Pengikut

Hadith Hari Ini

Mengenal Masalah Kegemukan

OBESITI atau yang biasa kita kenal sebagai kegemukan merupakan suatu masalah yang cukup merisaukan khususnya di kalangan remaja. Pada remaja perempuan, kegemukan menjadi permasalahan yang cukup berat dan menekan, kerana keinginan untuk tampil sempurna yang seringkali diertikan dengan memiliki tubuh ramping atau langsing dan cantik, merupakan idaman bagi mereka.

Perkara ini semakin disemarakkan dengan berbagai-bagai iklan di kaca televisyen, akhbar, majalah, dan media massa lain yang selalu menonjolkan watak-watak wanita yang langsing di samping iklan berbagai-bagai macam ramuan ubat-ubatan, makanan dan minuman untuk merampingkan tubuh.

Akibatnya, ribuan ringgit wang dibelanjakan untuk diet, ubat-ubatan, dan perawatan-perawatan bagi menurunkan berat badan. Tidak berbeza dengan remaja perempuan, remaja lelaki juga takut atau bimbang menjadi gemuk. Bagi mereka, lelaki yang gemuk berlebih dianggap akan mengalami permasalahan yang cukup berat untuk menarik perhatian indan berlainan jenis. Banyak remaja lelaki yang berharap dapat membuatkan tubuh merela ideal (menjadi sedikit berotot atau tegap) dan keinginan mereka untuk itu pada sebahagian remaja disalurkan melalui aktiviti sukan.

Tetapi sayangnya bagi mereka yang gemuk, aktiviti sukan akan terasa sebagai suatu seksaan. Hal inilah yang seringkali dimanfaatkan oleh para penjual produk-produk ubat-ubatan atau makanan penurun berat badan dan alat sukan ringan untuk melariskan barangan perniagaan mereka. Dengan melihat fenomena yang terjadi sekarang ini, tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa obesiti merupakan salah satu masalah rumit yang seringkali dihadapi remaja, termasuk juga orang dewasa.

Hal ini tergambar menerusi banyaknya wang yang dikeluarkan untuk melakukan diet, membeli ubat-ubatan pelangsing dan peralatan sukan yang bertujuan untuk menurunkan berat badan. Obesiti atau kegemukan terjadi pada ketika badan menjadi gemuk (obese) yang disebabkan oleh penumpukan ‘adipose’ (adipocytes: jaringan lemak khusus yang disimpan di dalamtubuh) secara berlebihan. Jadi, obesiti adalah keadaan di mana seseorang memiliki berat badan yang lebih berat dibandingkan berat idealnya yang disebabkan terjadinya pengumpulan lemak di dalam tubuhnya.

Berhadapan dengan obesiti, seringkali seseorang remaja memberi tindak balas secara berlebihan. Kerap pula mereka menjadi kecewa kerana meskipun sudah melakukan diet secara terancang dan ketat serta mengambil ramuan atau ubat-ubatan penurun berat badan, ternyata kegemukan tubuh tidak juga susut. Apa sebenarnya yang terjadi? Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu melihat faktor-faktor yang menjadi penyebab obesiti.

Menurut para pakar kesihatan, berasarkan pada hasil kajian, obesiti boleh dipengaruhi oleh berbagai-bagai faktor. Faktor-faktor tersebut di antaranya adalah faktor genetik, disfungsi salah satu bahagian otak, pola makan yang berlebihan, kurang bersukan, emosi, dan faktor persekitaran.

GENETIK

Kegemukan boleh diturunkan daripada generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini nampaknya faktor genetik telah ‘ikut campur’ dalam menentukan jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh.

Hal ini demikian kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, maka unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara automatik akan diturunkan kepada bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah apabila bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang relatif sama besar.

KEROSAKAN PADA SALAH SATU BAHAGIAN OTAK

Sistem pengawal yang mengatur perilaku makan terletak pada suatu bahagian otak yang disebut ‘hipotalamus’, sebuah kumpulan inti sel dalam otak yang berhubungan dengan bahagian-bahagian lain daripada otak dan kelenjar di bawah otak. ‘Hipotalamus’ mengandungi lebih banyak pembuluh darah dari bahagian lain di dalam otak, sehingga lebih mudah dipengaruhi oleh unsur kimia daripada darah.

Dua bahagian ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan, iaitu ‘hipotalamus lateral’ (HL) yang menggerakkan nafsu makan (awal atau ‘pusat makan’); ‘hipotalamus ventromedial’ (HVM) yang bertugas mengekang nafsu makan (pemberhentian atau ‘pusat kenyang’).

Daripada hasil kajian, didapati bahawa apabila ‘hipotalamus ventromedial’ rosak atau hancur, maka individu menolak untuk makan atau minum, dan akan mati kecuali apabila dipaksa diberi makan dan minum (diberi infus). Sedangkan bila kerosakan terjadi pada bahagian ‘hipotalamus ventromedial’, maka seseorang akan menjadi rakus atau gelojoh dan kegemukan.

POLA MAKAN BERLEBIHAN

Orang yang gemuk lebih responsif dibandingkan dengan orang yang berat badannya normal terhadap isyarat lapar luaran, seperti rasa dan bau makanan, atau ketika waktu makan. Orang yang gemuk cenderung makan apabila ia merasa ingin makan, bukan makan pada ketika ia lapar. Pola makan berlebihan inilah yang menyebabkan mereka sukar untuk keluar daripada perangkap kegemukan jika individu terbabit tidak memiliki kawalan diri dan motivasi yang kuat untuk mengurangkan berat badan.

KURANG BERSUKAN

Tingkat pengeluaran tenaga tubuh sangat peka terhadap pengendalian berat tubuh. Pengeluaran tenaga bergantung kepada dua faktor, iaitu:

1) tingkat aktiviti dan sukan secara umum;
2) angka metabolisme atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh.

Daripada kedua-dua faktor tersebut, metabolisme mempunyai tanggungjawab dua pertiga daripada pengeluaran tenaga orang yang normal. Meskipun aktiviti fizikal hanya mempengaruhi satu pertiga pengeluaran tenaga seseorang dengan berat normal, tetapi bagi orang yang memiliki kelebihan berat badan, aktiviti mempunyai peranan yang sangat penting. Pada waktu bersukan kalori terbakar, makin banyak bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang.

Kalori secara tidak langsung mempengaruhi sistem metabolisme. Orang yang duduk bekerja sehari-harian akan mengalami penurunan metabolisme tubuhnya. Kekurangan aktiviti ‘gerak’ akan menyebabkan suatu siklus yang hebat, obesiti membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar dan kurang dinikmati dan kurangnya sukan secara tidak langsung akan mempengaruhi turunnya metabolisme tubuh individu tersebut.

Jadi, sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, tidak sahaja kerana dapat membakar kalori, malahan dapat membantu mengatur berfungsinya metabolisme normal.

PENGARUH EMOSIONAL

Suatu pandangan popular adalah bahawa obesiti bermula daripada masalah emosional yang tidak teratasi. Orang-orang gemuk ‘dahaga’ akan kasih sayang seperti kanak-kanak yang menganggap bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu atau makan lebih daripada hadnya adalah sebagai elemen atau unsur untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya.

Walaupun penjelasan demikian sesuai pada beberapa kes, namun sebahagian orang yang mengalami berat badan yang berlebihan tidak terganggu secara psikologi dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Meskipun banyak pendapat yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, namun sebenarnya ketidakbahagiaan tekanan batinnya lebih diakibatkan sebagai hasil daripada kegemukannya.

Hal tersebut kerana dalam sesebuah masyarakat, seringkali orang yang bertubuh kurus disamakan dengan kecantikan, sehingga orang gemuk berasa malu dengan penampilan dan kesukaran mereka mengendalikan diri terutama dalam hal yang berhubung dengan perilaku makan. Orang gemuk seringkali mengatakan bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka di dalam keadaan ketegangan atau cemas, dan eksperimen membuktikan kebenarannya.

Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu keadaan yang sangat mencengkam atau menekan; orang yang mempunyai berat badan secara normal akan dalam keadaan yang kurang mencengkam atau menekan (McKenna, 1999). Dalam suatu kajian yang dilakukan oleh White (1977) pada kumpulan orang dengan berat badan berlebihan dan kumpulan orang dengan berat badan yang kurang, dengan menyajikan kerepek (makanan ringan) setelah mereka menonton empat jenis filem yang mengundang emosi yang berbeza, iaitu filem yang tegang, ceria, merangsang ghairah seksual, dan sebuah ceramah yang membosankan.

Pada orang gemuk didapati bahawa mereka lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan filem yang tegang dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan. Sedangkan pada orang dengan berat badan kurang, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton filem yang tegang mahupun filem yang membosankan.

LINGKUNGAN PERSEKITARAN

Faktor lingkungan persekitaran juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi gemuk. Jika seseoang dibesarkan dalam lingkungan persekitaran yang menganggap gemuk adalah simbol kemakmuran dan kebahagiaan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang mengalami obesiti tidak akan menghiraukan masalah-masalah psikologi yang berkaitan dengan kegemukan.

Jadi, bagi para remaja yang kebetulan memiliki berat badan berlebihan dan masih belum berjaya mengurangkan berat badan, janganlah berasa kecewa. Mungkin dengan mengetahui faktor-faktor penyebab kegemukan seperti tertulis di atas, anda akan menemui penyebab mengapa berat badan anda tidak kunjung susut.

Satu hal yang paling penting untuk diingat adalah selagi tubuh anda tidak menghidap apa-apa penyakit maka, tidak ada yang salah dengan tubuh anda yang besar (gemuk) itu. Perkara lain yang juga tidak kurang penting ialah cubalah untuk bersukan secara teratur dan menjaga emosi anda pada setiap waktu dalam apa jua keadaan.

Sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan