada semangat memperjuangkan dan menuntut hak, kerana jika aspek ini diabaikan ditakuti nanti hak dapat dituntut di dunia, tetapi isteri kecundang di akhirat apabila dibentangkan kewajipan yang tidak ditunaikan.

sumber: sini
Baca selanjutnya...

Gejala Sosial di Kalangan Remaja: Agama Benteng Ketahanan Diri

SABAN waktu kita disodorkan dengan segala macam masalah gejala sosial di kalangan remaja. Ramai yang berasa cemas kerana kesan yang ditinggalkan bagaikan suatu kerosakan yang agak sukar untuk dibaik pulih. Tidak sedikit yang merasa rimas apabila mengikuti perkembangan yang kita lalui, iaitu apabila semakin banyaknya gejala sosial mewarnai pola kehidupan bermasyarakat.

Serasa kita sudah muak dengan isu seks rambang, penagihan dadah, pembuangan anak, dan sebagainya yang memberi ‘isyarat’ bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan merupakan sampiran semata-mata. Ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama kenapa ia berlaku dan siapakah pelakunya.

Pada waktu yang sama kita juga sudah berdepan dengan isu-isu yang semakin mencabar kehidupan seharian kita. Maka, adalah wajar semua pihak melihat isu sedemikian sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan kita untuk berperanan lebih proaktif.

Keadaan ini juga tidak membolehkan kita untuk duduk diam membiarkan ia berlaku begitu sahaja. Kepelbagaiannya semakin sehari seakan memaksa kita untuk lebih bertegas berdepan dengannya. Adakalanya perubahan sosial yang berlaku ini menjadikan kita lebih peka terhadap peranan dan tanggungjawab yang patut kita tunaikan.

Justeru, ketegasan ini bukan setakat menyuarakan kita tidak suka ia berlaku akan tetapi mencari jalan untuk dijadikan sebagai ‘option’ yang menukar hal sedemikian kepada yang lebih produktif dan bermanfaat. Sebagai sebuah negara dan masyarakat yang kuat berpegang teguh terhadap ajaran dan kehidupan beragama, kita tidak mahu akibat daripada perubahan sosial ini akan merubah sikap dan perangai yang akan menghasilkan perkara negatif.

Natijahnya, mungkin akan meninggalkan kesan perubahan sosial yang bercelaru di antara kebaikan dengan kejahatan yang tercipta daripada perubahan sosial yang diwujudkan itu. Banyak contoh yang jelas betapa rapuhnya perubahan sosial itu jika ia tidak disandarkan kepada keluhuran akhlak dan keindahan budi.

Kedua-dua aspek saling berkait kerana ia melahirkan ‘standard’ diri yang berkualiti tinggi. Tidak hairanlah jika kita melihat pencapaian seseorang yang tidak bersandar sepenuhnya kepada perubahan sosial, lebih banyak yang mampu berdepan dan menangani pelbagai cabaran serta masalah yang datang dengan jayanya. Kita sebenarnya tidak dapat lari daripada keadaan ini, akan tetapi bagaimana cara kita mengemudikannya, menyebabkan kita tidak mudah karam dengannya. Kes-kes sosial yang ditimbulkan juga sudah semakin terjelma dalam bentuknya yang tersendiri, yang ada kalanya amat sadis dan mengerikan. Paling ketara apabila pergaulan bebas semakin menjadi budaya yang sudah meresap di kalangan generasi muda kita.

Kebebasan yang ditimbulkan daripada fenomena sedemikian, tidak dapat tidak menimbulkan kesan perubahan masyarakat yang sedia ada. ‘Virus’ yang dihasilkan daripada pergaulan ini bukan merupakan masalah ringan yang tidak perlu dihiraukan.

Meskipun skala fenomena sosial yang kita timbulkan mungkin masih berada satu tahap keterlanjuran, namun jika ia tidak dibendung dengan berkesan, ia mungkin berubah menjadi kebiasaan yang akan mengheret kita kepada cara kehidupan sosial yang tidak sihat. Oleh hal yang demikian itu setiap anggota masyarakat termasuk remaja sendiri perlu memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak pergaulan yang baik dan cemerlang, berteraskan ajaran agama yang kukuh.

Remaja atau belia yang ingin mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat yang juga terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan seumpamanya hingga kepada azam menanam rasa memuliakan teman atau rakan yang baik pada isetiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga daripada perkataan yang sia-sia, kotor dan perkara-perkara yang merupakan ‘kerugian’ bagi setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bukanlah seorang Mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah."

Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah kita sedar bahawa kitaa sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Justeru, pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, beretika, dan sentiasa ingat kepada ajaran-ajaran beragama serta menghala tuju ke arah kualiti hidup yang berguna. Lihatlah kepada resmi ikan, meskipun berenang di lautan masin, namun ikannya tetap tawar dan sedap dimakan.

Maknanya, meskipun pelbagai perubahan sosial yang berlaku di sekeliling kita, pengaruhnya tidak semudah itu meresap ke dalam diri kita, namun yang baik tetap menjadi pilihan dan keutamaan kita. Untuk mempertahankan kebaikan yang kita sedia miliki inilah kita perlu kepada ketahanan diri. Ketahanan diri yang dimaksudkan ini memerlukan kepada bekalan yang kukuh dan mantap. Dalam konteks ini, apa yang lebih mujarab untuk menjadi benteng yang menjadi senjata mengawal diri ialah memperteguh keimanan dan kekuatan beragama.

Tiada apa-apa yang akan dapat membantu dalam mengawal diri kita ini, jika kita kosong dengan bekalan keimanan dan ketakwaan yang mendalam. Kita perlu dan tidak boleh mengabaikan bahawa perhiasan yang paling indah ialah keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada Allah s.w.t.

Jika hakikat kita abaikan, maka mudahlah segala ancaman dan gejala sosial menebusi pertahanan diri kita. Jika pertahanan diri kita sudah dibolosi, tidak dapat tidak akan berlakulah satu keadaan di mana gejala sosial yang tidak kita ingini akan mula mewarnai dan menghiasi kehidupan kita (remaja).

Inilah yang akan menjadi isu kehidupan yang bukan sahaja akan melibatkan banyak perkara, malahan ia juga akan melibatkan tenaga dan usaha yang jika dialihkan ke arah yang lebih bermakna, akan lebih memberikan kesan dan manfaatnya.

Inilah yang sedang kita lalui sekarang dan kita memerlukan bersiapan diri untuk berdepan dengan budaya yang sudah mula membauri kemurnian yang sedekian lama kita pupuk dan semai bersama. Kita perlu sedar dan menginsafi bahawa jika kita terus membiarkan keadaan ini berlaku, kita akan kehilangan nilai dan juga kemurnian jati diri bangsa. Justeru, semua pihak (lebih-lebih remaja sendiri) harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mewujudkan ketahanan budaya dan nilai-nilai kehidupan beragama yang sedemikian lama kita genggam. Tidak ada ertinya lagi untuk kita sering menyalahkan antara satu dengan yang lain.

Apa yang penting ialah mempertahankan nilai diri dan jati diri kita sebagai remaja atau belia. Justeru, kekuatan beragamalah yang menjadi kepentingan, yang tidak boleh dipandang ringan.
Sumber: sini Baca selanjutnya...