Pengikut

Hadith Hari Ini

Memupuk Jasmani dan Rohani Anak-anak


Oleh HASNAN KASAN
Pusat Pengajian Umum, UKM

SATU hakikat yang mesti disedari, diakui dan diambil kira oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah anak-anak mempunyai elemen jasmani dan rohani yang perlu ditangani dengan tepat dan bijak. Garis panduan untuk menangani dan menjaga kedua-dua elemen yang ada pada diri anak-anak telah digariskan oleh Allah yang telah menciptakan diri anak-anak itu. Hanya panduan yang diberikan oleh Allah sahaja yang akan berjaya mendatangkan hasil yang diharapkan dalam memandu dan mendidik anak-anak ke arah jalan yang diredai oleh Allah dan dinilai positif oleh manusia di dunia.

Elemen jasmani dan rohani yang ada pada diri anak-anak ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Kedua-duanya akan terus bersama dan sepadu buat selama-lamanya selagi hayat anak-anak masih ada. Elemen jasmani menjadi pelengkap bagi elemen rohani dan elemen rohani menjadi pelengkap elemen jasmani. Begitulah persyarikatan erat dan sepadu yang telah ditetapkan oleh peraturan Allah Tuhan Maha Mencipta dan Maha Mengetahui intipati hidup manusia. Ketidakseimbangan antara elemen jasmani dan rohani pada diri anak-anak akan menyebabkan mereka berjalan senget, tidak seimbang dan alunan hidup mereka tidak akan enak dilihat mata. Oleh itu keseimbangan elemen jasmani dan rohani ini amat perlu dititikberatkan untuk menghasilkan anak-anak yang bersifat ‘manusia’ dan bukannya yang bersifat haiwan.

Dalam menjaga keseimbangan ini, Rasulullah s.a.w telah memberikan petunjuk kepada umat baginda melalui satu peristiwa pada zaman baginda yang berlaku antara tiga orang pemuda dengan Saidatina Aisyah r.a. Para pemuda itu terlalu ingin mendekatkan diri kepada Allah dan masuk ke syurga. Ketiga-tiga orang sahabat ini adalah antara orang yang terlalu inginkan diri mereka disayangi oleh Allah, terelak daripada azab api neraka dan layak untuk masuk syurga. Mereka amat memerhatikan usaha-usaha Rasulullah s.a.w dalam melakukan ibadah dan berazam untuk melakukan lebih daripada itu. Ini kerana mereka mamikirkan seandainya Rasulullah s.a.w yang maksum terpelihara daripada melakukan dosa tetap melakukan ibadah dengan gigih, apatah lagi mereka bertiga yang bukan nabi, bukan rasul dan tidak sunyi daripada melakukan dosa. Mereka membuat kesimpulan mereka perlu melakukan ibadah dengan lebih gigih lagi. Salah seorangnya berkata kepada Aisyah r.a bahawa akan bersembahyang malam tanpa tidur. Seorang lagi berkata bahawa akan berpuasa setiap hari tanpa diselang hari tanpa berpuasa. Manakala yang seorang lagi mengatakan bahawa akan menumpukan tenaga pada ibadah dan tidak akan berkahwin.

Bagaimanapun, azam ketiga-tiga orang sahabat ini telah ditegah dan tidak dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w yang telah terlebih dahulu mengetahuinya sebelum sempat diberitahu oleh mereka. Rasulullah s.a.w menekankan bahawa baginda adalah orang yang paling bertaqwa, tetapi baginda tetap melakukan keseimbangan dalam hidup. Baginda berpuasa tetapi diselangi hari tanpa puasa. Baginda melakukan ibadah waktu malam tetapi baginda tetap tidur. Baginda melakukan ibadah kepada Allah tetapi baginda tetap berkahwin dan menggauli isteri-isteri baginda. Berpuasa, bersembahyang malam dan ibadah lain adalah untuk menguatkan rohani. Ia memang sewajarnya dilakukan oleh setiap manusia yang inginkan kedhaan Allah. Manakala tidur, makan, dan berkahwin adalah keperluan jasmani yang tidak boleh dielakkan daripada menjaganya.

Keprihatinan ibu bapa terhadap dua elemen binaan diri anak-anak amat penting. Kedua-dua elemen ini perlu disubur dan dikuatkan sebagaimana petani menyuburkan biji benih. Kedua-duanya juga perlu diawasi daripada perosak sebagaimana petani mengawasi biji benih daripada serangga perosak. Ramai ibu bapa yang dapat menangani keperluan jasmani seperti makanan dan pakaian, tetapi ramai yang gagal memberikan perhatian dan memberikan keperluan kepada elemen rohani yang ada dalam diri anak-anak. Ini berkemungkinan berlaku atas kealpaan ibubapa terhadap elemen rohani, kerana yang nampak pada pandangan mata hanyalah elemen jasmani.

Ibu bapa pasti rasa suka dan gembira apabila melihat anak-anak mereka berada dalam keadaan sihat, ceria dan jauh daripada sebarang penyakit jasmani. Ibu bapa akan berbesar hati apabila melihat anak-anak bergembira, berpakaian kemas dan beraktiviti cergas tanpa gangguan sakit. Ibubapa rasa puas hati apabila dapat menyediakan tempat tinggal, makanan dan kemudahan jasmani yang diperlukan oleh anak-anak mereka. Bagaimanapun, ibu bapa kerap lupa bahawa di samping makanan yang boleh menyihat dan menguatkan tubuh badan, di dalam diri anak-anak itu juga ada elemen rohani yang perlu kepada makanan untuk menguatkan dan menyuburkannya. Di samping tempat tinggal dan pakaian yang perlu disediakan bagi anak-anak, mereka juga perlukan perlindungan dan perisai yang boleh merosakkan rohani dalam diri mereka.

Apabila kedua-dua elemen jasmani dan rohani atau salah satunya rosak, maka kehidupan anak-anak tidak akan seimbang dan akan banyak terjebak ke dalam penyelewengan akhlak dan tingkah laku. Akan tetapi yang lebih penting dijaga daripada rosak adalah elemen rohani kerana ia adalah nakhoda bagi elemen jasmani. Hakikat ini telah diungkap oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada segumpal darah. Apabila ia baik, maka akan baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuh badan. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Hati, seperti yang diungkapkan di dalam hadis tersebut bukanlah hati yang merupakan anggota dalaman yang dapat dikesan oleh panca indera. Bagaimanapun, ia adalah hati yang menjadi pencorak hidup seseorang dan penentu tindak tanduk hariannya. Dalam bahasa kita, ada orang menyebutnya yang sebagai ‘hati sanubari’. Kalau jantung menjadi sumber pengagihan darah ke seluruh tubuh badan dan ia menjadi salah satu punca sihat atau tidak seseorang induvudu, maka hati yang disebut dalam hadis ini pula menjadi enjin yang menjaga tindakan anggota badan dalam kehidupan. Hati ini tidak dapat dikesan dengan pancaindera. Sekiranya anak-anak dibedah, nescaya tidak akan terjumpa hati yang disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. ini. Ia bersifat rohani. Rasulullah s.a.w telah mengucapkan hadis ini melalui panduan wahyu daripada Allah Taala. Allah Taala pula adalah Tuhan yang telah menciptakan manusia. Maka penjelasan yang dibuat oleh Allah melalui hadis Rasulullah s.a.w ini adalah pasti tepat kerana ia datang daripada Allah yang telah mencipta manusia.

Apabila anggota jamani anak-anak yang dapat dilihat dan dikesan oleh pancaindera rosak atau sakit, ia mudah dikesan dan dikenal pasti. Seterusnya tindakan yang sepatutnya akan diambil untuk merawat dan memulihkannya. Namun, apabila elemen rohani mengalami sakit atau rosak amat sukar sekali untuk dikesan oleh pancaindera. Malah, kemungkinan kedapatan ibubapa yang langsung tidak tahu bahawa rohani anak-anak sedang mengalami kerosakan atau sakit. Kemahiran mengesan rohani yang sakit ini amat bernilai terutama di zaman yang serba mencabar dalam mendidik anak-anak. Apabila anggota jasmani manusia sakit, boleh jadi ia tidak mengganggu elemen rohani dan tidak akan mengakibatkan kerosakan terhadap diri, keluarga, masyarakat dan umat bangsa seluruhnya. Kesan yang timbul hanyalah rasa sakit atau kecacatan pada anggota tubuh badan. Ia tidak mengganggu atau membahayakan orang lain.

Namun apabila elemen rohani rosak atau sakit, ia akan mendorong individu melakukan tindakan yang diluar batas keseimbangan. Ia akan mengakibatkan seseorang melakukan kerosakan samada terhadap diri, keluarga, masyarakat ataupun umat bangsa yang lebih luas lagi. Di sini, seolah-olah elemen rohani yang sakit dan rosak adalah jauh lebih bahaya daripada elemen jasmani yang sakit atau rosak. Ada ibu bapa yang menggunakan kata-kata “biarlah anak menangis kerana sakit dirotan ketika kecil, jangan ibubapa menangis akibat perbuatan anak-anak apabila mereka besar kelak.” Kebenaran ungkapan ini memang besar kebenarannya. Rotan hanyalah mengakibatkan sakit jasmani, namun seksa jiwa yang dialami oleh ibubapa sekiranya anak-anak terlibat dengan penyelewengan dan kerosakan sosial adalah lebih jauh dahsyatnya.

Biasanya, benda yang nampak oleh mata dan dapat dikesan oleh pancaindera adalah mudah untuk jaga dan diawasi daripada rosak atau dirosakkan. Bagaimanapun, benda yang tidak nampak oleh mata dan tidak dapat dikesan oleh pancaindera adalah sukar untuk dijaga dan kawal daripada rosak atau dirosakkan. Malah benda yang tidak nampak ini kadang-kadang langsung dilupa dan tidak diendahkan oleh manusia. Begitulah keadaannya dalam konteks pendidikan anak-anak. Tempat tinggal, pakaian, makanan dan rawatan perubatan memang sentiasa diusahakan olehibubapa agar dapat disempurnakan sebaik mungkin. Anggota jasmani ini memang mudah untuk dijaga dan diawasi daripada rosak atau dirosakkan. Bagaimanapun, hati dan jiwa yang ada dalam diri anak-anak jarang-jarang sekali ada ibu bapa yang prihatin dan memberikan perhatian untuk menjaganya. Tambahan pula menjaganya bukanlah suatu yang mudah kerana ia suatu yang tidak nampak.

Kesimpulannya, elemen jasmani dan rohani yang ada pada diri anak-anak perlu dan wajib diambil kira dalam usaha mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna bagi diri, keluarga, masyarakat, dan negara, seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

“Gurgan”


Oleh Happis Basha

NAMA lengkapnya adalah Ismail bin al-Husayn Zaynuddin Abu’l Fada’il al-Husayn al-Jurjani, seorang bangsawan daripada keluarga terhormat yang menguasai ilmu kedoktoran.

Beliau sering kali dipanggil al-Sayyid Ismail. Di Barat ia lebih dikenali sebagai dengan nama “Gurgan” dan beliau dianggap sebagai penyambung ilmu kedoktoran Ibnu Sina.

Beliau menyusun sebuah kamus besar yang berjudul “Qamus al-Thib” Dengan kamusnya itu, beliau mendapat jolokan nama sebagai “Bapa Kamus”, malah kamusnya itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Turki, Urdu, Ibrani, Latin dan bahasa-bahasa Eropah yang lain.

Buku beliau yang paling bersejarah bertajuk “Dakhira-i Khwarizm Shahi” yang merupakan ensiklopedia kedoktoran pertama yang ditulis dalam bahasa Parsi dan memuatkan 450,000 patah perkataan. Ensiklopedia ini juga terdapat dalam versi bahasa Arab dan telah diterjemahkan pula dalam bentuk ringkasan ke dalam bahasa Yahudi.

Buku “Dakhira-i Khwarizm Shahi” ini merupakan “gudang ilmu” iaitu bukan hanya untuk teori perubatan abad pertengahan, tetapi untuk bidang farmakologi bahkan ia juga menarik kerana memuatkan ilmu-ilmu daripada tumbuh-tumbuhan dan ubatan di dalam bahasa Parsi.

Karya al-Jurjani ini telah menjadi popular di Parsi dan India malah diterjemahkan ke dalam bahasa Ibrani, Turki dan Urdu. Selain itu, terdapat beberapa lagi karya ilmiahnya yang berjudul “Al-Khuffi al-Ala’i”. Ia juga berhasil mengangkat namanya ke atas pentas sejarah pengamalan ilmu yang tidak dapat dinafikan lagi.

Karyanya itu juga bersifat perantaraan terutama berkaitan dunia perubatan dan kefalsafahan. Kebanyakan karya-karyanya itu ditulis dan dizahirkan di dalam bentuk manuskrip-manuskrip. Di samping itu, terdapat juga risalah ringkas bahasa Arab yang membicarakan masalah-masalah kefanaan dan kesia-siaan duniawi iaitu yang berjudul “al-Risalah al-Munabhiba” yang telah ditemui malah digabungkan oleh al-Bayhaqi dengan biografinya.

Buku-buku karangannya ditulis dengan baik ke dalam bahasa Arab mahu pun bahasa Parsi. Pakar perubatan ini telah berangkat ke Khwarizm pada tahun 504/1110 dan menetap di sana.

Menurut beberapa sumber, diketahui bahawa al-Jurjani amat akrab dengan Khwarizanshah Qutb al-Din Muhammad (490-521/1097-1127), malah beliau juga telah mempersembahkan karya nominatifnya yang berjudul “Dakhiri”.

Beliau kemudiannya pula menjadi sahabat karib Afsiz bin Muhammad pada (521-551/1127/1156) dan menjadi giliranya untuk menulis “al-Khuffi al-Ala’a”. Beliau kemudian berhijrah ke Marw iaitu Kota Kerajaan Sultan Sanjar bin Malikshah dan wafat di sana pada tahun 531/1136.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Keibubapaan Suatu Disiplin Ilmu

KEIBUBAPAAN (parenting) merupakan istilah baru mengenai ilmu dan kemahiran membela dan mendidik anak. Dulu soal ini dianggap ´automatik´ - kita ikut cara ibu bapa kita membela kita atau ikut cara yang biasa orang lain lakukan.

Kini lain pula. Perkembangan pendidikan dan penyelidikan yang bermula di negara-negara maju telah menjadikannya sebagai satu disiplin.

Keibubapaan kian dianggap faktor penting dalam penyempurnaan perkembangan kanak-kanak. Walaupun ibu bapa hari ini tidak mengambil kursus-kursus formal mengenainya, mereka membaca tentang tulisan, selidikan dan pendapat pakar dan sebagainya.

Apa pandangan anda mengenai beberapa pendapat yang tertera di bawah ini? Setuju atau tidak?

- Seseorang itu harus menjadikan keluarga keutamaannya.

- Ibu harus cuba berada di rumah dengan anak-anak mereka.

- Suami isteri harus berusaha sedaya upaya menyelesaikan perbalahan sebelum bertindak untuk bercerai.

- Ibu bapa harus mengawal apa yang anak-anak mereka tonton di televisyen.

- Ibu bapa harus mementingkan pendidikan moral dan nilai-nilai agama.

- Penghakisan fahaman lama mengakibatkan timbul pelbagai tekanan yang mencabar bagi ibu bapa sekarang.

- Kanak-kanak membesar dengan lebih baik jika ibu bapa menentukan sesetengah sekatan dengan tegas.

- Kanak-kanak yang dimanjakan akan membesar sebagai remaja dan orang dewasa yang menimbulkan berbagai-bagai masalah.

- Remaja yang mementingkan diri sendiri dan bersifat kebudak-budakan adalah kesan kegagalan ibu bapa dalam mengukuhkan sekatan-sekatan yang baik secara berkekalan.

- Kita mesti menghormati kanak-kanak kerana mereka adalah manusia, dan mereka berhak dihormati dan dengan begitu mereka akan membesar sebagai orang dewasa yang baik.

- Ibu bapa pun harus mendapatkan penghormatan daripada anak-anak; mendapatkan kerjasama dan sopan santun yang baik daripada anak-anak.

- Ibu bapa harus memupuk nilai yang baik dan galakkan anak mereka menolong orang lain.

- Kebanyakan masalah kita disebabkan kekurangan didikan agama. Kanak-kanak perlukan aturan, standard, yang ibu bapa juga berhak menghormatinya.

Setakat mana kita akur dan membantah kenyataan tersebut - semuanya prinsip Dr Benjamin Spock, pakar keibubapaan yang amat berpengaruh di Amerika? Memang ada kontroversi tentang fahamannya; dan bukanlah tujuan untuk menyarankan kita ambil bulat-bulat fahamannya itu.

Walaupun masyarakat kita sudah ada cara tersendiri mendidik anak, sayangnya cara itu belum dibukukan untuk dijadikan rujukan oleh orang yang baru hendak berkeluarga dan beranak pinak.

Inilah yang membezakan masyarakat maju di Barat. Mereka sudah ada kaedah untuk dirujuk dan diamalkan. Mereka berhijrah daripada keibubapaan secara autokratik kepada keibubapaan yang saintifik - berlandaskan fakta sains.

Prinsip keibubapaan Melayu terpapar dalam peribahasanya seperti:

· Melentur buluh biarlah daripada rebung.
· Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
· Bapa borek anak rintik.
· Sayang anak tangan-tangankan.
· Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Dan tentu ada banyak lagi fahaman atau prinsip yang kita amalkan.

Kadang-kadang kita merungut mengapa anak-anak kita sekarang kian ungkal dan luntur budi bahasanya? Padahal, ada beberapa amalan kita berpasakkan agama. Misalnya, bayi baru lahir kita bacakan azan atau qamat di telinga mereka.

Dulu ada orang yang mendodoikan anak-anak yang hendak tidur dengan qasidah atau nasyid. Memakaikan baju anak-anak pun ada lagunya.

Tetapi kini, kita dodoikan dengan Rock-a-Bye Baby, Twinkle Twinkle Little Star dan sebagainya.

Di Barat, orang melakukan kajian tentang kesan mendodoikan anak pada waktu tidur. Menurut mereka, mendodoikan, memeluk, memegang, bercakap, mencium, menetek (beri susu badan), sentuhan, mengurut-urut badan mereka, bertentang mata, lekas mengambil ketika mereka menangis dan ketakutan. Semuanya menimbulkan kesan-kesan pembangunan yang baik dalam pendewasaan mereka.

Nenek-nenek kita pun buat begitu tetapi tanpa alasan saintifik.

Satu amalan, kepercayaan yang ditinggalkan oleh sesetengah nenek moyang kita ialah kalau hendak berpisah lama dengan anak-anak kecil kita kerana urusan dan sebagainya; tinggalkan kain yang kita sudah pakai lama dan berbau badan kita. Jangan basuh.

Malam nanti ketika anak rindukan kita, selimutkan dia dengan kain yang berbau badan kita itu. Dia akan hilang rindunya. Betulkah?

Nampaknya macam karut. Namun, mengikut kajian orang Barat, bau badan ibu atau bapa yang selalu dihidu anaknya ada kaitan dengan perkembangan emosi si anak.

Menurut kajian Barat juga, anak yang sentiasa mendapat layanan ibu atau orang dewasa itu lebih baik perkembangan jasmani, emosi dan inteleknya daripada anak-anak yang selalu terbiar. Bagi kanak-kanak, layanan yang positif adalah kasih sayang.

Kita harus tetapkan kanak-kanak yang membesar itu mendapat masa bermutu daripada kita. Ini bukan bermakna sentuhan fizikal sahaja, ia juga bermakna memahami jiwa mereka, menyelami fikiran mereka, menyelami emosi mereka, memahami hubungan mereka dengan adik-beradik mereka, dengan kawan-kawan mereka dan sebagainya. Mereka perlu merasakan disayangi, dipentingkan.

Terdapat kajian yang mengatakan kanak-kanak boleh mati jika dibiarkan tanpa sentuhan fizikal.

Kalau sejak kecil mereka tidak pernah merasai kasih sayang, sentuhan, pelukan, layanan yang sesuai; mereka akan membesar tidak mengetahui cara berhubungan dengan baik dengan orang dan akan akhirnya hilang kepercayaan atas kebolehan sendiri dan hidup tanpa mengenal harapan.

Ini baru cerita perkembangan kanak-kanak yang tidak mendapat layanan dan belaian kasih sayang ibu bapa. Kita boleh gambarkan bagaimana buruknya lagi kalau keibubapaan kita penuh dengan kekerasan dan keganasan. Tentu lebih parah perkembangan jiwa anak.

Pelikkah kita kalau kita dapati ada remaja kita yang tidak tahu bergaul, tidak tahu batasan, tatasusila, hukum halal haram?

Pelikkah kalau mereka dahagakan rasa sayang daripada kawan-kawannya? Mereka tidak merasai sentuhan kasih sayang, pelukan ibu bapa, puji-pujian yang menggalakkan, nasihat-nasihat yang berguna.

Baik lelaki mahupun perempuan, kekontangan begitu menyebabkan mereka mudah tersungkur dan menjadi mangsa perbuatan mereka sendiri kerana bekalan emosi, intelek dan moral yang begitu rapuh. Semua kerana kesilapan kita sejak awal lagi dalam perkembangan mereka.

Tiada ibu bapa yang sempurna. Kita tetap kekurangan dalam sesuatu, dalam keibubapaan kita. Lebih-lebih lagi zaman sekarang yang begitu mencabar.

Tiada masa untuk anak-anak, kerana kerja, hendak mencari rezeki. Namuni ini bukan masalah orang miskin macam kita sahaja. Anak orang kaya pun terjerumus juga, ada kalanya lebih dahsyat. Jadi di mana hendak kita letakkan duduk perkara keibubapaan?

Apa pun, kita tidak harus menyalahkan itu dan ini. Sampai akhir zaman pun dunia ini tetap akan mencabar. Kita tidak boleh membiarkan peranan kita dalam keibubapaan sambil lewa. Kita tidak boleh ikut-ikut dan mengharapkan keadaan membaikinya. Kita tidak boleh ikut cara dulu, ikut sahaja apa orang buat. Kita harus berdepan dengannya; mempelajari dan mengkajinya.

Timbulkan prinsip-prinsip sendiri dengan ikhtiar apa pun.

Kalau ´sayang anak tangan-tangankan´ - bagaimana caranya?

Kalau kita hendak anak kita jadi ´anak soleh´ - bagaimana caranya?

Kita tidak boleh serahkan segala-galanya kepada orang lain.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Kikis Sikap Fanatik Pemikiran


Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Antara kelemahan yang paling mengkhuatirkan sedang melanda umat Islam ketika ini ialah perpecahan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran. Walaupun Islam tidak pernah menolak hakikat kerencaman pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Para imam mazhab umpamanya turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan semasa namun mereka tidak pernah mendabik dada sebagai pemonopoli kebenaran. Sebaliknya berpendirian: “Pendapatku betul tetapi masih berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah tetapi mungkin juga betul”.
Ungkapan seperti ini adalah manifestasi adab dan etika dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat lagi. Sebab itulah jika disingkap tabir sejarah, kita akan dapati bagaimana para sahabat turut berselisih dalam banyak perkara cabang namun tidak pernah melunturkan iman apa lagi melemahkan mereka walau sedikitpun.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz juga tidak pernah mengimpikan supaya para sahabat tidak berselisih faham sama sekali. Ini kerana baginya, perselisihan faham akan membuka pintu keluasan, keanjalan dan kemudahan kepada umat yang mempunyai tabiat dan keperluan yang berbeza (Al-Qaradawi, Fatawa Mu’asarah).

Pelbagai bukti sejarah mengenai perselisihan di kalangan sahabat dapat disaksikan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi seperti perselisihan mereka mengenai arahan Nabi berkenaan sembahyang Asar sewaktu pergi ke Bani Quraizah. Ini adalah peristiwa terkenal yang mengungkapkan hakikat perselisihan tetapi Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak mencela kedua-dua kumpulan yang berselisih faham itu.

Perselisihan tidak hanya berlaku di zaman Rasulullah sahaja, namun seawal kewafatan baginda, para sahabat sekali lagi berselisih mengenai tempat sewajarnya di mana Rasulullah s.a.w. patut dimakamkan. Ada yang berpendapat baginda wajar dikebumikan bersama sahabat-sahabatnya, manakala sebahagian yang lain berpendapat agar dipusarakan jasad Nabi s.a.w. di dalam masjid. Namun setelah dirujuk kepada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Bakar: “Tidaklah diwafatkan seorang Nabi melainkan ia dikebumikan di tempat ia diwafatkan itu”, para sahabat terus mengangkat tikar tempat Rasulullah diwafatkan dan digalikan pusara untuknya.

Banyak lagi contoh-contoh lain perbezaan dan perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan sahabat seperti persoalan politik, pemilihan Khalifah, isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan pelbagai perselisihan dalam masalah fekah yang kesemuanya ditangani tanpa mengikut hawa nafsu dan emosi melulu.
Begitulah tingginya adab dan etika perbezaan pendapat yang didokongi para sahabat Nabi s.a.w. yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepasnya, sehinggalah umat dihinggapi penyakit baru yang cepat membarah, sekaligus meranapkan akal budi dan peribadi umat.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, “politiking”, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Tekanan Untuk Pelajar Berjaya

Oleh MD. ZAN SAARI

KEPUTUSAN peperiksaan utama dalam negara seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kini sudah diketahui, justeru pelajar serta ibu bapa kini mula mencongak apakah tindakan seterusnya dalam menentukan masa depan mereka.

Kepada mereka yang berjaya, sudah tentu akan merasakan hasil usaha dan penat lelah selama ini kini berbaloi. Lebih penting lagi, mereka telah menjadi contoh terbaik bukan sahaja kepada rakan-rakan tetapi adik beradik di bawah mereka, terutamanya di sekolah rendah.

Bagi mereka yang sudah berjaya dalam peperiksaan masing-masing dan mempunyai adik yang bakal menduduki peperiksaan mereka pula, anda secara tidak langsung telah menetapkan tanda aras (bench mark) kepada adik-adik anda.

Di sini secara tidak langsung, ia memberikan tekanan kepada adik-adik dan pelajar yang belum menduduki peperiksaan, untuk berjaya seperti abang-abang dan kakak mereka.

Ia ditambah lagi apabila kedengaran ayat-ayat seperti “Abang/kakaknya sudah berjaya, jadi sekarang saya mahu lihat adiknya pula bagaimana” daripada ibubapa masing-masing.

Akan tetapi benarkah kejayaan dalam peperiksaan seperti SPM dan STPM begitu penting sekali hingga jika ´kurang berjaya´ atau tidak seperti diharapkan, ia bermakna anda akan gagal dalam hidup atau habis begitu sahaja ? Tentu tidak.

Suasana pembelajaran sekarang sudah jauh berubah berbanding satu ketika dahulu, lantas memberikan cabaran yang cukup berbeza bukan sahaja kepada para pelajar, malah ibu bapa dan keluarga terdekat para pelajar sendiri.

Dengan tekanan dan harapan yang cukup tinggi daripada ibu bapa dan persekitaran, para pelajar dari satu segi sebenarnya agak ditekan untuk berjaya di sekolah berbanding waktu dahulu.

Sekadar berjaya memperolehi A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil kini tidak cukup untuk menjamin tempat mereka di sekolah yang lebih baik atau menara gading sekalipun, justeru para pelajar disogokkan pula dengan pelbagai aktiviti kokurikulum selepas sekolah bagi memastikan mereka dapat bersaing.

Jika itu tidak cukup, ibu bapa pula menghantar anak-anak ke kelas-kelas “tambahan bukan akademik” seperti pembelajaran piano dan alat muzik lain, kelas renang, seni mempertahankan diri dan sebagainya. Fenomena ini kini bukan sahaja melanda pelajar sekolah menengah tetapi juga mereka di sekolah rendah.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar-pelajar sekolah rendah ditekan dengan lebih kuat, dengan alasan untuk memberikan mereka asas terbaik bagi memastikan mereka berjaya.

Memang terdapat kewajaran berbuat denikian kerana tuntutan alam pendidikan dan kerjaya ketika ini yang begitu mencabar, hanya yang mempunyai kelebihan sahaja akan berjaya menempatkan diri mereka di kedudukan yang lebih baik. Pun begitu haruslah terdapat batasan yang perlu dipatuhi bagi memastikan anak-anak tidak akan tertekan dengan keadaan tersebut.

Sememangnya seseorang pelajar itu akan dihormati, malah menjadi terkenal sekiranya memperolehi berbelas-belas A dalam peperiksaannya, namun bukan bermakna dia yang paling hebat. Mungkin pelajar berkenaan memang pintar dalam pelajarannya namun tidak semestinya dia juga cemerlang dalam kokurikulumnya.

REAKSI IBU BAPA

Ia merupakan sesuatu yang normal jika ibu bapa merasa khuatir sekiranya anak-anak tidak menunjukkan keputusan seperti diharapkan mereka. Ia juga normal jika anak-anak tersebut dimarahi akibat kegagalan mereka itu.

Namun harus dingat, perbuatan memarahi anak-anak tersebut (dalam kes ini pelajar sekolah rendah) perlu dilakukan secara membina bagi meningkatkan prestasi mereka, jika tidak ia akan hanya menambahkan kepada masalah sedia ada pada pelajar berkenaan.

Justeru sebenarnya apa yang terbaik dapat dilakukan sekiranya anak-anak pulang ke rumah dan menunjukkan kad laporan kemajuan yang kebanyakan markahnya cantik berwarna merah ?

LAIN DAHULU LAIN SEKARANG

Pakar-pakar motivasi menyarankan agar ibu bapa supaya bertenang terlebih dahulu dan memotivasi anak-anak berbanding terus menyalah dan memarahi mereka. Kita tidak mahu mereka mendengar ayat-ayat seperti “ Buat habis duit aku hantar pergi sekolah” atau “ Aku hantar pergi sekolah suruh belajar, bukan bercinta” kepada anak-anak.

Anak-anak sekarang lebih terbuka mindanya serta bijak dan memerlukan pendekatan berbeza bagi membuka pintu hatinya menerima nasihat ibu bapa.

Berbeza dengan pelajar sekolah menengah, mereka yang berada di sekolah rendah kadangkala mempunyai masalah kecil yang pada anda remeh, namun mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang cukup membebankan. Antara yang sering berlaku dan menimbulkan masalah kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak:

* Mengadu tentang rakan sekelas/guru
* Pulang dari sekolah dan kelihatan kecewa/marah
* Cemerlang dalam sesetengah matapelajaran, namun lemah matapelajaran lain
* Membuat kerja sekolahnya di saat akhir
* Sukar berinteraksi dengan rakan di sekolah
* Dibuli atau membuli
* Sukar memahami matapelajaran di sekolah
* Tidak suka kepada guru
* Cemburu melihat rakan mempunyai pakaian atau alatan sekolah yang lebih baik

Selepas masalah yang menimpa anak-anak anda dikenalpasti, adalah lebih mudah untuk menyelesaikannya.

TINGKATKAN KEYAKINANNYA

Ia merupakan salah satu cara terbaik bagi memperbaiki prestasinya. Selidik kemahiran yang dipunyai oleh anak-anak anda dan aplikasikannya kepada kaedah pembelajaran mereka. Jika adik beradik mereka yang lain mempunyai kemahiran berbeza, aturkan supaya mereka saling mengajar antara satu sama lain. Jangan segan atau lokek untuk memuji anak-anak anda sekiranya mereka beroleh kejayaan.

TEMUI ATAU HUBUNGI GURU

Jumpa dan berbincang dengan guru-guru anak-anak anda berhubung prestasi mereka. Tanyakan apa yang tidak kena dengan anak-anak anda, dan apa yang anda boleh lakukan untuk memperbaikinya.

TETAPKAN SASARAN

Sekiranya anak-anak berjaya dimotivasi bagi menetapkan sasaran untuk dicapai, mereka akan berusaha untuk mencapainya. Sebagai permulaan, tetapkan sasaran mudah untuk dicapai sebelum menyasarkan untuk sesuatu yang lebih besar. Pastikan juga sasaran yang mudah itu berjaya dicapai oleh mereka terlebih dahulu.

PASTIKAN ANAK ANDA CERGAS

Anak-anak zaman ini, terutamanya pelajar sekolah rendah lebih cenderung kepada permainan seperti Play Station, X Box serta peraminan di komputer peribadi dan sebagainya berbanding aktiviti fizikal.

Ini menyebabkan mereka kurang mengeluarkan peluh. Sesekali, ajak dan sertai mereka dalam kegiatan permaian seperti bola sepak, badminton dan sebagainya.

Tidak peru pergi jauh untuk menjalankan aktiviti kelurga yang mengeluarkan peluh. Sekiranya anda tinggal di rumah teres, ajak anak-anak anda untuk membersihkan halaman atau menanam sayuran.

Senaman memperbaiki edaran darah anak-anak, sistem penghadaman serta menggalakkan aliran oksigen. Ingatkan juga mereka untuk sentiasa bersenam, walau tanpa kehadiran anda.

BERSABAR

Akan ada seribu satu masalah dalam memastikan anak-anak anda berjaya di sekolah rendahnya, namun perkara yang paling penting ialah untuk ibu bapa bersabar dalam menghadapinya. Seribu satu alasan akan diberikan oleh anak-anak dalam seribu satu keadaan, namun kuncinya adalah kesabaran.

Tokoh Ibu Mithali 2007, Hajah Eshah Din membesarkan 17 orang anaknya hingga masing-masing berjaya. Lebih membanggakan ia dilakukan dalam keadaan di mana dirinya dan suaminya hidup dalam kedaifan hingga dia terpaksa menoreh getah bagi mencari pendapatan walaupun ketika dia sarat mengandung.

Jika warga emas ini berjaya melakukannya, mengapa tidak kita. Gagal di sekolah atau tidak menonjol di sekolah bukan bermakna anak ada akan gagal selamanya. Kadangkala dia akan berjaya di kemudian hari dalam hidupnya (late bloomer).

Dalam riwayat Ibu Najar, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.”

Jelas kini bahawa Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya berputus asa, sebaliknya melipat gandakan usaha sekiranya ditimpa sebarang kesukaran.

Kejayaan mencapai begitu banyak A dalam peperiksaan bukan jaminan untuk pelajar melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih baik, sebaliknya memerlukan kombinasi pelajaran dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.

Sekiranya anak anda gagal untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajarannya di sekolah , dengan sekadar kelulusan yang sederhana sahaja, ia bukan bermakan dia akan gagal dalam kehidupannya. Terdapat begitu banyak contoh tokoh-tokoh berjaya ketika ini merupakan pelajar yang sederehana atau mereka yang tidak belajar hingga ke peringkat tertinggi.

Di negara ini, antara yang boleh dijadikan contoh ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari (Malakof Holding, Crocodile, MPH Bookstores) dan Tan Sri Lim Goh Tong (Kumpulan Genting). Melihat ke peringkat antarabangsa pula, kita dapat ambil contoh daripada Thomas Alva Edison (saintis) dan J.K. Rowling (penulis novel Harry Potter).

Kesemua mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, namun mempunyai semangat untuk berjaya yang tinggi, lantas membolehkan individu-individu ini begitu berjaya kemudiannya.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Syurga Buku

Alhamdulillah, hari ni berkesempatan mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Terlalu banyak buku sehingga tak tahu nak beli yang mana satu. Niat dihati pada mulanya hanya nak pegi tengok-tengok ja dulu. Duit pun tak bawak banyak pun. Tapi bila masuk je kat tempat pesta buku, macam nak beli je semua buku kat situ. Alhamdulillah seronok sangat tengok banyak buku. Sebab hobi saya suka beli buku walaupun kadang-kadang tak terhabis baca. Pusing pusing, jalan jalan, akhirnya saya beli kitab Sohih Bukhari lima jilid dan satu buku yang berjudul "Politik dan Pentadbiran Dalam Islam".
Baca selanjutnya...

Model Kepimpinan Rabbani: Menyorot Pemerintahan Berhikmah Gaya Sulayman Al-Hakim

Oleh : Prof. Dato' Dr. Siddiq Fadzil (Siri Kuliah Tafsir Maudhui' Siri ke - 56)

''Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence.'' Surah al-Naml: 15 – 19.

Pemimpin, pemerintah dan pentadbir terbaik tidak lain adalah Allah s.w.t. sendiri. Dialah Tuhan yang bernama al-Hakim, al-Wali dan al-Mudabbir yang Maha Sempurna. Manusia adalah makhluk pengembang amanat al-istikhlaf, yang mewakili Allah melaksanakan misi `imarat al-ard (membangun bumi dengan ilmu, sains dan teknologi) dan islah al-ard (mengislahkan bumi dengan pendaulatan nilai-nilai murni: kebenaran, keadilan, kejujuran, kasih-sayang, dan lain-lainnya). Sebagai wakil Tuhan dalam menjayakan misi tersebut manusia dituntut memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat unggul al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlak dengan akhlak Allah). Manusia yang berjaya menghayati sifat-sifat dan nama-nama Tuhan (al-Asma’al-Husna) dalam batas-batas kemanusiaannya itulah yang disebut manusia rabbani, manusia yang dekat dengan Tuhan dari segi sifat-sifatnya.
Dalam kaitan inilah relevannya tema al-qiyadah al-rabbaniyyah atau kepimpinan rabbani. Jelmaan paling ideal manusia rabbani adalah para anbiya’ dan mursalin. Dalam konteks al-qiyadah al-rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) mungkin kepimpinan Nabi Sulaiman `a.s. dapat diangkat sebagai salah satu model yang cukup mengesankan. Pengkisahan tentang nabi-pemerintah (raja) tersebut banyak termuat dalam surah al-Naml, Saba’ dan Sad. Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence.

Kata ilmu dalam ayat 15 surah tersebut tidak secara khusus merujuk jenis ilmu tertentu. Dengan demikian ia dapat diertikan secara inklusif meliputi segala cabang ilmu yang relevan dengan kenabian dan kenegaraan, ilmu yang dapat meningkatkan kualiti dan mengangkat martabat. Selain itu ia juga meliputi makna hikmah yang dapat diertikan sebagai kurnia kefahaman yang mendalam tentang sesuatu. Para ilmuwan yang memiliki hikmah disebut juga dengan kata al-rasikhuna fi ‘l-`ilm dan ulu ‘l-albab. Kata albab adalah bentuk jamak dari kata lubb yang bererti inti terdalam atau the core of things, termasuk makna tersirat di balik yang tersurat.

Hakikat pengurniaan ilmu dan hikmah kepada Sulayman dan ayahandanya Dawud `a.s. dipertegaskan dalam surah al-Anbiya’:79 “…dan kepada kedua-duanya Kami kurniakan hikmah dan ilmu…” (…wa kullan atayna hukman wa `ilma…). Dengan kurnia ilmu dan hikmah (wisdom) itulah Sulayman `a,s. dapat membaca dan menganalisis sesuatu fenomena dengan tepat, menyikapinya dengan tepat dan memilih tindakan yang tepat. Memang kata hikmah mengandungi makna kebenaran dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Surah al-Naml menyebut bahawa mereka (Dawud dan Sulayman `a.s.) menyatakan tahmid kesyukuran atas segala kurnia, terutama kurnia ilmu. Mereka amat menginsafi bahawa sumber hakiki ilmu, kebenaran dan segala kebaikan adalah Allah s.w.t., dan kerananya hanya Dia yang layak dan berhak menjadi tumpuan syukur.

Ungkapan al-hamdu li ‘Llah adalah ekspresi terbaik untuk menghargai sesuatu yang bernilai. Dengan menyebut kata-kata tersebut bererti mereka adalah pemimpin-pemerintah yang cukup menyedari tentang ilmu sebagai nilai hidup yang utama, dan kerananya cukup komited dengan budaya ilmu.
Memang demikianlah hakikat nilai ilmu menurut perspektif profetis sebagaimana yang diperlihatkan oleh Nabi Musa ‘a.s. yang sanggup meredah daratan dan mengharung lautan walau sampai ke titik temu dua lautan (majma` al-bahrayn) semata-mata demi ilmu. Malah lebih daripada itu sanggup berjalan bertahun-tahun mencari Khidr `a.s. untuk berguru kepadanya (surah al-Kahf).

Mungkin hakikat inilah juga yang mengilhami al-Farabi, failasuf ulung penyandang gelar al-Mu`allim al-Thaniy menegaskan dalam karya agungnya al-Madinat al-Fadilah bahawa antara kriteria utama pemimpin negara termasuk kecintaan terhadap ilmu (muhibban li ‘l-`ilm). Yang disebut secara eksplisit dalam surah al-Naml adalah ilmu kebahasaan, khususnya mantiq al-tayr (bahasa burung). Mesej tersirat di sebaliknya adalah pemerintahan prihatin dan pentadbiran yang komunikatif. Bahasa sebagai alat komunikasi dimanfaatkan dengan berkesan untuk memahami masalah dan aspirasi rakyat. Demikianlah sebuah model pemerintahan berjiwa rakyat, kepimpinan yang dapat merasakan denyut nadi dan degup jantung rakyat.

Bahasa dan alat-alat komunikasi lainnya digunakan untuk berdialog dengan rakyat dari pelbagai sektor dan golongan, bukan untuk menyumbat bahan-bahan propaganda dan indoktrinasi kepartian. Dukungan rakyat diraih menerusi sikap prihatin dan komunikatif, bukan diperoleh secara licik dengan tipu daya memperbodoh dan mengabui mata. Peristiwa di lembah semut (wadi al-naml) mengangkat satu lagi contoh pemerintahan prihatin dan komunikatif, wujudnya interaksi antara raja besar (Nabi Sulayman `a.s.) dengan makhluk kecil (semut). Demikianlah, lewat kisah yang cukup sederhana dan mudah, al-Qur’an mengungkapkan sebuah konsep penting: a listening government, pemerintahan yang mengamalkan keterbukaan dan memiliki tahap kepedulian yang cukup tinggi. Rakyat kecil mempunyai hak untuk didengar. Pesan dari lembah semut ini mempunyai erti yang sangat penting terutama dalam konteks zaman leluasanya pengaruh kelompok-kelompok pelobi bayaran dan nyaringnya suara ringgit sehingga lahir ungkapan sinis when the money speaks, the rest will be silent.

Disebut juga tentang angkatan tentera kerajaan Nabi Sulayman `a.s. yang terbentuk dari gemblengan pelbagai unsur kekuatan rakyat: jin, manusia dan burung. Kisah ini menyerlahkan kualiti kepimpinan yang mampu memadu dan menggembleng potensi yang pelbagai untuk mencipta kekuatan raksaksa yang tak terkalahkan. Mungkin ini adalah jelmaan wisdom kepimpinan dan kepengurusan Nabi Sulayman `a.s. yang melihat kepelbagaian sebagai kekuatan. Memang pasukan yang baik tidak terbentuk dari unsur-unsur yang sejenis (keahlian dan kemahirannya), tetapi yang pelbagai. Kepelbagaian dapat membentuk pasukan yang saling melengkapi, di samping dapat pula menciptakan dialog yang kreatif.

Ternyata Nabi Sulayman `a.s. ditampilkan untuk membawa model qiyadah rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) dan dawlah imaniyyah (pemerintahan berasaskan iman). Pelbagai kurnia yang melengkapinya dengan segala ingredients pemimpin-pemerintah unggul tidak pernah menjadikan Sulayman `a.s. lupa daratan - mabuk kuasa dan mengagumi kehebatan diri. Sulayman al-Hakim `a.s. tetap memohon petunjuk dan pertolongan Tuhan bagaimana ia seharusnya menggunakan segala kurnia itu demi kebaikan dan kesejahteraan makhluk yang menjadi rakyatnya. Suara semut menyedarkannya agar kesibukan mengurus persoalan-persoalan besar kenegaraan tidak melalaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat kecil yang terpencil. Melihat makhluk kecil dan lemah yang memerlukan belas kasihan menginsafkan dirinya betapa kerdilnya ia di hadapan Allah, dan betapa perlunya ia kepada rahmat-Nya.

Timbunan kurnia yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa selainnya, tidak menenggelamkannya dalam kemabukan glamour. Yang diinginkan adalah pengabdian yang mendapat keredhaan Ilahi dan khidmat kenegaraan yang bernilai amal salih. Pemerintahannya tidak hanya rancak dengan projek pembangunan fizikal-material, tetapi juga bersemarak dengan syi`ar dan amal pengabdian kepada Tuhan. Demikianlah pengabadian sebuah keunikan pada kepimpinan rabbani, bahawa kuasa dan harta tidak memadam nyala sebuah idealime imani - menjadi hamba Allah yang salih.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Herba: Khazanah Bernilai

Oleh: ZALILA ISA

MASYARAKAt di negara China terkenal dengan amalan pemakanan dan kesihatan berasaskan ginseng. Masyarakat India, Nepal dan Sri Lanka pula boleh berbangga dengan amalan ‘ayurveda’ dan yoga, yang dikatakan boleh mempengaruhi kehidupan yang baik dan sihat. Indonesia pula terkenal dengan jamu-jamunya yang menjadi makanan atau minuman wajib sejak mereka kecil.

Malaysia boleh berbangga dengan kekayaan sumber semulajadi yang menghuni hutan hujan tropikanya. Di situ terkumpulnya segala khazanah bumi yang boleh dimanfaatkan. Salah satu daripadanya ialah tumbuhan herba yang dikatakan menjadi bahan asas bagi segala ubat-ubatan dan makanan untuk kesihatan.

Secara umumnya, hutan amat penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.

Hutan hujan tropika menjadi habitat semula jadi kepada hampir 50 peratus hingga 90 peratus spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia walaupun ia hanya meliputi 12 peratus kawasan dunia. Hutan menempatkan 8000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga.
Di Sarawak pula, 70 peratus daripada kawasannya adalah diliputi oleh hutan hujan tropika. Ia menempatkan lebih daripada 8000 spesies flora dan 20,000 spesies fauna.

Selain bertindak sebagai tempat perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli, hutan juga menjadi kawasan tadahan air, penutup bumi semulajadi dan berfungsi sebagai bunga karang (sponge) yang berongga dalam memelihara kualiti alam sekitar dengan menyerap dan menapis air hujan sebelum menyalurkannya ke sungai-sungai.

Hutan juga berfungsi sebagai penstabil cuaca bumi dan hampir 70 peratus daripada penawaran oksigen dunia adalah datangnya dari hutan hujan tropika, agen pembersih udara melalui proses fotosintesis dan membekalkan sumber bahan mentah untuk makanan manusia dan haiwan. Sumber bahan getah, damar, resin, pencelup dan bahan-bahan dasar pengeluaran minyak yang mempunyai nilai dagangan yang tinggi juga diperolehi dari hutan yang mengandungi khazanah yang tidak ternilai harganya seperti pokok-pokok balak iaitu balau, cengal, kapur, keruing, meranti, merawan, mersawa dan seraya.

Paling penting, hutan menjadi gedung kesihatan kerana dipenuhi dengan pokok-pokok yang mempunyai nilai-nilai perubatan. Tumbuhan herba merupakan tumbuhan yang mendiami hutan hujan tropika yang mempunyai khasiat tersendiri.
Sebenarnya, semenjak dahulu lagi tumbuhan herba telah digunakan sebagai asas perubatan. Bapa perubatan iaitu, hippocrates juga telah mempelajari ilmu perubatan dengan menggunakan herba daripada orang-orang Mesir.

Dalam aspek pengubatan, tumbuhan herba digunapakai untuk memulihkan sesuatu penyakit sejak zaman berzaman. Pemerhatian dan kajian yang dibuat terhadap alam sekitar membuahkan hasil yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk dunia.

Antara pokok herba yang sehingga kini memberi sumbangan kepada dunia perubatan ialah pokok Chichona yang berasal dari Peru, menghasilkan ‘quinine’ yang boleh menyembuhkan penyakit malaria. Daun-daun pokok koka pula menghasilkan kokain yang digunakan sebagai pelali atau ubat bius.

Kebiasaannya, pokok herba merujuk kepada tumbuhan renek berbatang yang lembut dan mengandungi banyak air. Selain sebagai ubat, masyarakat Melayu juga mengamalkan beberapa jenis tumbuhan herba sebagai ulam-ulaman dalam makanan seharian mereka. Selain itu, tumbuhan herba juga digunakan sebagai minyak atau puput (hancurkan dengan lumat seperti krim) sebelum diletakkan di bahagian yang sakit.

Penawar alami yang kedapatan di hutan belukar, bukit bukau, paya, sawah, padang, kampung dan dusun ini digunakan oleh masyarakat Melayu zaman berzaman. Potensi tumbuhan herba berkembang dengan pesat di Malaysia terutama selepas Tongkat Ali dan Kacip Fatimah dikomersialkan sebagai herba yang mengandungi bahan yang boleh memulihkan tenaga dalaman.

Selepas itu, tanaman herba mula mendapat tempat di dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. Tumbuhan herba ini mula dicari, dikaji dan dikomersilkan sebaiknya sehingga herba yang dahulunya hanya boleh di dapati dari hutan belukar, sudah boleh ditanam sendiri di halaman rumah. Malahan juga sudah punya ladang yang luas yang hanya ditanam dengan tumbuhan herba.

Antara tumbuhan herba yang mula mendapat tempat dan perhatian pakar perubatan di seluruh dunia ialah mas cotek, misai kucing, hempedu bumi, serai wangi, dukung anak, lempoyang gajah, kemunting cina, vanilla, pokok gaharu, derhaka mertua, gandarusa, ubi jaga, tenggek burung, manjakani, paku tunjuk langit, jarum tujuh bilah dan ratusan yang lain lagi.

Budaya lisan yang mendominasi komunikasi masayarakat zaman dahulu menjadikan khasiat dan kegunaan herba-herba sebegini tidak didokumentasikan dengan baik. Kepandaian atau kemahiran mengenalpasti khasiat herba juga hanya ada pada orang-orang tertentu seperti bomoh, dukun dan bidan.

Kini, dengan teknologi yang baik dan moden, tumbuhan herba bukan sahaja boleh didokumentasikan dengan baik melalui badan-badan tertentu seperti Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Malahan banyak pihak telah mula mendokumentasikan serta membuat kajian lebih lanjut tentang khasiat herba. Mereka terdiri daripada pakar penyelidik di universiti-universiti, pakar perubatan persendirian dan pengamal perubatan berasaskan herba itu sendiri.

Perkembangan tumbuhan herba juga dibantu dengan medium seperti laman-laman sesawang yang memaparkan atau mengumpulkan maklumat terkini tumbuhan herba di Malaysia dan seluruh dunia. Laman sesawang yang dibangunkan oleh pengusaha, pengeluar, dan individu-individu tertentu yang terlibat dalam dunia herba banyak membantu dalam mengembangkan pemasaran dan penyelidikan tumbuhan herba. Dengan menggunakan nama laman botani, myherba, penawar alami dan sebagainya, masyarakat mula membuka mata dan tidak ketinggalan dalam usaha menyelongkar khazanah alam yang berharga yang terdapat di sekeliling mereka.

Selain itu, buku-buku mengenai herba juga banyak dihasilkan bermula dari hanya pemaparan gambar-gambar dan sedikit penerangan tentang herba sehinggalah kepada kegunaannya yang pelbagai.
Antaranya buku “Dunia Perbidanan Melayu” yang ditulis oleh Datin Syarifah Anisah Barakbah. Buku ini memancarkan kegemilangan tamadun Melayu dan bangsa yang begitu prihatin akan penjagaan diri dan keturunannya.

Penerbitan semula “Kitan Tib Melayu” yang dikarang oleh bapa perubatan Islam, Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau lebih dikenali dengan Ibnu Sina di kalangan masyarakat Islam dan Aviceanna di kalangan masyarakat Barat. Tindakan Yayasan Karyawan menerbitkan semula kitab ini harus dipuji kerana berusaha memelihara manuskrip perubatan tulisan tangan Melayu silam. Ia merujuk kepada kesemua manuskrip perubatan dan kebiasaannya membicarakan cara mengubati berbagai jenis penyakit yang menggunakan bahan dari pokok dan tanaman yang dicampur dengan ramuan rempah, di antaranya ubat sembelit, senggugut dan meroyan, selain disertakan dengan doa-doa.

Usaha kerajaan dan pihak swasta juga amat besar dalam mengembangkan pemasaran dan pengkomersialan tanaman herba. Pameran NATPRO 2008 (5th Asia Pacific Natural Products Expo 2008) yang akan diadakan pada 27-29 Mac ini di PWTC, Kuala Lumpur yang memungkinkan tanaman herba semakin teguh berada di pasaran antarabangsa di samping memperkenalkan penemuan herba-herba baru kepada masyarakat.

Begitu juga dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan diadakan pada 11-23 Ogos 2008 bertempat di serdang yang sebelum ini pernah melakar sejarah menjadi ekspo terbesar di Malaysia berasaskan Industri Pertanian.

Selain itu, Malaysian Herbal Corporation (MHC), anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia juga akan menganjurkan temasya herba pertama di Menara Kuala Lumpur pada 20 April ini. Temasya ini mempamerkan dan menjual produk berasaskan herba merangkumi produk makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Untuk tujuan pengkomersialan pula, kerajaan telah mengambil inisiatif memperuntukkan sejumlah dana untuk membina beberapa buah kilang dan memperuntukkan tanah-tanah terbiar untuk diusahakan dengan tanaman herba di samping merealisasikan hasrat negara menjadi pengeluar produk herba bertaraf dunia melalui bioteknologi dan penghasilan kaedah baru daripada kepelbagaian ramuan herba yang dimiliki kini.

Sebagai contoh pembinaan kilang TPM Biotech Sdn Bhd di Raub, Pahang yang bernilai hampir RM35 juta sebagai prasarana pemprosesan tumbuhan herba yang boleh digunakan oleh 150 syarikat untuk memproses produk mereka. Kilang-kilang yang lain juga bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemprosesan, malah menjadi lokasi penyelidikan bagi tumbuhan herba untuk di komersialkan melalui penyelidikan dan pembangunan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Pasaran dunia herba memperlihatkan sambutan yang begitu menggalakkan. Menurut MHC, nilai keluaran industri herba tempatan akan meningkat kepada RM8 billion tahun ini daripada 7.5 bilion tahun lepas. Pasaran industri yang semakin berkembang ini memberi banyak faedah terutama kepada petani dan juga generasi muda yang mula memandang pertanian amnya dan industri herba khasnya, sebagai suatu peluang yang baik dari aspek penjanaan ekonomi diri dan negara. Bidang pertanian yang dahulunya dipandang sepi semakin popular. Malahan, ada yang sanggup meninggalkan jawatan bergaji besar dan mula mengerjakan tanah-tanah terbiar di kampung dan pinggir bandar untuk mengambil peluang keemasan ini.

Selain itu, industri herba yang mempunyai pulangan yang besar untuk bersaing di dalam pasaran global mempunyai nilai yang tinggi dalam jangkamasa yang panjang. Individu yang terlibat bukan sahaja bertindak sebagai pengeluar bahan mentah, malah penanaman, pemprosesan dan pemasaran herba juga boleh dilakukan sendiri dengan bantuan pihak yang berkenaan.

Kesan daripada ledakan maklumat dan sokongan dari pelbagai pihak juga, tumbuhan herba atau amalan pemakanan dan kesihatan berasaskan tumbuhan herba tidak lagi dianggap sebagai cara yang kolot, tahyul, kotor atau memudaratkan sepertimana yang digembar gemburkan oleh barat yang kononnya mereka adalah pelopor teknologi perubatan yang terbilang. Stigma tentang perubatan tradisional mula berubah.

Perkembangan dunia herba juga memperkaya sumber makanan bagi orang Melayu dan masyarakat Islam yang sering tertindas dengan makanan yang disediakan oleh pengeluar bukan Islam. Persoalan halal dan haram dapat diatasi dengan kekayaan sumber asli ini yang boleh di tanam sendiri, dimakan begitu sahaja atau penggunaan herba yang telah mengalami tranformasi dari pelbagai aspek.


Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Yusuf al-Qaradawi dan pandangannya Tentang Fiqh Minoriti dan Maslahah

Oleh Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali

Menurut al-Qaradawi, antara ciri istimewa syariat ini tidak diciptakan di dalam khayalan dan di dunia idea sehingga melalaikan realiti manusia dan persoalan-persoalan mereka di muka bumi ini. Akan tetapi, syariah Islam ini merupakan syariat realiti yang menyingkap realiti manusia dan kelemahannya dari desakan pelbagai kepentingan dan keperluan.Oleh itu, perubahan hukum dapat berubah dengan perubahan unsur-unsur zaman, tempat, keadaan dan tradisi. Hukum-hukum syariah adalah mulia, mudah, toleran dan sederhana. Ia bukanlah hukum-hukum yang keras atau yang tidak dapat berubah, yang mengharuskan semua golongan untuk mengamalkannya tanpa memperhatikan keadaan dan kemampuan mereka. Akan tetapi, syariat diterapkan sesuai dengan keadaan yang sedang mereka hadapi. Dalam setiap persoalan yang sedang terjadi, syariah mampu memberikan penyelesaian alternatif yang terbaik dari nilai-nilai yang terkandung di dalamnya sendiri. Al-Qaradawi menjelaskan tujuan beliau menulis buku ini adalah permintaan dari Rabitah Alam al-Islami 9 Liga dunia Islam) yang meminta beliau menulis mengenai fiqh minoriti dengan meletakkan kaedah asas dalam berinteraksi dengan golongan minoriti umat Islam yang berada dalam kelompok besar orang-orang bukan Islam di Eropah, China , India dan Amerika Syarikat.

Al-Qaradawi membahagikan kaum muslimin dari segi negara-negara yang mereka tinggal kepada dua iaitu :
1. Mereka yang tinggal dalam negara yang majoritinya umat Islam atau dikenali oleh ulama klasik sebagai Darul Islam. Mereka dapat melaksanakan perintah ajaran dengan bebas.

2. Mereka yang hidup di luar negara Islam , jauh dari majoriti masyarakat umat Islam. Bahagian kedua ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu :pertama; penduduk negara asli yang memeluk agama Islam sejak dahulu, namun mereka dianggap sebagai golongan minoriti oleh penduduk lain yang tidak memeluk agama Islam seperti di India yang jumlah orang Islam lebih 150 juta tapi dianggap masih lagi majoriti, di China dan Amerika Utara. Kedua mereka yang behijrah yang datang dari negara –negara Islam menuju negara-negara bukan Islam dengan tujuan bekerja, berhijrah, belajar atau sebab-sebab yang lain. Ada di kalangan mereka yang telah mendapatkan kerakyatan yang membolehkan mereka mengundi dan berpolitik.

Keadaan hubungan minoriti muslim dengan Islam terutama di Eropah seperti di Bosnia, Albania,Kosovo hanya tinggal pada kalimah syahadah sahaja. Mereka tidak mengenal Islam secara mendalam akibat tekanan daripada pihak pemerintah yang menyingkirkan ajaran agama Islam dalam kehidupan mereka. Mereka tidak memahami Islam dari segi akidah dan pemikiran. Mereka benar-benar buta tentang nilai-nilai moral dalam agama Islam. Banyak persoalan yang timbul sama ada dari segi ibadat, sosial, kebudayaan dan ekonomi yang timbul yang tidak pernah dinyatakan oleh ulama terdahulu yang memerlukan ijtihad semasa dalam konteks kehidupan mereka pada hari ini. Namun, bagi kita di Malaysia keadaan fiqh ini juga amat penting kerana penduduk bukan Islam hampir sama dengan Islam dan persoalan-persoalan yang hampir sama juga berlaku terutama persoalan perkahwinan dan kemasyarakatan.

Al-Qaradawi menyebutkan tujuan penulisan fiqh minoriti iaitu :

1. Fiqh ini diharapkan dapat membantu kaum minoriti Islam untuk menghidupkan agama mereka dengan kehidupan yang mudah tanpa menyulitkan dalam mengamalkan ajaran agama,

2. Fiqh ini diharapkan dapat membantu mereka dalam menjaga keperibadian Islam yang baik dalam semua bidang dan kemudiannya diikuti oleh keturunan mereka.

3. Fiqh ini diharapkan dapat membantu minoriti melaksanakan kewajipan dakwah kepada masyarakat bukan Islam yang hidup di sekitar mereka.

4. Fiqh ini dapat memberikan sumbangan pemikiran terhadap golongan minority dengan nilai-nilai toleran dan keterbukaan untuk berinteraksi dengan masyarakat lain.

5. Fiqh ini dapat menyedarkan dan memberi pendidikan, serta menjawab persoalan yang timbul. Di samping itu, ia memudahkan golongan minoriti untuk menjalankan kewajipan-kewajipan mereka dengan baik.

Ciri-ciri Fiqh Minoriti ini ialah :


1. Menggabungkan khazanah silam dengan keadaan –keadaan semasa dalam menetapkan sesuatu hukum.

2. Mengaitkan keuniversalan Islam dengan realiti masyarakat kini sehingga ia dapat menjawab persoalan masyarakat dengan baik.

3. Keseimbangan antara teks-teks syariat yang bersifat cabangan dengan tujuan-tujuan syariat. Ia menggabungkan antara kedua-duanya sekalibagi menggambarkan kesyumulan ajaran Islam.

4. Memperhatikan setiap perkara yang telah diputuskan oleh ulamak terdhulu bahawa fatwa akan berubah dengan perubahan zaman, masa dan tempat.

5. Menjaga keperibadian muslim bagi setiap individu untuk berinteraksi dengan masyarakat sekeliling sehingga mereka dapat mempengaruhi mereka.

Al-Qaradawi juga menyebutkan bahawa fiqh ini bersumberkan kepada sumber-sumber yang digunakan oleh para fuqaha secara umumnya iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qias. Di samping kaedah-kaedah lain seperti mengamalkan sesuatu hukum berdasarkan kepentingan umum (masalih al-Mursalah), kaedah mencegah kemudaratan, (sadd al-dhara'i) tradisi masyarakat setempat (al-uruf) dan perkataan sahabat. (qaul al-sahabat).

Al-Qaradawi menjelaskan teras kepada membangunkan fiqh minoriti ini ialah :

1. Membuka pintu ijtihad bagi orang yang layak berijtihad dalam isu-isu semasa.

2. Memperhatikan kaedah-kaedah fiqh yang telah ditetapkan oleh ulamak seperti segala perkara itu bergantung kepada tujuan-tujuannya (al-Umur bi maqasidiha), adat kebiasaan itu diakui sebagai dasar hukum (al-Adab muhakamat), hak-hak umat lebih didahulukan daripada hak-hak individu dan sebagainya.

3. Memperhatikan fiqh realiti yang sedang berlaku. Seorang ulamak yang berwibawa adalah seorang yang mampu memadukan hal yang wajib dengan realiti kerana ia tidak hidup dalam hal yang diwajibkan sahaja melainkan juga hidup dalam realiti yang dihadapinya. Inilah yang ditetapkan oleh ulamaka bahawa perubahan hukum dengan berubahnya zaman, tempat dan keadaan. Antara kewajipan fiqh realiti ini ialah ahli fiqh sentiasa mengetahui hakikat minoriti muslim sebelum memberi fatwa kepada mereka sebab keadaan minoriti dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain adalah berbeza.

4. Memperhatikan keperluan umat secara keseluruhannya dan bukan terbatas kepada individu dengan adil dan saksama.

5. Membangunkan ijtihad di atas dasar kemudahan yang dapat memberi jalan keluar bagi setiap persoalan. Para sahabat lebih mirip memilih manhaj mempermudah dan meringankan sesuatu.

6. Memperhatikan kaedah fatwa akan berubah dengan perubahan zaman, tempat , tradisi dan keadaan.

7. Menggunakan pendekatan secara bertahap dalam rangka memperbaiki berbagai keadaan dan jauhnya mereka dari masyarakat majoriti Islam. Metode bertahap ini merupakan hukum alam dan sunnatullah.

8. Mengenali keperluan dan kemudaratan masyarakat dengan melihat realiti yang berlaku bukan melihat persoalan-persoalan dengan pandangan idealistic yang hanya bergantung di dunia mimpi. Di antara ciri syariat yang realistik ialah mengakui terhadap kemudaratan yang menimpa kehidupan manusia baik individu datau masyarakat.

9. Membebaskan diri daripada keterikatan terhadap satu mazhab tertentu dan agar seorang mufti tidak memaksa masyarakat untuk berpegang teguh terhadap satu mazhab. Ia harus melihat pelbagai pandangan dan yang kuat dalilnya serta memberi kemudahan dan keluasan walaupun berbeza dengan mazhab yang dianutinya.



Inilah merupakan asas-asas dan ciri –ciri dalam membangunkan fiqh minoriti supaya tidak tergelincir dari landasan syariat Islam yang sebenar. Ia merupakan satu ajaran baru tetapi ia merupakan satu metode untuk masyarakat minoriti mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan mudah dalam masyarakat bukan Islam yang lebih besar.

Al-Qaradawi mengharuskan wanita yang memeluk agama Islam untuk kekal bersama dengan asuaminya yang masih belum masuk Islam. Pandangan ini menurut Wahbah al-Zuhaili merupakan pandangan dan fatwa yang Sadh (pelik). Begitu juga pandangan al-Qatadawi yang mengharus lelaki dan wanita bersalaman. Menurut Wahbah al-Zuhaili, fatwa ini juga adalah pelik (sadh). Menurut Abdul Majid Mohd Nor, mantan Mufti Negeri Kedah bahawa pendapat yang mengekal perempuan bersama suaminya yang tidak Islam adalah tidak boleh dipakai dalam konteks masyarakat Malaysia dan ia juga adalah pendapat yang pelik.

Maslahah Menurut al-Qaradawi

Maslahah (kepentingan umum) ditakrifkan sebagai manfaat yang memang menjadi tujuan Tuhan Pencipta syariat untuk para hamba-Nya, manfaat yang meliputi pemeliharaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda menurut urutannya. Sementara masalih al-mursalah pula bermaksud segala manfaat yang tercakup dalam daerah tujuan-tujuan shariat yang tidak mempunyai dalil sama ada dalil yang mengiyakan atau yang menidakkannya. Maslahah bermaksud kepentingan, kebaikan . Kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah, lawan kepada fasad iaitu keburukan dan kejahatan.

Al-Ghazali menghuraikan maksud maslahah iaitu mendapatkan manfaat dan menghindarkan kemudaratan dengan memelihara tujuan syarak yang lima iaitu menjaga agama, diri, akal, keturunan dan harta. Sesuatu yang menjaga lima perkara ini dianggap sebagai maslahah dan sesuatu yang meninggalkan lima perkara ini dianggap sebagai keburukan. Konsep inilah yang menjadi panduan dalam konteks hubungan manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekelilingnya. Dari konsep ini lahirlah kaedah penting dalam usul feqah yang dinamakan sebagai al-Istislah atau masalih mursalih yang merupakan satu cabang dari teknik mengeluarkan hukum-hukum syarak yang tidak ada nas yang jelas dengan menggunakan rasional pemikiran berasaskan kepada maslahah.

Bagi golongan Syafi’i, mereka tidak menggunakan al-Istislah sebagai cara mengeluarkan hukum. Adapun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa al-Syafi’i berpegang kepada masalih mursalah walaupun atas nama qias dan sadd al-zara’i mengikut istilahnya seperti pendapat al-Ghazali dan al-Subki. Perkara ini dikuatkan lagi dengan pendapat Dr. Husain Hamid Hassan dalam risalah Ph.D yang bertajuk Nazariat al-Maslahah fi al-Fiqh al-Islami yang menyebutkan bukti-bukti pengambilan hukum secara qias dalam konteks masalih mursalah.

Abdul Wahab Khallaf dalam bukunya Masadir al-Tasri’i al-Islami telah meletakkan kaedah dan syarat maslahah dalam pembinaan hukum antaranya ialah pertama perkara tersebut semestinya kepentingan yang hakiki ( Maslahah haqiqiyah) bukan maslahah yang was-was. Kedua maslahah itu adalah umum dan bukan berbentuk peribadi. Ketiga maslahah itu tidak bertentangan dengan nas dan ijmak.

Oleh hal yang demikian, para fuqaha menyatakan bahawa matlamat syarak tidak lain dari maslahah. Di mana ada maslahah maka di sanalah Allah menempatkan syarak. Maslahah menjadi asas perhitungan ijtihad. Maslahah yang menjadi dasar perkiraan Abu Bakar dalam siyasah shar’iyyahnya menamakan Umar bin al-Khatab sebagai pengantinya. Maslahah jugalah yang menjadikan Umar al-Khatab untuk tidak menamakan sahabat tertentu sebagai penggantinya, sebaliknya menyerahkannya kepada majlis perundingan di kalangan enam orang para sahabat.Kedua-dua mereka telah sama-sama berijtihad dengan asas perkiraan yang sama iaitu maslahah. Ketetapan yang mereka ambil adalah jelas tidak sama di antara satu dengan yang lain malah tidak sama dengan yang dilakukan oleh Rasulullah. Perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan syarak selagi ia bertujuan untuk menegakkan keadilan di dalam kalangan rakyat dan memenuhi maslahah mereka.

Dalam buku al-Siyasah al-Syar'iyyah dan Taysir al-Fiqh, al-Qaradawi menjelaskan dengan panjang lebar penggunaan maslahah dengan mengutarakan pelbagai pendapat ulamak.

Menurut al-Qardawi, makna maslahah ialah segala sesuatu yang di dalamnya terkandung kebaikan dan manfaat bagi manusia dalam urusan dunia ataupun agama. Sementara makna al-Mursalah ialah sesuatu yang tidak terikat.ataupun kepentingan yang tidak dibuktikan oleh dalil yang khusus untuk menetapkannya yang layak dipertimbangkan mahupun yang tidak layak dipertimbangkannya.

Para fuqaha saling berbeza pendapat dalam mengambil hujah mengenai masalih al-Mursalah dan kedudukannya sebagai dalil dalam menjatuhi hukuman, fatwa dan perundangan. Imam yang paling banyak menggunakan masalih al-Mursalah ialah Imam Malik sementara mazhab yang paling sempit dalam menggunakan rujukan kepentingan ini adalah al-Shafi'i. namun ia tetap menggunakannya dalam hal-hal tertentu. Oleh itu, maslahah ialah keupayaan memelihara tujuan-tujuan agama.Tujuan-tujuan syariat yang dituntut daripada manusia adalah menjaga agama, diri, akal, keturunan, harta benda, kehormatan, keamanan, hak dan kebebasan mereka, menegakkan keadilan dan kerjasama dalam masyarakat yang ideal, serta apa pun yang memudahkan kehidupan mereka, menghindarkn kesulitan daripada mereka, menyempurnakan akhlak yang mulia, menuntun mereka kepada jalan yang paling lurus dan beradab, tradisi, sistem dan muamalat. Namun maslahah itu harus dilihat dari perspektif syarak, bukan dari perspektif manusia kerana sesetengah manusia melihat bahawa membunuh anak perempuan seperti dalam masyarakat jahiliah dahulu, tidak memberi harta pusaka kepada anak perempuan termasuk dalam perkara maslahah sedang sebenarnya ia akan membawa kepada kerosakan. Begitu juga mereka tidak menganggap minuman arak dan berjudi sesuatu keburukan sedangkan syariat mengatakannya sebagai keburukan. Oleh itu, maslahah pada dasarnya ialah sesuatu yang mendatangkan manfaat dan menghindarkan keburukan menurut perspektif syarak.

Termasuk dalam hal maslahah ini ialah pengumpulan al-Quran oleh Abu Bakar, pembinaan institutusi kenegaraan oleh Umar bin al-Khatab, membukukan al-Quran dan mashaf yang satu oleh Uthman bin ‘Affan dan arahan Saidina Ali untuk menyuruh Abu Aswad al-Du'ali menulis dasar-dasar ilmu nahu Bahasa Arab. Menurut al-Qaradawi, kebanyakan ulamak sekarang melihat maslahah sebagai satu sumber dan kaedah yang dijadikan sandaran hukum seperti pendapat Husain al-Khudri, Mustafa al-Maraghi, Muhamaf Abu Zahrah, Mahmud Syaltut, Muhamad Sa’id Ramadan, Husain Hamid , Abdul Karim Zaidan dan Wahbah al-Zuhayli. Mereka bersetuju maslahah ini merupakan satu keperluan bagi masyarakat muslim dalam berfatwa, membuat undang-undang dan kehakiman.

Pengaruh al-Qaradawi terhadap Fiqh Semasa.

Ternyata al-Qaradawi mempunyai pengaruh terhadap perkembangan fiqh semasa. Fatwa beliau dijadikan rujukan umat dalam pelbagai isu kerana fatwanya amat relevan dalam konteks masyarakat hari ini. Fatwa-fatwanya yang sederhana, mudah dan didatangkan dengan hujah yang terkuat menjadikan umat berpuas hati dengan penjelasannya. Beliau tidak mengikat diri dan umat dalam satu pendapat malahan memberikan pelbagai pendapat dan terpulang kepada umat untuk memilih pendapat-pendapat yang sesuai untuk diamalkan mengikut kadar kemampuan mereka. Hal ini dijelaskan beliau dalam konteks perkara-perkara yang boleh diijtihadkan. Sementara perkara yang pasti adalah hukum yang tidak berubah sepertimana yang kita maklum.

Antara pengaruhnya ialah beliau menciptakan istilah-istilah seperti Fiqh Maratib al-Amal ( Kefahaman Tingkatan Amalan), fiqh al-awalawiyyat (Fiqh Keutamaan) dan lain-lain. Di samping itu, buku al-Halal wa al-Haram, Fatawa al-Mu'asarah menjadi rujukan utama dalam bidang fiqh hari ini. Beliau juga menyeru kepada konsep ijtihad dalam perkara-perkara baru sama ada ijtihad bersandarkan kepada kajian semula kepada ijtihad-ijtihad yang pernah dikemukakan oleh ulamak terdahulu mahupun ijtihad terbaru berdasarkan kepada teks al-Quran dan al-Sunnah yang belum pernah disentuh oleh ulamak terdahulu.

Al-Qaradawi juga tidak terlepas daripada kritikan. Ada kritikan yang bersifat objektif dengan menghormati ilmu al-Qaradawi seperti yang dilakukan oleh al-Bani terhadap sumber-sumber hadis yang digunakan oleh al-Qaradawi dalam buku al-halal wa al-haram. Namun al-Bani menyebutkannya dengan baik dan al-Qaradawi adalah bertanggungjawab terhadap masalah itu dan dia akan tetap mendapat pahala sama ada benar ataupun salah. Hal Ini kerana perkara tersebut merupakan ijtihadnya. Sementara itu, Dr. Salah al-Sawi juga tidak bersetuju dengan fatwa al-Qaradawi yang cenderung membolehkan membeli rumah untuk tempat tinggal dengan wang riba atau pinjaman bank. Fatwa al-Qaradawi disokong oleh Majlis fatwa Eropah. Namun Salah al-Sawi menjelaskan kritikan itu dengan baik.

Satu lagi golongan yang mengkritik al-Qaradawi adalah golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi dan kritikan-kritikan yang dilemparkan itu adalah dalam masalah cabangan yang sememangnya dibenarkan perbezaan pendapat. Bagi mereka, apabila fatwa-fatwa itu berlainan dengan syeikh mereka, ia merupakan satu jenayah dan kesalahan yang besar. Mereka seolah-olah mahu memastikan hanya fatwa mereka yang layak digunapakai oleh umat ini. Mereka melihat bahawa perbezaan pendapat dalam masalah fiqh itu adalah satu tindakan jenayah dan kejahatan.

Satu golongan yang lebih parah yang mengkritik al-Qaradawi adalah golongan al-Ahbasy. Golongan ini bukan sahaja mengkritik al-Qaradawi malah semua ulamak termasuk Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, al-Bani, Muhammad Abdul Wahab. Mereka menganggap semua ulamak tersebut adalah sesat termasuk Hassan al-Banna. Golongan ini bergerak cergas di Jordan dan Syria dan pernah datang ke Malaysia untuk Multaqa Ulamak di Putrajaya.

Di antara golongan yang turut mengkritik al-Qaradawi adalah golongan yang tidak mahu ta'adud jamaah (pelbagai organisasi) termasuk pelajar-pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar. Bagi mereka fatwa al-Qaradawi tidak boleh diguna pakai dalam hal tersebut kerana al-Qaradawi mengharuskan kepelbagaian organisasi dalam menegakkan Islam. Bagi mereka, jamaah mereka adalah yang terbaik, tulen dan jamaah-jamaah lain adalah sesat. Bagi golongan ini, mereka lebih menggunakan fatwa orang-orang yang tidak berilmu daripada al-Qaradawi, Muhammad al-Ghazali dan ulamak al-Azhar yang lain. Mereka menggelarkan al-Qaradawi dan orang yang sealiran dengannya sebagai al-tasallulat (orang yang suka mempermudahkan). Mereka mahukan satu pendapat sahaja yang boleh dipakai dan memaksa umat menggunakan fatwa mereka walaupun sebenarnya mereka tidak layak berfatwa. Sepertimana yang disebut oleh Muhamad al-Ghazali mereka adalah orang "perompak jalanan" (qita' al-tariq) yang menghalang manusia daripada mengenali ajaran Islam yang sebenar. Mereka baru belajar Islam semalam, menjadi guru hari ini dan mahu menjadi mufti dan mengeluarkan fatwa besok hari.

Di Malaysia, pandangan al-Qaradawi sentiasa dijadikan rujukan dalam isu-isu feqah semasa terutama dalam isu zakat seperti kewajipan dalam mengeluarkan zakat pendapatan dan isu fitnah dalam tahu

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Tokoh: Al-Kurtubi Al-Isybili

Oleh: HAPPIS BASHA

Nama lengkapnya Ibnu Thufayl atau Ibnu Tofail adalah Abu Bakar Muhammad bin Abdul Malik bin Muhammad bin Muhammad bin Ibnu Thulayl al-Qaysi. Ia adalah satu keturunan suku Arab Kays, yang terkemuka. Beliau sering pula disebut dan dipanggil sebagai al-Andalusi atau al-Kurtubi al-Isybili, tetapi kaum Skolastik Kristian menyebutnya sebagai Abubacer.

Ibnu Thulfayl diperkirakan lahir pada dekad pertama abad ke-6 H / ke-12 M. Di Wadi-Ash. Guadix, sebelah timur laut Granada, Sepanyol. Tidak banyak yang dapat diungkap mengenai keluarga dan pendidikannya.

Beliau menjadi doktor buat pertama kalinya di Granada kemudian menjadi setiausaha dari Gabenor Ceuta dan Tangier, Putra Abdul Mu’min dinasti Almohad (Al-Muhwahhidun) dan akhirnya menjadi doktor Almuwahhidun, Sultan Abu Ya’kub Yusuf pada 558-580 H. / 1163-1184M)

Al-Bitruji, salah seorang muridnya menyebut Ibnu Thufayl sebagai kadi, dan dalam banyak perkara, Ibnu Thufayl selalu mempunyai pengaruh besar terhadap muridnya ini, serta banyak merekrut sarjana-sarjana ke istana dan Ibnu Thhufayl juga memperkenalkan Ibnu Rusyd kepada Sultan.

Ahli sejarah Abdul Wahid al-Mazzakusyi memberi sebuah deskripsi mengenai pertemuan ini yang diketahui daripada laporan-laporan Ibnu Rusyd sendiri. Pada kesempatan-kesempatan seperti ini, Sultan mula menunjukkan luas pengetahuannya tentang masalah-masalah kefalsafahan.

Di atas saranan dan dorongan Sultan serta nasihat dan semangat telah mendesak Ibnu Rusyd untuk menulis komentar-komentarnya mengenai karya-karya Aristoteles.

Karya Ibnu Thufayl masih tidak diketahui jumlah sebenarnya, namun karangannya “Hayy bin Yaqzan”, sebuah novel falsafah yang terkenal merupakan salah satu di antara buku-buku yang paling cemerlang pada abad-abad pertengahan.

Dalam buku tersebut Ibnu Thufayl berusaha membuktikan kebenaran tesis kesatuan kebijaksanaan rasional dan mistik melalui kisah fiksyen. Melalui kisah tersebut, Ibnu Thufayl ingin memberikan penyelesaian terhadap permasalahan yang ditimbulkan oleh “pertentangan” antara falsafah dan agama, akal dan iman, seperti halnya Hayy, yang digambarkan dalan novel falsafah tersebut iaitu dalaman dan luaran.

Selain itu, beliau juga menulis dua buah naskhah buku mengenai ilmu kedoktoran, yang banyak hubungannya dengan karya perubatan Ibnu Rusyd iaitu “Al-Kulliyat”.

Menurut astronomi al-Bitruji serta Ibnu Rusyd terhadap komentar Ibnu Thufayl dalam karya Aristoteles “Metaphysics”, juga mempunyai banyak gagasan dan ternyata banyak memberi pengaruh kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh al-Bitruji untuk menyanggah dan sekaligus membuktikan kekeliruan teori Ptolemaios mengenai “lingkaran-lingkaran epicycles dan excentris”.

Pada tahun 578/ 1182 M, memandangkan usia Ibnu Thufayl yang telah lanjut, beliau telah digantikan kedudukannya oleh Ibnu Rusyd sebagai doktor peribadi khalifah. Ibnu Thufayl meninggal dunia pada tahun 581 H/1185-1186 di Maghribi.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

Dar Al-Hadith Al-Asrafiyah Di Damsyiq : Pelopor Dan Pemelihara Sunnah Sepanjang Zaman

Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Damsyiq merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.

Raja al-Asraf Musa merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam.

Di sini juga, penulisan buku-buku hadith ditulis oleh ulamak –ulamak tersebut yang menjadi teks utama pengajian hadith sehingga kini seperti Ulum al-Hadith Ibn Salah, Tahdhib al-Kamal oleh al-Mazzi, Talkhis al-Mutashabah oleh Ibn Nasruddin. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini menjadi kebanggaan kerana ia merupakan tempat halaqah ilmu bagi semua golongan masyarakat yang ingin belajar hadith nabi. Namun kemudian, kedudukan institusi ini semakin merosot pada kurun 11H/16M. Malah kini sebahagian dari sekolah ini dibeli oleh saudagar bukan Islam untuk dijadikan kedai. Penulis yang pernah melawat tempat ini pada tahun 2006 dan 2007 mendapati disekelilingnya kini dipenuhi dengan bazar-bazar kerana ia berhampitran dengan Soq al-Hamidiah (Pasar Hamidiah) di Damsyiq.

Namun Allah mengurniakan dua orang yang alim yang membina semula dan membuat halaqah tersebut pada tahun 1272H/1856. Mereka ialah Abdul Qadir al-Jaza’iri dan Yusuf al-Maghribi. Kemudian institusi ini disambung oleh anaknya Muhammad Badaruddin al-Hasani, seorang ahli hadith yang masyhur.

Dar al-hadith asalnya sebuah rumah kepunyaan Sarim Syamsuddin Qaymaz (m.596H). Kemudian ia dibeli oleh Raja al-Asraf Musa dan diubah suai untuk dijadikan Dar al-Hadith yang lengkap dengan tempat tinggal syeikh. Raja al-Asraf telah membuka Dar al-Hadith ini pada 15 Syaaban tahun 630H/1233M dan beliau mewakafkan untuk kegunaan golongan syafiyyah dan hendaklah orang yang menjadi syeikh di situ seorang yang pakar dalam bidang hadith. Di institusi ini, Ibn Salah (m. 643H) telah mengarang buku Ulum al-Hadith dan juga mengajar Sunan al-Kubra karangan Baihaqi sebanyak 757 kali halaqah. Imam al-Nawawi (m.676H) juga pernah mengajar shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim di sini. Imam al-Nawawi menjadi syeikh yang keempat setelah Ibn Salah, Imadduddin Abu Muhammad Abdul Karim (m.662), Shahabuddin Abu Qasim (m.650. Imam al-nawawi menjadi syeikh di sini selama 11 tahun (665-667H) dan beliau tidak mengambil sedikit pun daripada gajinya. Ibn Kathir juga pernah menjadi ketua Syeikh Dar al-Hadith iaitu pada tahun 773H.

Antara syeikh Dar al-Hadith seperti berikut :

1. Al-Hafiz Abu Amru bin Salah (Ibn Salah)

Taqiuddin bin Salah dikenali sebagai Ibn Salah. Beliau dilahirkan pada 577H. Sebelum menjadi syeikh di Dar al-Hadith, beliau pernah mengajar di Madrasah al-Nasariyyah di Quds dan Madrasah al-Rawahiah di Damsyiq. Beliau meninggal dunia pada 643H di Damsyiq.

2. Imaduddin Abdul Karim bin Abdul Samad bin al-Kharastani. Beliau dilahirkan pada tahun 577H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith selepas Ibn Salah pada tahun 643H dan meninggal dunia pada 662H.

3. Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi. Beliau dikenali sebagai Abu Shamah dan dilahirkan pada tahun 599H .Beliau menjadi Syeikh Dar al-hadith pada 662H sehinggalah ia meniinggal dunia pada 665H.

4. Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Sharaf al-Nawawi (Imam al-Nawawi).Dilahirkan di Nawa, Damsyiq pada tahun 631H dan belajar di Madrasah al-Rawahiah. Beliau meninggal dunia pada 676H dalam usia 45 tahun dan meninggalkan khazanah ilmu yang banyak seperti Raudah al-Talibin 8 jilid, Syarah al-Muslim 12 jilid dan Hadith 40.

5. Abdullah bin Marwan al-Faraqi (m.702)Beliau dilahirkan pada tahun 633H dan meninggal dunia pada 703 dan menjadi syeikh Dar al-hadith pada tahun 677H selama 27 tahun selepas Imam al-Nawawi.

6. Sadaruddin Muhammad bin Umar bin Wakil. (Ibn Wakil). Beliau dilahirkan pada tahun 665H dan meninggal 716H di Kaherah.

7. Kamaluddin Muhammasd bin Ali bin Abdul Qahid al-Zamlakani. (Ibn Zamlakani). Beliau dilahirkan pada 667H .Pernah dilantik menjadi kadi di Halab pada tahun 734H. Beliau pernah mengarang buku dalam menolak pandangan Ibn Taimiyah mengenai ziarah kubur dan talak. Beliau meninggal dunia pada 737H dan dimakamkan berdekatan dengan perkuburan Imam al-Syafi’i di Kaherah. Beliau memegang jawatan syeikh Dar al-Hadith selama 15 hari sahaja.

8. Kamaluddin Ahmad bin Muhammad al-Sharisi. Beliau dilahirkan pada 653H dan menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 8 Ramadan tahun 716H dan meninggal pada 718H.

9. Jamaluddin Yusuf bin al-Zaki al-Mazzi . Beliau dilahirkan pada 654H di Halab dan pernah belajar di Mesir. Antara orang yang pernah belajar dengannya beliau ialah Ibn Taimiyah, al-Zahabi, al-Taqi al-Subki. Beliau mengajar di Dar al-Hadith pada tahun 718H selama 24 tahun dan pengarang kepada buku “ Tahdhib al-Kamal” dan al-Atraf. Beliau meninggal dunia pada 742H

10.Taqiuddin Abu Hassan Ali bin Abdul Kafi al-Subki. Dilahirkan 672 di Manufiah, Mesir. Beliau pernah menjadi kadi di Damsyik sebelum dilantik menjadi Syeikh Dar al-hadith pada tahun 742H. Di akhir hayat, beliau pulang ke Mesir dan tidak sampai 20 hari tinggal di sana beliau meninggal dunia pada 756H..

11.Tajuddin Abu Nasr Abdul Wahab bin Ali al-Subki. Beliau dilahirkan pada 729H dan pergi ke Damsyiq bersama bapanya dan belajar dengan ulamak di sana seperti al-Mazzi. Beliau juga pernah mengajar di Madrasah Adaliah dan tempat-tempat lain Beliau meninggal dunia pada 771H

12. Sirajuddin bin Amru al-Balqini. Beliau dilahirkan pada 724H di Balqiniah, Mesir dan belajar di Kaherah.. Beliau pergi ke Damsyiq pada 769H dan pernah dilantik menjadi Ketua Hakim Mesir. Beliau meninggal dunia pada tahun 805H.

13.Ismail bin Umar bin Kathir (Ibn Kathir) Beliau dilahirkan pada tahun 701H dan belajar dengan Burhanuddin al-Fazari, al-Mazzi dan Ibn Taimiyah. Beliau banyak mengarang antaranya Tafsir Ibn kathur dan Tabaqat al-Syafi’iyyah dan Ringkasan Tahdhib al-Kamal. Beliau dilantik menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Muharram 772H dan meninggal dunia pada Syaaban 774H dan dikebumikan disebelahan gurunya Ibn Taimiyah di Damsyiq.

14.Umar bin Uthman bin Habbatullah al-Mu’ri. Beliau dilahirkan pada tahun 712H dan dilantik menjadi hakim di Tripoli dan Halab pada tahun 752H. Beliau pernah mengajar di Madrasah Nasariyah dan Adaliah dan menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Rabiawwal tahun 772H bagi mengantikan Ibn Kathir. Beliau meninggal 783H ketika berumur 71 tahun.

15.Bahauddin Muhammad bin Abdul Bar al-Subki. Beliau dilahirkan pada tahun 707H dan pergi ke Damsyiq bersama Taqiuddin al-Subki. Beliau pernah menjadi hakim di Mesir pada tahun 766H dan menjadi hakim di Syam pada tahun 774H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith selepas Umar al-Mu’ri dan meninggal dunia pada 777H dan dikebumikan di Sufah Qasiyyun, Damsyiq bersama dengan perkuburan Tajuddin al-Subki.

16. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Bar al-Subki. Beliau merupakan anak kepada Bahauddin Muhammad al-Subki dan dilahirkan pada 735H di Kaherah. Beliau menjadi kadi Syam pada 777H. Beliau mengantikan ayahnya mengajar di Ghazaliah, Adaliah dan juga menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Jamadil Awwal tahun 777H setelah kematian ayahnya. Beliau meninggal pada tahun 785H

17.Burhanuddin Ibrahim bin Abdul Rahim bin Jamaah. Beliau dilahirkan pada 725H di Kaherah. Beliau dibesarkan di Quds dan pergi ke Damsyiq pada tahun 786H dan menjadi hakim dan khatib di sana. Beliau juga menjadi ketua Hakim di Mesir.

18. Sariuddin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Rahim al-Salmi. Beliau dilahirkan pada 751H. Beliau dilantik menjadi Syeikh Dar al-Hadith selepas kematian Ibn Jamaah pada tahun 790H. Beliau juga pernah menjadi khatib di Quds dan meninggal dunia pada tahun 799H.

19. Shahabuddin Abu Abbas Ahmad bin Umar. Beliau menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada Rejab tahun 791H. Beliau meninggal dunia pada Rejab tahun 793H.

20. Zainuddin Abu Hafs Umar bin Muslim al-Quraishi. Beliau dilahirkan pada 724H. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith pada tahun Rabiawwal 792H. Beliau meninggal dunia pada Zulhijjah tahun 793H dalam penjara.

21. Shahabuddin Ahmad bin Ismail al-Hasbani. Beliau dilahirkan pada 749H dan menjadi Syeikh Dar al-Hadith pada pada Rabiakhir 792H dan meninggal dunia 815H.

22. Muhammad bin Abi Bakr al-Qaisi bin Nasruddin. Beliau menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 837H. Beliau meninggal dunia pada 842H.

23 Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh Muhamamd Abi Bakr bin Nasruddin (m. 842) dan Alauddin Ali bin Uthman al-Sirafi (Ibn al-Sirafi, 778-844H) dan Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani dan dikenali sebagai Ibn Hajar. Beliau dilahirkan Kaherah dan menjadi syeikh Dar al-Hadith pada 836h dan meninggal dunia pada 853H di Kaherah dan mengarang 150 buah buku.

24. Kemudian Syeikh Dar al-Hadith di pegang oleh Muhammad al-Khaidari (m.894H). Ada berpendapat beliau memegang selepas Ibn Sirafi. Pada masa ini, syeikh Dar al-Hadith tidak lagi dipegang secara berurutan malahan terdapat dalam masa-masa tertentu ia tidak ada syeikh kecuali orang yang mengajar hadith di situ..

Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh syeikh-syeikh berikut :

25. Muhammad bin Ismail al-Wana’i (788-849H), Najmuddin Ahmad bin Muhamad al-Khaidari, Abdullah bin Ibrahim al-Ba’li (m.820H), Husain bin Abdullah al-Samiri (m. 831H), Ahmad bin Muhammad bin Muhammad al-Uthmani (840H), Mahmud al-Tamimi, Ali bin Ismail yang dikenali sebagai Ibn Imaduddin (917-971H), Abu Fatah Muhammad bin Muhamad al-Rabi’i al-Maliki ( 901-975H, beliau memegang sekejap memandangkan syeikh Dar al-Hadith bermazhab Syafi’i ), Shabuddin bin Ahmad bin Ahmad al-Tabbi al-Maqri (910-979H), Ismail bin Ahmad al-Nabilisi (937H-993H), Muhamad al-Hijazi (930-1020H), Abdul Haq bin Muhammad Hijazi (962-1020H), Muhamamad bin Muhamad al-Midani (m1033H), Abdul Hayyi bin Abdul Baqi al-Mahyi (m.1073H), Abdul Qadir bin Mustafa al-Safuri (1010-1081H), Abdul Qadir bin Bahauddin (m.1100H), Muhammad bin Ali al-Kamali al-Syafi’I (m.1131H), Sa’idi bin Abdul Qadir al-Umri (m.1080-1147H), Muhammad bin Ali al-Amadi (1095-1167H).

26. Kemudian Dar al-Hadith ini yang mengalami kemerosotan dalam abad 11 dan 12 hijrah telah dibangunkan semula oleh Yusuf al-Maghribi al-Hasani dan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf al-Maghribi dilahirkan di Maghribi dan berketurunan Saidina Hasan bin Ali r.a. Beliau dibesarkan di Mesir dan mendapat didikan dari ulamak yang terkemuka seperti Hasan al-Atar, al-Sawi, Sayyid Muhammad Husaini. Pada tahun 1272H/1856M, Abdul Qadir telah membeli bangunan dan mengelokkan semula masjid dan bangunan tersebut. Ini memandangkan tempat Dar al-Hadith yang lama menjadi tempat pasar dan minum arak yang menyebabkan mereka berdua mencari satu tempat yang baru. Semasa penulis menziarahi tempat Dar al-Hadith yang lama yang berdekatan dengan suq al-Hamidiah, didapati disekelilingnya adalah kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam. Pada 1 Rejab 1273H/1857M, Dar al-Hadith yang baru telah dibuka dan Abdul Qadir mengajar Shahih al-Bukhari di situ. Syeikh Yusuf banyak mengembara dan pernah tinggal di Madinah al-Munawwarah sekian lama. Beliau meninggal di Damsyiq pada 19 JamadilAkhir1279H/1862M.

27. Abdul Qadir bin Mahyuddin bin Mustafa al-Hasani. Dilahirkan 1222H/1807M di Magribi. Beliau menghafaz al-Quran dan belajar feqah dari bapanya dan dan kemudian belajar di Wahran sehingga menjadi seorang yang pakar terutama dalam bidang kesusasteraan arab dan menghafaz kebanyakan daripada hadis-hadis dalam shahih Bukhari. Beliau pergi menunaikan haji bersama bapanya pada tahun 1241H/1826M dan kemudian singgah di Damsyiq. Beliau juga mengambil tarikat Nasyabandi Khalidi. Beliau juga pernah mengembara ke Baghdad dan menunaikan haji kali kedua pada tahun 1243H. Pada tahun 1246H, beliau bersama bapanya yang menjadi ketua pasukan Algeria melawan Perancis.Beliau juga perrnah dilantik menjadi ketua dalam melawan penjajahan Perancis. Pada 1271H, beliau telah tiba di Beirut untuk tinggal di Damsyiq dan diberi sambutan hangat oleh penduduk Damsyiq. Beliau pernah melawat Istanbul untuk melawat Sultan Abdul Aziz, Paris dan London dan juga menghadiri pembukaan Terusan Suez. Beliau meninggal dunia pada 1300H/1882M dan dikebumikan di sebelahan Mahyuddin bin Arabi. Pada tahun 1388/1968M, kuburnya dipindah ke Algeria atas permintaan kerajaan Algeria.

30. Kemudian Syeikh Dar al-Hadith dipegang oleh Abdul Hakim bin Muhammad Nur al-Afghani (1326H) dan kemudian disambung oleh Ahmad Bahauddin bin Yusuf al-Hasani (1277-1330H) dan kemudian oleh Muhammad Badaruddin bin Yusuf al-Hasani.

31. Muhamamd Badaruddin al-Hasani dilahirkan 1267H/1850M dan meninggal dunia pada 1354H/1935M) Beliau bermazhab Maliki dan belajar di Mekkah, al-Al-Azhar dan Damsyiq. Beliau juga mendapat mendapat didikan daripaad ayahnya syeikh Yusuf al-Maqribi dan ketika ayahnya meninggal dunia, beliau berusia dua belas tahun. Ketika berusia tiga belas tahun, beliau mengasingkan diri untuk beribadat dan menghafaz Shahih Bukhari dan shahih Muslim dan lain-lain kitab hadith. Pada masa ini, beliau mendapat asuhan daripada Syeikh Abu Khair, seorang Imam di Masjid Umawi. Beliau mula mengajar ketika berusia 25 tahun di samping terus belajar dengan ulamak terkemuka seperti al0-Asmuni dan Ibrahim al-Saqa, Syeikh al-Azhar .pada tahun 1295H/1878M, beliau telah berkahwin dan dikurniakan 8 orang anak, dua lelaki dan enam perempuan. Dua lelaki iaitu Ibrahim Isamuddin (m.1335H/1915M) dan Muhammad Tajuddin (m1362H/1942M). Beliau merupakan seorang yang kuat beribadat dan sentiasa menunaikan solat Dhuha dan tahajud. Beliau menghabiskan masa dengan mengajar ilmu, berjihad dan prihatin terhadap isu-isu umat. Tidak ada orang yang alim di Damsyik sekarang kecuali mereka itu merupakan anak muridnya. Kemudian Dar al-Hadith ini diteruskan oleh anak-anak muridnya Yahya al-Maktabi (m.1956) dan Mahmud al-Rankusi (1985M) dan cucunya Muhammad Fakharuddin al-Hasani (1987M). Sekarang Dar al-Hadith ini dikendalikan oleh Syeikh Husain Hasan al-Su’ainah. Beliau adalah anak murid kepada Mahmud bin Qasim al-Rankusi (1331H/1910M-1405H/1985M). Kini ia ditadbir oleh beberapa ahli lembaga pengarah dan semoga Dar al-Hadith yang baru ini dapat melahirkan ulamak yang terkemuka dalam berkhidmat kepada sunnah nabi.

sumber: sini
Baca selanjutnya...