Pengikut

Hadith Hari Ini

HUBUNGAN ANTARA ULAMA DAN UMARA DALAM MEMBANGUN UMMAH: SOROTAN PANDANGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH


Hubungan antara Ulama dan Umara

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan oleh Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid pada Seminar Tajdid, Pemikiran Islam di Bukit Tinggi, Indonesia.

Oleh: Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Haji Abdul Majid

Pendahuluan:

Secara umum nya Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah bukanlah suatu kumpulan yang rasmi. Sebalik nya mereka adalah golongan majoriti umat Islam yang tidak menggelar diri mereka sendiri dengan apa-apa nama khas. Dengan kata lain, mereka adalah golongan sederhana yang menjadi tulang belakang ummah sewaktu terdapat berbagai golongan ekstremis menonjolkan diri masing-masing dengan nama dan jolokan yang tersendiri, seperti Syi’ah, Mu’tazilah, Jabariyah, Qadariyah dan sebagai nya.

Di bidang ilmu, golongan sederhana seperti ini dikenali sebagai Jumhur Ulama. Maksud nya majoriti para ulama yang tidak menggunakan nama atau gelaran tertentu sepertimana yang disebut di atas. Sebalik nya merupakan kesinambungan kepada keilmuan para sahabat dan tabi’in yang diwarisi dari saman ke zaman dalam sifat yang cukup konservatif.(Abu Zahrah)

Dalam realiti umat Islam pada hari ini, Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah ini merangkumi majoriti besar umat Islam. Mereka mendukung pandangan klasik Islam yang diwarisi dari zaman ke zaman.. Mungkin terdapat perbezaan pendapat secara dalaman di antara mereka sendiri. Namun perbezaan pendapat ini cukup minimum sekali dan dalam ruang yang dibenarkan oleh Islam. Apa yang terkeluar daripada mereka hanyalah golongan serpihan yang tidak komited dengan pandangan klasik dan cuba membawa jalan sendiri yang jelas sekali janggal kelihatannya.

Mengingatkan bahawa perkara yang memisahkan di antara berbagai golongan ekstremis dan majoriti besar umat Islam yang dikenali sebagai Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah ini ialah akidah dan politik (Abu Zahrah), persoalan tentang kepimpinan ummah, baik di bidang politik dan pemerintahan, atau di bidang keilmuan dan intelektual sangat penting sekali. Maksud nya ia boleh memberi gambaran yang jelas sama ada sesuatu sikap atau pandangan itu masih berada dalam lingkungan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah atau sebalik nya.

Begitu pun, soal perbezaan di antara pandangan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah dan apa saja golongan serpihan yang ada pada hari ini tidak sekali-kali menjadi tujuan makalah ini. Sebalik nya makalah ini lebih berminat untuk menghuraikan tentang keperluan kerjasama yang erat di antara para pemimpin ilmu dan intelektual (Ulama) dan para pemimpin politik dan pemerintahan (Umara) bagi tujuan pembangunan ummah berdasarkan pandangan majoriti ulama Islam yang dikenali sebagai Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah itu.

Antara Ulama dan Umara:

Bagaimanapun, sebelum persoalan tentang hubungan di antara Ulama dan Umara ini disentuh, baik sekali diperjelaskan satu istilah yang nampak nya berkaitan rapat, iaitulah “Orang Agama”. Istilah ini sebenar nya tidak mempunyai asas dalam tradisi Islam sebagaimana yang diwarisi oleh Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah. Sebalik nya ia merupakan istilah asing yang menyerap masuk melalui pengaruh orientalisme. Akar umbi nya ialah agama Kristian, dan telah mencapai tahap kesuburan yang tinggi dalam pergolakan di antara gereja dan masyarakat Eropah pada suatu masa lampau.(al-Badri)

Hakikat ini memperjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “Ulama” dalam konteks perbicaraan ini bukanlah maksud nya “Orang Agama” dalam konsep yang dikembangkan oleh realiti agama Kristian di barat itu. Kerana di barat ia lahir sebagai pengubat luka kepada kekecewaan gereja atas kegagalannya melaksanakan tugas pemerintahan yang pernah direbut nya dari tangan para pemerintah atas dasar untuk merealisasikan keutamaan spiritual berbanding material. Bagi tujuan tersebut mereka mempopularkan kata-kata warisan yang berbunyi “Berikan apa yang dipunyai oleh raja kepada raja, dan apa yang dipunyai oleh tuhan kepada tuhan”.

Maksud nya istilah “Orang Agama” memberi erti pemisahan di antara urusan agama dengan urusan negara. Agama ada orang nya sendiri dan negara juga ada orang nya sendiri. Segala upacara keagamaan dikuasai dan dikelolakan oleh orang agama, sementara segala acara pemerintahan dikuasai dan dikelolakan oleh orang politik dan pemerintahan. (al-Badri)

Sedangkan dalam Islam tidak ada orang agama dan orang negara mengikut istilah berkenaan. Kerana pemisahan di antara agama dan negara tidak berlaku. Bagi Islam, tidak ada yang disebut sebagai kuasa agama yang terpisah daripada pemerintahan dunia dan sebaliknya pula tidak ada kuasa pemerintahan yang terpisah daripada agama.

Apa yang ada dalam Islam ialah “Ulama”. Penamaan ini tidak berdasarkan aspek kuasa, tetapi sebalik nya keilmuan. Maksud nya kepimpinan ilmu. Samalah juga dengan “Umara”. Penamaannya juga tidak berdasarkan kepada pembahagian kuasa. Sebalik nya ia memberi erti kepimpinan dalam pemerintahan. Kedua-dua nya bersatu di bawah agama “al-Din”.



Kedudukan Para Ulama:

Tanpa ulama semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak dalam hidup mereka mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama merupakan anugerah Allah untuk umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menyifatkan para ulama sama seperti bintang-bintang di langit. Sabda baginda, maksud nya:
“Bandingannya para ulama di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar mereka yang berpandukannya nyaris sesat” (Riwayat Imam Ahmad)

Dalam sebuah hadis lain Baginda Rasulullah bersabda, maksud nya:

“Semua yang ada di bumi dan di langit, termasuk sekali ikan-ikan di dalam air beristighfar untuk para ulama. Bahawa kelebihan orang alim berbanding ahli ibadat sama seperti kelebihan bulan berbanding cakerawala yang lain. Bahawa para ulama itu adalah pewaris para Nabi” (Riwayat Abu Daud dan al-Termidzi)

Dalam satu hadis lain lagi Baginda s.a.w. bersabda, maksud nya:

“ Kelebihan seorang ahli ilmu berbanding seorang ahli ibadat sama seperti kelebihan saya berbanding orang yang lebih rendah di kalangan kamu. Sesungguh nya Allah, para malaikat dan para penghuni langit dan bumi, termasuk semut di dalam lubang dan ikan di dalam air akan berselawat ke atas orang yang mengajar tentang kebaikan kepada orang”(Riwayat al-Termidzi)

Semua pujian di atas bertujuan untuk menyatakan bagaimana besar nya peranan para ulama dalam menjamin kesejahteraan Islam dan umat nya di bumi ini. Mereka merupakan pemegang amanah yang sentiasa jujur dan ikhlas kepada tugas mereka sebagai pewaris para Nabi. Dalam melaksanakan semua tugas ini mereka tidak akan tunduk kecuali kepada kebenaran.

Kedudukan Para Umara:

Sementara Umara pula adalah keperluan yang pasti bagi ummah. Tanpa nya masyarakat menjadi kacau. Malah Syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Sehubungan dengan ini Baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksud nya:

“Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakang nya dan berselindung di sebalik nya”( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kerana itulah juga Allah sendiri menjanjikan kepada mereka ini tempat yang tinggi dan mulia di hari akhirat nanti. Sabda Rasulullah s.a.w. maksud nya:

“Manusia yang paling dikasihi Allah dan diberi tempat yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci Allah dan diletakkan di tempat yang paling jauh sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim” (Riwayat al-Termidzi)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda, maksud nya:

“Ada tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh Allah di bawah bayang Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang Nya sahaja(salah satu daripada nya ialah) pemerintah yang adil” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sama dengan para Ulama, para Umara juga diberi kedudukan yang begitu tinggi dan penting sekali oleh Islam. Semua nya kerana peranan golongan ini dalam menjamin kemajuan Islam dan ummah nya di dunia ini.

Memandangkan kedudukan yang penting ini, dan untuk menjamin ia nya dapat dicapai oleh para Umara, Khalifah Umar Ibn al-Khattab pernah memberi nasihat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari. Kata beliau, maksud nya:

“Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyat nya merasa bahagia dengan nya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyat nya merasa celaka dengan nya. Ingat, jangan hidup mewah. Kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingan kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila berada di padang ragut yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya. Kerana ia akan disembelih untuk dimakan” (Abu Yusuf)

Dalam satu pekeliling yang diedarkan oleh beliau kepada semua gabenor nya Umar menyebut, maksud nya:

“... Sesungguh nya saya menghantar kamu sebagai para pemerintah, bukan sebagai para penindas. Kamu diutus untuk menjadi pembimbing yang diikuti. Kerana itu tunaikan semua hak orang Islam. Jangan kamu pukul mereka, nanti mereka akan rasa terhina. Sebalik nya pula jangan kamu puji mereka, nanti mereka akan terpedaya. Jangan kamu menutup pintu terhadap mereka, nanti yang kuat akan menindas yang lemah di kalangan mereka sendiri. Jangan kamu mengutamakan diri kamu berbanding mereka, nanti kamu akan menzalimi mereka pula” (Abu Yusuf)

Dalam nada yang hampir serupa Sayedina Ali r.a. memberi nasihat kepada gabenor nya dengan berkata, maksud nya:

“Jadikan yang paling kamu sukai ialah kebenaran yang paling tepat, keadilan yang paling berakar umbi dan kerelaan rakyat yang paling komprehensif” (Ali,r.a)


Faktor Kebaikan:

Atas sifat- sifat yang disebut tadilah Ulama dan Umara disifatkan secara bersama sebagai faktor kebaikan ummah. Sehubungan dengan ini Rasulullah s.a.w. bersabda, maksud nya:

“Ada dua golongan manusia, bila mereka baik orang menjadi baik, bila mereka rosak orang menjadi rosak: Ulama dan Umara” (Riwayat Abu Na’im dalam al-Hulyah)

Sebalik nya kalau Ulama dan Umara gagal bersikap baik sepertimana yang dihuraikan di atas ummah akan jadi mangsa. Kerana itulah Rasulullah selalu mengingatkan agar keadaan seperti itu dapat dielakkan supaya tidak berlaku. Dalam sebuah hadis Baginda Rasulullahlah s.a.w. bersabda, maksud nya :

“Akan terdapat para pemerintah yang fasik dan zalim. Maka sesiapa yang mengeyakan pendustaan mereka itu dan menolong mereka melakukan kezaliman dia bukanlah dari kalangan ku”(Riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan al-Termidzi)

Dalam satu hadis lain Baginda s.a.w. bersabda, maksud nya:

“Saya tidak bimbangkan umat saya daripada orang mukmin atau orang kafir. Kerana orang mukmin dikawal oleh iman nya dan orang kafir diperjelaskan oleh kekufuran nya. Apa yang saya bimbangkan ialah orang munafik yang berlidah lembut. Dia akan berkata tentang apa yang kamu tahu dan akan melakukan apa yang kamu tidak suka” (Riwayat al-Tabarani dan al-Bazzaz)

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda, maksud nya:

“Bila Rasulullah s.a.w. ditanya, apakah perbuatan yang paling baik, jawab Baginda, “menjauhi perkara haram dan menjadikan lidah sentiasa basah dengan menyebut Tuhan.” Apabila Baginda ditanya tentang kawan yang paling baik, Baginda bersabda: “Kawan yang sentiasa menolong kamu apabila kamu perlu dan memperingatkan kamu apabila kamu lupa” Apabila ditanya tentang manusia paling jahat Baginda s.a.w. bersabda “ Para Ulama , apabila mereka rosak” (Al-Jahiz)


Bagi Imam al-Ghazzali pula, kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama. Kata beliau, maksud nya:

“ Adalah menjadi kebiasaan bagi para ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau sudah ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas hati orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat nya. Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalau pun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya. Kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Kalau sekiranya mereka ini bersikap jujur dan bertujuan semata-mata untuk menegakkan kebenaran ilmu. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama pula rosak kerana tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar” (al-Ghazali)


Hubungan Baik:

Para Ulama yang Soleh akan sentiasa berusaha untuk memberi nasihat kepada siapa saja. Kerana nasihat merupakan asas kepada agama. Dalam ayat al-Quran Allah menggesa supaya ada golongan yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Tentu sekali nasihat sebahagian daripada nya. Malah Baginda Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa “Agama itu nasihat”.

Nasihat kepada para pemerintah merupakan agenda paling utama. Kerana ia boleh memberi faedah kepada pemerintah itu sendiri dan kepada rakyat di bawah pemerintahannya. Kerana itulah sebahagian besar para ulama salaf berpendapat memberi nasihat kepada para pemerintah itu lebih baik daripada menderhaka dan memberontak terhadap mereka.

Kata al-Imam al-Hasan al-Basri tentang pemerintah, maksud nya:

“Merekalah yang melakukan urusan kita, sama ada untuk bersembahyang Jumaat, membahagi harta fai’, dan mengawal sempadan serta perbatasan negara. Demi Allah agama tidak akan stabil tanpa sokongan mereka, walau pun mereka itu zalim. Demi Allah kebaikan mereka lebih besar daripada kejahatan mereka” (Abu Zahrah: Malik)

Apabila Imam Malik ditanya tentang hukum memusuhi orang yang memberontak terhadap kerajaan, kata beliau “Harus, kalau kerajaan itu sama seperti Umar Ibn Abdul Aziz”.Apabila ditanya, kalau pemerintah itu tidak seperti Umar Abd.Aziz? Jawab Imam Malik: Biarkan Allah sendiri yang bertindak terhadap kedua-duanya golongan itu.: (Ahmad Amin)

Pandangan yang serupa diberi oleh oleh para Ulama lain termasuk Sa`id Ibn al-Musayyib dan al-Imam Ahmad Ibn Hanbal. Bagi mereka, apa yang perlu dilakukan terhadap pemerintah ialah memberi nasihat secara baik (al-Badri).

Dalam penulisan klasik Islam terdapat banyak contoh nasihat yang telah diberikan oleh para Ulama kepada Para Umara itu tadi. Antara nya ialah kata-kata nasihat yang ditulis oleh al-Imam Malik kepada Khalifah Harun al-Rasyid dalam sepucuk surat nya yang masyhur itu. Dalam surat yang panjang itu,. al-Imam Malik antara lain menulis, maksud nya:

“Saya tulis surat ini untuk anda bagi tujuan berkongsi kebijaksanaan dan memberi nasihat. Fahamilah ia dengan akal anda , ulangilah penatapannya dengan mata anda dan dengarilah bacaannya dengan telinga anda. Kemudian sematkan di hati anda, simpankan dalam ingatan anda dan jangan biarkan ia hilang. Kerana di dalam nya ada kebaikan di dunia dan ada pahala dari Allah di akhirat nanti.

Fikirkan bagaimana anda nanti nya akan menghadapi mati dan segala keburukan yang akan menimpa anda. Begitu juga tentang apa yang anda bakal hadapi selepas mati nanti, termasuk pembentangan di hadapan Allah dan kemudiannya hisab serta kehidupan yang kekal selepas itu dan segala mala petaka yang disediakan oleh Allah.....

Jangan anda percaya dalam apa pun juga urusan anda kepada siapa saja yang tidak takutkan Allah. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Umar Ibn al-Khattab berkata “Berundinglah dalam urusan kamu dengan orang yang takutkan Allah”. Selain itu, hati-hatilah terhadap mereka yang rapat dengan anda yang mempunyai tujuan jahat. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda “ Setiap nabi dan khalifah sentiasa dikelilingi oleh dua kalangan yang rapat. Kalangan pertama selalu menyuruh dia melakukan makruf dan melarang mungkar. Sementara kalangan kedua pula ada-ada saja kejahatan yang disebabkan oleh nya”

Jangan anda berpakaian terlalu mewah. Kerana Allah tidak sukakannya. Saya mendapat riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ” Sesiapa yang mengheret pakaiannya dengan rasa bangga Allah tidak akan melihat kepada nya pada hari kiamat.

Taatlah kepada Allah dalam menentang maksiat yang dilakukan oleh manusia, dan jangan taati manusia dalam menderhaka kepada Allah. Kerana saya ada menerima riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ”Tiada kepatuhan terhadap makhluk untuk menderhaka kepada Allah”. (Abu Zahrah)

Al-Imam Abu Yusuf juga pernah menulis surat kepada Khalifah Harun al-Rasyid memberi nasihat kepada nya. Antara lain beliau menyebut:

”Wahai Amir al-Mukminin, Allah telah menugaskan kepada anda satu tugasan besar yang pahalanya sangat besar dan seksa nya juga sangat dahsyat. Allah telah menugaskan kepada anda urusan umat ini. Anda telah mengambil tanggungjawabnya memimpin umat ini sebagai satu amanah. Anda perlu ingat bahawa binaan yang tidak diasaskan atas ketakwaan akan runtuh menimpa pengasas nya sendiri dan semua orang yang membantu nya. Kerana itu anda jangan sia-siakan tugasan ini dan bekerjalah dengan izin Allah....

Tunaikan segala hak yang diamanahkan itu dan jangan cuai daripada melakukannya walau pun sesaat. Kerana pemimpin yang paling bahagia di hari akhirat nanti ialah pemimpin yang disenangi oleh rakyat nya. Hati-hatilah jangan bertindak berasaskan hawa nafsu atau dengan perasaan marah. Apabila anda berhadapan dengan dua alternatif, satu nya memberi keuntungan akhirat dan satu lagi memberi keuntungan dunia, maka anda perlu memilih keuntungan akhirat. Kerana akhirat akan kekal selama-lama nya, sedangkan dunia akan binasa. Takutilah Allah dengan cukup hati-hati. Bersikap adillah terhadap semua orang, yang dekat dan yang jauh. Dalam melaksanakan perintah Allah, jangan takut apa saja...(Abu Yusuf)

Sebalik nya para pemerintah sentiasa bersedia untuk mendengar nasihat daripada Ulama dan melaksanakannya. Khalifah Harun al-Rasyid menerima baik kedua-dua nasihat berkenaan dengan diiringi ucapan terima kasih. Atas semangat yang samalah juga Khalifah Abu Ja’far al-Mansur meminta al-Imam Malik menulis sebuah kod undang-undang bagi digunakan di seluruh mahkamah pada waktu itu. Untuk itu al-Imam Malik menulis Kitab al-Muwatta’ yang masyhur sampai sekarang itu. (Abu Zahrah)Begitulah juga Khalifah Harun al-Rasyid meminta Abu Yusuf menulis tentang dasar kewangan negara yang kemudiannya melahirkan Kitab al-Kharaj yang masyhur itu.(Abu Yusuf)

Pembangunan Ummah:

Tentu nya antara objektif di sebalik hubungan kerjasama di antara Ulama dan Umara ini ialah pembangunan Ummah. Itulah antara pengertian yang terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut bahawa Ulama dan Umara itu dua jenis manusia yang boleh menentukan baik buruk nya masyarakat dan Ummah. Kerana salah satu daripada aspek dalam kebaikan ummah ia lah pembangunan nya.

Salah satu aspek pembangunan penting bagi ummah ialah pengukuhan kepimpinan di kalangan ummah itu sendiri. Bagi Ibn Taimiyah, ia adalah kewajipan keagamaan yang perlu dilaksanakan. Kata beliau, tiada kepentingan yang boleh dicapai kecuali ada permuafakatan di antara satu sama lain. Sedangkan permuafakatan memerlukan kepimpinan. Benarlah kata orang bahawa asas kepada pembangunan ekonomi itu ialah kestabilan politik.

Memperkukuhkan pandangan beliau itu Ibn Taimiyah menyebut hadis- hadis Rasulullah yang menyebut tentang keperluan melantik pemimpin bila saja berlaku perkumpulan di antara orang Islam, dalam musafir misal nya. Apalagi dalam politik, sosial dan ekonomi yang menjadi asas yang begitu ketara dalam pembangunan.(Ibn Taimiyah)

Dalam sejarah Islam yang panjang itu, pembangunan Ummah menjadi begitu pesat sekali di zaman pemerintahan Abbasiah. Kerana kestabilan politik boleh dikatakan telah tercapai sepenuh nya, baik pada peringkat dalaman mahu pun pada peringkat luaran. Begitulah juga di dunia zaman moden ini. Mana saja negara yang politik nya bergolak tiada kemajuan yang dapat dijayakan. Sebalik nya pula apabila politik menjadi stabil, kemajuan dengan senang saja dapat dijayakan.

Dalam realiti Indonesia dan Malaysia pun sama. Kenyataan banyak menunjukkan bahawa kemajuan menjadi pesat pada waktu kepimpinan politik menjadi stabil. Sebalik nya, dalam keadaan politik goyah tiada kemajuan yang boleh dicapai dan pembangunan ummah menjadi begitu lembap sekali.

Penutup:

Apa pun juga, semua buah fikiran yang diperkatakan dalam kertas ini lumrah belaka. Apa yang baru hanyalah peringatan dan pengungkapan kembali tentang nilai hidup yang sangat murni ini.

Penekanan terhadap penyuburan aliran dan amalan Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah sebenar nya boleh membantu ke arah mencapai apa yang dicita-citakan itu. Kerana kesederhanaan nya boleh mengurangkan pertentangan antara satu sama lain, baik di antara Ulama dan Umara mahupun di antara Ulama dan Ulama sendiri.

Cara nya ialah dengan melihat Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah sebagai aliran utama di kalangan Ummah yang diwarisi dari zaman ke zaman. Sebagai aliran utama ia perlu diperluaskan tafsirannya. Para pemimpin nya perlu bijak memasukkan ke dalam aliran itu apa saja golongan yang berkemungkinan. Malah juga perlu bijak agar tiada siapa yang menyatakan dia dari kalangan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah di singkirkan.

Sesungguh nya pada konsep “’Am al-Jama’ah” yang menjadi titik penutup kepada pergolakan politik yang sangat membimbangkan pada zaman awal Islam itu ada pengertian yang mendalam terhadap pembangunan Ummah pada waktu itu. Sedangkan Mu’awiyah tidaklah seorang yang terlalu ideal berbanding dengan tokoh lain. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud “Bahawa tangan Allah itu ada bersama Jama’ah”


Wallahu a’lam.
Bibliografi

Abu Zahrah, Muhammad, Tarikh al-Madzahib al-Islamiyah, Kahirah: Dar al-Fikr al-Arabi, 1971

Abd. Al-Khaliq, Farid, Fi al-Fiqh al-Siasi al-Islami, Kahirah: Dar al-Syuruq, 1998

Badri (al), Abd Aziz, Al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam, Al-Madinah al-Munawwarah: Al-Maktabah al-Ilmiyah, 1980

Farra`(al), Abu Ya’la, Al-Ahkam al-Sultaniyah, Bairut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1983

Gudli, Nur Abd, Fan al-Hukm Wa al-Siasah al-Syar’iyah Fi al-Fikr al-Islami, Kuala Lumpur: Dar al-Tajdid, 2007

Ibnu Taimiyah, Al-Siasah al-Syar’iyah Fi Islahi al-Ra’i Wa al-Ra’iyah, Kahirah: Matba’ah Salafiyah, 1387H.

Mawardi (al), Al-Ahkam al-Sultaniyah, Bairut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 1978

‘Usymawi (al), Muhammad Sa’id, Al-Islam al-Siasi, Kahirah: Sina Lil-Nasyr, 1987

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Pemikir Peradaban Islam

Oleh HAPPIS BASHA

Di Algeria, nama Malik bin Nabi amat tersohor kerana diakui sebagai pemikir Islam yang tajam pandangannya. Beliau bukan sahaja dikenali di negaranya sendiri malah dikenali juga di seluruh negara-negara Islam.

Malik bin Nabi dilahirkan di kota Qasanthiah, Aljazair, Algeria pada tahun 1905. Ayahnya bernama Umar bin Khudhar bin Mushtafa bin Nabi dan tidak beberapa lama kemudian keluarganya mula berpindah ke wilayah Tibsah ketika usianya masih kecil. Beliau juga seorang yang amat gemar membaca dan berminat dengan puisi dan syair arab.

Semenjak berpindah ke Tibsah, beliau sering berkunjung ke sebuah madrasah pengajian al-Quran. Dalam waktu yang sama, beliau juga belajar di sekolah Ibtida’yah. Menurut gurunya, beliau merupakan seorang murid yang cemerlang dan sering mendapat tempat pertama dalam peperiksaan di sekolah tersebut.

Kemudiannya beliau meneruskan pengajian ke peringkat menengah di sebuah sekolah di kota Qasanthinah. Pada masa yang sama, beliau turut mengikuti kuliah agama yang disampaikan oleh Syeikh Ibnu Abid dan Syeikh Maulud bin Muhana di sebuah masjid di kota tersebut.

Selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah, beliau kemudiannya mencari kerja sambilan di beberapa tempat, dan pada sekitar tahun 1930, beliau belayar ke Perancis untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Listrik dan tamat pada sekitar tahun 1935.

Dalam memperjuangkan Islam, beliau mempunyai beberapa pandangan yang kritis, rasional dan pernah menegaskan bahawa sikap dan komitmen anak muda perlu dalam perjuangan Islam dan seharusnya berteraskan iman dan akhlak malah dasar-dasar Islam juga menjadi keutamaan dalam perjuangan tersebut.

Apa yang beliau inginkan, bahawa Islam harus dipraktikkan dalam setiap kehidupan manusia yang meliputi aspek politik, pendidikan, perkembangan negara selaras dengan kemodenan era globalisasi.

Dalam mempersembahkan intipati pemikiran dan pengalamannya terhadap dunia Islam, Malik bin Nabi tidak pernah lokek dan ternyata segala idealisme serta penjelasannya mengenai Islam membuatkan beliau sangat dikagumi oleh generasi muda barat mahu pun timur.

Pemikirannya dijadikan sebagai "manhaj" untuk berinteraksi dengan peradaban kontemporari, menggunakan akal untuk mengkaji warisan kemanusiaan, dan mempertimbangkan elemen-elemen yang penting berteraskan neraca syariah Islam. Beliau berkeyakinan bahawa pertimbangan yang didasari syariah Islam akan membawa manusia kepada status kemuliaan hidup malah dapat memakmurkan bumi dengan amal ibadat kepada Allah S.W.T.

Sehingga kini, beliau diibaratkan sebagai obor kepada aktiviti, pemikir dan pengkaji yang mempersembahkan lontaran idea dan pemikiran menurut Islam. Ceramah dan penulisannya sering ditumpukan kepada golongan remaja bagi memupuk semangat kesedaran dalam meyakini agama, berpegang teguh pada komitmen agama, serta menerapkan hukum-hukum agama dalam kehidupan.

Malik bin Nabi jua pernah berkata, hanya Islam sahaja yang dapat menyembuhkan luka yang parah, hati yang tercalar dan dapat menyelesaikan segala persoalan yang dihadapi oleh umat Islam keseluruhannya.

Kini banyak hasil karya-karya beliau yang tersebar ke sarata dunia dan diterjemahkan ke beberapa bahasa dunia termasuk bahasa Arab yang kebanyakannya menyentuh mengenai masalah peradaban dan jalan penyelesaiannya.

Antara karya-karya beliau yang terkenal adalah “Azh Zhahirah al-Quraniah”, “Wijhatul Alam al-Islami”, “Syuruthun Nahdhah”, “Labbaik” dan banyak lagi. Melalui karya-karya tersebut, Malik bin Nabi juga berusaha memberi kesedaran kepada pemuda Islam mengenai agenda barat yang cuba mengekang dunia Islam serta menghina umat Islam.

Buku-buku beliau turut menyentuh sekitar perbincangan dan kupasan mengenai kebangkitan Islam dan syarat-syaratnya, peradaban barat dan cara menghadapinya serta menyentuh keperibadian Muslim dan ciri-cirinya.

Beliau sering mengingatkan umat Islam mengenai sikap dan pemikiran mereka yang sedia untuk dijajah jika mereka tidak mempunyai keyakinan diri. Beliau turut menegaskan jika jiwa dan minda umat Islam berada dalam keadaan lemah, ia akan memberi ruang kepada barat untuk menyalurkan ideologinya dan secara tidak langsung corak pemikirannya akan turut dijajah.

Selain itu, banyak kesimpulan dari karya-karyanya menyentuh aspek agama yang menyatakan bahawa tidak ada yang lebih tinggi selain daripada agama Allah S.W.T dan bahawa tidak ada kemenangan selain Allah S.W.T malah darjat umat Islam lebih tinggi kerana berjuang untuk kebenaran Islam.

Beliau jua amat berkeyakinan bahawa pada masa hadapan adalah milik Islam sekiranya umat Islam mementingkan Ilmu dan perpaduan yang berteraskan al-Quran dan Sunnah.

Beliau turut menasihati umat Islam agar tidak menjadi agen penjajah tanpa disedari, usah tunduk dengan segala tipu daya barat dan tidak meninggalkan agama, budaya termasuk pemikiran akibat tertipu dengan fantasi pemikiran barat.

Malik bin Nabi akhirnya pulang ke tanah tumpah darahnya iaitu pada awal 1973 dan kembali menyahut seruan Ilahi pada bulan Oktober ketika berusia 68 tahun.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Keluarga Sebagai Asas Kawalan Sosial


Oleh: HASNAN KASAN

Sejak kebelakangan ini kita kerap kali dipaparkan oleh akhbar-akhbar arus perdana tentang kes-kes penyelewengan sosial yang membabitkan golongan remaja khususnya, dan golongan pemuda Islam umumnya. Boleh dikatakan tidak ada keluaran akhbar-akhbar ini yang tidak memaparkan berita-berita mengenai penyelewengan sosial yang melibatkan generasi ini. Paparan-paparan sebegini menimbulkan tanda tanya kepada ahli fikir dan ahli pendidikan yang prihatin terhadap masa kini dan masa depan anak bangsa sendiri yang kelihatan telah hilang hala tuju hidup sehingga terbabit dengan penyelewengan-penyelewengan yang sepatutnya tidak dilakukan. Berbagai-bagai bentuk bayangan dan tanda tanya apabila difikirkan punca-punca berlakunya penyelewengan ini. Pihak manakah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan atas penyelewengan yang berlaku di kalangan remaja ini. Inilah yang menjadi titik pendorong kepada penulis untuk menukilkan beberapa alternatif ke atas menyelesaikan dan membanteras penyelewengan yang berlaku.

Berbagai-bagai bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh golongan remaja Islam di negara ini samada diperingkat penyelewengan kecil mahupun yang melibatkan jenayah berat. Penyelewengan kecil dapat dilihat melalui perbuatan melepak dan membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Memang perbuatan ini tidak dapat dimasukkan ke dalam mana-mana akta jenayah yang boleh dibicarakan dalam mahkamah perundangan di negara ini. Akan tetapi ia tetap sebagai satu bentuk penyelewengan yang merugikan tenaga para remaja yang sepatutnya digunakan bagi menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara. Penyelewengan lepak ini dapat dilihat berlaku di kampung dan di bandar. Di kampung, remaja kerap menghabiskan masa mereka dengan sia-sia di tepi-tepi padang permainan, di simpang-simpang jalan dan di kedai-kedai makanan. Manakala di bandar-bandar, remaja kerap menghabiskan masa mereka di pusat-pusat membeli belah dan tempat-tempat rekreasi.

Bukan setakat penyelewengan kecil atau peringkat rendah yang dilakukan oleh mereka, malah kebelakangan ini ada di kalangan mereka yang terlibat dengan jenayah berat seperti pengedaran dadah, pembunuhan, dan rompakan bersenjata.

Di manakah silapnya sehingga menyebabkan mereka terjerumus ke lembah penyelewengan yang tidak sepatutnya mereka lakukan? Adakah kerana mereka tidak berpendidikan? Tetapi ada di kalangan mereka yang terlibat ini terdiri daripada lulusan kolej dan universiti. Adakah kerana sistem pendidikan negara tidak berkesan? Tetapi sistem yang sama juga telah melahirkan manusia-manusia yang berguna dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dan negara. Adakah guru-guru di sekolah tidak memainkan peranan yang sebenarnya? Bagaimanapun, peratusan mereka yang terlibat dengan penyelewengan ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan mereka yang berjaya dibentuk akhlak dan keperibadiannya oleh guru-guru di sekolah. Adakah ibubapa tidak memainkan peranan dalam mendidik dan mengawasi anak-anak daripada terjebak ke lembah penyelewengan yang merosakkan ini? Ya, boleh jadi, kerana sebab-sebab yang sangat kuat kaitannya.

Ya, setiap anak remaja yang terlibat dengan penyelewengan tersebut pasti mempunyai ibu bapa. Kalau pun bukan ibubapa, mereka pasti mempunyai penjaga yang sepatutnya mengawasi gerak-geri dan perkembangan hidup mereka. Ibu bapalah yang mempunyai masa yang paling lama bergaul dan berinteraksi dengan anak-anak jiga dibandingkan dengan orang lain. Guru hanya berksempatan bergaul dengan pelajar beberapa jam sahaja di sekolah. Waktu anak-anak remaja berada di sekolah hanyalah daripada pukul 7.30 pagi hingga 2.00 petang. Sedangkan baki masa yang lebih daripada itu adalah dihabiskan oleh anak-anak remaja bersama keluarga dengan berbagai-bagai bentuk aktiviti. Ataupun dengan kata yang lebih mudah, masa selebih daripada waktu persekolahan adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mengawasi dan mendidik anak-anak mereka.

Di sinilah pentingnya setiap keluarga memberikan perhatian terhadap aktiviti dan perkembangan anak-anak sejak dari kecil. Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w dengan jelas telah menekankan pengaruh ibu bapa terhadap pembentukan sahsiah anak-anak melalui sabda baginda yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih (daripada sebarang pengaruh dan corak hidup), maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorakkannya untuk menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Ya, peranan ibu bapa amatlah besar terhadap pembentukan sahsiah anak-anak tanpa mengira peringkat usia. Kalau ada orang mengatakan bahawa tahap remaja adalah tahap yang telah sukar untuk dibentuk, maka persoalan yang perlu ditimbulkan ialah ´adakah anak remaja ini terus membesar diperingkat remaja tanpa melalui zaman kecil dan zaman kanak-kanak awal remaja?´ Pepatah orang Melayu ada mengatakan “sikit-sikit lama jadi buki”´. Nabi Muhammad s.a.w pula pernah bersabda yang bermaksud: “Benda yang banyaknya haram, maka sedikitnya juga adalah haram”´

Ya, yang besar pasti bermula dengan yang kecil dan yang banyak pasti bermula dengan yang sedikit. Semuanya mempunyai titik permulaan, termasuklah penyelewengan yang dilakukan oleh anak-anak remaja yang telah meningkat dewasa. Bentuk penyelewengan itu sudah pasti telah diperoleh atau diketahui atau telah mula dilakukannya sebelum mereka terjebak ke dalam yang lebih hebat dan besar. Sebagaimana contoh, anak remaja yang terlibat dengan penagihan dadah, sudah pasti kemungkinan besarnya berpunca mereka telah terjebak ke dalam dalam lembah perbuatan menghisap rokok sedemikian lama sebelum itu lagi.

Persoalannya ialah pihak manakah yang lebih bertanggungjawab dalam membanteras lebih awal lagi dairpada mereka terjebak ke dalam perbuatan-perbuatan yang berbentuk penyelewengan akhlak ini? Sudah pasti ibu bapa atau keluarga yang hampir dan sentiasa bersama mereka setiap hari. Siapa lagi yang lebih mengetahui perkembangan dan aktiviti anak-anak kalau bukan ibu bapa mereka?

Di sinilah pentingnya diberikan penekanan bahawa keluarga adalah tunjang yang berupaya membentuk diri anak-anak remaja dengan ketahanan yang mantap daripada terjebak ke dalam kancah penyelewengan akhlak sebagaimana yang dapat dilihat berlaku di sana sini sekarang ini. Ibu bapa terutamanya perlu memberikan perhatian terhadap anak-anak yang sedang menjalani proses pembelajaran samada secara formal ataupun tidak formal dari alam sekeliling mereka. Gerak-geri mereka, perubahan yang berlaku pada mereka dan peralihan kecenderungan yang berlaku mesti dicerap dan diteliti supaya sebarang sikap negatif dapat ditangkis dan dikikis dari awal lagi.

Pepatah Melayu mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ya, memang benar. Sekiranya anak-anak remaja ini telah menjadi buluh yang liat dan tidak boleh dibentuk, maka pada ketika itu adalah terlalu sukar untuk mengubah perkara-perkara negatif yang telah sebati dengan jiwa dan diri mereka. Ketika mereka masih kecil dan masih bergantung kepada ibu bapalah, masanya untuk membentuk mereka mengikut corak yang diinginkan. Tidak ada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi orang yang tidak berguna dan menjadi sampah masyarakat atau yang menjadi perosak kepada keamanan dan ketenteraman masyarakat. Semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dan baik. Tetapi adalah keinginan ini dituruti dengan langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang boleh menghasilkan keinginan tersebut?

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu mengorak langkah seawal mungkin untuk bertindak membuat perancangan dan melaksanakan pelan strategi dalam membentuk jati diri muslim di dalam diri anak-anak mereka. Langkah ini tidak boleh diabai atau ditangguhkan kerana ialah akan mengakibatkan kesan yang tidak baik. Tambahan pula bukan senang hendak menghasilkan kebaikan dan bukan susah hendak mendapat keburukan. Untuk mendapat anak yang berakhlak mulia perlu kepada jihad atau usaha yang gigih, bukannya usaha yang sambil lewa dan melepas batuk di tangga. Ibu bapa perlu berhempas pulas untuk mengisi jiwa anak-anak yang masih kecil dengan sifat-sifat yang terpuji. Dalam waktu yang sama ibu bapa juga perlu bersilat ke kiri dan ke kanan untuk menepis tikaman dan serangan musuh yang hendak merosakkan anak-anak itu. Inilah peranan ibu bapa yang amat berat, tetapi mereka tidak boleh lari daripadanya.

Usaha membina jati diri anak-anak ini adalah satu kemahiran yang perlukan ilmu pengetahuan dan latihan. Ia tidak dapat diperoleh dengan spontan atau begitu mudah sekali. Ada beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian dalam menjamin kejayaan mendidik anak-anak dan membentuk jati diri dalam jiwa mereka.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

"Tiada Batas Dalam Berdakwah"


Oleh HAPPIS BASHA

Beliau adalah Sheikh Sayid Abul Hasan Ali al-Hasani An-Nadwi dilahirkan pada 6 Muharam 1333, bersamaan tahun 23 November 1914 Masihi bertempat di Takia Kala, di Bandar Rae Berily.

Sejak zaman remaja, beliau telah mula mengumpulkan kitab-kitab hasil penulisan ulama terdahulu dan juga kitab karangan ayahnya sebagai bahan bacaan dan rujukannya. Beliau mempunyai satu sudut bacaan dan rujukannya sendiri yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali yang bermaksud (Perpustakaan Abul Hasan Ali).

Dengan berlatarkan keluarga yang begitu mementingkan ilmu, tidak hairanlah bahawa minat membaca dan ilmu yang ada pada beliau terserlah sejak usianya yang masih muda lagi. Beliau yang berasal dari India merupakan orang yang pertama diiktiraf untuk menjadi anggota "Majma al-Ilmi al-Lughhawi" (Pusat Bahasa Arab ) bertempat di Damsyik Syria.

Beliau mempunyai ramai guru dalam pelbagai bidang ilmu. Antara gurunya ialah Sheikh Khalil bin Muhammad al-Yamani di mana beliau telah mempelajari bahasa Arab sehingga usianya mencecah 12 tahun. Ketekunan beliau dalam pengajian bahasa Arab menyebabkan beliau dapat bertutur serta memahami bahasa Arab dengan baik.

Selain itu, beliau turut berguru bersama Syeikh Khawajah Abdul Hayy al-Farooqi dalam bidang ilmu tafsir. Manakala dalam bidang ilmu "Nahu", beliau berguru dengan bapa saudaranya sendiri iaitu Syeikh Sayid Muhammad Talhah al-Hasani.

Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah, beliau telah menjelajah ke beberapa buah negara. Beliau sering bermusafir ke negara-negara Islam bagi mengukuhkan ukhuwah Islamiah terutama dengan para ulama.

Di kalangan para ulama pula, beliau telah berkesempatan bertemu dengan banyak ulama antaranya Syeikh Abdurramad al-Banna al-Saati (ayah kepada As-Syahid Hassan al-Bana), Syeikh Muhammad Syakir, Syeikh Hamid al-Fiqqi dan juga Syeikh Mustafa Shabri (bekas Syeikhul Islam kerajaan Uthmaniah).

Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya berjudul “Tokoh-Tokoh Pemikir Islam” dan “Dakwah dalam Islam”, “Empat Sendi Islam Yang Utama”, “Pertarungan Antara Pemikir Islam dan Barat di Negara-Negara Islam” dan “Riwayat Hidup Rasulullah s.a.w.”

Penulisan beliau diwarnai dengan berlatarbelakangkan sejarah serta dititip dengan tinta kerohanian yang menusuk kalbu, membuatkan karya-karyanya mudah difahami dan memberi kesan terhadap hati para pembaca.

Buku beliau yang berjudul “Apakah Derita Yang Akan Melanda Dunia Bila Umat Islam Mundur”, ternyata telah berjaya membuka hati dan mata pemimpin dan umat Islam tentang perihal kerugian yang dialami oleh dunia keseluruhannya. Dalam buku tersebut penanya menyatakan sekiranya umat Islam terus dilena fantasi, tanpa menyedari bahawa orang-orang Muslim sebenarnya sudah jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang ilmu jika dibandingkan dengan barat.

Ketika berceramah beliau juga tidak pernah leka dalam memberikan idea dan pandangan malah meneruskan usaha dakwahnya itu sehingga ada di kalangan umat Islam yang tersentuh hati dan tidak dapat menahan perasaan, jatuh pengsan, dan terpaksa diusung keluar.

Beliau dianggap sebagai pendakwah ulung yang mampu mengubah perilaku zalim kerajaan Mongol kepada keadaan kesejahteraan Islam melalui sistem dakwahnya ketika itu. Nama beliau telah tersohor di beberapa buah negara Islam malah telah dijemput oleh Raja Jordan, Raja Abdullah bin Raja Syarif Hussain di atas perwatakankannya dan kesungguhan beliau dalam berdakwah.

Selain itu beliau juga sering bertemu dengan ulama-ulama besar negara Islam seperti di Mekah dan Madinah. Di antara ulama besar yang sering dikunjunginya ialah Syeikh Muhammad al-Arabi ait-Tabani bin Abbas al-Maliki, dan banyak lagi.

Dikalangan pemikir Islam pula, beliau pernah bertemu dengan pujangga Iqbal ketika beliau baru berusia 14 tahun. Selain itu, beliau juga pernah bertemu dengan As-Syahid Sayid Qutb, Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Dr. Muhammad Hussain Haikal.

Statusnya sebagai seorang “ahlul bait” melalui keturunannya yang sampai pada nasab Saidina Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a, tidak menjadikan beliau terasing dan terpisah daripada masyarakat umum tidak kira darjat atau pangkat. Peribadinya yang begitu sederhana, zuhud, bersikap terbuka dan ikhlas membuatkan orang ramai menyenanginya dan mendampinginya tidak kira usia muda mahu pun tua.

Setelah hampir setengah usianya dihabiskan dengan perjalanan dakwah menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada al-Quran dan Sunah, beliau telah dijemput pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap dikediamannya untuk menghadiri solat Jumaat.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM PEMBINAAN KERANGKA SPIRITUAL AHLI SUNNAH WA AL-JAMA`AH

Oleh
Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Darul Iman Malaysia Kampus KUSZA

Pendahuluan

Tasawwuf merupakan salah satu dari tiga tiang asas agama Islam. Ia merupakan dimensi kerohanian bagi agama ini. Dengannya Iman dan keyakinan menjadi lebih kuat, perlaksanaan terhadap tuntutan syariat menjadi lebih sempurna dan penghayatan nilai-nilai akhlak menjadi lebih berkesan. Tanpanya Iman hilang kemanisannya, amal ibadah hilang kekhusyukannya dan akhlak hilang kemurniannya. Ia seumpama kawalan keselamatan dan perhiasan bagi sesebuah rumah yang menjadikannya lebih selamat dan bernilai tinggi. Memiliki keimanan semata-mata tanpa keislaman dan keihsanan adalah seumpama memiliki tapak rumah. Sekalipun pemiliknya ada tempat bertapak namun dia terdedah kepada kepanasan matahari dari basahan hujan. Memiliki keimanan dan keislaman semata-mata pula tanpa keihsanan adalah seumpama memiliki tapak dan rumah yang tidak siap dan tidak sempurna. Sekalipun pemiliknya ada tempat berteduh namun ia terdedah kepada kecurian dan rumahnya tidak bernilai tinggi. Manakala ihsan pula adalah seumpama rumah yang lengkap dan berperhiasan yang bukan sahaja selamat dihuni malah bernilai tinggi.


Dunia Islam telah melahirkan ramai tokoh ahli tasawwuf berkalibar. Mereka telah meletakkan asas-asas, menghuraikan permasalahan dan menulis karya-karya demi menyebarkan ilmu dan menjaga tasawwuf daripada penyimpangan dan penyelewengan golongan yang jahil, berpura-pura dan berniat jahat terhadap tasawwuf dan Islam. Hasil daripada usaha mereka inilah huraian mengenai tasawwuf yang murni masih dapat ditemui sampai sekarang termuat dalam karya-karya mereka sekalipun wujudnya unsur-unsur kesamaran dan penyelewengan yang disebarkan oleh golongan Batiniyyah dan sebagainya yang berlabel dan berselindung di sebalik nama tasawwuf. Kertas kerja ini akan menjelaskan beberapa perkara asas yang akan memberikan gambaran tentang tasawwuf seperti yang dihuraikan oleh para ulamanya yang muktabar.

Konsep Tasawwuf

Tasawwuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawwuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh intipati sebenar dan menyeluruh tentang tasawwuf itu. Pengertian sebenar tasawwuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tawhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai beberapa tingkatan tertentu. Pencapaian mushahadah ini akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat. Dari sinilah timbulnya berbagai persoalan tasawwuf yang dibicarakan secara panjang lebar oleh ahli sufi dalam karya-karya mereka.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawwuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati daripada sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain daripada Allah dari lubuk hati dan zahir kebenaran Allah di hati itu (tajalli) sehingga ia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda keagunganNya dan merasai kehebatanNya iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawwuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawwuf itu ialah penyucian hati (tasfiyah) daripada sesuatu yang lain dari Allah. Shaykh Ahmad Zaruq telah meneliti definisi-definisi yang telah dikemukakan oleh para ulama tasawwuf dan membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa tasawwuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu. Semua itu terhimpun atau merujuk kepada satu pengertian sahaja iaitu “benarnya tawajjuh hati kepada Allah”. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dariNya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawwuf Dalam Islam

Agama Islam secara umumnya menjadi lengkap dengan adanya tiga perkara iaitu islam, iman dan ihsan yang merupakan tiga rukun agama. Kedatangan Jibril a.s. menemui Nabi s.a.w. dan seterusnya bertanyakan baginda tentang islam, iman dan ihsan dalam peristiwa yang terkenal itu adalah bertujuan mengkhabarkan tentang rukun agama yang terdiri dari tiga perkara tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan pada penjelasan Nabi s.a.w. yang bermaksud “sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu”.

Ketika Nabi s.a.w. ditanya tentang islam baginda menjelaskan bahawa ia adalah mengucap dua kalimat shahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu. Apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang iman baginda menjelaskan bahawa ia adalah percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan percaya kepada ketentuan Allah sama ada baik atau buruk. Apabila Nabi s.a.w. ditanya pula tentang ihsan baginda menjelaskan bahawa ia adalah beribadat kepada Allah seolah-olah melihat-Nya sekiranya tidak melihat-Nya maka Allah itu melihat hamba-Nya. Keseluruhan rukun islam adalah merujuk kepada amalan lahiriah manusia. Rukun iman pula merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan hati. Manakala ihsan pula merujuk kepada penyaksian hati yang membawa kepada pencapaian hakikat keikhlasan.

Pengamalan terhadap rukun Islam diistilahkan sebagai syariat atau maqam Islam. Manakala peningkatan tahap kebersihan dan kejernihan rohani yang dicapai hasil daripada pengamalan terhadap syariat itu diistilahkan sebagai tarekat atau maqam Iman. Tarekat itu pula membawa kepada sesuatu yang diistilahkan sebagai hakikat atau maqam Ihsan. Hakikat itu secara keseluruhannya bermaksud pencapaian dan penyaksian rohani terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadat. Hakikat atau maqam Ihsan inilah merupakan intipati tasawwuf.

Dengan kata lain syariat atau maqam Islam itu ialah ibadat kepada Allah yang berasaskan keyakinan terhadap-Nya semata-mata. Tarekat atau maqam Iman itu ialah gerakan rohani iaitu peningkatan tahap kehadiran hati dan kebersihan batin yang berlaku di sebalik ibadat tersebut. Manakala hakikat, maqam Ihsan atau tasawwuf itu pula ialah penyaksian hati terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah sehingga fana´ dalam penyaksian tersebut. Hakikat adalah hasil atau natijah yang diperolehi daripada tarekat dan tarekat itu pula adalah natijah yang didapati daripada syariat.

Ahli tasawwuf menggunakan istilah yang berbagai-bagai dalam menggambarkan ketiga-tiga perkara ini. Antaranya, ada yang menjelaskan syariat itu sebagai `ibadah, tarekat itu `ubudiyyah dan hakikat itu `ubudah. Ada juga yang menggambarkan syariat itu sebagai khidmah (praktik atau amali), tarekat itu qurbah (pendekatan diri) dan hakikat itu wuslah (pencapaian rohani). Ada juga yang menyebut syariat itu sebagai ibadat, tarekat itu hudur (kehadiran hati) dan hakikat itu shuhud (penyaksian rohani). Apa yang jelas, kepelbagaian istilah tersebut adalah merujuk kepada perkara yang sama. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa tasawwuf ialah maqam Ihsan yang merupakan hasil daripada perlaksanaan terhadap syariat secara yang lebih murni, teratur, terfokus, terpimpin dan istiqamah yang menatijahkan peningkatan tahap kejernihan rohani iaitu apa yang disebut sebagai tarekat.

Tasawwuf Bukan Hanya Pengetahuan Tetapi Juga Satu Pencapaian

Dari satu sudut, tasawwuf mempunyai dua pengertian iaitu pengertian umum dan pengertian khusus. Pengertian umum bagi tasawwuf secara keseluruhannya ialah satu bentuk ilmu tentang cara-cara mendidik dan membersihkan hati yang mana ia boleh diketahui menerusi pembelajaran dan pengkajian. Antara tokoh-tokoh tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf sebagai satu bentuk ilmu ialah Shaykh Ahmad Zaruq dan Haji Khalifah. Menurut Shaykh Ahmad Zaruq tasawwuf itu ialah satu ilmu yang bertujuan memperbaiki hati dan mengkhususkannya bagi Allah semata-mata tanpa sesuatu yang lain dariNya. Manakala Haji Khalifah pula mendefinisikan tasawwuf sebagai satu ilmu yang dengannya diketahui cara peningkatan golongan manusia yang sempurna dalam mencapai tingkatan kebahagiaan mereka.

Manakala tasawwuf dengan pengertiannya yang khusus pula merujuk kepada pencapaian hakikat-hakikat tasawwuf tersebut sehingga ia menjadi suatu pengalaman bagi diri seseorang itu dan seterusnya menjadi sifat yang sebati dengan dirinya. Antara ahli tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf dengan pencapaian hakikatnya ialah Shaykh Junayd al-Baghdadi dan Shaykh Ma`ruf al-Karakhi. Antara definisi al-Junayd terhadap tasawwuf ialah “bahawa yang sebenar (al-Haq) itu menghapuskan engkau dari diri engkau dan menghidupkan engkau dengan-Nya”. Keterangan beliau ini adalah mengisyaratkan kepada keadaan fana’ yang dirasai oleh hamba. al-Junayd juga pernah ditanya tentang tasawwuf lalu menjawab “iaitu engkau berserta Allah tanpa sebarang ikatan”. Kenyataan beliau ini pula mengisyaratkan kepada kedekatan rohani dan pencapaian hakikat. Manakala al-Karakhi pula mendefinisikan tasawwuf itu sebagai “berpegang dengan hakikat dan tidak berkeinginan terhadap apa yang dimiliki oleh makhluk”.

Imam al-Ghazali telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau, tasawwuf itu permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian (mawhibah). Ilmu itu membongkar apa yang dikehendaki, amal itu membantu dalam menuntut (apa yang dikehendaki), dan pemberian itu menyampaikan kepada kemuncak cita-cita. Gabungan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dapat dilihat dalam definisi beliau di atas di mana beliau telah membahagikan tasawwuf itu kepada tiga peringkat iaitu permulaan (ilmu), pertengahan (amal) dan kesudahan (pemberian). Ketiga-tiga perkara tersebut terangkum dalam pengertian tasawwuf. Demikian juga Shaykh Ibn `Ajibah di mana beliau juga telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau tasawwuf itu adalah satu ilmu yang mana dengannya diketahui cara-cara berjalan menuju ke hadrah Allah, membersihkan batin daripada perkara-perkara keji dan menghiasinya dengan berbagai bentuk perkara kebaikan. Permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian ilahi.

Beberapa Elemen Asasi Tasawwuf

Terdapat beberapa elemen yang membentuk tasawwuf. Antara elemen utama yang membentuk tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati, peribadatan, ahklak dan kezuhudan.

i-Kesucian Diri dan Penyaksian Hati

Kesucian diri merupakan intipati bagi tasawwuf. Ia bermaksud sucinya diri daripada pelanggaran terhadap hukum syariat, sifat-sifat kecelaan, pegangan atau keyakinan yang batil dan juga tumpuan, tilikan serta pergantungan hati kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Kesucian diri ini akan membawa kepada penyaksian hati terhadap kebenaran ketuhanan Allah, keagungan, keindahan dan kesempurnaanNya. Pencapaian penyaksian hati ini akan membuahkan keyakinan yang mantap selain akhlak yang mulia dan ibadat yang murni.

Elemen kesucian diri ini dapat dilihat dalam banyak takrifan yang diberikan oleh para ulama tasawwuf antaranya ialah takrifan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani, Shaykh Abu Sa`id al-Khrraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Dalam mentakrifkan tasawwuf, al-Kattani menyebut bahawa tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati (mushahadah). al-Kharraz telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa “(sufi itu ialah) orang yang tuhannya telah membersihkan hatinya sehingga hatinya dipenuhi dengan cahaya hidayah dan orang yang berada dalam kelazatan dengan mengingati Allah. al-Jilani pula menjelaskan bahawa asal perkataan sufi itu ialah sufiya yang di ambil dari perkataan al-musafat. Kerana itu dikatakan bahawa sufi itu ialah orang yang bersih daripada penyakit-penyakit nafsu, bebas (bersih) daripada sifat-sifat kecelaannya, melalui jalan-jalan kesufian yang terpuji, berpegang dengan hakikat-hakikat kebenaran dan tidak tenteram (cenderung) hatinya kepada sesuatu makhluk.

ii-Peribadatan

Tasawwuf juga mengandungi elemen peribadatan iaitu kesungguhan, ketekunan, ketertiban dan keikhlasan dalam melaksanakan amal ibadah. Ini bererti sufi itu ialah orang yang menekuni amal ibadah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dalam bentuk yang lebih sempurna, teratur dan istiqamah. Elemen peribadatan dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat pada definisi yang dikemukakan oleh Shaykh `Ali al-Muzayyin. Tasawwuf menurut beliau ialah ketaatan atau kepatuhan kepada Allah. Begitu juga Imam al-Ghazali yang antara definisi beliau terhadap tasawwuf ialah mencampakkan diri dalam `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah) dan bergantung hati dengan rububiyyah (ketuhanan Allah).

iii-Akhlak

Ketinggian akhlak juga merupakan antara elemen asasi tasawwuf. Ini bererti sufi itu ialah orang yang berakhlak mulia dan bersih daripada akhlak yang keji. Elemen akhlak dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat dalam takrifan yang dikemukakan oleh Abu Bakr al-Kattani. Tasawwuf itu menurut beliau ialah akhlak, sesiapa yang melebihi engkau pada akhlak, maka sesungguhnya dia melebihi engkau pada kejernihan rohani. Begitu juga Ahmad al-Jariri di mana tasawwuf itu menurut beliau ialah bersifat dengan semua akhlak yang murni dan bersih daripada semua akhlak yang hina.

iv-Kezuhudan

Antara elemen asasi tasawwuf ialah kezuhudan dengan erti ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan. Elemen kezuhudan dalam tasawwuf dapat dilihat antara lain pada takrifan yang diberikan oleh Samnun. Tasawwuf menurut beliau ialah bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau. Begitu juga yang terdapat pada takrifan Ma`ruf al-Karakhi di mana tasawwuf menurut beliau ialah berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan) terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen seperti peribadatan, berakhlak mulia dan kezuhudan lahiriah secara berasingan tidak menggambarkan hakikat sebenar tasawwuf, namun ia adalah sebahagian daripada elemen yang membentuk tasawwuf dan tidak dapat dipisahkan daripadanya. Ketekunan melakukan amal ibadah tidak semestinya menunjukkan kesufian. Demikian juga memiliki akhlak yang mulia dan kezuhudan. Namun seorang sufi itu pasti menekuni amal ibadah, berakhlak mulia dan bersifat zuhud dalam bentuk yang sesuai dengan keadaan mereka.

Tasawwuf dan `Itiqad Yang Benar

Tasawwuf tidak dapat dihayati secara sebenarnya dan diselami secara mendalam sehingga sampai kepada hakikatnya oleh golongan yang berpegang dengan akidah yang menyimpang daripada landasan akidah yang hak iaitu Akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. al-Baghdadi dalam al-Farq Bayn al-Firaq telah menyenaraikan kumpulan ahli tasawwuf sebagai satu golongan daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Manakala al-Isfarayini pula dalam al-Tabsir fi al-Din menjelaskan bahawa antara keistimewaan mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah yang membezakannya daripada mazhab-mazhab lain ialah adanya tasawwuf yang bersih daripada perkara bid`ah.

Tokoh-tokoh tasawuf terkenal telah menegaskan tentang keperluan seseorang kepada aqidah yang benar dalam usaha menghayati tasawwuf. Sebagai contoh, al-Daqqaq iaitu guru kepada al-Qushayri menjelaskan bahawa seseorang salik yang berada pada peringkat permulaan perjalanan kerohaniannya semestinya membetulkan pegangan dan keyakinannya terhadap Allah s.w.t iaitu pegangan yang bersih daripada sangkaan dan keraguan, bebas daripada kesesatan dan bid`ah dan bersumberkan dalil serta hujah. Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh al- al-Ghazali. Beliau menyebut bahawa perkara yang mula-mula sekali yang mesti dilakukan oleh seseorang yang mahu menempuh jalan Allah ialah mempunyai pegangan yang betul dan bersih daripada perkara bid`ah. Keterangan al-Daqqaq dan juga al-Ghazali ini jelas menunjukkan bahawa aqidah yang dikehendaki seseorang itu mempelajari dan meyakininya ialah aqidah yang bersih daripada sebarang bid`ah, sangkaan dan keraguan, malah ia berasaskan keyakinan yang bersumberkan bukti dan dalil yang kukuh serta jelas. Aqidah tersebut merupakan aqidah yang membetuli aqidah Salaf iaitu aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Aqidah Salaf secara umumnya ialah mengakui dan mempercayai Tuhan yang maha esa, tiada tuhan melainkan Dia yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan seperti hidup, mengetahui, berkuasa, berkehendak dan lain-lain lagi sebagaimana Allah sifatkan dhat-Nya dengan sifat-sifat tersebut yang ditemui dalam al-Qur’an, hadith Nabi s.a.w, keterangan para sahabat dan juga tabi`in. Demikian juga Tuhan maha suci daripada sifat-sifat kekurangan seperti berjisim, bertempat, bersifat dengan sifat-sifat makhluk, mempunyai arah tertentu, mempunyai warna, mempunyai rupa-bentuk dan sebagainya. Mengenai mutashabihat (perkara-perkara yang menimbulkan kesamaran) seperti Allah bersemayam (istiwa´) di atas `Arash, Allah mempunyai tangan (al-yad), muka (al-wajh) dan lain-lain lagi seperti yang terdapat dalam al-Qur´an dan hadith, maka pegangan Salaf dalam perkara ini ialah mempercayai dan meyakininya secara umum dengan menyerahkan penentuan maksud sebenar perkara tersebut kepada Allah dan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya dan perkara-perkara tersebut thabit bagi Allah sebagaimana Allah menthabitkan bagi diri-Nya dalam al-Qur´an.

al-Ghazali pula telah menerangkan dengan lebih terperinci lagi tentang perkara ini dengan menjelaskan bahawa mazhab Salaf mengandungi tujuh perkara iaitu, Pertama: Mensucikan Allah daripada sifat-sifat kebendaan seperti berupa, berbentuk, berjisim dan seumpamanya. Kedua: Membenarkan dan mempercayai apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu benar dan ia merupakan perkara sebenar seperti yang disabda dan dimaksudkan oleh baginda. Ketiga: Mengakui kelemahan atau ketidakmampuan dirinya untuk mengetahui maksud perkara-perkara tersebut dan ia bukanlah urusannya. Keempat: Berdiam diri iaitu tidak bertanya tentang maksud perkara-perkara tersebut dan juga tidak berusaha mencari maksudnya di samping mengetahui bahawa bertanya tentang perkara tersebut adalah bid`ah. Kelima: Menahan diri daripada melakukan tasarruf (ubah-suai) pada lafaz-lafaznya dengan merubah, menukar dengan bahasa lain, menambah, mengurangi, mencantum dan memisahkannya malah tidak menuturkannya kecuali dengan lafaz asalnya. Keenam: Menahan diri daripada mencari maksud perkara-perkara tersebut dan berfikir tentangnya. Ketujuh: Menyerahkan pengetahuan tentang maksud perkara-perkara tersebut kepada ahlinya iaitu tidak beranggapan bahawa oleh kerana perkara tersebut tidak diketahuinya kerana kelemahan dirinya, maka ia juga tidak diketahui oleh Rasulullah s.a.w, para nabi, siddiqin atau juga awliya´.

Termasuk dalam perkara membetulkan aqidah ialah membetulkan kepercayaan dan keyakinan terhadap para nabi dan rasul a.s. dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kepercayaan kepada para nabi dan rasul ini ialah mengakui kenabian para nabi a.s. secara umum dan kenabian nabi Muhammad s.a.w secara khusus, kewajiban mematuhi dan mengikuti apa yang diperintah dan dilarang oleh baginda dan juga kewajiban mempercayai setiap perkara yang disampaikan mengenai sifat-sifat Allah, kebangkitan, syurga, neraka, perhimpunan, perhitungan, melihat Allah, hari kesudahan dan kehancuran dunia, azab kubur dan perkara-perkara lain lagi yang diriwayatkan daripada baginda s.a.w.

Dalam hal berkait perkara aqidah ini, seseorang itu tidak cukup hanya dengan bertaqlid (ikutan) semata-mata tanpa mengetahui dan memahami dalil-dalil iaitu dalil akal dan dalil naqli (al-Qur´an dan hadith). Ini kerana, bertaqlid semata-mata tanpa didasari dalil-dalil yang kuat menjadikan seseorang itu mudah terpedaya dengan tipu-daya syaitan yang menimbulkan berbagai was-was dan keraguan yang akhirnya menyebabkan dia tergelincir daripada landasan aqidah yang betul sebagaimana dikehendaki. Mengenai perkara ini, seorang tokoh tasawuf terkenal iaitu Ahmad al-Jariri menegaskan bahawa sesiapa yang keyakinannya tidak berdasarkan ilmu tauhid iaitu tidak memerhati, mempelajari dan memahaminya dengan betul berdasarkan dalil-dalilnya, maka tipu-daya akan menggelincirkan dan menjatuhkannya ke jurang kebinasaan.

Tasawwuf dan Keterikatan Dengan Syariat

Tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “hakikat itu isi dan syariat itu kulit”. Lantaran itu segolongan orang yang merasakan diri mereka bertasawwuf mengambil sikap memandang remeh kepada syariat dan meringan-ringankannya malah mencuai dan mengabaikannya. Begitu juga tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “gugur taklif” di mana menurut fahaman ini seseorang itu apabila sampai ke satu tingkatan yang tinggi dalam hubungan dengan tuhan akan gugur kewajiban melaksanakan syariat. Lantaran itu mereka tidak lagi melaksanakan solat dan kewajiban-kewajiban agama yang lain kerana merasa cukup dengan niat dan gerak hati semata-mata. Mereka beranggapan bahawa orang-orang yang melaksanakan kewajiban agama tersebut adalah terhijab dan bersifat kulit semata-mata.

Fahaman ini bukanlah fahaman tasawwuf yang sebenar. Ia adalah fahaman golongan Batiniyyah yang diseludup masuk ke dalam pemikiran tasawwuf. Tokoh-tokoh tasawwuf telah menjelaskan kebatilan fahaman ini dalam karya-karya mereka dan meletakkan garis panduan mengenainya. Mereka menetapkan bahawa antara prinsip utama tasawwuf ialah keterikatan dengan hukum-hukum syariat.

Dalam peristilahan ilmu tasawwuf, syariat itu merujuk kepada pengertian suruhan atau perintah melaksanakan `ubudiyyah dan perlaksanaan manusia terhadap perintah tersebut. Mengenai perkara ini al-Qushayri menyebut bahawa syariat itu ialah perintah supaya melaksanakan `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah)…, syariat itu datang dengan mentaklifkan makhluk (manusia)…,syariat itu ialah beribadat kepada Allah…, syariat itu ialah perlaksanaan terhadap apa yang diperintahkan. Syariat juga adakalanya digunapakai di kalangan ahli tasawwuf dengan maksud al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Oleh itu keterikatan dengan syariat bermaksud penjagaan terhadap suruhan dan larangan Allah dan tidak menyalahi al-Qur’an dan juga sunnah.

Ulama tasawwuf menyatakan dengan tegas bahawa syariat itu adalah asas atau dasar utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam perjalanan menuju kepada Allah. Terdapat ramai dari kalangan mereka yang menegaskan tentang perkara ini antara mereka ialah Sahl ibn `Abd Allah al-Tustari, al-Junayd al-Baghdadi, Abu Yazid al-Bistami, `Abd al-Qadir al-Jilani, `Abd al-Wahhab al-Sha`rani dan lain-lain. Mengenai perkara ini al-Tustari menyatakan bahawa “dasar-dasar kami ada tujuh perkara iaitu berpegang dengan kitab Allah (al-Qur’an), mengikuti sunnah rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti makhluk, menjauhi dosa-dosa, taubat dan menunaikan hak”.

al-Junayd pula menegaskan bahawa “mazhab kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah”. al-Bistami pula telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa sufi itu ialah orang yang mengambil kitab Allah dengan tangan kanannya dan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan tangan kirinya (berpegang dengan kedua-duanya). al-Jilani pula mengajarkan “terbanglah kepada Allah dengan dua sayap iaitu al-Kitab dan al-Sunnah, dan masuklah (hadrah)-Nya sedangkan tangan engkau berada pada tangan Rasul s.a.w. al-Sha`rani pula menyebut “sesungguhnya tarekat ahli sufi itu ditimbang (diukur) dengan al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menimbang emas dan permata. Oleh itu orang yang menjalaninya memerlukan neraca syarak pada setiap gerak-gerinya”. Selanjutnya beliau berkata “sesungguhnya hakikat tarekat ahli sufi itu ialah ilmu dan amal, tulang dan dagingnya adalah syariat dan hakikat, tidak hanya dengan salah satu dari kedua-duanya sahaja.

Bagi ulama tasawwuf, terjadinya perkara-perkara yang luar biasa yang menjadi sebahagian daripada tanda-tanda kewalian, menjadi tidak bermakna jika wujud kepincangan dalam persoalan syariat ini. Shaykh Abu Yazid al-Bistami ialah antara tokoh tasawwuf yang banyak menyentuh tentang perkara ini. Beliau pernah berkata bahawa “sekiranya engkau melihat kepada seorang laki-laki yang diberikan kekeramatan sehingga dia dapat terbang di udara, maka janganlah engkau terpedaya dengannya sehinggalah engkau melihat bagaimana engkau mendapatinya di sisi suruhan dan larangan tuhan, menjaga batasannya dan menunaikan syariat”. Beliau juga diberitakan pernah mengajak murid-murid beliau untuk pergi menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian yang mana dia adalah seorang yang zuhud. Apabila orang tersebut keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, maka Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata “bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”?

Menurut ulama tasawwuf lagi seseorang itu tidak akan sampai kepada Allah seperti yang dikehendaki dalam ilmu tasawwuf tanpa bersyariat. Shaykh Abu al-Husayn al-Warraq ada menyebut tentang perkara ini. Beliau berkata bahawa “seseorang hamba itu tidak sampai kepada Allah kecuali dengan (kehendak dan ketentuan) Allah dan dengan membetuli nabi s.a.w. pada syariat baginda. Sesiapa yang menjadikan jalan yang membawa kepada sampai (kepada Allah) dengan tidak mengikuti nabi, maka dia akan sesat dalam keadaan dia menyangka dia mendapat pertunjuk”. Shaykh al-Junayd al-Baghdadi juga ada menyatakan perkara yang sama iaitu “tarekat-tarekat (jalan-jalan) semuanya tertutup bagi makhluk kecuali bagi orang yang menjejaki (mengikuti) rasul s.a.w., menuruti sunnah baginda, dan melazimi jalan baginda, maka sesungguhnya jalan-jalan kebaikan seluruhnya terbuka baginya”.

Imam Malik, sebagaimana yang diriwayatkan, ada menyebut tentang keperluan bersyariat ini sebagaimana kata-kata beliau yang bermaksud “sesiapa yang bertasawwuf tanpa fiqh, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq, sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf maka sesungguhnya dia menjadi fasiq, sesiapa yang menghimpunkan antara kedua-duanya maka sesungguhnya dia telah mencapai hakikat”. Orang yang berpegang dengan tasawwuf (hakikat) semata-mata tanpa fiqh (syariat) menjadi kufur dan zindiq. Ini kerana dia hanya memandang kepada hakikat atau urusan ketuhanan semata-mata tanpa melihat kepada perintah Tuhan supaya melakukan ibadah dan usaha hamba melaksanakannya. Lantaran itu dia mengatakan manusia itu digagahi dengan ketentuan ilahi tanpa ada sebarang pilihan bagi dirinya dalam melakukan sesuatu perbuatan sama ada ketaatan atau maksiat. Iktikad seumpama ini adalah kufur dan zindiq kerana ia menafikan syariat (perintah Allah dan usaha hamba) dan ia dikenali sebagai iktikad jabariyyah. Manakala orang yang berpegang dengan fiqh semata-mata tanpa tasawwuf menjadi fasiq kerana lahiriahnya sahaja yang melaksanakan tuntutan syariat tetapi batinnya itu kosong dari ketaqwaan, keikhlasan dan kehadiran hati, malahan batinnya itu dipenuhi dengan berbagai sifat kecelaan yang merosakkan amalannya tanpa disedari. Orang yang berkeadaan demikian adalah dikira sebagai fasiq kerana kerosakan batinnya itu.

Imam al-Qushayri pula menjelaskan bahawa “setiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat adalah tidak diterima dan setiap hakikat yang tidak dihubungkan dengan syariat adalah tidak terhasil”. Hal yang sama juga ditegaskan oleh al-Tusi di mana beliau menjelaskan bahawa “yang zahir (syariat) itu tetap memerlukan yang batin (hakikat) dan yang batin itu pula tetap memerlukan yang zahir”. Penjelasan dua orang tokoh besar sufi ini cukup membuktikan bahawa antara syariat dan hakikat (tasawwuf) ada hubungan yang sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan.

Kemestian bersyariat dalam bertasawwuf adalah sesuatu yang bersifat berterusan walaupun hakikat sudah tercapai. Ini menepati apa yang disebut secara terang dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan sembahlah (beribadahlah kepada) Tuhan engkau sehinggalah kematian mendatangi engkau”. Demikian juga ia bertepatan dengan pendirian para ulama tasawwuf seperti Shaykh al-Junayd al-Baghdadi, Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani dan lain-lain. Shaykh al-Junayd menganggap iktikad gugurnya syariat dengan tercapainya hakikat sebagai satu perkara yang sangat berat (kufur) yang melebihi kesalahan mencuri dan berzina. Shaykh al-Jilani pula menegaskan tentang perkara tersebut dengan menyatakan bahawa “meninggalkan ibadah-ibadah yang difardukan adalah zindiq, melakukan perkara-perkara yang dilarang adalah maksiat, dan tidak akan gugur kewajiban-kewajiban dari seseorang itu dalam apa juga keadaan”.

Dalam persoalan hubungan di antara syariat dan hakikat ahli tasawwuf sependapat menyatakan bahawa tidak ada pertentangan atau percanggahan di antara kedua-duanya. Perkara ini antara lain dapat dilihat pada penegasan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Sa`id al-Kharraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Mengenai perkara ini al-Kharraz menegaskan bahawa setiap yang batin (hakikat) yang bercanggahan dengan yang zahir (syariat) maka ia tidak benar. Begitu juga al-Jilani menyatakan perkara yang sama iaitu “setiap hakikat yang tidak disaksikan (dibuktikan) dengan syariat maka ia adalah zindiq”.

Tasawwuf dan Kekeramatan

Kekeramatan merupakan satu persoalan yang sering dikaitkan dengan tasawwuf, malah ia menjadi bahan kempen sesetengah kumpulan untuk menarik minat orang ramai menyertai kumpulan mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah ia turut dijadikan bahan tarikan oleh kumpulan-kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang berselindung di sebalik kemasyhuran nama tasawwuf. Kedapatan ramai dari kalangan ahli masyarakat yang terjebak dalam kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang menyeleweng adalah disebabkan terpengaruh dengan perkara pelik dan luar biasa yang ditunjukkan. Tidak kurang juga yang mempelajari dan mengamalkan amalan yang menyimpang daripada landasan syariat dengan menyangka bahawa ia adalah sebahagian daripada amalan tasawwuf demi mencapai kekeramatan.

Para ulama tasawwuf telah meletakkan dasar dan menjelaskan pendirian mereka terhadap perkara berkaitan kekeramatan ini. Kekeramatan lahiriah bukanlah menjadi perkara utama dalam tasawwuf sekalipun ia sering dilaporkan terjadi di kalangan ahli sufi dan dicatat dalam karya-karya mereka. Penelitian terhadap huraian ahli tasawwuf mendapati bahawa mereka tidak memberikan tumpuan kepada perkara kekeramatan ini. Mereka sebenarnya merasa bimbang dengan kezahiran perkara-perkara seperti itu kerana ada kalanya ia menjadi istidraj. Mengenai hal ini `Ali al-Khawas menyatakan bahawa orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan merasa takut terjadinya kekeramatan pada diri mereka dan dengan terjadinya ia, mereka bertambah gementar dan takut kerana kemungkinan ia menjadi istidraj.

Di samping itu kekeramatan di sisi ahli tasawwuf adalah termasuk dalam perkara-perkara yang dikira sebagai karenah nafsu. Ibn `Arabi telah menyebut tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa jelas kekeramatan zahir itu di sisi tokoh-tokoh besar tasawwuf termasuk dalam himpunan karenah-karenah nafsu, kecuali sekiranya ia bertujuan menolong menegakkan agama atau kerana sesuatu maslahat. Ini kerana Allah itulah yang melakukan (menzahirkan) kekeramatan, bukan diri mereka sendiri dan inilah penyaksian batin mereka. Tiada kekhususan atau keistimewaan kecuali terjadinya perkara yang menyalahi adat itu pada diri mereka, tidak pada yang lain daripada mereka.

Menurut ahli tasawwuf, kekeramatan zahir bukanlah menjadi ukuran atau tanda keutamaan, kelebihan dan ketinggian darjat seseorang yang mencapai tahap kewalian. al-Yafi`i telah menjelaskan tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa tidak semestinya setiap wali yang terjadi pada dirinya kekeramatan zahir itu lebih utama daripada wali yang tidak terjadi pada dirinya kekeramatan tersebut. Bahkan kadang-kadang mereka yang tidak terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi lebih utama daripada mereka yang terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi tersebut. Ini kerana kekeramatan itu kadang-kadang bertujuan menguatkan keyakinan dan menjadi bukti kebenaran dan kelebihan, bukan keutamaan, kerana keutamaan itu adalah berdasarkan kekuatan keyakinan dan kesempurnaan ma`rifah terhadap Allah.

Ketidakzahiran kekeramatan zahir itu pula tidak dikira sebagai mencacatkan kewalian seseorang. al-Qushayri menjelaskan bahawa sekiranya tidak terjadi pada diri wali itu kekeramatan di dunia ini, maka ketiadaan kekeramatan tersebut tidak mencacatkan keadaannya sebagai seorang wali.

Malahan, kadang-kadang wali yang tidak terjadi kekeramatan zahir, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terjadi kekeramatan zahir. Ini kerana bukan semua wali yang mendapat kekeramatan hissi bererti telah mencapai tahap kesempurnaan istiqamah (tetap dan teguh iman dan amal), malah kadang-kadang dikurniakan kekeramatan itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah. Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menyatakan bahawa kadang-kadang dikurniakan kekeramatan zahir itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah dan kadang-kadang dikurniakan juga kepada orang yang mendapat istidraj (perdayaan).

Kekeramatan yang menjadi tumpuan dan nilaian ahli tasawwuf ialah kekeramatan maknawi (karamah haqiqiyyah / karamah ma`nawiyyah). Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menjelaskan bahawa apa yang menjadi perhatian dan penilaian ialah kekeramatan yang sebenar iaitu tercapainya istiqamah yang mencapai tahap kesempurnaan. Ia merujuk kepada dua perkara iaitu iman yang betul terhadap Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. zahir dan batin. Imam al-Qushayri pula mengira kekeramatan maknawi tersebut sebagai kekeramatan yang paling besar yang dikurniakan kepada para wali. Mengenai hal ini beliau menyatakan bahawa antara kekeramatan yang paling agung bagi para wali ialah sentiasa mendapat taufiq bagi melakukan ketaatan dan terpelihara daripada maksiat serta perkara yang menyalahi syariat. Kekeramatan maknawi ini menurut Shaykh Muhy al-Din ibn `Arabi, hanya dikenali oleh golongan khusus daripada kalangan hamba Allah, sedangkan orang awam tidak mengenalinya.

Penutup

Dari penjelasan yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa tasawwuf merupakan maqam Ihsan yang menjadi sebahagian daripada rukun agama. Tasawwuf mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aqidah di mana aqidah itu adalah asasnya dan tasawwuf itu berfungsi memperkukuh dan memurnikannya. Demikian juga tasawwuf itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan syariat di mana syariat itu adalah laluan untuk mencapai tasawwuf dan tasawwuf itu pula berfungsi memantapkan lagi perlaksanaan terhadap syariat. Syariat tidak boleh dipisahkan daripada tasawwuf dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Tasawwuf bukanlah suatu keanehan dan kepelikan tetapi ia adalah maqam `ubudiyyah.

Rujukan

al-Naysaburi, Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri. 1954 M/ 1374 H. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Isa. t.th. Al-Jami` al-Sahih Sunan al-Tirmidhi. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.

Ibn Hanbal, Ahmad al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Jil.1,2,3, & 4. Misr: Muassasah Qurtubah.
al-Madani, Mustafa. 1316. Al-Nusrah al-Nabawiyyah. Misr: al-Matba`ah al-Amiriyyah.
al-Sulami, Abu `Abd al-Rahman. 1372. Tabaqat al-Sufiyyah. Misr: Matba`ah Dar al-Kitab al-`Arabi.
Ibn `Ajibah, Ahmad. 1331 H. al-Futuhat al-Ilahiyyah fi Sharh al-Mabahith al-Asliyyah.t.tp: al-Matba`ah al-Jamaliyyah.
Ibn `Ajibah, Ahmad. 1983 M/1403 H. Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam. Jil.1 & 2. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.
Ibn `Ajibah, Ahmad. 1355 H. Mi`raj al-Tashawwuf ila Haqa´iq al-Tasawwuf. t.tp: Matba`ah al-I`tidal.
al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj. 1960. Al-Luma` fi al-Tasawwuf. Qahirah: Dar al-Kutub al-Hadithah, Baghdad: Maktabah al-Mathna.
al-Qushayri, `Abd al-Karim ibn Hawazin. 1990. al-Risalah al-Qushayriyyah. Bayrut: Dar al-Jayl.
Mahmud, `Abd al-Halim. t.th. Qadiyyat al-Tasawwuf: al-Munqidh min al-Dalal. Qahirah: Dar al-Ma`rifah.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1988. al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`rifat Qawa´id al-Sufiyyah. Jil.1. Bayrut: Maktabah al-Ma`arif.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1321. Lata´if al-Minan wa al-Akhlaq. Misr: al-Matba`ah al-Maimaniyyah.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1311. Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-`Uhud al-Muhammadiyyah. Jil.1. Matba`ah al-`Amirah al-`Uthmaniyyah.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. t.th. al-Tabaqat al-Kubra. Bayrut: al-Maktabah al-Sha`biyyah.
Badawi, `Abd al-Rahman. 1978. Shathat al-Sufiyyah. Jil.1. Kuwait: Wakalah al-Matbu`ah.
al-Qari, Mula `Ali Nur al-Din Muhammad.1352. Sharh `Ayn al-`Ilm wa Zayn al-Hilm. Jil.1. Bayrut: Dar al-Ma`rifah.
al-Kumushkhanawi, Ahmad. 1328. Jami` al-Usul fi al-Awliya’. Qahirah: t.pt.
Mohd. Sulaiman Hj. Yasin. 1989. Mengenal Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
Surur, Taha `Abd al-Baqi. 1368. Shakhsiyyat Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Zubaydi, Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Jil.1,4 & 9. Bayrut: Dar al-Fikr.
al-Hujwiri, `Ali ibn `Uthman al-Jallabi. t.th. Kashf al-Mahjub. Qahirah: Matba`ah al-Ahram al-Tijariyyah.
al-Jaza´iri, `Abd al-Qadir. 1344. al-Mawaqif. t.tp: Matba`ah al-Shabab.
al-Iskandari, Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1961 M/ 1381 H. Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1968. Al-Fath al-Rabbani wa al-Fayd al-Rahmani. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.

al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1330. Futuh al-Ghayb. Misr: Matba`ah Sharikah al-Tamaddun al-Sina`iyyah.
al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1956. Al-Ghunyah li Talib Tariq al-Haq. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986/1406. Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawwuf (pnyt.) Muhammad Amin al-Kurdi. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1989. Minhaj al-`Abidin. Bayrut: Dar al-Jayl.
al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986 M/ 1406 H. Rawdat al-Talibin wa `Umdat al-Salikin. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
al-Kurdi, Muhammad Amin.t.th. Tanwir al-Qulub. Qahirah: Dar al-Fikr.
al-Shawkani, Muhammad ibn `Ali ibn Muhammad. 1992 M/ 1312 H. Irshad al-Fuhul. Jil.1. Bayrut: Dar al-Fikr.
al-Sahrawardi, Abu Najib `Abd al-Qahir. 1983. `Awarif al-Ma`arif. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.
Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. al-Muqaddimah. Misr: Matba`ah al-Bahiyyah.
Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. Shifa’ al-Sa´il li Tahdhib al-Masa´il. Bayrut: al-Matba`ah al-Kathulikiyyah.
Ibn `Abidin, Muhammad Amin. 1386 H/1966 M. Hashiah Radd al-Mukhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar fi Fiqh Madhhab al-Imam Abi Hanifah al-Nu`man. Jil.3. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Ali al-Hakim. t.th. Khatm al-Awliya’. Bayrut: al-Matba`ah al-Khathulikiyyah.
al-Jurjani, al-Sayyid `Ali ibn Muhammad. 1938. al-Ta`rifat. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
`Afifi, Abu al-`Ula. 1963. al-Tasawwuf: al-Thawrah al-Ruhiyyah fi al-Islam. Iskandariyyah: Dar al-Fikr.
al-Yafi`i, `Abd Allah. 1961 M/ 1381 H. Nashr al-Mahasin al-Ghaliyah fi Fadl al-Mashayikh al-Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
Ibn `Arabi, Muhy al-Din Muhammad ibn `Ali. t.th. al-Futuhat al-Makkiyyah. Jil.2. Bayrut: Dar al-Sadir.
Saqr, Hamid. 1380. Nur al-Tahqiq. Misr: Matba`ah Dar al-Ta’lif.
Haji Khalifah, Mustafa ibn `Abd Allah. 1360. Kashf al-Zunun `an Asami al-Kutub wa al-Funun. Jil.1. t.tp: Matba`ah al-Ma`arif al-Turkiyyah.
Zaruq, Ahmad. 1318. Qawa`id al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah Misr.
al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Al-Qawl al-Jamil. t.pt.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...