Pengikut

Hadith Hari Ini

Amalan yang semakin jauh

Oleh Shahzuani A. Hamid
Pelajar Praktikum Universiti Sains Islam Malaysia

Ibu mengandung itu seakan-akan mahu pitam. Mungkin terlalu letih kerana seharian bekerja dan terpaksa pula berdiri lama di dalam komuter. Usia kandungannya kira-kira lima bulan. Leka memerhati ibu mengandung yang baru masuk ke dalam komuter sebentar tadi dengan keadaan penuh sesak dengan manusia yang baru pulang bekerja.

Agak sukar bagi si ibu untuk meredah kesesakan lalu berdiri di hadapan sekumpulan remaja perempuan yang sedang duduk sambil berbual. Dibiarkan si ibu berdiri sepanjang perjalanan dan perhentian. Malang sungguh.

Wajarkah kita melakukan perkara sedemikian? Di mana letaknya sikap prihatin dan timbang rasa kita sebagai manusia?

Sudah banyak yang di ajarkan kepada kita tentang sikap prihatin, tanggungjawab, timbang rasa, menghormati dan menyayangi tetapi masih belum meninggalkan kesan. Buktinya fenomena sebegini masih berlaku dan boleh dilihat di mana sahaja.

Siapa yang harus dipersalahkan? Kerajaan? Ibu bapa? Atau individu itu sendiri. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat di negara ini. Terlalu mementingkan diri sendiri.

Kerajaan telah berusaha memberikan panduan kepada masyarakat tentang akhlak yang baik yang harus diamalkan melalui iklan sama ada media cetak mahupun media elektronik. Masyarakat diberi panduan bagaimana hendak berbudi dan berbahasa. Malangnya tidak diendahkan.

Salah satunya adalah kempen yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Kempen yang bertemakan ”Budi Bahasa dan Nilai Murni” adalah bertujuan untuk mendedahkan masyarakat dengan nilai-nilai yang perlu menjadi amalan seharian.

Banyak iklan di media yang mengajar kita membantu dan menghormati orang lain. Lebih mudah dilihat dan difahami adalah melalui televisyen.

Contohnya, mengutamakan orang yang lebih tua ketika menaiki kenderaan awam, membantu mengangkat barang-barang mereka, membantu mereka ketika melintas jalan dan memberikan tempat duduk kepada orang yang kurang upaya atau yang lebih memerlukan. Tidak rugi membuat kebaikan kepada mereka.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, oleh itu pastinya setiap bangsa mempunyai pelbagai budaya, adat dan agama. Sudah tentu ia menitikberatkan tentang nilai-nilai murni, akhlak yang baik begitu juga kesopanan dan tatasusila.

Namun, tidak dapat dinafikan segelintir masyarakat kita pada masa kini mengamalkan gaya hidup yang kasar, melanggar peraturan dan etika berbahasa, meletakkan adab sopan jauh dibelakang dan mengabaikan tatasusila.

Sebenarnya akhlak yang baik bermula dari rumah dan diri kita sendiri. Kita yang menentukan akhlak dan jati diri terutamanya golongan remaja yang bakal menerajui negara, bangsa dan agama.

Lebih-lebih lagi kita hidup dalam negara Islam yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama. Justeru itu, nilai-nilai murni harus diterapkan dan diamalkan tanpa mengira siapa kita, tinggi pangkat kita atau sebaliknya.

Tindakan kerajaan mengadakan kempen ini adalah untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi juga perilaku warganegara malaysia di semua peringkat. Selain percaya kempen ini akan memberikan input dan impak yang baik jika masyarakat peka dan bersedia bukan sahaja untuk meneguhkan kembali kekuatan peribadi malah jati diri masyarakat kita.

Dari perspektif Islam pula, semua perbuatan yang baik dan ikhlas itu dianggap nilai-nilai murni yang harus diamalkan oleh semua lapisan masyarakat. Ia merangkumi tingkah laku, perbuatan, adab bertutur dan sikap individu. Dalam masyarakat Melayu, keperibadian dan pembentukan sahsiah diri dan jati diri amat penting untuk membina peribadi melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi. Rasullullah adalah contoh terbaik yang patut diikuti kerana baginda sentiasa menggunakan bahasa yang baik ketika bertutur, penuh adab sopan dan rasional.

Sumber: Sini

0 ulasan:

Catat Ulasan