Pengikut

Hadith Hari Ini

Remaja Islam ‘Dipenjara’ Budaya Kufur dan Jahiliah


Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PERNAHKAH anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di lelangit terpampang gambar warna merah jambu (pink); ada yang berbentuk dua buah hati berwarna merah jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati.

Sememangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menganjurkan pelbagai acara yang kebanyakannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.

Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja tetapi juga oleh para ibu bapa, terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini atau di mana-mana sahaja. Maka, penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah, dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam.

Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar daripada syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti bercampur gaul di antara lelaki dengan perempuan, dan perbuatan maksiat lain.

Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya mengatur seluruh kehidupan manusia tidak ada smengarahkan mengikatkan seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharam melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fikah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud, “Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.”

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran dalam surah An-Nisa: 65 yang bermaksud: “Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Dalam surah Al-Maidah, ayat 49, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.”

Jelaslah daripada ayat-ayat di atas, setiap Muslim wajib mengarahkan seluruh perbuatannya dengan apa yang Allah telah turunkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan dilarang keras kita mengambil dan mengamalkan hukum selain daripada hal tersebut. Tidak dijadikan akidah Islam sebagai ikatan pemutus seluruh perbuatan manusia ketika ini merupakan faktor kenapa ramai remaja sekarang terperosok dalam perbuatan haram, di samping itu ketidakfahaman mereka terhadap hal tersebut, dan budaya ikut-ikutan memainkan peranan ke arah perilaku yang terkeluar daripada syariat Islam.

‘Berkasih-sayang’ versi Valentine ini, haruslah diketahui terlebih dahulu hukumnya, lalu diputuskan apakah akan dilaksanakan atau ditinggalkan. Dengan melihat dan memahami asal-usul serta fakta pelaksanaan Valentine’s Day, sebenarnya perayaan ini tidak ada sangkut-pautnya sedikit pun dengan corak hidup seorang Muslim. Tradisi tanpa dasar ini lahir dan berkembang daripada segolongan manusia (kaum/bangsa) yang hidup dengan corak yang sangat jauh berbeza dengan corak hidup berdasarkan syariat Islam yang agung.

Jika kita fahami nas-nas syarak dengan lebih mendalam, akan kita dapati aturan yang tegas terhadap masalah ini, antara lain firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertangggungjawaban.” (surah Al-Isra’: 36)

Kita dilarang menyerupai atau meniru budaya yang lahir daripada peradaban kaum kafir, yang jelas bertentangan dengan akidah Islam, sementara yang boleh diambil daripada semua orang (termasuk kafir) adalah dalam masalah teknologi, budaya yang tidak lahir daripada pandangan hidup mereka; seperti bahasa asing, mengamalkan pertanian berteknologi tinggi, membuat kapal terbang, komputer, kenderaan bermotor, kereta dan lain-lian lagi bahkan kita dituntut untuk mendalami hal ini.

Hal ini diperkuatkan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk daripada golongan mereka.’ (Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad daripada Ibnu Umar)

Sabda Rasulullah lagiyang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golongan umatku (umat Islam).” (Riwayat Tirmidzi daripada Amru bin Syu’aib)

Maka, amat jelas kita tidak dibolehkan ‘tashabuh’, menyerupai, meniru-niru cara hidup orang kafir yang lahir daripada pandangan hidup mereka. Sudah sewajarnya kita tinggalkan semua budaya kufur tersebut jauh-jauh.

Aktiviti muda-mudi ketika merayakan ‘valentine day’ juga banyak yang melanggar syarak. Mereka melakukan aktiviti berdua-duaan/khalwat, saling bercumbuan, berpegangan tangan, kadang-kadang dilakukan secara berramai-ramai, bercampur gaul lelaki dan wanita bukan mahram, disertai dengan alunan muzik, saling rayu-merayu. Padahal sudah sangat jelas bahawa hukum asal kaum wanita dan lelaki adalah terpisah sebelum ada dalil / keperluan syar’i yang menuntut bertemunya mereka, misalnya berniaga, bekerja, beribadah, haji, solat, bernikah, dan sebagainya. Itupun mereka harus mengutamakan syarat-syarat pergaulan / akhlak wanita berhubungan dengan lelaki, menutup aurat dengan memakai kerudung dan jilbab, tidak berdandan berlebihan, dan sebagainya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan amalan yang tiada didasari perintahku (Quran dan Sunnah), maka amal perbuatannya tertolak.” (Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya, ikut serta merayakan hari ‘valentine’ adalah tindakan tercela, dan haram bagi kaum Muslimin untuk merayakannya. Valentine sendiri merupakan akar kemunculannya daripada orang kafir, Barat, lebih-lebih lagi kemunculan tersebut berasal daripada budaya Yahudi, maka sudah sepatutnya kaum Muslimin wajar meninggalkan hal tersebut.

Amat jelas sikap yang harus diambil oleh kaum Muslimin bahawa merayakan hari ‘valentine’ bererti meniru adat/budaya kufur kaum lain, padahal kita dilarang untuk mengikut, mengambil cara hidup yang lahir daripada akidah selain Islam, seperti ‘valentine day’, juga pemahaman hak asasi manusia, demokrasi, dialog antara agama, kapitalisme, sosialisme, dan lain-lain lagi.

Sudah cukup kita hanya mengambil pandangan hidup yang lahir daripada akidah Islam kerana sudah jelas bahawa Islam adalah agama yang sempurna sebagaimana difrimankan oleh Allah s.w.t dalam surah Al–Maidah, ayat 3, yang bermaksud: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu menjadi agama bagimu…’

Begitu juga Allah s.w.t telah menyuruh hamba-Nya supaya mengikuti ‘standard’ halal-haram, menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai ikutan, mengambil apa yang dicontohkannya dan meninggalkan perkara yang dilarangnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 7, yang bermaksud: “Apa sahaja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”

Maka, apa lagi yang kita tunggu selain meninggalkan bentuk ikutan acara ‘valentine day’ itu? Marilah serkarang kita mulai meninggalkan sesuatu yang memang wajib dihibdari, dan mula untuk berusaha menerapkan ajaran-ajaran Islam, memilih apa perkara yang tidak bertentangan dengan Islam, manakala perkara yang bertentangan dengan Islam, kita tolak dan tinggalkan.

Hendaknya kita renungkan kata-kata ahli sosiologi, Ibnu Khaldun, “Yang kalah cenderung mengikut yang menang, dari aspek pakaian, kenderaan, bentuk senjata yang dipakai, malah meniru dalam setiap cara hidup mereka, termasuk di sini adalah mengikuti adat istiadat mereka.”

Hal itu selaras dengan apa yang telah disabdakan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ ‘Tidak akan kiamat sebelum umatku mengikuti apa-apa yang dilakukan bangsa-bangsa terdahulu, selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta.’ Di antara para sahabat ada yang bertanya: ‘Ya Rasululah, apakah yang dimaksudkan (di sini) adalah bangsa-bangsa Yahudi dan Nasrani?’ Rasulullah menjawab: ‘Siapa lagi (kalau bukan mereka)’.” (Riwayat Bukhari)

Akhirnya, tinggalkan budaya kufur yang ‘menjanjikan’ hawa nafsu kesenangan duniawi itu, budaya menyesatkan yang dijadikan senjata orang-orang kafir untuk ‘mengirim’ peradabannya kepada kaum Muslimin, sehingga tercapai matlamat yang diinginkan orang-orang kafir yang sememangnya amat membenci Islam dan umatnya. Orang-orang kafir ini tidak akan teragak-agak memesongkan umat Islam daripada akidah yang dipegang, iaitu akidah Islam dan seterusnya mengikuti akidah jahiliah, sekulerisme, dan kapitalisme.

Justeru itu, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 120, yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)’. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan