Pengikut

Hadith Hari Ini

Terima Kasih, Islam


Oleh ZALILA ISA

KEDUDUKAN wanita dari hari ke hari semakin bertambah baik. Dari aspek sosial, politik, pendidikan, pekerjaan, hak asasi dan sebagainya, wanita telah mencapai apa yang sepatutnya dimiliki, iaitu kebebasan dalam menjalani kehidupan. Atas nama kebebasan dan kesamarataan hak dalam semua aspek, wanita semakin berjaya dan berani menempuh kehidupan dan berani bersuara demi menuntut hak masing-masing.

Tahukah wanita, bahawa di sebalik kebebasan dan kenikmatan hidup yang dirasai, siapakah yang harus menerima ucapan terima kasih?

Sebelum Islam berkembang, golongan penyembah berhala Arab mewarisi sikap mengabaikan dan menindas wanita sepertimana juga golongan Yahudi dan Kristian. Kelahiran bayi perempuan dianggap pembawa bencana dan amat memalukan bagi keluarga sehingga mereka sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup.

Nabi Muhammad s.a.w melalui ajaran Islam yang dibawanya telah menentang dan seterusnya menghapuskan amalan buruk ini. Nabi Muhammad berusaha untuk menyelamatkan kehidupan wanita dan seterusnya mengajar kaum lelaki untuk menghormati dan menghargai anak-anak perempuan, isteri dan juga ibu mereka.

Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang membesarkan tiga orang anak perempuan, mendidik mereka, mengahwinkan mereka dan berbuat baik terhadap mereka, dia akan masuk syurga.” (Riwayat Abu Daud)

Berterima kasihlah pada Nabi Muhammad s.a.w dengan kesungguhan baginda menyebar ajaran Islam dan menghapuskan amalan pembunuhan bayi perempuan.

Tahukah wanita terutama yang beragama Islam bahawa kedudukan wanita dan lelaki banyak bezanya pada fahaman Kristian. Walaupun pada zaman serba moden ini Barat telah mengiktiraf kesamarataan kedudukan dan hak wanita dengan lelaki, hakikatnya sentimen dan persepsi mereka terhadap wanita amat rendah.

Ini jelas terkandung dalam kitab Bible melalui Perjanjian Baru dan Perjanjian Lama yang menyatakan bahawa kedudukan wanita adalah lebih rendah daripada lelaki. Malah wanita dianggap seperti pembawa dan penyebab dosa rentetan daripada peristiwa Adam dan Hawa yang tertipu oleh hasutan syaitan sehingga terbuang dari syurga.

Islam, melalui al-Quran telah menjelaskan bahawa hak-hak wanita sama seimbang dengan hak-hak lelaki. Malah, Allah s.w.t tidak memandang tinggi mana-mana gender kecuali orang yang bertakwa.

“ Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berpegang dan yang dibunuh, pastilah akan Kuhapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik.” (Ali Imran: 195)

Berterima kasihlah kepada Islam kerana tidak pernah memandang darjat seseorang melalui gender, kekayaan mahupun keturunan. Islam lebih menitikberatkan soal ketakwaan dan keimanan kepada Yang Maha Esa.

Tahukah wanita Islam, bahawa di Barat, tudung atau hijab dianggap sebagai simbol penindasan dan merendahkan martabat wanita? Wanita Islam dilihat sebagai tertindas dan tidak bebas dengan mengenakan pakaian yang sopan dan menutup aurat. Tetapi, Barat tidak tahu bahawa Islam tidak pernah menindas mana-mana gender, baik lelaki mahupun wanita. Wanita Islam sebenarnya tidak ditindas oleh agama dan masyarakat Islam tetapi tertindas dan dipinggirkan oleh masyarakat Barat sendiri.

Kenyataan ini jelas menerusi beberapa peristiwa penindasan terhadap wanita Islam yang menetap di kelompok minoriti Islam. Fikirkan, apakah alasan di sebalik saranan Menteri Pendidikan Perancis yang telah mengarahkan agar pelajar-pelajar perempuan yang memakai hijab dibuang sekolah?

Persoalan hijab, selendang atau tudung bukan punca yang menyebabkan wanita Islam tertindas, tetapi Barat dan Kristian sememangnya sentiasa memusuhi Islam dan sedaya upaya menyingkirkan elemen Islam di sekeliling kehidupan mereka. Tidak mustahil mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk merendah-rendahkan Islam. Dalam hal ini tidak timbul alasan wanita Islam tidak mahu bertudung demi mengelakkan diskriminasi agama dan gender apabila berurusan di negara-negara asing yang majoriti bukan beragama Islam.

Jika hijab menjadi punca diskriminasi agama di antara Islam dan penganut agama lain, tahukah mereka bahawa wanita Yahudi lama menutup kepala dan kadangkala seluruh wajah apabila ingin keluar dari rumah? (Dr. Menachem M. Brayer: The Jewish Women in Rabbinic Literature). Mereka juga menganggap bahawa kepala wanita yang terdedah dianggap ‘bogel’. Dr. Brayer juga menegaskan bahawa tudung wanita Yahudi tidak hanya dianggap sebagai lambang kesopanan tetapi juga lambang maruah dan martabat kebangsawanan serta kesucian seorang wanita yang hanya dimiliki oleh suaminya. Walau bagaimanapun, tradisi Yahudi lama itu akhirnya terhakis oleh kedatangan era Eropah dan persekitaran budaya sekular pada abad ke-19.

Begitu juga dengan tradisi Kristian yang menganggap tudung sebagai autoriti kepada kaum lelaki dan “menudung kepala adalah simbol penyerahan wanita kepada kaum lelaki dan kepada tuhan”. Menurut St. Tertulian di dalam karyanya yang terkenal, iaitu ‘On the Veiling or Virgins’ menulis,“wahai gadis-gadis, kamu memakai tudungmu di jalanan, maka pakailah tudungmu bila berada di dalam gereja, dan pakailah apabila kamu berada di kalangan orang asing, dan pakailah ketika kamu bersama saudara lelakimu...”

Daripada bukti-bukti di atas jelas bahawa pemakaian tudung bukan tertakluk kepada Islam sahaja. Malah tudung bukan simbol penindasan kepada wanita. Walaupun dari segi rasionalnya, pemakaian tudung melambangkan nilai kemuliaan dan kehormatan, Islam memandang dan meletakkan nilai tudung lebih daripada yang disarankan oleh agama lain.

Ini kerana tudung dalam konteks Islam telah terkandung di dalam al-Quran dan pemakaiannya bukan sekadar sebagai hiasan kepala. Bukan juga sebagai lambang kekuasaan lelaki ke atas wanita seperti di dalam tradisi Kristian. Bukan juga sebagai lambang kemewahan dan kebangsawanan sesuatu golongan seperti di dalam tradisi Yahudi.

Tudung atau hijab di dalam konteks Islam adalah sebagai lambang kehormatan yang bertujuan untuk melindungi wanita daripada ancaman-ancaman yang tidak terduga. Bagaimanapun, ada juga yang mempersoalkan, bukankah ada juga kes-kes yang melibatkan wanita bertudung diperkosa, wanita bertudung melakukan maksiat dan wanita bertudung juga tiada beza sifat dan sikapnya dengan wanita yang mendedahkan aurat. Mengapa hal ini boleh berlaku?

Jawapannya hanya satu. Masyarakat Islam tidak lagi berpegang pada al-Quran dan tidak menjadikannya sebagai panduan utama dalam menjalani kehidupan. Mereka percaya kepada Allah. Mereka tahu rukun Iman dan rukun Islam tetapi tidak menghayatinya. Oleh sebab itulah penganut agama lain tidak berminat mendekati Islam dan menganggap Islam tiada bezanya dengan agama-agama lain. Sedangkan dalam Islam dan khususnya dalam al-Quran telah lengkap segala-galanya berkaitan dengan kehidupan manusia. al-Quran juga telah menjelaskan dengan panjang lebar dan lengkap akan hal yang berkaitan dengan hal ehwal wanita tanpa perlu dipertikaikan lagi.

Betapa mudah dan bebasnya wanita Islam di Malaysia mengamalkan agama dan suruhan Allah. Bagaimanapun, sukar benar memberi kesedaran kepada wanita Islam supaya bertudung dan memakai pakaian yang sopan. Malah di Malaysia yang merupakan negara Islam sendiri pun, penghayatan pemakaian tudung diperemehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Malah terdapat juga unsur-unsur penindasan dan peminggiran terhadap wanita yang memakai tudung. Fikirkan rentetan peristiwa seorang guru di sebuah sekolah agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang di Pahang yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh mereka (Utusan Malaysia, 25 Februari 2006). Begitu juga nasib seorang wanita, Habsah Jaafar yang telah dibuang kerja oleh majikannya, Hotel Renaissance. Alasannya kerana wanita itu tidak dibenarkan bertudung semasa bekerja (Utusan Malaysia 27 Februari 2006).

Tahukah wanita Islam bahawa kaum mereka yang seagama dengan mereka begitu tertindas dan didiskriminasikan di Barat?. Contohnya, peristiwa penindasan wanita yang berhijab di Turki pada pertengahan tahun 90-an dahulu? Pada waktu itu, pergolakan antara kerajaan Turki dengan penganut Islam amat menyedihkan. Wanita yang berhijab tidak dibenarkan masuk ke bangunan-bangunan rasmi seperti pejabat-pejabat kerajaan, universiti, sekolah dan sebagainya. Malah terdapat umat Islam yang dibuang kerakyatan dan dipenjarakan kerana mempertahankan wanita yang bertudung. Pelajar-pelajar universiti yang membuat demonstrasi di Beyazit, Istanbul ditegah daripada memasuki universiti untuk menduduki peperiksaan semester terakhir. Mereka yang kebanyakannya pelajar tahun akhir bidang perubatan diberi pilihan oleh kerajaan Turki sama ada memilih untuk menyambung pengajian ataupun menanggalkan hijab mereka.

Tahukah wanita Islam di Malaysia bahawa mereka tidak perlu menyinsing lengan, berpatah arang berkerat rotan mempertaruhkan nyawa untuk mengamalkan suruhan Allah pada zaman ini? Mereka juga tidak perlu mengorbankan nyawa seperti Asiah, Masyitah dan Sumaiyyah demi mempertahankan keimanan terhadap agama Islam, kerana di Malaysia atau di mana-mana jua Islam telah bertapak dan mereka bebas mengamalkannya tanpa halangan dan ugutan bunuh dari mana-mana pihak. Apatah lagi dalam aspek bertudung.

Bagaimanapun, penghayatan pemakaian tudung mengikut syarak oleh wanita Islam di Malaysia amat kurang. Dalam memanifestasikan kesedaran bertudung, ramai pihak yang telah tersalah anggap dan tidak memahami bahawa bertudung adalah mengikut hukum syarak dan bukannya suatu konsep etika berpakaian. Ini bermakna bertudung bukanlah pilihan tetapi kewajipan. Teliti dan hayati suruhan Allah dalam surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“....dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada..”

Tahukah wanita bahawa kelebihan wanita Islam yang bertudung lebih banyak daripada yang tidak bertudung? Pernahkah wanita Islam yang tidak bertudung membuat perkiraan perbelanjaan bulanan untuk mendandan rambut dan memastikan rambut sentiasa terjaga, cantik dan ‘trendy’? Pernahkah mereka terfikir tentang kerosakan rambut dan kesan bahan kimia ke atas diri mereka apabila menggunakan alatan, bahan atau teknik-teknik tertentu hanya untuk mencantikkan diri dan mengundang dosa?

Apabila berbicara soal rambut, tahukah wanita Islam bahawa anda terpaksa menggunakan banyak masa, tenaga dan wang ringgit demi menjaga ‘mahkota’ anda itu. Ini kerana tanpa penjagaan yang rapi, rambut sering dibelenggu masalah seperti kekeringan, keguguran mahupun bercabang. Kesan luaran seperti matahari dan udara, pengering rambut, panas, habuk dan cara menyikat yang salah boleh menyumbang kepada gejala rambut tidak sihat. Apa yang lebih penting adalah kesan daripada penggunaan bahan kimia yang terdapat pada pewarna, peluntur, dan pengerinting rambut. Masalah ini bukan sahaja membuatkan anda tidak selesa malah boleh merosakkan imej dan melunturkan keyakinan diri.

Tahukah wanita yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini fesyen dan penjagaan rambut bahawa barangan penjagaan rambut mengandungi sejumlah bahan kimia yang jika tidak digunakan dengan baik akan menyebabkan kemusnahan rambut dan kesan pada kesihatan badan.

Barangan penjagaan rambut yang harus digunakan oleh wanita untuk mencantikkan dan memelihara rambut termasuklah peluntur rambut, pengerintingan, pelurus, pewarna, penyembur, krim pembilas, pelembab dan sebagainya. Antara bahan kimia yang sering diadun ke dalam barangan penjagaan rambut itu adalah sulfit, bromat, tioglikolat, hidrogen peroksida, natrium hidroksida dan alkohol dan beberapa bahan kimia campuran yang lain. (http://www.prn.usm.my/mainsite/bulletin/racun)

Bayangkan, betapa sukarnya untuk memelihara rambut yang sering terdedah kepada sinaran ultra lembayung (UV) dan udara yang kotor di sekeliling kita. Ditambah lagi dengan bahan-bahan kimia yang terdapat dalam barangan jagaan rambut. Dengan pemakaian topi, skaf dan tudung, anda boleh memelihara rambut daripada sinaran cahaya matahari dan udara yang kotor. Bagi wanita Islam pula, anda bukan sahaja dapat memelihara rambut tetapi juga mendapat pahala kerana menutup aurat. Terima kasih Islam kerana telah menyelamatkan masa, wang dan juga keselamatan diri wanita dengan kewajipan bertudung.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...