Pengikut

Hadith Hari Ini

Selamat Hari Lahir Sayang

Selamat hari lahir buat isteriku sayang. Moga panjang umur, murah rezki ditetapkan iman.Moga Allah menunaikan segala hajat dunia dan akhirat. I love you sayang. Baca selanjutnya...

BANJIR : UJIAN DARIPADA ALLAH S.W.T

Banjir di Terengganu semakin buruk

KUALA TERENGGANU 25 Dis.- Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 4,553 mangsa di seluruh negeri ini dipindah dan ditempatkan di 85 buah pusat pemindahan di daerah masing-masing sehingga pukul 12 tengah hari ini. Daerah Besut mencatatkan bilangan mangsa banjir paling ramai iaitu 1,096 orang melibatkan 243 keluarga berbanding semalam seramai 101 penduduk daripada 26 keluarga.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah kedua tertinggi ialah Hulu Terengganu melibatkan seramai 1,052 mangsa daripada 249 keluarga berbanding semalam hanya 26 penduduk melibatkan enam keluarga. Mangsa di daerah Dungun pula semakin meningkat daripada semalam apabila mencatatkan seramai 744 orang daripada 186 keluarga berbanding semalam seramai 317 penduduk melibatkan 80 keluarga. Ia diikuti daerah Setiu seramai 717 mangsa daripada 193 keluarga manakala daerah Kemaman mencatatkan jumlah penduduk seramai 611 orang melibatkan 189 keluarga. Bagi daerah Marang pula seramai 242 orang daripada 60 keluarga telah diarah berpindah dan diikuti daerah paling sedikit terjejas, Kuala Terengganu seramai 91 mangsa melibatkan 25 keluarga dengan satu pusat pemindahan sahaja dibuka iaitu di Sekolah Tanjung Gelam. - UTUSAN 

 Sumber : sini
Baca selanjutnya...

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;


1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa; iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”. Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka. 

Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Sumber : sini Baca selanjutnya...

HUKUM MENYAMBUT PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM

Dalam sebuah negara Islam, warganegara bukan beragama Islam boleh merayakan hari-hari perayaan agama mereka, asalkan tidak menyinggung perasaan umat Islam, tidak mengganggu ketenteraman awam dan tidak membelakangkan undang-undang negara. Pendapat ini lebih sesuai dengan keadaan yang terdapat di Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bangsa, yang sama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara. Ini berdasarkan kepada tindakan dan fatwa para sahabat Rasulullah S.A.W sendiri seperti Khalifah Abu Bakar, Umar, Khalid bin al-Walid dan lain-lain. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah berpegang dengan fatwa-fatwa para sahabat lebih utama berbanding dengan berpegang dengan pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa ulama yang datang kemudian, kerana fatwa-fatwa para sahabat lebih hampir kepada pendapat yang benar, memandangkan zaman para sahabat masih dekat dengan zaman Rasulullah S.A.W. Fatwa-fatwa para sahabat lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi’in, manakala fatwa-fawa tabi’in lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi‘ tabi‘in dan seterusnya.

Walau bagaimanapun warganegara beragama Islam dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan Islam sama sebagaimana yang disambut oleh warganegara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama bukan Islam berdasarkan kepada nas yang lalu kerana termasuk ke dalam ertikata menyerupai bukan Islam dalam upacara keagamaan mereka dan menzahirkan kasih sayang kepada mereka dalam bentuk yang dilarang dalam Islam. 

Menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh warganegara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharamkannya dengan yang mengharuskannya. Pendapat yang menghukumkannya sebagai harus, lebih sesuai diterima pakai dalam konteks Malaysia, kerana telah menjadi tradisi dan adat yang diamalkan oleh penduduknya dan tidak mengandungi ertikata menyerupai orang bukan Islam, yang dilarang. Bukan sahaja warganegara bukan beragama Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan juga diadakan oleh warganegara beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah biasa berlaku kunjung mengunjung pada hari tersebut tanpa mengira latar belakang agama. 

Sheikh Muhammad Uthaymin yang mempunyai pandangan yang agak ketat dalam masalah ini pernah mengulas tentang konsep menyerupai bukan Islam yang dilarang oleh syarak. Bagi beliau ukuran yang melayakkan seseorang Islam dikatakan menyerupai bukan Islam ialah apabila dia melakukan perkara-perkara yang hanya khusus untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika perkara yang diserupai itu telah tersebar secara meluas di kalangan masyarakat dan tidak dapat dibezakan lagi antara yang dilakukan oleh orang Islam dengan bukan Islam atau telah menjadi adat dalam bahasa yang lebih mudahnya, melakukannya tidak lagi dinamakan sebagai menyerupai orang-orang bukan Islam dan hukumnya tidak lagi haram dari aspek tersebut. 

Beliau menguatkan pendapatnya dengan menakalkan keterangan yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, yang menjelaskan sebahagian ulama salaf menghukumkan makruh memakai Burnus iaitu jubah labuh di mana bahagian atasnya menutup kepala pemakainya yang biasa dipakai oleh orang-orang Kristian. Imam Malik pernah ditanya tentang pemakaian jubah seumpama itu pada masa hayatnya dan beliau berpendapat tidak ada apa-apa kesalahan memakainya kepada orang-orang Islam. Apabila diberitahu jubah labuh itu merupakan pakaian orang-orang Kristian, imam Malik menegaskan pakaian seumpama itu telahpun dipakai oleh kebanyakan orang sehingga tidak dapat lagi dibezakan antara yang beragama Kristian dengan bukan yang beragama Kristian. Beliau juga menakalkan ulasan Ibn Hajar al-Asqalani berhubung dengan pemakaian pelana kuda yang dilapik dengan kain sutera, yang menjadi kebiasaan kepada orang-orang bukan Islam, larangan tersebut menurut Ibn Hajar kerana menjaga kepentingan agama Islam. Pemakainya menyerupai orang-orang bukan Islam, kerana pakaian tersebut menjadi syiar agama mereka pada masa itu. Namun pada masa sekarang (pada zaman beliau) pakaian tersebut tidak lagi menjadi syiar agama mereka dan dengan itu hukum makruh memakainya telah berubah menjadi harus.

Walau bagaimanapun perlu meraikan beberapa syarat iaitu: 

Kehadiran di dalam rumah terbuka itu, tidak menggadai akidah dan maruah diri seorang Islam. 

Rumah terbuka itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampiran dengan rumah ibadah. 

Kehadiran ke rumah terbuka sebagai meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berbuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan majlis rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera, antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam. 

Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka. 

Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir seperti hidangan minuman keras, nyanyian yang melalaikan, mengganggu syiar ibadah orang Islam dan seumpamanya. 

Tidak ada unsur atau elemen penghinaan terhadap Nabi S.A.W, kitab suci al-Qur’an dan seumpamanya. 

Tidak terdapat upacara agama mereka di dalam majlis tersebut, sebaliknya semata-mata jamuan makan sahaja. 

Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu, berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya, yang tidak ada unsur membesarkan agama mereka. 

Rumah terbuka itu diadakan oleh orang-orang bukan Islam itu sendiri dan bukannya diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat bukan Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap menganjurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin juga diadakan rumah terbuka, hendaklah dibuat tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya. 

Jika syarat-syarat ini tidak wujud, sewajarnya tidak menghadiri majlis mereka, sebagai mengambil langkah ke arah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada umat Islam. 

Mengucapkan tahniah bersempena dengan perayaan bukan Islam juga menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharuskannya dengan yang mengharamkanya. Namun pendapat yang mengharuskannya lebih sesuai dalam konteks Malaysia, kerana tidak termasuk ke dalam ertikata menyerupai orang-orang bukan Islam yang dilarang, kerana pada kebiasaan ucapan tersebut tidak mengandungi pengertian reda dengan agama mereka. Ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan bersempena hari raya tersebut, kebiasaannya tidak mengandungi sebarang perakuan terhadap agama mereka atau tanda-tanda yang menunjukkan seseorang reda dengan agama mereka, sebaliknya ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan oleh orang ramai setiap kali hari raya masing-masing. Selain daripada itu, tidak menjadi masalah menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah tersebut, kerana Rasulullah S.A.W sendiri menerima hadiah daripada maharaja Muqawqis, asal sahaja tidak melibatkan benda yang diharamkan seperti arak, daging khinzir dan sebagainya. 

*Dipetik dari kertas ”Perayaan Bukan Islam Dalam Sebuah Negara Islam” oleh Dr. Basri bin Ibrahim, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia. Buku terbitan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor berjudul “Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia”
SUMBER : SINI
Baca selanjutnya...

BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA

Riwayat: Bukhari dan Muslim
Kategori: Akhlak

Hadith: 
 Dan daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As katanya, “Seorang lelaki mengadap Rasulullah lalu berkata, “Aku mengikat janji dengan engkau untuk turut serta berhijrah dan berjuang (jihad) untuk menuntut ganjaran pahala daripada Allah Taala”, Rasulullah bertanya, “Adakah salah seorang orang tuamu masih hidup?”,jawabnya, “Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup”. Rasulullah bertanya lagi, “Engkau mahukah menuntut pahala daripada Allah Taala?” Jawabnya, “Ya”. Kata Rasulullah, “Pulanglah kepada kedua-dua ibu bapamu dan berbuat baiklah (berbaktilah) kepada kedua-duanya”.

Huraian Hadith: 
Menjaga dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah. 

Islam menyeru umatnya supaya menjaga ibu bapa mereka dengan sebaik-baiknya. 

Hubungan sesama manusia adalah lebih penting lebih-lebih lagi golongan yang lebih muda dengan golongan yang lebih tua. 

Walaupun hijrah itu wajib tetapi apabila bertembung dengan kewajipannya terhadap ibu bapa maka diutamakan kewajipan terhadapa ibu bapa jika agama dapat dipelihara (dilaksanakan perintahnya) disisi mereka, dan jika tidak maka wajiblah berhijrah dengan meninggalkan mereka untuk menyelamatkan agama seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat (muhajirin). 

Kitab Riyadh al-Solihin
Sumber : Sini
Baca selanjutnya...

Mengenali Dr. Zakir Abdul Karim Naik

Berlatar belakangkan bidang kedoktoran, Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pakar dalam bidang perbandingan agama di peringkat antarabangsa. Beliau sangat terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan, menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti kita Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan banyak lagi.

 Dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India beliau juga terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan serta memberikan jawapan yang menyakinkan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan secara spontan. Beliau diberi gelaran ‘Walking Computer’ kerana ingatan beliau yang luar biasa, selain digelar sebagai ‘Deedat Plus’ kerana kebolehan beliau berhujah mengenai Islam dan Kristian sebagaimana Ahmad Deedat, guru beliau yang terkenal dengan kelantangannya bersuara dalam dunia perbandingan agama.

Sheikh Deedat menfokuskan perbandingan Islam dan Injil, manakala Zakir Naik bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi beliau turut mendalami agama lain, sehinggakan ramai orang bukan Islam terkejut apabila Dr Zakir naik mampu menghuraikan isi agama mereka dengan tepat, tanpa pertikaian. Sejak zaman belajar lagi beliau dikelilingi oleh individu bukan Islam yang menganut pelbagai agama antaranya Hindu, Buddha dan Kristian, dari situ Dr Zakir berminat untuk mengkaji sedikit demi sedikit mengenai isi agama tersebut. Walaupun beragama Islam tetapi minat yang mendalam telah mendorong beliau memahami sesebuah agama itu melebihi penganutnya sendiri.

 Pembabitan awal Dr Zakir bermula sejak awal 90an lagi apabila menjadi penceramah bidan terjun dalam satu program anjuran beliau sendiri. Beliau sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri, mampu mengulas banyak isu seperti Islam dan perubatan, hak-hak wanita dalam Islam, teknologi dan Islam serta perbandingan agama. Menjelang tahun 2002, beliau sudahpun memberikan lebih daripada 1000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritius, Australia, Malaysia, Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan banyak lagi termasuklah ceramah di tempat asal beliau sendiri; India.

 Dr. Zakir Naik mendapat pendidikan awal di St. Peter’s High School (I.C.S.E), Mumbai sebelum ke Kishinchand Chellaram College, Mumbai dan Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Akhirnya, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan, M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) di University of Mumbai, India. Beliau aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berjaya adalah dialog bersama-sama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000.

 Beliau juga menerima sebuah plag pada Mei 2005 sebagai anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya : “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Ia bermaksud, “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.” Beliau sering dijemput untuk menyampaikan ceramah di beberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara, dan kini ratusan daripada video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD).

 Program Dr Zakir Naik Malaysian Tour 2012 yang menjelajah lokasi Johor Bahru, UiTM Shah Alam, Kuantan dan PWTC ternyata telah mendapatkan sambutan yang sangat menggalakkan. Ramai peserta yang terdiri daripada bangsa dan agama mengikuti ceramah beliau yang dibuka kepada pertanyaan dan soalan. Malah kini rakaman ceramah beliau boleh diikuti di TV9 setiap hari Sabtu jam 9.30 malam. Beliau kini telah meninggalkan karier beliau sebagai seorang doktor perubatan untuk menumpukan seluruh masa dan tenaga beliau untuk aktiviti dakwah Islamiyah. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (I.R.F), Pengerusi I.R.F. Educational Trust, dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.

 Antara buku-buku yang telah dikarang oleh Dr. Zakir Naik termasuklah Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word? dan banyak lagi.

 Islamic Reseach Foundation yang diasaskan pada bulan Februari 1991 merupakan satu pertubuhan rasmi yang tidak berasaskan keuntungan yang berperanan menyebarkan dakwah serta mesej Islam kepada masyarakat, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Kerja-kerja yang dihasilkan oleh I.R.F termasuklah buku-buku, dokumentari dan video-video ceramah telah sampai ke jutaan manusia di serata dunia melalui saluran TV satelit antarabangsa, internet dan media cetak; kebanyakan menumpukan kepada memberikan kefahaman terhadap kebenaran dan kesempurnaan agama Islam berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadis sahih dan juga logik akal.

 Islamic Reseach Foundation dinaungi oleh Dr. Zakir Naik Abdul Karim Naik. IRF boleh dihubungi di alamat: 56/58 Tandel Street ( North), Dongri, Mumbai – 400 009 India. Tel : (0091-22) 23736875 (8 lines)
Fax : (0091-22) 23730689. Laman web: http://www.irf.net Susunan Nardin Musammim

Sumber : sini
Baca selanjutnya...

Status Kewajipan Zakat Ke Atas Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB)


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-101 yang bersidang pada 27 September 2012 telah membincangkan Status Kewajipan Zakat Ke Atas Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Y. Bhg. Datuk Kamalul Ariffin Othman serta pembentangan oleh Y. Bhg. Tuan Hj. Lokmanulhakim bin Husain (ISRA/Panel Pemikir Fatwa JAKIM) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa di dalam pensyariatan zakat, Syariat Islam telah meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap harta yang dikenakan zakat. Syarat-syarat tersebut iaitu harta yang dimiliki sepenuhnya secara hak pemilikan dan juga pegangan (raqabah dan yad), mencukupi nisab, mencukupi haul iaitu selama 12 bulan qamariyyah dan harta yang boleh berkembang (النماء)amat penting dalam mengenalpasti harta-harta yang wajib dikenakan zakat.

Muzakarah juga menjelaskan bahawa di dalam permasalahan kewajipan zakat ke atas syarikat milik kerajaan sepenuhnya dengan ertikata semua modal syarikat adalah daripada kerajaan dan tidak ada pemilik atau pemegang saham dari kalangan individu perseorangan atau syarikat swasta, maka zakat tidak dikenakan terhadap harta kerajaan. Majoriti ulama’ daripada kalangan Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah berpandangan bahawa tidak diwajibkan zakat terhadap harta milik kerajaan yang dijadikan pelaburan dan menjana keuntungan. Muzakarah juga menegaskan bahawa pendapat jumhur ulama’ ini juga difatwakan secara majoriti oleh Nadwah Qadhaya al-Zakah al-Mu’asirah Ke-13. Nadwah memutuskan:

المال العام الذي يستثمر ليدر ربحاً عن طريق مؤسسات عامة مملوكة بالكامل للدولة، يراد لها أن تعمل على أسس تجارية وأن تحقق 
أرباحاً ، وهذا النوع غير خاضع للزكاة في رأى الأكثرية

 Maksudnya: “Harta awam yang dilaburkan untuk memperoleh keuntungan melalui muassasah-muassasah awam yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, dan operasinya adalah berasaskan perniagaan serta memperoleh keuntungan, maka harta seperti ini tidak tertakluk kepada kewajipan zakat pada pendapat kebanyakan”. Sehubungan itu, selaras dengan penegasan dan pandangan majoriti para ulama’ bahawa harta milik institusi kerajaan adalah tertakluk sebagai harta awam dan tidak diwajibkan zakat, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang merupakan syarikat milik penuh Kerajaan tidak diwajibkan mengeluarkan Zakat.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Mutiara Kata

"Sesungguhnya hati orang yang bodoh itu ada di mulutnya tetapi hati orang yang bijaksana ada di hatinya"
Sumber: disini
Baca selanjutnya...