Pengikut

Hadith Hari Ini

‘valentine day’: Remaja Islam Dikepung Budaya Kufur


Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PERNAHKAH anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di dinding-dinding atau langit-langit terpampang gambar warna merah jambu, ada yang berbentuk dua buah hati jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati.

Memangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menyelenggarakan pelbagai acara yang kebanyakkannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.

Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja, tetapi juga oleh para ibu bapa terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Maka penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam.

Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar dari syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti campur baur antara lawan jenis, dan perbuatan maksiat lain.

Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya terkandung aturan seluruh kehidupan manusia. Tidak ada satu pun kehidupan yang tidak diatur oleh Islam, dan setiap Muslim wajib ‘mengikat’ seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharamkan ia melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fekah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud ‘Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.’

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa: 65)

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah: 49)

Jelaslah daripada ayat-ayat di atas, setiap Muslim wajib mengikatkan seluruh perbuatannya dengan apa yang Allah telah turunkan dalam al-Quran dan Sunnah, dan dilarang keras kita mengambil hukum selain dari hal tersebut. Tidak dijadikan akidah Islam sebagai ikatan pemutus seluruh perbuatan manusia dewasa ini merupakan faktor kenapa ramai remaja sekarang terperosok dalam perbuatan haram, di samping itu ketidakfahaman mereka terhadap hal tersebut, dan budaya ikut-ikutan memainkan peranan ini.

‘Berkasih-sayang’ versi Valentine ini, haruslah diketahui terlebih dahulu hukumnya, lalu diputuskan apakah akan dilaksanakan atau ditinggalkan. Dengan melihat dan memahami asal-usul serta fakta pelaksanaan Valentine Day, sebenarnya perayaan ini tidak ada sangkut-pautnya sedikit pun dengan corak hidup seorang muslim. Tradisi tanpa dasar ini lahir dan berkembang dari segolongan manusia (kaum/bangsa) yang hidup dengan corak yang sangat jauh berbeza dengan corak hidup berdasarkan syariat Islam yang agung.

Jika kita fahami nas-nas syarak dengan lebih mendalam, akan kita dapati aturan yang tegas terhadap masalah ini, antara lain firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertangggungjawaban.” (Al-Isra’: 36)’

Di sini amatjelas Valentine Day adalah budaya orang kafir, yang terang-terang kita dilarang untuk mengamalkannya. Dalam hal ini, kita dilarang menyerupai budaya yang lahir daripada peradaban kaum kafir, yang jelas bertentangan dengan akidah Islam, sementara yang boleh diambil daripada semua orang (termasuk kafir) adalah dalam masalah teknologi, budaya yang tidak lahir dari pandangan hidup mereka; seperti bahasa asing, menanam padi yang baik, membuat kapal terbang, komputer, kenderaan bermotor, kereta dan lain-lian lagi bahkan kita dituntut untuk mendalami ilmuilmu tersebut.

Hal ini diperkuatkan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk daripada golongan mereka.” (Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad daripada Ibnu Umar)

“Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golongan umatku (umat Islam).” (Riwayat Tirmidzi daripada Amru bin Syu’aib).

Maka, sangat jelas kita tidak dibolehkan ‘tashabuh’, menyerupai, meniru-niru cara hidup orang kafir yang lahir dari pandangan hidupnya, sudah seharusnya kita tinggalkan semua budaya kufur tersebut jauh-jauh.

Aktiviti muda-mudi ketika merayakan ‘valentine day’ juga banyak yang melanggar syarak, mereka melakukan aktiviti berdua-duaan/khalwat, antara berlainan jantina, saling bercumbuann, berpegangan tangan, kadang-kadang dilakukan secara ramai-ramai, bercampur gaul lelaki dan wanita yang bukan mahram, disertai dengan alunan muzik, saling rayu-merayu. Padahal sudah sangat jelas bahawa hukum asal kaum wanita dan lelaki adalah terpisah sebelum ada dalil / keperluan syarie yang menuntut bertemunya mereka, misalnya berniaga, bekerja, beribadah, menunaikan haji, solat, menikah, dan sebagainya. Itupun mereka harus memperhatikan syarat-syarat pergaulan / akhlak wanita berhubungan dengan lelaki, menutup aurat dengan memakai kerudung dan jilbab, tidak berdandan berlebihan, dan sebagainya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa melakukan amalan yang tiada didasari perintahku (Quran dan Sunnah), maka amal perbuatannya tertolak.” (Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya, ikut merayakan hari ‘valentine’ adalah tindakan tercela, dan haram bagi kaum Muslimin untuk merayakannya. Valentine sendiri akar kemunculannya daripada orang kafir, Barat, lebih-lebih lagi kemunculan tersebut berasal daripada budaya Yahudi, maka sudah sepatutnya kaum muslimin wajar meninggalkan hal tersebut.

MENENTUKAN SIKAP

Amat jelas sikap yang harus diambil oleh kaum muslimin, bahawa merayakan hari ‘valentine’ bermaknai meniru adat/budaya kufur kaum lain, padahal kita dilarang untuk mengikutnya, mengambil cara hidup yang lahir daripada akidah selain Islam, seperti valentine day, juga pemahaman hak asasi manusia, kapitalisme, sosialisme dan lain-lain lagi.

Sudah cukup kita hanya mengambil pandangan hidup yang lahir daripada akidah Islam kerana sudah jelas bahawa Islam adalah agama yang sempurna.

Begitu juga Allah s.w.t telah menyuruh umat-Nya supaya mengikuti’standard’ halal-haram, menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai ikutan, mengambil apa yang dicontohkannya dan meninggalkan perkara yang dilarangnya, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (al-Hasyr: 7)

Maka, apa lagi yang kita tunggu selain meninggalkan bentuk ikutan acara ‘valentine day’ itu. Marilah serkarang kita mulai meninggalkan sesuatu yang memang wajib diingkari, dan memulai untuk berusaha menerapkan ajaran-ajaran Islam, memilih mana perkara yang tidak bertentangan dengan Islam kita ambil, sementara perkara yang bertentangan dengan Islam kita tolak dan tinggalkan.

Hendaknya kita renungkan katakata ahli sosiologi Ibnu Khaldun, “Yang kalah cenderung mengikut yang menang, daripada aspek pakaian, kenderaan, bentuk senjata yang dipakai, malah meniru dalam setiap cara hidup mereka, termasuk di sini adalah mengikuti adat istiadat mereka.”

Hal itu selaras dengan apa yang telah disabdakan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Tidak akan kiamat sebelum umatku mengikuti apa-apa yang dilakukan bangsa-bangsa terdahulu, selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta.’ Di antara para sahabat ada yang bertanya: ‘Ya Rasululah, apakah yang dimaksudkan (di sini) adalah bangsa-bangsa Yahudi dan Nasrani?’ Rasulullah menjawab: ‘Siapa lagi (kalau bukan mereka).’” (Riwayat Bukhari)

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)’. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (al-Baqarah: 120)

Sumber: http://www.yadim.com.my/Remaja/RemajaFull.asp?Id=153



Baca selanjutnya...

Anorexia Nervosa dan Bulimia Boleh Membawa Maut

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

APAKAH anda semua suka melakukan diet supaya tubuh kelihatan langsing dan menarik? Tiba-tiba sahaja jadi alergi atau alahan, sama seperti alah pada coklat, ais krim, dan makanan-makanan berkalori tinggi. Kemudian menjadi takut untuk makan kerana bimbang berat badan bakal naik sehingga seharian suntuk cukup hanya makan beberapa suap nasi sahaja.

Hati-hati, kerana kalau diet yang dilakukan tidak wajar lagi, malahan akan jadi berbahaya. Pelakon filem “Ally Mc Beal”, Callista Flockshart, melakukan diet yang ‘melampau’ sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia. Lady Diana yang langsing itu juga ternyata mengalami masalah makan. Beliau dikatakan sering sahaja memuntahkan makanannya sebaik habis menyantap berbagai macam hidangan.

Masalah makan yang dialami oleh Lady Diana disebut sebagai bulimia. Itu hanya sekadar contoh daripada ratusan (atau mungkin ribuan) kes tentang masalah makan yang dialami oleh beberapa orang ternama. Sebenarnya, tanpa kita sedari bahawa rakan, jiran atau jangan-jangan kita sendiri ternyata mengalami kes serupa. Apakah anoreksia atau bulimia itu dan kenapa seseorang boleh mengalami perkara-perkara tersebut?

ANOREXIA NERVOSA

Gangguan makan yang umumnya dialami oleh pada remaja perempuan adalah anoreksia atau istilah perubatannya dikenali sebagai anorexia nervosa. Anoreksia adalah aktiviti untuk menguruskan badan dengan melakukan pembatasan makan secara sengaja dan melalui kawalan yang ketat.

Penderita anoreksia sedar bahawa mereka berasa lapar, namun takut untuk memenuhi keperluan makan mereka kerana boleh mengakibatkan bertambahnya berat badan. Persepsi mereka terhadap rasa kenyang terganggu sehingga pada ketika mereka mengambil sejumlah makanan dalam jumlah yang kecil sekalipun, mereka akan segera merasa kenyang dan mual.

Mereka terus menerus melakukan diet bermati-matian untuk mendapatkan tubuh yang kurus. Pada akhirnya keadaan ini boleh menimbulkan kesan yang berbahaya, iaitu kematian si penderita. Bayangkan saja, kalau mereka terus menerus menahan diri untuk tidak makan, dari mana mereka akan mendapatkan tenaga untuk hidup.

BULIMIA

Jika penderita anoreksia bermati-matian untuk menahan rasa lapar dan berusaha sedaya mungkin untuk tidak mengambil makanan dalam jumlah yang besar sehingga boleh tahan hidup hanya dengan makan dua tiga suap nasi sahaja dalam sehari, maka tidak demikian halnya dengan bulimia. Pada dasarnya, tujuan akhir daripada penderita bulimia dan anoreksia adalah sama, iaitu ingin mempertahankan bentuk tubuhnya selangsing (sekurus) mungkin. namun cara mereka sahaja yang berbeza.

Penderita bulimia cenderung mengambil makanan yang mereka sukai. Mereka makan berlebihan untuk memuaskan keinginan mereka, namun kemudiannya mereka memuntahkannya kembali hingga tidak ada makanan yang tersisa. Dengan demikian mereka terhindar menjadi gemuk, tetap menjadi kurus tanpa perlu menahan keinginan mereka untuk makan.

Dapat dibayangkan jika seseorang terus menerus memuntahkan makanan yang mereka makan, dari mana mereka akan mendapatkan kalori untuk melakukan aktiviti. Tubuh pun menjadi lemah, sukar untuk berfikir dan akhirnya tidak ada lagi tenaga yang boleh digunakan untuk mempertahankan dirinya.

MENGAPA TERJADI DEMIKIAN

Ketika memasuki masa remaja, khususnya masa akil baligh, remaja menjadi sangat cerewet terhadap pertambahan berat badan mereka. Terjadi perubahan fisiologi tubuh yang kadangkala mengganggu fikiran mereka. Biasanya, perkara ini lebih sering dialami oleh remaja perempuan daripada remaja lelaki. Bagi remaja perempuan, mereka mengalami pertambahan jumlah jaringan lemak sehingga mereka akan mudah menjadi gemuk apabila mengambil makanan yang berkalori tinggi.

Kalau dahulu, makan apa pun tidak memberi kesan kepada berat badan, tetapi setelah masa akil baligh (biasanya ditandai dengan menstruasi), baru makan coklat dua keping, tetapi beratnya sudah tambah sekilogram. Pada kenyataannya, kebanyakan wanita ingin keihatan langsing dan kurus kerana mereka beranggapan bahawa menjadi kurus akan membuatkan mereka bahagia, berjaya, dan popular. Apalagi kalau melihat ‘body’ para selebriti yang langsing (sebenarnya lebih tepat dikatakan kurus kering tidak berisi).

Sementara kalau tubuh kita gemuk atau berisi, pakai baju apa pun rasanya seperti sedang memakai karung guni. Akhirnya, lingkungan persekitaran juga turut mempengaruhi. Semakin sering diejek gemuk, maka dietnya semakin hebat. Maka, tidak menghairankan apabila ketidakpuasan seseorang dengan bentuk tubuhnya akan mengembangkan masalah pada gangguan makan. Remaja dengan gangguan makan seperti di atas memiliki masalah dengan ‘body image’nya.

Ertinya, mereka sudah memiliki suatu ‘mind set’ (pemikiran yang sudah terpateri di dalam otak) bahawa tubuh mereka tidak ideal. Mereka mempersepsikan tubuh mereka sebagai gemuk, banyak lemak di sana sini, tidak seksi dan lain-lain yang kesimpulannya tidak sedap mata memandang dan tidak semenarik tubuh orang lain.

Akibat pemikiran yang sudah terpateri ini, seorang remaja akan selalu melihat tubuh mereka terkesan gemuk padahal kenyataannya berat badan mereka semakin turun hingga akhirnya mereka menjadi sangat kurus. Mereka akan dihantui perasaan bersalah, manakala mereka makan banyak kerana perkara itu akan menyebabkan berat badan naik.

Masalah ‘body’ ini akhirnya menyebabkan remaja menjadi tidak yakin pada diri sendiri dan sukar untuk menerima keadaan dirinya. Mereka beranggapan bahawa kepercayaan diri akan tumbuh kalau mereka juga memiliki tubuh yang sempurna (sempurna di sini bermaksud kurus).

APAKAH KESANNYA

Penderita atau penghidap anoreksia dan bulimia boleh menurunkan berat badan antara 25-50 peratus daripada berat badan mereka. Jika gangguan ini, baik anoreksia mahupun bulimia tidak segera ditangani, maka boleh membawa kesan serius baik secara fizikal mahupun psikologi, bahkan kes yang parah sehingga boleh menyebabkan kematian. Kesan fizikal yang umumnya terjadi pada mereka adalah seperti yang berikut:

1. Kehilangan selera makan, hingga tidak mahu mengambil apa-apa pun makanan.
2. Luka pada kerongkong dan infeksi saluran pencernaan akibat terlalu sering memuntahkan makanan.
3. Lemah, tidak bertenaga.
4. Sukar berkonsentrasi.
5. Gangguan menstruasi.
6. Kematian.

Kesan fizikal secara tidak langsung juga akan mempengaruhi keadaan psikologi seseorang, sehingga masalah psikologi yang muncul pada mereka dapat dikesan menerusi simptom seperti yang berikut:

1. Perasaan tidak berharga.
2. Sensitif, mudah tersinggung, mudah marah.
3. Mudah merasa bersalah.
4. Kehilangan minat untuk berinteraksi dengan orang lain.
5. Tidak yakin diri, canggung berhadapan dengan orang ramai.
6. Cenderung berbohong untuk menutup perilaku makannya.
7. Minta perhatian orang lain.
8. Depresi (sedih terus menerus).

Mereka memerlukan bantuan segera daripada pakar psikologi, doktor, pakar pemakanan, dan tentu sahaja ibu bapa untuk memulihkan masalah tersebut agar tidak membawa kesan yang lebih serius lagi, iaitu kematian.

BAGAIMANA MENDAPATKAN TUBUH YANG IDEAL

Kita perlu mengkaji kembali apa maknanya tubuh yang ideal. Apakah perlu memiliki tubuh yang kurus, langsing atau seksi menurut gambaran masyarakat? Rasanya tidak ada yang lebih ideal dibandingkan dengan memiliki tubuh yang SIHAT. Untuk apa kurus, langsing dan seksi kalau pada kenyataannya kita menyeksa diri dan akhirnya sakit.

Namun, adalah menjadi amalan yang tidak baik jika akhirnya kita memanjakan diri kita dengan aneka makanan sehingga akhirnya berat badan kita berlebihan dan berisiko tinggi untuk terkena penyakit. Oleh sebab itu, lebih baik mengatur pola makan yang seimbang agar dapat mencapai tubuh yang ideal (sihat). Jika remaja ingin mendapatkan tubuh yang sihat, maka terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan seperti yang berikut:

1. Mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan untuk mendapatkan pola makanan yang seimbang.
2. Sukan yang teratur .
3. Tidur secukupnya .
4. Tidak mengambil ubat-ubatan yang tidak perlu (seperti ubat atau jamu pelangsing, ubat tidur, dadah, dan sebagainya).

Baca selanjutnya...

Anak Abu Jahal yang syahid

"Dahulu aku berperang untuk al-Latta dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada Allah"

Itulah kata-kata Ikramah iaitu anak lelaki Abu Jahal juga sepupu Rasulullah yang pada zaman kebatilannya begitu memusuhi Islam dan Rasulullah S.A.W.

Sifatnya yang sangat bencikan Rasulullah sama seperti bapanya, Abu Jahal sehingga para pengikutnya selalu memberi perumpamaan ‘ke mana kuah kalau bukan ke nasi’ untuk menggambarkan sifatnya saling tidak tumpah seperti Abu Jahal sebelum keislamannya. Ikrimah pernah membantu ayahnya melempar najis kepada Rasulullah S.A.W yang sedang solat di depan Kaabah.

Dia juga pernah membantu bapanya mencekik leher Rasulullah S.A.W. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W dibunuh.

Setelah menjadi salah seorang pahlawan Quraisy, Ikramah menentang pahlawan Islam dalam peperangan Uhud dan Badar namun gagal membunuh Rasulullah S.A.W dalam kedua-dua peperangan tersebut. Dia akhirnya lari ke Yaman sebelum ke Habsyah. Di Yaman kehadirannya tidak diterima oleh Raja Yaman.

Semasa dalam pelayaran ke Habsyah, kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa termasuk Ikramah. Pada mulanya, dia berdoa kepada al-Latta dan al-Uzza namun doanya tidak berhasil meredakan ribut.

Akhirnya dia cuba berdoa kepada Allah, andainya selamat daripada bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad. Dengan izin Allah, ribut yang menggila akhirnya reda.

Apabila kembali ke Mekah, isterinya yang bernama Atikah tidak berjaya ditemui. Anak Ikramah, Omar mengatakan ibunya telah pergi mencari Ikramah bersama seorang hamba abdi bernama Laila. Ikramah yang mendengar kata-kata anaknya itu berasa risau akan keselamatan isterinya. Dia keluar semula dari Mekah untuk mencari Atikah.

Setelah menemuinya, beliau dikejutkan dengan berita Atikah yang telah memeluk Islam dan sanggup merayu kepada Rasulullah S.A.W untuk memaafkan suaminya. Di sinilah terpancar keikhlasan seorang isteri kepada suami yang dicintainya. Ikramah juga memeluk Islam setelah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan menjadi salah seorang pahlawan Islam dalam beberapa peperangan.

Pengislamannya kadang-kadang dipertikaikan oleh beberapa pengikutnya yang lebih awal memeluk Islam daripadanya. Mereka mengatakan Ikramah ada udang di sebalik batu dan mengesyaki dia ingin membunuh Rasulullah S.A.W secara halus. Bagaimanapun, mereka silap apabila Ikramah menunjukkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Islam walaupun setelah kewafatan baginda.

Peperangan terakhir yang diikuti oleh Ikramah ialah Perang Yarmuk di mana dia mengetuai pasukan berani mati seramai 400 orang. Semangat pasukannya yang berkobar-kobar menegakkan kebenaran Islam menaikkan semangat jihad tentera Islam yang lainnya.

Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan.


Ikramah telah menemui syahid di Yarmuk. Detik-detik ketika Ikramah menemui ajal agak menyayat hati.Tubuh Ikrimah dipenuhi lebih kurang tujuh puluh luka bekas tikaman pedang, tombak dan anak panah.

Turut gugur bersama Ikrimah dalam barisan perang tersebut adalah Haris bin Hisyam dan Suhail bin Amar.


Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang hendak memberi air untuk mereka minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang daripada mereka, maka masing-masing berkata, “Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku.” Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat mengatakan, “Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata, “Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku.” Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata, “Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku.”

Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorang pun di antara mereka yang sempat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya.

Sumber: http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=210
Baca selanjutnya...

Terpuji atau Terindah?

Oleh ZALILA ISA

Pernahkah menonton filem ‘Musang Berjanggut’? Filem ini mengisahkan Tun Nila Utama yang berkonflik dengan bapa angkatnya Raja Alam Syahbana tentang konsep perempuan dan betina.

Menariknya filem ini, bukan sahaja ia diarahkan dan dibintangi pelakon hebat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, tetapi tema cerita yang membawa kita kepada menilai erti sebenar sebuah perkahwinan dan keperluan mencari pasangan yang terbaik untuk seseorang.

Dalam meneguhkan pendirian bahawa lelaki sepertinya harus mencari wanita yang baik budi pekerti Tun Nila Utama sanggup berdepan dengan ancaman maut iaitu, jika dia tidak menemui ‘perempuan’ dalam masa setahun, dia akan dipancung.

Berbekalkan sedikit wang dan uncang yang diisi dengan bahan masakan yang bercampur aduk, misi mencari perempuan bermula. Seorang demi seorang perempuan ditemui dan kesemuanya menolak apabila membuka uncang bahan masakan yang dibawa oleh Tun Nila Utama. Mana mungkin mereka mampu mengasingkan bahan masakan yang telah bercampur aduk itu.

Sehinggalah Tun Nila Utama sampai di sebuah kampung dan bertemu dengan seorang perempuan bernama Puspawangi yang mengganggap Tun Nila Utama bukan orang sebarangan berdasarkan perjalanannya bersama Tun Nila Utama yang diselang-seli dengan pelbagai situasi yang memerlukan ketinggian akal dan kebijaksaan seseorang. Akhirnya, Puspawangi dapat membaca helah uncang itu dan sudi memasakkan bahan makanan yang terdapat di dalam uncang tersebut. Tun Nila Utama memilih untuk memperisteri Puspawangi kerana kebijaksanaannya dan juga kerana Puspawangi ditakrifkan sebagai seorang ‘perempuan’ dan bukannya ‘betina’.

Namun, pemilihan Puspawangi boleh dipertikaikan apabila, pada awal pertemuan, Tun Nila Utama memperkenalkan dirinya sebagai seorang anak raja. Hal ini sudah pasti mempengaruhi persepsi Puspawangi dan seterusnya beliau akan berperilaku secara tidak semulajadi. Jika Tun Nila Utama bukan seorang anak raja, mahukah Puspawangi mempelawa Tun Nila Utama ke rumahnya untuk berteduh barang sehari dua?

Di sini, terlihat bahawa rupa paras Puspawangi yang cantik menawan mungkin menjadi pengikat, mengapa Tun Nila Utama memperkenalkan diri sebagai anak raja.


Citra Pasangan

Penciptaan manusia sesuatu yang unik. Melalui Al-Quran dalam surah Al Mu’minuun, ayat 12-14, bermaksud;

”Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.”

Dengan penciptaan yang unik ini, terlahir manusia yang pelbagai rupa dan memiliki ciri-ciri tersendiri. Dengan penciptaan yang unik ini juga, lelaki dan wanita ditakdirkan untuk berpasang-pasangan sebagaimana penciptaan langit dan bumi, matahari dan bulan, bunga dan kumbang serta lain-lainnya. Setiap benda yang dicipta adalah berpasang-pasangan.

Memilih wanita sebagai teman hidup memerlukan kriteria tertentu. Inilah susunan dan peraturan Islam yang indah. Agar pemilihan itu kelak tidak memudaratkan hubungan sesama manusia dan generasi selepasnya.

Rasulullah SAW bersabda :
“Perempuan itu dikawini atas empat perkara, iaitu: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, atau kerana agamanya. Akan tetapi, pilihlah berdasarkan agamanya agar dirimu selamat.”
(H.R. Bukhari dan Muslim)

Selain itu terdapat ciri-ciri tambahan yang lain yang disenaraikan bagi memilih wanita. Antaranya ialah perawan, berakhlak baik, sekufu, subur, mudah dilamar dan banyak lagi yang melambangkan ciri-ciri wanita yang baik.

Bagi golongan wanita pula, Rasulullah telah mengenakan dua syarat pilihan iaitu hanya menerima lelaki yang beragama dan berakhlak sebagai suami. Ini menunjukkan Islam amat menjaga kebajikan wanita.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Pemilihan pasangan yang mengikut lunas agama akan terlahirnya generasi yang baik dan berkualiti.


Citra Masakini

Melihat isu ini dari situasi masakini, seolah-olah banyak kelompongan dan kecacatan tingkahlaku manusia dalam memilih pasangannya. Persepsi lelaki dan wanita tentang pasangan mula berubah mengikut pengaruh semasa. Apa yang terlihat, tiada lagi kelibat ‘Tun Nila Utama’ yang sanggup mencagar nyawa demi membuktikan bahawa wanita dan betina itu banyak bezanya.

Kebanyakan lelaki masa kini, dilihat tidak lagi mempersiapkan diri dengan akhlak dan jatidiri yang mulia dan terpuji demi menjadi tunggak kepada pasangan dan rumahtangga yang bakal dibina. Wanita yang menjadi pilihan pula tidak diuji atau dinilai sebaiknya. Hanya tangkap muat dan sekadar ada.

Begitu juga dengan sesetengah citra wanita masa kini yang jarang terlihat kelibat ‘Puspawangi’ yang bijaksana dan berakhlak mulia. Wanita masa kini leka dalam mempersiap diri untuk menjadi wanita yang mulia dan isteri yang baik. Mereka juga buta dalam memilih lelaki yang bakal menjadi pasangan hidup. Apa yang penting bagi sesetengah wanita masakini mungkin keseronokan dan bahagia yang pada hakikatnya adalah fatamorgana semata-mata tanpa disulami keimanan.

Hari ini, kita lihat seorang lelaki memilih wanitanya kerana wanita itu cantik, pandai bergaya, dan mungkin terlebih bagus wanita itu punya kekayaaan. Hal beriman atau tidak, bertudung atau tidak, masih dara atau tidak, tolak ke tepi. Itu hal yang sudah tidak terpandangkan lagi. Hidup hari ini adalah untuk hari ini dan masa depan adalah hal lain.

Begitu juga dengan wanita yang memilih lelaki. Selalunya, biarlah lelaki itu mampu mengungkap cinta dengan baik, kacak, pandai melayan, kaya, dan boleh dibawa ke tepi atau ke tengah. Hal beriman atau tidak buang ke tepi. Hal boleh menjadi imam kepada keluarga juga sering diabaikan.

Fenomena memilih pasangan secara tangkap muat ini mempunyai pengaruh yang tidak baik kepada generasi akan datang. Ia juga merupakan penyakit yang berbahaya kepada institusi sosial masyarakat Melayu dan Islam yang amat mementingkan akhlak dan perhubungan yang mengikut landasan syariat.

Jika pasangan hari ini tidak mementingkan hal-hal yang suatu waktu dahulu menjadi suatu kemestian malah kewajipan seperti beragama, berakhlak, dan masih perawan, nescaya, generasi yang terlahir nanti tidak akan diikat dengan batasan sosial yang ditetapkan oleh agama dan adab budaya masyarakat.

Mengapa ciri beragama dan berakhlak dipentingkan dalam diri lelaki dan wanita yang mahu bersatu? Kerana agama dan akhlak yang baik menentukan hala tuju sesebuah perkahwinan samaada mengikut tuntutan agama atau terpesong dari landas Islam.

Begitu juga persoalan ‘masih perawan’ yang ditekankan oleh orang tua zaman dahulu kepada bakal menantu perempuannya? Kerana ‘perawan’ seseorang wanita itu melambangkan akhlaknya, sifat malunya, maruah dan perangainya.

Tun Nila Utama dan Puspawangi dalam filem Musang berjanggut bukanlah citra terpuji yang boleh di buat contoh sepenuhnya. Mereka masih punya kelemahan. Apa yang ingin disampaikan melalui filem itu adalah citra terpuji seorang lelaki yang mementingkan siapa pasangannya serta citra terpuji seorang wanita yang bakal menemani pasangannya.

Contoh terbaik dalam memilih pasangan lelaki sebaiknya mencontohi peribadi dan akhlak Nabi Muhammad s.a.w serta sahabatnya. Manakala bagi wanita pula harus dilihat kehebatan akhlak dan keteguhan hati seperti isteri-isteri nabi serta wanita beriman yang selalu diceritakan dalam kisah nabi-nabi.

Citra terpuji yang dituntut dalam Islam adalah sifat mulia dan akhlak yang baik dalam memilih pasangan hidup. Manakala citra terindah bukan semata-mata kerana paras wajah yang kebanyakannya hanya topeng. Citra terindah adalah keindahan budi pekerti disulami keimanan yang kukuh kepada Islam.

Citra terpuji dan terindah bukan kisah untuk pasangan suami isteri sahaja. Ia lebih daripada itu. Dengan bersatunya pasangan lelaki dan wanita, maka terhasil anak yang bakal menghuni dunia. Generasi bagaimanakah yang kita mahukan? Adakah generasi yang terlebih baik daripada kita ataupun generasi yang lebih buruk nilainya daripada kita?

Sumber: http://www.yadim.com.my/Keluarga/KeluargaFull.asp?Id=161
Baca selanjutnya...

Cuti-Cuti Malaysia: Pulau Tioman

Pulau Tioman

Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.

Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam.

Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.

Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara.

Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.

Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu.

Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.
Tips
Jika anda gemar berjalan kaki, anda perlu mencuba laluan merentas pulau yang bermula dari Kampung Tekek di sebelah barat hingga ke Kampung Juara di sebelah Timur. Perjalanan ini boleh disempurnakan dengan mudah dan menawarkan pemandangan pantai serta hutan di kedua-dua belah Pulau Tioman.

Pengangkutan

Kereta
Dari Johor Bahru, gunakan Lebuhraya Tebrau dan pandu menuju ke Mersing menerusi Kota Tinggi. Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Karak menerusi Temerloh, Kuantan, Pekan, Kuala Rompin,Tanjung Gemuk ke Mersing. Anda juga boleh menggunakan Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur menerusi Seremban, Bahau, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Tanjung Gemuk ke Mersing.

Bas, Teksi
Perkhidmatan bas ekspress boleh didapati dari Singapura di Newton Circus Court dan Stesen Bas Jalan Sultan. Dari Kuala Lumpur, perkhidmatan bas dan teksi boleh didapati dari Hentian Bas Puduraya. Bas bertolak pada waktu tengahari dan pukul 11.30 malam. Teksi boleh bertolak pada bila-bila masa. Perjalanan dijangka memakan masa selama 5-6 jam.

Bot, Feri
Pulau Tioman boleh dikunjungi dengan menggunakan bot dari Tanjung Gemok di Pahang dan Mersing di Johor. Perjalanan ini memakan masa selama lebih-kurang 1 1/2 jam. Anda juga boleh menaiki feri ke sini dari Terminal Feri Tanah Merah di Singapura. Perjalanan feri dari sini memakan masa lebih kurang 4 jam.

Penerbangan

Berjaya Air menyediakan penerbangan harian dari Kuala Lumpur dan Singapura ke Pulau Tioman yang memakan masa lebih-kurang 45 minit.

Talian Untuk Dihubungi

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Pahang di talian : +609-517 7113 / 7115

Penginapan

Pelbagai jenis kemudahan tempat penginapan boleh didapati di sini samada asrama pengembara yang ringkas atau hotel newah bertaraf 5-bintang. Kebanyakan tempat penginapan di sini terletak di bahagian pantai barat pulau ini.

Sumber: http://www.tourism.gov.my/my/destinations/item.asp?item=tioman


Baca selanjutnya...

Cinta Kopi Masin

Dia baru sahaja tamat belajar sebagai seorang doktor di UK. Masih bujang dan tercari-cari seorang isteri sebagai teman hidup. Pada suatu hari, ketika sedang minum di sebuah kedai kopi berdekatan dengan sebuah ma'had tahfiz di Lembah Beringin bersama seorang rakannya yang hafaz Quran, dia terpandang seorang gadis yang sungguh cantik. Dengan wajahnya yang tenang dan penampilan solehah, gadis itu sungguh menawan.

Si doktor dan si gadis bertentangan mata, tetapi dengan segera kedua-duanya mengalihkan pandangan mereka.

"Astaghfirullah", bisik doktor itu perlahan. Dia sedar itu panahan syaitan. Si gadis sedang minum-minum bersama dua orang rakannya. Subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah ini! Secara tiba-tiba si doktor menjadi gugup, berdebar-debar dan serba tidak kena. Ingin sahaja dia menyunting gadis ini sebagai isterinya.

Doktor tersebut berbisik kepada rakannya yang hafaz Quran itu,"kau kenalkah gadis itu?"

“Kenal. Dia sungguh berbudi bahasa.Dan masih belum berpunya lagi”, jawab rakannya sambil tersenyum memahami. Aduh, bertambah guguplah doktor muda ini!

Tiba-tiba, datang pelayan meminta order, dan dia secara spontan berkata

"Berikan saya kopi masin!"

Semua orang memandang dan melihat aneh kepadanya, termasuklah rakannya, pelayan dan gadis tersebut. Mukanya mendadak menjadi merah, tetapi dia tetap tidak mengubah pesanannya, dan setelah kopinya sampai, dia terus meminumnya.

Kehairanan, rakannya bertanya "Mengapa kopimu mesti masin, sahabatku?"

"Saat aku masih kecil, aku tinggal di tepi laut. Aku sangat suka bermain-main di laut, di situlah tempatnya aku dapat rasakan air laut....masin dan pahit. Sama seperti rasa kopi ini" jawab lelaki ini.

Tanpa disedari, gadis cantik yang duduk di meja bersebelahan, mendengar kata-kata si doktor tersebut. Gadis ini terharu. Itu adalah hal yang sungguh menyentuh hati. Perasaan yang begitu dalam dari seorang lelaki yang mengungkap kerinduan akan kampung halamannya. Dia pasti seorang yang menyintai dan begitu mengambil berat akan rumah dan keluarganya. Dia pasti mempunyai rasa tanggungjawab akan tempat tinggal dan orang tuanya. Jika dia seorang abang, pastinya dia seorang yang sanggat menyayangi adik-adiknya. Bertuahlah siapa yang menjadi isterinya.

Setelah peristiwa tersebur, si doktor ini meminta rakannya merisik gadis tersebut. Pucuk dicita, ulam mendatang. Setelah mengetahui rombongan merisik adalah mewakili lelaki yang ditemuinya di kedai kopi tempohari, si gadis yang pada ketika itu hampir tamat pengajian di ma'had tahfiz, menerima si doktor ini sebagai teman hidupnya dengan hati terbuka.

Seperti kisah cinta yang indah, Allah mengurniakan ketenangan di dalam rumah tangga mereka. Mereka hidup bahagia, saling menyanyangi antara satu sama lain, walaupun tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Cinta yang berputik setelah perkahwinan, terus kembang mekar seiring dengan ketaatan mereka kepada Yang Maha Pencipta. Dan setiap kali si isteri membuatkan secawan kopi buat suaminya, dia tidak lupa membubuh sedikit garam di dalamnya, kerana dia tahu, itulah kesukaan suaminya.

Setelah 40 tahun hidup bersama, si suami meninggal dunia. Dia meningalkan sepucuk surat buat isterinya.

"Sayangku, sepanjang tempoh kehidupan kita bersama, abang telah sentiasa jujur terhadapmu, tetapi maafkan abang untuk satu perkara. Maafkan kebohongan yang telah abang buat sepanjang hidup abang. Inilah satu-satunya kebohongan abang kepadamu - tentang kopi masin. Kamu ingatkah di saat kita pertama kali bertemu? Pada ketika abang sedang minum kopi dengan Ustaz Syakir, di maahad? Abang sangat gugup pada ketika itu. Sebenarnya abang inginkan kopi manis. Tetapi abang telah tersebut kopi masin. Waktu itu abang ingin batalkannya, tetapi abang terlalu gugup di hadapanmu ketika itu, maka abang biarkan sahaja. Abang tidak pernah menyangka itu akan menjadi awal perkenalan kita. Abang telah mencuba untuk mengatakan hal yang sebenarnya kepadamu..abang telah mencuba beberapa kali sepanjang hidup abang...tetapi abang tak sanggup melukakan hatimu.. Sekarang saat kamu membaca surat ini, abang sudah tiada. Tidak ada lagi yang perlu abang bimbangkan, maka abang akan menyatakan ini kepadamu: Abang tidak menyukai kopi masin. Tapi sejak mengenalimu, abang selalu minum kopi masin yang kamu buatkan sepanjang hidup abang. Dapat berada di sampingmu adalah kebahagiaan terbesar dalam hidup abang. Jika abang punya kesempatan untuk menjalani kehidupan sekali lagi, abang akan tetap berusaha mengenalimu dan menjadikanmu sebagai isteri abang walaupun abang harus minum kopi masin sekali lagi."

Sambil membaca, air matanya membasahi surat itu.

Suatu hari, seseorang telah bertanya kepadanya,"Bagaimana rasa kopi yang masin?"

Dia dengan pastinya menjawab,"Rasanya manis sekali"


Begitulah kisah bahtera cinta yang antara dua insan,
Dalam pelayaran menuju cinta Tuhan.

Sumber: http://thaqofah.com/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=81:masih-tentang-cinta&catid=70:cerpen-a-cerpan&Itemid=122
Baca selanjutnya...

Astronomi, matematik dalam genggamannya

Oleh Happis Basha

Nama beliau adalah Abu Al-Hasan Ali bin Abu Sa’id Aburrahman bin Ahmad bin Yunus bin Abdul A’la Ash-Shadafi Al-Mishri. Beliau biasa dipanggil dengan nama Ash-Shadafi, sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Al-Fandi.

Beliau dipanggil dengan nama ini kerana berasal dari desa Shadaf di daerah pendalaman Mesir. Akan tetapi menurut Ibnu Atsir, kata Ash-Shadafi merupakan kata yang berasal dari kata “shadah” kemudiannya menjadi “Ash-Shadafi” yang menunjukan bahawa dia berasal dari kabilah di Yaman yang telah berpindah ke Mesir.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus dijangka hidup di Mesir pada abad keempat Hijrah atau (abad kesepuluh Masihi). Tanggal dan tempat kelahirannya tidak diketahui secara pasti, sekalipun sebahagian sumber ada yang mengatakan bahawa dia dilahirkan pada tahun 341H (952M).

Menurut sejarah, ayahnya adalah seorang ahli hadis dan sejarah yang bernama Yunus bin Abdul A’la yang termasuk diantara sekian banyak ulama terkemuka dan penganut Mahzab Imam Syafi’ie. Malah ayahnya juga menonjol dalam astronomi.

Ash-Shadafi atau Ibnu Yunus adalah salah seorang ilmuan astronomi terkemuka dalam sejarah peradaban Arab dan Islam. Beliau termasuk antara ilmuan yang paling teliti dalam melakukan penelitian di bidang astronomi di mana beliau telah melakukan pengkajian dan meneropong bintang di Gunung Al-Muqaththam, Mesir.

Ibnu Yunus mengabadikan dirinya kepada khalifah dari Dinasti Fatimiyyah bernama Al-Aziz Billah. Beliau menyedari dan mengetahui potensi ilmiah dan untuk itu dia selalu memotivasikannya, memberinya jabatan dan membangunkan untuknya teropong bintang di gunung Al-Muqaththam.

Setelah wafatnya Al-Aziz Billah, Ibnu Yunus melanjutkan pengabadian ilmunya kepada anaknya, Al- Hakim Biamrillah yang disebutkan di dalam buku-buku sejarah bahawa dia mencintai ilmu dan memperhatikan ilmu astronomi malah beliau juga memberikan jabatan yang sesuai kepada para ilmuwan.

Sepertimana yang diketahui dalam “Sirah” karangan Ibnu Hisham, bagaimana Al-Hakim biamrillah memperhatikan artikel Ibnu Yunus tentang Nil dan memanggilnya untuk mengawasi. Al-Hakim Biamrillah juga telah membangunkan “Darul Hikmah” di Kaherah sebagai tempat bertemunya para ulama’dan sebagai tandingan “Baitul Hikmah” yang dibangun oleh Khalifah Al-Ma’mun di Baghdad.

Al-Hakim membekalkan Darul Hikmah dengan perpustakaan besar yang disebut perpustakaan Darul Ilmi yang dilengkapi dengan peralatan teropong bintang yang ada di Gunung Al-Muqaththam.

Di Gunung Al-Muqaththam, Ibnu Yunus meneropong dua kali gerhana matahari, iaitu pada tahun 977 dan tahun 978M. Pada tahun yang sama dia juga meneropong gerhana bulan dan mencatat semua peristiwa yang terjadi di dalam jadual astronominya.

Selain itu, Ibnu Yunus menghitung kecondongan daerah gugusan bintang-bintang dengan tingkat ketelitian yang sangat mengagumkan. Hasil daripada peneropongan Ibnu Yunus yang tepat, telah membuatkan para astronomi Barat menjadikannya sebagai rujukan untuk menghitung graviti bulan.

Selain itu, Ibnu Yunus jua yang menemui waktu jam malah mendahului seorang ilmuan Itali, Galileo, enam ratus tahun sebelumnya. Apa yang pasti mereka telah mempergunakannya untuk mengukur waktu ketika sedang melakukan peneropongan bintang kerana lebih tepat daripada jam mesin yang telah banyak digunakan pada masa itu.

Bukan itu sahaja malah banyak lagi penemuan Ibnu Yunus di mana beliau mampu menyelesaikan sebahagian permasalahan yang ada dalam hitungan trigonometri berbentuk bola (spherical trigonometri) dengan bantuan garis vertikal bola langit pada setiap tahap, baik yang bersifat melintang mahupun menegak

Selaian itu, beliau juga telah menemui kaedah-kaedah dan hubungan matematik yang mungkin dapat dijadikan alat untuk mengubah proses pendaraban menjadi proses tambahan. Penemuan ini telah memacu lahirnya matematik logaritma yang ada pada matematik moden.

Beliau telah banyak menulis dan dalam karyanya yang berjudul “Az-Zaij Al-Hakimi”, beliau telah menghasilkan 81 bab yang terdiri daripada jadual-jadual astronomi yang terperinci hasil daripada penelitian astronomi beliau. Buku ini juga telah menjadi buku rujukan bagi para ulama Mesir dalam menetapkan kalendar dan masalah-masalah yang berhubungkait dengan astronomi.

Tetapi apa yang menyedihkan buku tersebut tidak sepenuhnya berada di perpustakaan Darul Kutub di Mesir kerana sebahagian bab-bab buku tersebut berada di pelbagai perpustakaan negara-negara Eropah. Malah beberapa bab buku tersebut juga telah diterjemahkan dan diterbitkan ke dalam Bahasa Perancis oleh seorang orientalis Perancis, Kausan pada tahun 1804 Masihi.

Karya Ibnu Yunus ini telah banyak diperakui sebagai yang terbaik malah seorang ahli falsafah dan sosiologi Perancis, Gustav Le Bon pernah mengatakan, “Ibnu Yunus menulis buku ini lebih berkualiti dan terperinci daripada semua buku pada bidang yang sama.”

Ibnu Yunus telah meninggal dunia pada tahun 399H (1009M).

Sumber: http://www.yadim.com.my/Ulama/UlamaFull.asp?Id=209
Baca selanjutnya...

Kahwin Kerana Nafsu Atau Kasih Sayang ?

Oleh Ramzi Ramli

Hubungan lelaki dan perempuan adalah fitrah kejadian yang ditetapkan oleh Allah taala, hubungan yang dijalinkan hendaklah atas dasar syariat. Firman Allah taala ;

Maksudnya; “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”. Al-hujurat-13

Dalam Islam hubungan tersebut adalah ikatan perkahwinan yang sah. Timbul persoalan apabila pasangan yang berkahwin selalu menghadapi masalah dalam rumah tangga, apabila membincangkan perkara ini, ada pihak yang mendakwa perkahwinan yang berdasarkan hawa nafsu akan sering dilanda masalah, adapun perkahwinan yang didasari dengan kasih sayang kurang mempunyai masalah.

Pada pandangan saya ikatan kekeluargaan itu terdiri daripada ikatan antara dua insan yang berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan yang mempunyai hormon yang berbeza. Sudah tentu dua insan ini berbeza dari segi emosi, pemikiran, jasmani dan rohaninya. Maka apabila berlaku masalah dan pertengkaran, masing-masing akan mempertahankan diri dengan emosi dan pemikiran tersendiri. Sekiranya keluarga itu tidak bijak mengawal emosi maka akan bertambah parah masalah tersebut dan sebaliknya.

Perkahwinan atas dasar kasih sayang memang tidak dapat disangkal lagi sebagaimana firman Allah taala;

Maksudnya; “Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir”.ar-Ruum-21

Dalam ayat ini dapat difahami bahawa nikmat kasih sayang itu wujud dalam suasana hubungan antara lelaki dan perempuan yakni selepas bergelar suami dan isteri. Imam al-Alusi dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa : “diciptakan bagi kamu isteri dari jenis kamu sendiri( yakni asal penciptaan hawa dari rusuk adam), supaya kamu cenderung kepadanya, sesungguhnya faktor sejenis ini akan menguatkan lagi hubungan kasih sayang”.

Berkahwin kerana nafsu, bukan kerana kasih sayang selalu menjadi hujah sesetengah golongan isteri yang kononnya kecewa dengan suami mereka yang tidak mengendahkan perasan,dan hati isteri dalam kehidupan berumah tangga. Isteri dikatakan menjadi mangsa suami, yang mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya. Namun dalam menyelesaikan hubungan rumah tangga suami dan isteri harus bermuhasabah diri masing-masing, dan perlu bertolak ansur. Hujah ataupun tohmahan ini dilihat seolah-olah nafsu itu sesuatu yang buruk dan amat keji, sedangkan perasaan kasih sayang sendiri memerlukan kepada nafsu, makan perlu kepada nafsu, tidur dan kehidupan keseluruhannya perlu kepada nafsu.

Apakah yang dikatakan nafsu itu. Nafsu itu satu perkataan daripada bahasa arab dan dalam Bahasa Melayu membawa erti keinginan yang kuat. Jadi semua perkara tidak akan berlaku dan terjadi melainkan dengan adanya keinginan dalam diri kita. Adapun keinginan dan perbuatan kita didorong oleh nafsu, sama ada nafsu yang mengajak kepada kebaikan ataupun yang mengajak kepada kejahatan.

Nafsu terbahagi kepada nafsu muthmainnah, nafsu lawwamah, nafsu mulhimah, dan nafsu amarah. Tingkatan nafsu yang paling buruk ialah nafsu amarah, iaitu nafsu yang menyeru kepada kejahatan. Dan nafsu inilah yang perlu kita bendung dengan berkahwin, supaya diri kita tidak dikawal olehnya lalu menjerumuskan diri dalam lembah kehinaan.

Sekiranya dikatakan, ada sesetengah pasangan yang berkahwin bukan kerana keinginan dan nafsu kasih sayang, yang ada hanya nafsu keinginan seks semata, ya saya katakan ada, ini kerana berkahwin atas dasar keinginan seks adalah bagi menghalang diri daripada melakukan kemaksiatan yang merosakkan, selagi mana perkahwinan itu tidak melanggar etika dan peraturan perkahwinan yang telah ditetapkan oleh syariat. itu juga yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W. , sabdanya yang bermaksud;

Daripada A’lqamah ra berkata: ketika aku berjalan bersama Abdullah r.a, Abdullah berkata: satu ketika kami bersama Rasulullah S.A.W, lalu beliau bersabda: “sesiapa di antara kamu yang ada keinginan seks ( Jimak ) hendaklah dia berkahwin, kerana dengan berkahwin dapat memelihara pandangan dan juga kemaluan daripada terjebak dalam melakukan kemaksiatan. Bagi sesiapa yang tak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menghalang nafsu”. (muttafaq alaih)

Imam an-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa; pendapat ulama terbahagi kepada dua dalam makna “al-baah”.
Pertama dan yang paling sahih: maknanya pada bahasa iaitu jimak. Maksudnya sesiapa di antara kamu yang mampu berjimak dan mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah ia berkahwin.
Kedua: maknanya nafkah perkahwinan. Maksudnya sesiapa yang mampu menyediakan nafkah perkahwinan hendaklah berkahwin, dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa bagi mengekang syahwatnya. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan: maksud sabda nabi “ sesiapa yang tak mampu hendaklah ia berpuasa” mereka berkata; bagi mereka yang tidak mempunyai keinginan seks (jimak) tidak perlu berpuasa untuk mengekang nafsu syahwatnya. Maka wajib mentakwilkan “al-baah” itu kepada kemampuan nafkah

Jelas dalam hadis ini, saranan daripada Rasulullah agar pemuda-pemuda berkahwin bagi mengekang nafsu daripada dilepaskan tidak pada tempatnya. Maka berkahwin di sini atas dasar menghalang nafsu ammarah daripada menguasai diri adalah wajib hukumnya.

Tidak semestinya berkahwin dengan sebab nafsu tidak mempunyai kasih sayang. Ketika proses memilih calon isteri dan bertunang kita digalakkan untuk memilih calon yang sekufu yakni yang sesuai dengan diri kita. Tempoh bertunang merupakan satu tempoh untuk melahirkan perasaan kasih dan sayang agar permulaan di alam rumah tangga bermula dengan baik.

Islam amat memandang berat kepada kesalahan zina kerana ia mengakibatkan keruntuhan sistem kekeluargaan, begitu juga perkara-perkara yang menjebakkan diri dalam kancah zina, seperti berpakaian menjolok mata, melihat aurat bukan muhrim, bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa sebab, berdua-duaan lelaki dan perempuan dan sebagainya. Firman Allah taala;

Maksudnya : “dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”. Al-Israa’ 32
Kesimpulannya berkahwin kerana nafsu bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam kancah perzinaan bukanlah satu kesalahan bahkan satu kewajipan. Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai hujah bagi menyatakan perkahwinan disebabkan nafsu tidak membawa kebahagian dan memporak-perandakan rumah tangga.

Sumber: http://www.yadim.com.my/Keluarga/KeluargaFull.asp?Id=163

Baca selanjutnya...

Remaja dan Keganasan: Bagaimana Mengekangnya?

Semakin kerap dada akhbar memaparkan kes mahkamah atau laporan jenayah yang sebahagiannya melibatkan belia Melayu.

Mengapakah sesetengah belia tidak menghayati Islam lagi sehingga terjebak ke kancah kerosakan?

Ajaran Islam tidak membenarkan penganutnya mengganggu harta milik orang lain atau mencederakan fizikal mereka dengan memukul apatah lagi membunuh, juga tidak dibenarkan menjatuhkan maruah dengan memalukan atau menceroboh kehormatan. Perbuatan tersebut juga adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Amalan beragama masyarakat kita masih berteraskan penyebaran kedamaian dan kesejahteraan, seperti yang difahamkan daripada galakan memberi salam semasa bertemu. Ia bukan sekadar kalimat ´salam´ yang dilafazkan, tetapi menghendaki agar lafaz itu dihayati dalam seluruh kehidupan, tidak terbatas kepada masyarakat sendiri tetapi juga pada masyarakat majmuk dan global.

Demikian juga lafaz salam yang diucapkan setelah melakukan ibadah solat, dengan berpaling ke kiri dan ke kanan. Ia adalah lambang yang menunjukkan bahawa seorang yang beriman hendaklah terus memberikan sumbangan kepada kesejahteraan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Meskipun kesejahteraan merupakan asas utama hidup bermasyarakat, masih terdapat ramai yang melakukan jenayah dari kalangan masyarakat Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan satu cabaran bagi semua - bagaimana kadar jenayah ini dapat dibendung yang akhirnya menjadikan masyarakat kita bebas jenayah.

Mereka yang terlibat dalam kes jenayah berat semakin bertambah, peratusan anak Melayu yang ditahan di pusat pemulihan akhlak juga agak tinggi jika dibandingkan dengan jumlah peratusan masyarakat Melayu di negara kita.

Masyarakat lain akan bertanya: apakah agama Islam sebagai agama ´salam´ atau sejahtera yang dianuti gagal menanamkan nilai kedamaian dan keharmonian kepada pengikutnya?

Tiada agama di dunia yang bertolak ansur dengan jenayah yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan boleh menjerumuskan negara ke dalam jurang kebinasaan.

Tidak juga ada sebab mengapa seseorang terlibat dengan jenayah. Kemiskinan tidak menghalalkan orang yang susah mencuri atau merompak, kerana ada skim bantuan yang boleh dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

Kemarahan yang meluap bukan sebagai alasan untuk memukul atau membunuh orang lain. Kalau pun kemarahan berpunca daripada sikap seseorang yang memalukan atau mengugut, ada saluran undang-undang yang boleh menjadi penyelesaian.

Masyarakat harus dibentuk agar mengikut acuan yang betul berdasarkan nilai keyakinan mereka, dan tidak boleh melakukan sesuka hati sehingga boleh menggugat ketenteraman awam dan menjadi ancaman kepada sesiapa sahaja.

Perbuatan tidak bertanggungjawab harus dibanteras dari peringkat akarnya - dari kecil sewaktu asuhan ibu bapa.

Pakar psikologi jenayah berusaha sungguh-sungguh mencari punca yang mendorong perlakuan jenayah. Mereka akan cuba melihat latar belakang keluarga dan kaitannya dengan tabiat antisosial.

Mereka juga akan menyelami jiwa pelaku jenayah untuk mengenal pasti motif dan dorongan yang menyebabkannya bertindak liar.

Dapat pakar harus menjadi iktibar yang boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan membina persekitaran yang baik sehingga jenayah dapat dikekang atau dibanteras.

Pendekatan Islam ialah melalui pembentukan peribadi, meningkatkan nilai keyakinan beragama atau akidah.

Dengan keyakinan yang kukuh seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada mencerorohi harta benda, maruah atau membelasah fizikal orang lain, kerana perbuatan itu bercanggah dengan keimanan.

Menurut sejarah, Saidina Umar r.a telah menguji hati seorang hamba yang menjadi penggembala kambing - memujuknya agar menjualkan seekor kambingnya.

Hamba itu menjawab:

“Saya tak sanggup tanpa izin tuan saya.”

Saidina Umar menyatakan kepadanya:

“Tuan kamu tidak nampak.”

Hamba itu lantas menjawab:

“Kalau tuan saya tak nampak, Tuhan saya nampak.”

Apa yang dinyatakan penggembala ini adalah tanda keyakinannya kepada Yang Maha Esa. Beliau tidak berani melakukan pecah amanah kerana takut kepada akibat yang akan dihadapinya.

Sifat ini adalah sesuatu yang tersemai dalam diri, beliau tidak takut kepada insan tetapi lebih takut kepada yang mencipta manusia.

Jika sifat yang dimiliki oleh penggembala yang jujur itu dapat diterapkan dalam diri masyarakat tentunya masalah jenayah akan dapat dikurangkan.

Program membanteras jenayah bermula dalam kehidupan berkeluarga. Masyarakat Islam perlu menanam nilai mulia dengan cara yang berkesan.

Asas masyarakat ialah keluarga atau rumah tangga. Sayangnya, banyak rumah tangga yang bobrok disebabkan perceraian atau sengketa yang berlarutan sehingga menjejas pertumbuhan generasi muda kita.

Satu pendekatan baru yang lebih terancang perlu diperkenal untuk memperkukuh rumah tangga Muslim agar setiap anak muda kita menjadi pembina masyarakat.

http://www.yadim.com.my/Remaja/RemajaFull.asp?Id=152
Baca selanjutnya...

Sebab Perwarisan Harta Pusaka

1)Perkahwinan
Perkahwinan ialah pernikahan melalui akad nikah yang sah. Suami dan isteri berhak mewarisi satu sama lain sekalipun belum berlaku persetubuhan antara mereka.

2)Pembebasan Hamba
Diistilahkan dengan al-walak. Ertinya, hak perwarisan yang diberikan kepada seseorang yang memerdekakan hamba yang dimilikinya. Orang yang memerdekakan dan ahli warisnya akan mempusakai hamba tersebut sekiranya ia tidak meninggalkan waris.

3)Pertalian Nasab
Ertinya, hubungan kerabat yang merangkumi al-usul, al-furu', al-akh, ibn al-akh.

4)al-Islam
Baitulmal akan mewarisi harta yang ditinggalkan si mati yang tidak mempunyai waris.
Baca selanjutnya...

Dia yang Bergelar Wanita

Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN


DIA tidak pernah lupa asal-usul. Katanya, sebagai wanita atau orang yang dilahirkan di luar Amerika, anda harus menjadi lebih pintar daripada orang lain.

“Anda harus bekerja keras untuk berjaya di negara ini. Jika anda mahu mencapai tahap tertinggi dalam sesebuah syarikat, ia hanya boleh menjadi kenyataan di Amerika,” katanya.

Wanita yang senantiasa memakai sari sewaktu menghadiri majlis syarikatnya itu senantiasa teguh dengan prinsip ‘jadilah diri sendiri’.

Dia yang lahir di Chennai, India ini telah menghabiskan tempoh 23 tahun usianya di tanah tumpah darahnya itu. kendatipun begitu, dia berbangga kerana dengan tempoh tersebut nilai murni yang dipupuk banyak mencaturkan kejayaannya.

Kejayaannya bukan kecil kerana dia, yang bernama Indra K. Nooyi, adalah Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo semenjak 1 Oktober 2006.

.....................................

Dia memegang gelaran antara orang terkaya China. Dengan jumlah kekayaan US$3.4 billion, saudagar kertas ini mengalahkan nama-nama wanita ulung dunia lain seperti Oprah Winfrey (US$1.4 billion) dan J.K.Rowling (US$1 billion).

Dia yang bernama Zhang Yin ini merupakan pemilik Nine Dragons Industries Co. Ltd, syarikat kertas utama China.

.....................................

Dia adalah wanita berketurunan Afrika Amerika yang sangat berpengaruh di dunia. Bekas profesor sains politik di Universiti Stanford ini merupakan pelopor transformasi diplomasi negara-negara Timur Tengah.

Memegang jawatan penting sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, dia, anak tunggal seorang paderi yang bernama Condoleezza Rice ini, senantiasa diiktiraf sebagai wanita paling berkuasa dunia.

.....................................

Dia merupakan anak kepada tokoh ulung negara. Dia juga dilihat sebagai antara individu yang berpengaruh di Malaysia. Kebolehannya dalam dunia kewangan dan ekonomi telah mengangkatnya sebagai wanita pertama menjawat jawatan Gabenor Bank Negara.

Gabenor Bank Negara Malaysia yang ketujuh ini adalah Y.M. Tan Sri Dato´ Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz.

.....................................

Tokoh-tokoh di atas merupakan antara sekelumit contoh kegigihan dan kejayaan wanita di dalam pelbagai lapangan kerjaya. Kejayaan dan keupayaan wanita-wanita unggul ini sememangnya tidak dapat disangkal dengan kecemerlangan mereka yang menyerlah dalam pembangunan negara.

Penglibatan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara adalah merupakan aset penting bagi negara. Mengiktiraf peranan dan penglibatan kaum wanita dilihat sebagai suatu usaha positif dalam meletakkan kedudukan wanita setanding dengan kaum lelaki.

Islam melihat peranan wanita setanding dengan kaum lelaki. Islam juga tidak pernah menghalang wanita untuk berbakti dan mencurahkan kebolehan sekiranya ia dapat memberikan kesejahteraan dan kemaslahatan keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.

Sirah Islam telah melahirkan ratusan tokoh wanita Islam unggul yang tidak kurang peranan dan kecemerlangannya di dalam mencorak peradaban tamadun Islam.

Kehebatan wanita telah diperakui dan dicatat bersama tokoh-tokoh Islam lain dalam lipatan sejarah. Nama mereka disebut dengan rasa bangga kerana pencapaian serta sumbangan yang sangat bererti dan bermakna bagi setiap Muslim.

Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda” (Riwayat Bukhari).

Sejarah menggambarkan Asiah sebagai suatu simbol keimanan yang jitu kepada Allah yang menyelusuri bahtera kehidupan bersama-sama suaminya, Firaun yang memusuhi Allah.

Maryam digambarkan sebagai simbol wanita yang tinggi darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian dan kehormatan diri walau dihujani dengan fitnah yang maha hebat.

Khadijah pula adalah simbol kesetiaan kepada suami tercinta dalam menegakkan kebenaran agama. Sanggup berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Manakala Fatimah digambarkan sebagai simbol wanita solehah yang lengkap iaitu anak yang soleh dan taat kepada ayahandanya; Rasulullah s.a.w., isteri yang setia dan taat kepada suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan anak-anaknya.

Jelas sekali, masa dan waktu telah membuktikan segalanya mengenai kehebatan dan kecemerlangan wanita sejak zaman berzaman. Segala yang dikecapi bukanlah suatu yang mustahil kerana sejarah telah membuktikannya.

Mungkin ada benar pepatah Melayu mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario sebenar wanita-wanita pada hari ini.

Kini wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu entiti penting dalam pembangunan ummah.

Kredibiliti mereka tidak lagi dipandang enteng kerana keupayaan wanita mampu membuatkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki yang lain.

Sumber: http://www.yadim.com.my/Wanita/WanitaFull.asp?Id=153

Baca selanjutnya...