Pengikut

Hadith Hari Ini

Taman Negara

Taman Negara adalah Kawasan Perlindungan rasmi yang pertama dan tertua di negara ini dan pada waktu dahulu dikenali sebagai King George V National Park.

Taman negara ini yang diisytiharkan secara rasminya oleh Sultan Kelantan, Pahang dan Terengganu (sewaktu sambutan Jubli Perak King George) diwartakan bagi memelihara alam semulajadi kawasan ini. Taman ini dinamakan Taman Negara setelah negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Aktiviti paling popular di Taman Negara ialah bersampan di sungai dan meneroka laluan trek hutan. Laluan Kanopi yang tedapat di sini juga sungguh menarik bagi memberikan pelawat pemandangan jarak dekat aktiviti haiwan dan tumbuhan di bahagian kanopi hutan yang tinggi.

Pondok pemerhatian juga disediakan bagi keselesaan pelawat untuk memerhati hidupan liar di sini. Pondok kecil yang dibina tinggi dari atas tanah membolehkan pelawat bermalam bagi memerhati hidupan liar di dalam habitat semulajadinya. Pelawat juga boleh meneroka gua sama ada menggunakan bot atau pun berjalan kaki.

Taman Negara adalah sebuah hutan hujan yang tertua di dunia yang dianggarkan berusia 130 juta tahun. Kekayaan dan kepelbagaian hidupan semulajadi di sini sangat menakjubkan dan menjadikannya salah satu eko-sistem yang paling rumit dan kaya di dunia.

Tips

Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. Pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.

Pengangkutan

Keretapi
Pintu masuk ke Taman Negara iaitu Kuala Tembeling yang dihubungkan dengan Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Bharu (melalui Tumpat) oleh laluan keretapi. Keretapi dari stesen-stesen tersebut berhenti di Tembeling Halt, kira-kira setengah jam perjalanan dari jeti Kuala Tembeling dengan menaiki kereta.

Bot
Pintu masuk utama untuk ke Taman Negara ialah menerusi Kuala Tembeling di mana pelawat boleh menaiki sampan yang bertolak pada pukul 9.00 pagi dan 3 petang setiap hari (kecuali hari Jumaat apabila bot bertolak pada pukul 2.30 petang), dalam perjalanan yang memakan masa selama 3 jam menuju ke Kuala Tahan. Mutiara Taman Negara Resort juga menyediakan perkhidmatan bot laju yang cuma mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke Kuala Tahan. Bot laju ini bertolak dari Kuala Tembeling pada pukul 10.30 pagi dan 1.30 petang setiap hari. Cara termudah untuk ke Taman Negara ialah sama ada melalui Jerantut di dalam perjalanan darat yang mengambil masa selama 3 jam dari Kuala Lumpur. Jika anda memandu kenderaan pacuan empat roda, anda boleh menggunakan jalan pembalakan hingga ke Kuala Tahan di mana anda perlu menaiki bot merentas Sungai Tahan untuk memasuki Taman Negara.

Bas atau Teksi
Perkhidmatan teksi ke Jerantut boleh didapati dari Stesen Bas Puduraya di Kuala Lumpur. Anda juga boleh menaiki bas ke Jerantut yang boleh didapati di Stesen Bas Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Dari Jerantut, anda boleh menaiki bas tempatan atau teksi untuk ke Kuala Tembeling.

Talian Untuk Dihubungi

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi : Jabatan Perhutanan dan Taman Negara, Km 10, Jalan Cheras.56100 Kuala Lumpur. Tel: +603-90752872 Faks: +603-90752873. Email: pakp@wildlife.gov.my/ pro@wildlife.gov.my

Penginapan

Taman Negara menawarkan kemudahan tempat penignapan termasuk chalet, bilik asrama, kawasan perkhemahan dan juga sebuah resort.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Remaja Islam ‘Dipenjara’ Budaya Kufur dan Jahiliah


Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PERNAHKAH anda berjalan-jalan pada bulan Februari di pusat beli-belah, kedai-kedai buku, atau ke mana-mana sahaja dan cuba perhatikan di sekeliling anda, di lelangit terpampang gambar warna merah jambu (pink); ada yang berbentuk dua buah hati berwarna merah jambu dan sebagainya yang pastinya akan mengundang pelbagai perasaan dalam hati.

Sememangnya, ada apa dengan bulan Februari ini, sehinggakan banyak terpampang gambar hati merah jambu? Di antara meriahnya warna merah jambu terpampang tulisan besar-besar ‘Happy Valentine Day’, di televisyen dan radio, majalah mahupun akhbar juga seolah-olah tidak ingin ketinggalan menampilkan iklan Hari Valentine, memanfaatkan isu ‘valentine day’ dengan menganjurkan pelbagai acara yang kebanyakannya boleh merosakkan akhlak muda mudi dan para remaja.

Apa yang jelas, Valentine Day bukan saja diraikan oleh para remaja tetapi juga oleh para ibu bapa, terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur ini atau di mana-mana sahaja. Maka, penuh sesaklah restoran-restoran mewah, hotel-hotel mewah, dan ruang-ruang mewah dengan acara memperingati kekasih dengan cara yang di luar batas-batas kehendak Islam.

Pandangan Islam terhadap perayaan Valentine Day telah jelas haram dan terkeluar daripada syariat Islam. Juga jelas haram dan membelakangkan syariat Islam mengenai aktiviti para remaja yang ikut-ikutan merayakan ‘valentine day’ dengan membabi buta, disertai aktiviti bercampur gaul di antara lelaki dengan perempuan, dan perbuatan maksiat lain.

Islam adalah akidah dan syariah, di dalamnya mengatur seluruh kehidupan manusia tidak ada smengarahkan mengikatkan seluruh perbuatannya dengan hukum syarak, diharam melakukan perbuatan tanpa mengetahui status hukumnya, sebagaimana kaedah fikah, mengatakan ‘al aslu fi al af’al ataqiyudu li al hukmi syar’i’ yang bermaksud, “Asal (pokok/hukum) perbuatan itu terikat dengan hukum-hukum syarak.”

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran dalam surah An-Nisa: 65 yang bermaksud: “Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”

Dalam surah Al-Maidah, ayat 49, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.”

Jelaslah daripada ayat-ayat di atas, setiap Muslim wajib mengarahkan seluruh perbuatannya dengan apa yang Allah telah turunkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan dilarang keras kita mengambil dan mengamalkan hukum selain daripada hal tersebut. Tidak dijadikan akidah Islam sebagai ikatan pemutus seluruh perbuatan manusia ketika ini merupakan faktor kenapa ramai remaja sekarang terperosok dalam perbuatan haram, di samping itu ketidakfahaman mereka terhadap hal tersebut, dan budaya ikut-ikutan memainkan peranan ke arah perilaku yang terkeluar daripada syariat Islam.

‘Berkasih-sayang’ versi Valentine ini, haruslah diketahui terlebih dahulu hukumnya, lalu diputuskan apakah akan dilaksanakan atau ditinggalkan. Dengan melihat dan memahami asal-usul serta fakta pelaksanaan Valentine’s Day, sebenarnya perayaan ini tidak ada sangkut-pautnya sedikit pun dengan corak hidup seorang Muslim. Tradisi tanpa dasar ini lahir dan berkembang daripada segolongan manusia (kaum/bangsa) yang hidup dengan corak yang sangat jauh berbeza dengan corak hidup berdasarkan syariat Islam yang agung.

Jika kita fahami nas-nas syarak dengan lebih mendalam, akan kita dapati aturan yang tegas terhadap masalah ini, antara lain firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertangggungjawaban.” (surah Al-Isra’: 36)

Kita dilarang menyerupai atau meniru budaya yang lahir daripada peradaban kaum kafir, yang jelas bertentangan dengan akidah Islam, sementara yang boleh diambil daripada semua orang (termasuk kafir) adalah dalam masalah teknologi, budaya yang tidak lahir daripada pandangan hidup mereka; seperti bahasa asing, mengamalkan pertanian berteknologi tinggi, membuat kapal terbang, komputer, kenderaan bermotor, kereta dan lain-lian lagi bahkan kita dituntut untuk mendalami hal ini.

Hal ini diperkuatkan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk daripada golongan mereka.’ (Riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad daripada Ibnu Umar)

Sabda Rasulullah lagiyang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku orang-orang yang menyerupai selain golongan umatku (umat Islam).” (Riwayat Tirmidzi daripada Amru bin Syu’aib)

Maka, amat jelas kita tidak dibolehkan ‘tashabuh’, menyerupai, meniru-niru cara hidup orang kafir yang lahir daripada pandangan hidup mereka. Sudah sewajarnya kita tinggalkan semua budaya kufur tersebut jauh-jauh.

Aktiviti muda-mudi ketika merayakan ‘valentine day’ juga banyak yang melanggar syarak. Mereka melakukan aktiviti berdua-duaan/khalwat, saling bercumbuan, berpegangan tangan, kadang-kadang dilakukan secara berramai-ramai, bercampur gaul lelaki dan wanita bukan mahram, disertai dengan alunan muzik, saling rayu-merayu. Padahal sudah sangat jelas bahawa hukum asal kaum wanita dan lelaki adalah terpisah sebelum ada dalil / keperluan syar’i yang menuntut bertemunya mereka, misalnya berniaga, bekerja, beribadah, haji, solat, bernikah, dan sebagainya. Itupun mereka harus mengutamakan syarat-syarat pergaulan / akhlak wanita berhubungan dengan lelaki, menutup aurat dengan memakai kerudung dan jilbab, tidak berdandan berlebihan, dan sebagainya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan amalan yang tiada didasari perintahku (Quran dan Sunnah), maka amal perbuatannya tertolak.” (Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya, ikut serta merayakan hari ‘valentine’ adalah tindakan tercela, dan haram bagi kaum Muslimin untuk merayakannya. Valentine sendiri merupakan akar kemunculannya daripada orang kafir, Barat, lebih-lebih lagi kemunculan tersebut berasal daripada budaya Yahudi, maka sudah sepatutnya kaum Muslimin wajar meninggalkan hal tersebut.

Amat jelas sikap yang harus diambil oleh kaum Muslimin bahawa merayakan hari ‘valentine’ bererti meniru adat/budaya kufur kaum lain, padahal kita dilarang untuk mengikut, mengambil cara hidup yang lahir daripada akidah selain Islam, seperti ‘valentine day’, juga pemahaman hak asasi manusia, demokrasi, dialog antara agama, kapitalisme, sosialisme, dan lain-lain lagi.

Sudah cukup kita hanya mengambil pandangan hidup yang lahir daripada akidah Islam kerana sudah jelas bahawa Islam adalah agama yang sempurna sebagaimana difrimankan oleh Allah s.w.t dalam surah Al–Maidah, ayat 3, yang bermaksud: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu menjadi agama bagimu…’

Begitu juga Allah s.w.t telah menyuruh hamba-Nya supaya mengikuti ‘standard’ halal-haram, menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai ikutan, mengambil apa yang dicontohkannya dan meninggalkan perkara yang dilarangnya, sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 7, yang bermaksud: “Apa sahaja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang yang dalam perjalanan supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”

Maka, apa lagi yang kita tunggu selain meninggalkan bentuk ikutan acara ‘valentine day’ itu? Marilah serkarang kita mulai meninggalkan sesuatu yang memang wajib dihibdari, dan mula untuk berusaha menerapkan ajaran-ajaran Islam, memilih apa perkara yang tidak bertentangan dengan Islam, manakala perkara yang bertentangan dengan Islam, kita tolak dan tinggalkan.

Hendaknya kita renungkan kata-kata ahli sosiologi, Ibnu Khaldun, “Yang kalah cenderung mengikut yang menang, dari aspek pakaian, kenderaan, bentuk senjata yang dipakai, malah meniru dalam setiap cara hidup mereka, termasuk di sini adalah mengikuti adat istiadat mereka.”

Hal itu selaras dengan apa yang telah disabdakan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ ‘Tidak akan kiamat sebelum umatku mengikuti apa-apa yang dilakukan bangsa-bangsa terdahulu, selangkah demi selangkah, sehasta demi sehasta.’ Di antara para sahabat ada yang bertanya: ‘Ya Rasululah, apakah yang dimaksudkan (di sini) adalah bangsa-bangsa Yahudi dan Nasrani?’ Rasulullah menjawab: ‘Siapa lagi (kalau bukan mereka)’.” (Riwayat Bukhari)

Akhirnya, tinggalkan budaya kufur yang ‘menjanjikan’ hawa nafsu kesenangan duniawi itu, budaya menyesatkan yang dijadikan senjata orang-orang kafir untuk ‘mengirim’ peradabannya kepada kaum Muslimin, sehingga tercapai matlamat yang diinginkan orang-orang kafir yang sememangnya amat membenci Islam dan umatnya. Orang-orang kafir ini tidak akan teragak-agak memesongkan umat Islam daripada akidah yang dipegang, iaitu akidah Islam dan seterusnya mengikuti akidah jahiliah, sekulerisme, dan kapitalisme.

Justeru itu, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 120, yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)’. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

Sumber: sini
Baca selanjutnya...

SELAMAT HARI GURU


SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua warga pendidik. Mudah-mudahan segala tunjuk ajar yang diberikan memberi manfaat yang sangat berguna kepada para pelajar. Sesungguhnya jasa-jasa guru amat besar nilainya. Selamat Hari Guru kepada semua guru yang sentiasa berdedikasi dan komited dengan tugas mereka.

Baca selanjutnya...

Sejarah Kuala Terengganu

Kuala Terengganu, ibu negeri dan bandar Diraja Terengganu, merupakan sebuah tanjung tinggi yang terhasil daripada gabungan lautan pada satu bahagian dan Sungai Terengganu yang luas pada bahagian yang satu lagi. Ia terletak di muara Sungai Terengganu. Daripada sebuah bandar yang sunyi, ia telah berubah menjadi sebuah pusat bandar yang pesat membangun, hasil penemuan minyak yang besar berhampiran dengan pantai Terengganu.

Baca selanjutnya...

Ibu Bapa Tetap ‘Pencorak’ Peribadi Anak


TELAH sering kita mendengar seruan agar ibu bapa harus bekerjasama dengan para guru dan memberi perhatian yang lebih kepada pendidikan anak-anak mereka di rumah.

Kita tidak menafikan ada ibu bapa yang mengambil peduli secara aktif tentang pendidikan anak mereka, tetapi ramai juga yang tidak melakukan demikian. Ada yang tidak punya masa, ada yang tidak tahu bagaimana hendak membantu anak mereka dan ada juga menyerahkan tanggungjawabnya bulat-bulat kepada guru. Kasihan guru.

Sebenarnya, ibu bapa bukan sahaja harus membantu atau bekerjasama dengan guru, bahkan menjadi tanggungjawab utama mereka untuk mendidik anak mereka dan tidak melepaskannya kepada para guru.

Ini terlihat jelas dalam maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanyalah yang menentukan ia menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi... ”

Implikasi hadis ini sangat mendalam. Ia merupakan asas utama pendidikan yang menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada anak mereka.

Bayi dilahirkan bersih dan suci. Ibu bapanyalah yang menentukan agama atau kepercayaan dan pegangan hidupnya. Sebagai orang Islam, menjadi tanggungjawab kita menentukan agar anak kita menganuti nilai-nilai murni Islam - tidak mengutamakan kebendaan dan tidak juga mempunyai fahaman yang sempit terhadap Islam.

Ini penting sebab dalam kehidupan manusia di dunia, nilai dan pegangan hidup yang terpenting ialah kepercayaan atau agamanya, yang mencorak pemikirannya dan menjadi tunjang kepada tujuan dan gaya hidupnya.

Bayi belajar banyak daripada didikan dan contoh teladan yang dipaparkan ibu bapanya.

Tempoh sebelum masuk ke sekolah merupakan zaman yang amat penting bagi ibu bapa mendidik anak mereka. Ibu bapa merupakan guru yang pertama.
Kanak-kanak mempunyai keperluan psikologi. Ia perlukan kasih sayang dan pelukan.Apa yang dipelajari dan dialami daripada ibu bapanya akan menjadi sebati dengannya.

Justeru, Islam menganjurkan agar ibu bapa mendidik dan memberi contoh akhlak yang mulia kepada anak mereka.

Sabda Rasulullah sa.w yang bermaksud:

“Kegiatan anak pada masa kecilnya akan menambahkan akalnya pada waktu dia besar.” (Riwayat Tarmizi)

Dalam sebuah hadis lain pula yang turut diriwayatkan oleh Tarmizi, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tiada suatu pemberian yang diberikan seorang ayah kepada anaknya lebih utama daripada mengajarnya adab yang mulia.”

Rasulullah saw sendiri menyayangi kanak-kanak sebagaimana baginda lakukan terhadap cucu-cucu baginda, dan pernah bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya.”

Ini bererti ibu bapa perlu kenal sifat-sifat anaknya dan prihatin terhadap potensi dan kelemahannya. Mereka juga harus mempunyai ilmu ukhrawi dan duniawi termasuk psikologi, walaupun tidak mendalam, supaya dapat mendidik anak mereka dengan sempurna.

Apabila ibu bapa memasukkan anak mereka ke sekolah atau menyerahnya kepada orang lain untuk mendidiknya, mereka harus ambil tahu apa yang akan dipelajari dan memantau pembelajarannya. Jangan sampai anak-anak mereka itu terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang kurang baik seperti materialisme atau fahaman sempit yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

Peranan aktif orang tua dituntut agar memberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi dalam setiap aspek kehidupan anak. Cara ini akan membentuk keperibadian anak supaya dapat tumbuh sihat, baik secara jasmani mahupun rohani, sehingga menjadi zuriat yang baik.

Ini adalah kewajipan ibu bapa yang diamanahkan Allah s.w.t. Jika terdapat anak-anak yang hanya pandai berfoya-foya, selalu menyakitkan hati dan meracuni jiwa orang-orang tuanya, besar kemungkinan puncanya ialah daripada ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang didikan agama anak-anaknya.

Pada masa yang sama, kita wajib mendidik anak kita agar menjadi anak soleh yang senantiasa mendoakan ibu bapanya. Kini ada juga anak bernama Saleh tetapi amalan tidak soleh.

Akhir sekali, marilah kita didik anak-anak kita dari sekarang, sebelum terlambat, supaya menjadi anak yang soleh. Cuma sebelum ini, kenalah kita menjadikan diri kita sendiri orang yang soleh.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

“Kaki Kebenaran” yang menentang penjajah

Oleh Happis Basha

”Syria dan Dunia Islam telah kehilangan seorang alim dari kalangan ulamanya, seorang mujahid dari para mujahideennya, ustaz dari kalangan asatizahnya, pendakwah dari kalangan para pendakwahnya. Saya sungguh mengenali beliau dan mengetahui kebenaran, kejujuran dan keikhlasannya. Beliau berterus terang, kuat keazaman dan mempertahankan aqidah dan prinsip. Beliau memiliki kaki kebenaran dan tangan yang putih terang dalam menyumbang kepada isu-isu Islam dan Arab, terutamanya Syria dan Palestin. Beliau mengetuai ketenteraan mujahideen Ikhwan Muslimin dalam mempertahankan Baitul Maqdis pada tahun 1948″.- Asy-Syeikh Amin Al-Husaini

“Sesungguhnya aku belum pernah melihat di Bilad Asy-Syam (negara Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin) seorang yang lebih tinggi hemah dan jiwanya selain Mustafa Sibaie, belum pernah melihat seorang yang lebih pedih jiwa terhadap apa yang menimpa Islam dan umat Islam selain beliau”.- Asy-Syeikh Muhammad Abu Zahrah.

Sejak kecil lagi beliau telah menghafal al Quran dan mempelajari asas-asas ilmu agama daripada bapanya. Setelah tamat sekolah rendah dengan cemerlang, beliau kemudiannya dimasukkan ke Maahad Syarie di Homs, pada tahun 1930.

Keturunanya turun temurun mewarisi imam dan Khatib di Masjid besar Homs. Bapanya Syeikh Husaini Al- Sibaie adalah tokoh agama, seorang pembaharu (reformis) yang disegani.

Beliau ialah Mustafa bin Husni as Sibaie. Dilahirkan pada tahun 1915 di Bandar Homs di Syria dan dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang mulia dan beragama.

Semasa belianya, beliau menunjukkan bakat kepimpinan di medan dakwah. Beliau menubuhkan Ikatan Agama Homs, dan sewaktu di Damsyik beliau telah menubuhkan Pemuda Islam Damsyik. Belum 18 tahun, beliau telah diberi kepercayaan untuk berkhutbah menggantikan ayahnya.


Di waktu itu, usahanya tertumpu kepada menentang penjajahan Perancis. Beliau menubuhkan satu gerakan untuk menentang sekolah-sekolah yang ditaja oleh penjajah. Beliau menulis dan menyediakan makalah-makalah bertujuan menimbulkan kesedaran rakyat supaya menolak penjajah dan membongkar niat buruk penjajah melalui penubuhan sekolah-sekolah ini.

Tidak cukup dengan gerakan itu, beliau berani membuat perhimpunan rakyat berpidato di atas pentas dan seterusnya memimpin demonstrasi menentang penjajah. Akibatnya beliau dipenjarakan pada tahun 1931.

Pada tahun 1949, dalam kesibukan berjihad ,Syeikh Mustafa As Sibaie berjaya menyiapkan tesis Ph.D bertajuk "As Sunnah dan Kedudukannya dalam Perundangan Islam". Satu tesis yang cukup bermutu membela Islam di medan sunnah dan menolak hujah-hujah orientalis yang mengelirukan. Lujnah Ulama Besar Al Azhar bersepakat memberikan pangkat imtiyaz.

Setelah pulang ke Syria pada tahun 1950 dan diberikan jawatan pensyarah undang-undang di Universiti Damsyi,. Dr Mustafa menjalankan khidmatnya dengan cemerlang. Berkat kegigihan usahanya pada tahun 1955, beliau berjaya menubuhkan Fakulti Syariah dan dilantik menjadi Dekan pertama. Antara usaha pertamanya ialah ingin mewujudkan Ensiklopedia Fiqh Islam yang menjadi rujukan utama kepada alim ulama masa kini.

Dalam bidang politik pula, beliau adalah ahli Parlimen Damsyik (1949-1954) yang banyak bersuara menyampaikan hasrat rakyat dari membuat cadangan-cadangan yang membina. Dalam bidang kewartawanan, beliau berjaya melancarkan akbar Al Syihab pada tahun 1955, setelah diberi sedikit kebebasan bersuara di Syria.

Pada tahun 1985 majalah Al Muslimun dikeluarkan di Mesir, tetapi diharamkan.
Beliau kemudiannya mengambil alih untuk dicetak dan diedarkan di Syria. Pada tahun 1985 majalah Al Muslimun ditukar namanya kepada Hadhorah Islam. Dr Mustafa As Sibaie adalah seorang tokoh Islam yang mempunyai banyak idea-idea yang bernilai untuk Islam.

Antara khazanah ilmu yang ditinggalkan adalah “As Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri´ al Islamiy”, ”al Mar´ah Baina al Fiqh wa al Qanum”, “Istirakiyah al Islam”, “Hakadza ´Allamtani al Hayah”, “Akhlaquna al Ijtima´iyyah”, ”Ahkam As Shiyam wa Falsafatuhu”, “al-Qalaid min Faraid al Faraid”, “Syarh al Ahwal As Syakhsiyah”, “al Washaya wa al Faraid”, “Ahkam al Mawarith”.

Pada hari Sabtu 27 Jamadil Awal 1384H di bandar Hims, bersamaan 3 Oktober 1964, Mustafa As-Sibaie kembali ke rahmatullah setelah memenuhi hidupnya dengan jihad yang berterusan. Jenazahnya diiringi ribuan manusia dan disolatkan di Masjid Umawi, Damsyik.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Amalan yang semakin jauh

Oleh Shahzuani A. Hamid
Pelajar Praktikum Universiti Sains Islam Malaysia

Ibu mengandung itu seakan-akan mahu pitam. Mungkin terlalu letih kerana seharian bekerja dan terpaksa pula berdiri lama di dalam komuter. Usia kandungannya kira-kira lima bulan. Leka memerhati ibu mengandung yang baru masuk ke dalam komuter sebentar tadi dengan keadaan penuh sesak dengan manusia yang baru pulang bekerja.

Agak sukar bagi si ibu untuk meredah kesesakan lalu berdiri di hadapan sekumpulan remaja perempuan yang sedang duduk sambil berbual. Dibiarkan si ibu berdiri sepanjang perjalanan dan perhentian. Malang sungguh.

Wajarkah kita melakukan perkara sedemikian? Di mana letaknya sikap prihatin dan timbang rasa kita sebagai manusia?

Sudah banyak yang di ajarkan kepada kita tentang sikap prihatin, tanggungjawab, timbang rasa, menghormati dan menyayangi tetapi masih belum meninggalkan kesan. Buktinya fenomena sebegini masih berlaku dan boleh dilihat di mana sahaja.

Siapa yang harus dipersalahkan? Kerajaan? Ibu bapa? Atau individu itu sendiri. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi segelintir masyarakat di negara ini. Terlalu mementingkan diri sendiri.

Kerajaan telah berusaha memberikan panduan kepada masyarakat tentang akhlak yang baik yang harus diamalkan melalui iklan sama ada media cetak mahupun media elektronik. Masyarakat diberi panduan bagaimana hendak berbudi dan berbahasa. Malangnya tidak diendahkan.

Salah satunya adalah kempen yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Kempen yang bertemakan ”Budi Bahasa dan Nilai Murni” adalah bertujuan untuk mendedahkan masyarakat dengan nilai-nilai yang perlu menjadi amalan seharian.

Banyak iklan di media yang mengajar kita membantu dan menghormati orang lain. Lebih mudah dilihat dan difahami adalah melalui televisyen.

Contohnya, mengutamakan orang yang lebih tua ketika menaiki kenderaan awam, membantu mengangkat barang-barang mereka, membantu mereka ketika melintas jalan dan memberikan tempat duduk kepada orang yang kurang upaya atau yang lebih memerlukan. Tidak rugi membuat kebaikan kepada mereka.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, oleh itu pastinya setiap bangsa mempunyai pelbagai budaya, adat dan agama. Sudah tentu ia menitikberatkan tentang nilai-nilai murni, akhlak yang baik begitu juga kesopanan dan tatasusila.

Namun, tidak dapat dinafikan segelintir masyarakat kita pada masa kini mengamalkan gaya hidup yang kasar, melanggar peraturan dan etika berbahasa, meletakkan adab sopan jauh dibelakang dan mengabaikan tatasusila.

Sebenarnya akhlak yang baik bermula dari rumah dan diri kita sendiri. Kita yang menentukan akhlak dan jati diri terutamanya golongan remaja yang bakal menerajui negara, bangsa dan agama.

Lebih-lebih lagi kita hidup dalam negara Islam yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama. Justeru itu, nilai-nilai murni harus diterapkan dan diamalkan tanpa mengira siapa kita, tinggi pangkat kita atau sebaliknya.

Tindakan kerajaan mengadakan kempen ini adalah untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi juga perilaku warganegara malaysia di semua peringkat. Selain percaya kempen ini akan memberikan input dan impak yang baik jika masyarakat peka dan bersedia bukan sahaja untuk meneguhkan kembali kekuatan peribadi malah jati diri masyarakat kita.

Dari perspektif Islam pula, semua perbuatan yang baik dan ikhlas itu dianggap nilai-nilai murni yang harus diamalkan oleh semua lapisan masyarakat. Ia merangkumi tingkah laku, perbuatan, adab bertutur dan sikap individu. Dalam masyarakat Melayu, keperibadian dan pembentukan sahsiah diri dan jati diri amat penting untuk membina peribadi melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi. Rasullullah adalah contoh terbaik yang patut diikuti kerana baginda sentiasa menggunakan bahasa yang baik ketika bertutur, penuh adab sopan dan rasional.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...

Artikel Khas Sempena Sambutan Hari Ibu


Wanita dan Ibu Muslimin

Oleh SMAHADZIR

PENGHORMATAN terhadap wanita jelas terbentang dalam ajaran Islam, malahan sehingga di dalam al-Quran terdapat surah yang membincangkan soal-soal wanita. Surah itu dinamakan An-Nisa’, bererti ‘Surah Perempuan atau Wanita.’ Ini menunjukkan persoalan wanita tidak diabaikan oleh Allah s.w.t. Di dalam surah Al-Ahzab pula diterangkan mengenai hakikat tersebut sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan Mukmin, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah s.w.t, Allah s.w.t telah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 35)

Nabi Muhammad s.a.w telah memberi contoh dan teladan dan penghargaan terhadap kaum wanita. Lemah lembut dan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap isteri-isteri baginda telah ‘melunakkan’ hati-hati orang zalim pada zaman itu, umpama cahaya yang memancar menembusi ceruk dan liku-liku kehidupan. Sebenarnya, lelaki dan wanita itu telah diberi hak yang sama dan kewajipan yang sesuai dengan keadaan jasmani dan peribadi masing-masing. Lelaki yang bertubuh kuat dan berkuasa diberi tugas untuk memimpin dan melindungi wanita yang bertubuh lemah, berperasaan halus, dan sensitif.

Memang sifat semulajadi wanita senang dengan perlindungan dikasihi, dihormat, dipelihara perasaannya, serta diambil berat tentang kebajikannya. Bagi wanita pula, tugas melahirkan anak, memelihara dan mendidik adalah perkara biasa yang memang sesuai dengan kemahuan dan fitrah semulajadi yang dikurniakan Allah s.w.t untuknya. Tentang perkara ini Allah telah berfiraman yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita, disebabkan Allah s.w.t telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana lelaki telah menafkahkan harta mereka.” (An-Niza’: 34)

Walaupun tugas memimpin dan memberi nafkah itu merupakan kelebihan yang diberi kepada kaum lelaki, tetapi tidak timbul sama sekali tentang siapa yang berkuasa dan siapa yang menguasai. Sebab hubungan antara pemimpin dengan yang dipimpin, antara yang memberi nafkah dengan yang diberi nafkah, bukanlah hanya diikat dengan ikatan harta benda dan pengajaran semata-mata, tetapi yang kuat dan teguh mengeratkan ikatan tersebut adalah ikatan ‘kasih sayang.’ Dapat juga dijelaskan bahawa dunia akan menjadi kosong tanpa wanita di dalamnya, sebagai pasangan lelaki untuk memperkembangkan keturunan. Kelahiran seorang wanita itu memang dinanti-nantikan untuk mengubat kesunyian hati seorang lelaki, iaitu Adam a.s. Oleh hal yang demikian, Allah s.w.t telah menjadikan Hawa sebagai teman daripada tulang rusuk Adam sendiri.

Begitulah Allah s.w.t memulakan kehidupan seorang wanita untuk melengkapi kehidupan di dunia ini bagi seorang lelaki, maka jadilah seorang wanita itu daripada tulang rusuk kiri yang bengkok lagi lemah. Oleh sebab itu wanita adalah teman rapat lelaki yang perlu dipimpin kehidupannya dengan penuh kebijaksanaan dan berhati-hati oleh lelaki. Tulang yang bengkok tidak boleh diluruskan secara kekerasan kerana dikhuatiri akan patah dan tidak pula boleh terlalu lembut hingga ia terus bengkok. Ini kerana lemahnya kejadian wanita, Allah s.w.t tidak memberatkan dengan tuntutan syariah yang melebihi kemampuannya.

Wanita adalah sebahagian daripada lelaki kerana ia dicipta dari tulang rusuk lelaki sebelah kiri. Ia dikurniakan dengan ‘sembilan’ nafsu dan ‘satu’ akal. Kelemahan wanita kerana menurut naluri daripada menggunakan akalnya. Lelaki dikurniakan ‘sembilan’ akal dan ‘satu’ nafsu. Kelemahan lelaki adalah kerana mudah terpedaya akan godaan wanita. Kenapa lelaki yang dikurniakan dengan ‘sembilan’ akal masih boleh tewas apabila digoda oleh wanita? Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Dan Dia telah menjadikan hamba-Nya itu berpasang-pasangan. Lelaki dan wanita saling memerlukan di antara satu sama lain. Sebahagiannya menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain.

Kemuliaan manusia hanyalah dalam agama, sejauh mana mereka berupaya mentaati perintah Allah s.w.t dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada wanita dengan berbagai-bagai kelebihan. Syarat untuk wanita masuk syurga begitu mudah. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita yang mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.” (Riwayat Abu Nuaim)

Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita salihah lebih baik daripada seribu lelaki yang tidak salih. Dan seorang wanita yang melayan suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka lapan pintu syurga yang mana dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa hisab.”

Siti Aisyah pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang wanita yang didatangi haid kecuali haidnya merupakan kifarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu. Dan pada hari pertama haidnya, dia membaca ‘Alhamdulillahi ‘alakulli hal waastaghfirullaha min kulli zanbin’, maka Allah s.w.t menetapkan baginya bebas daripada neraka, dengan mudah melalui sirat, aman daripada seksa, bahkan Allah s.w.t mengangkat ke atasnya darjat 40 orang syuhada apabila dia selalu berzikir kepada Allah s.w.t selama haidhnya.”

WANITA YANG MULIA DI SISI ALLAH

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, apabila engkau perintah dia taat, apabila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.”

Terdapat sebuah riwayat, bahawa pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ada seorang lelaki yang bakal berangkat untuk berperang di jalan Allah s.w.t. Dia berpesan kepada isterinya, “Wahai isteriku, janganlah sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini sehingga aku kembali.”

Secara kebetulan ayahnya menderita sakit, maka wanita tersebut mengutus seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda kepada utusan itu, yang bermaksud: “Supaya dia taati suaminya.” Wanita itu mengutus utusannya bukan hanya sekali sehingga akhirnya dia benar-benar mentaati suaminya dan tidak berani keluar dari rumah. Maka ayahnya meninggal dunia, tetapi dia tetap tidak pergi melihat atau menziarahi jenazah ayahnya. Dia tetap sabar sehingga suaminya pulang. Maka Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengampuni wanita tersebut disebabkan ketaatannya kepada suaminya.” Dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa Allah s.w.t turut mengampuni dosa ayahnya disebabkan ketaatan anaknya itu.

Inilah sebenarnya perkara yang menyebabkan wanita diredai oleh Allah s.w.t, bukannya dalam persamaan hak yang seperti dituntut golongan yang jahil agama. Sedangkan dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi s.a.w telah melihat di dalam syurga bahawa Allah s.w.t memasukkan wanita ke dalam syurga 500 tahun lebih awal daripada suami mereka dan apabila melihat ke dalam neraka, Nabi s.a.w dapati dua pertiga daripada penghuninya adalah wanita.

KELEBIHAN WANITA

Abdullah bin Masud meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang wanita mencuci pakaian suaminya, maka Allah s.w.t mencatat baginya seribu kebaikan, diampunkan 2000 kesalahan, bahkan segala sesuatu yang disinari matahari akan memohon ampun baginya dan Allah s.w.t mengangkat seribu darjat untuknya.”

Maulana Syed Ahmad Khan dalam bayannya menceritakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita. Katanya:
1. Seorang wanita yang salihah lebih baik daripada seorang wali Allah.
2. Wanita yang menguli tepung dengan membaca Bismillah akan diberkati Allah s.w.t akan rezekinya.
3. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti membersihkan Baitullah.
4. Wanita yang salihah lebih baik daripada 70 orang lelaki yang salih.
5. Allah s.w.t akan memberkati rezeki apabila wanita memasak dengan berzikir.
6. Seorang wanita yang menutup auratnya ditingkatkan oleh Allah s.w.t nur wajahnya 13 kali daripada wajah asalnya.
7. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah s.w.t yang Maha Indah di akhirat nanti, tetapi bagi Allah s.w.t sendiri akan datang untuk berjumpa dengan wanita yang menjaga auratnya purdah dengan istiqamah.

PERKARA YANG AMAT DILARANG ALLAH PADA SEORANG WANITA

1. Kepada wanita yang tidak menutup aurat Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hiduplah dengan apa yang kau suka.”
2. Allah s.w.t melaknati wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada lelaki yang bukan muhrim.
3. Perempuan yang memakai kain yang nipis dan jarang untuk menarik perhatian lelaki bukan muhrim atau memakai segala yang mendatangkan keghairahan kepada orang lain, maka dia tidak akan mencium bau syurga.

Wanita yang jahat lebih buruk daripada seribu orang lelaki yang jahat. Pengorbanan seorang wanita amat dihargai oleh Allah s.w.t dan rasul-Nya. Cuma kita kurang mengetahui kelebihan yang dikurniakan kepada kita semua. Sehinggakan hari ini manusia Islam mencari sesuatu selain daripada agama kerana merasakan pengorbanan mereka tidak dihargai. Dan mereka turut melaungkan persamaan hak seperti di Barat. Ini semua bukanlah salah mereka, tetapi kitalah yang bersalah kerana kita lupa bahawa kita ini umat yang dianugerahkan dengan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini - memberi harapan dan bimbingan kepada manusia.

KEMULIAAN ISTERI DI DALAM ISLAM

1. Apabila suami pulang ke rumah dalam keadaan letih dan isteri melayan dengan baik, maka dia memperoleh pahala jihad.
2. Wanita yang menyebabkan suami keluar ke jalan Allah s.w.t dan menjaga adab rumah tangga akan masuk syurga 500 tahun lebih dulu daripada suaminya. Dia akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari. Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggang dengan menunggang kuda yang diperbuat daripada permata yaqut.
3. Wanita yang menjaga solatnya, puasa, dan taat kepada suami, Allah s.w.t izinkan dia memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia sukai.
4. Kalau isteri melayan suami tanpa khianat, dia mendapat pahala 12 tahun solat.
5. Wanita yang meninggal dengan keredaan suaminya akan masuk syurga.
6. Jika suami mengajar isterinya satu masalah agama, akan dapat pahala 80 tahun ibadat.
7. Isteri yang memandang suami dengan kasih sayang dan suami yang memandang isteri, juga dengan kasih sayang, maka Allah s.w.t memandang dengan penuh rahmat.
8. Jika suami mendatangi isterinya kemarahan, tetapi isteri melayan dengan baik, maka mendapat separuh pahala jihad.

KEMULIAAN IBU DI DALAM ISLAM

1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.
2. Wanita yang hamil mendapat pahala puasa pada siang hari dan pahala ibadat pada malam hari.
3. Wanita yang bersalin mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah s.w.t menganugerahkannya satu pahala haji.
4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia dikira sebagai mati syahid.
5. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya, akan dapat satu pahala daripada setiap titik susu yang diberikannya.
6. Wanita yang memberi minum susu badannya kepada anaknya yang menangis, maka Allah s.w.t beri pahala satu tahun pahala solat dan puasa.
7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh dua setengah tahun, maka malaikat di langit mengkhabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.
8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit, akan memperoleh pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.
9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit, akan diampunkan oleh Allah s.w.t akan seluruh dosanya dan apabila dia menghiburkan hati anaknya, Allah s.w.t mengurniakan 12 tahun pahala beribadat.

WANITA YANG DIMURKAI ALLAH

Kemurkaan Allah s.w.t pada hari kiamat amat dahsyat sehinggakan nabi-nabi pun sangat takut. Bahkan Nabi Ibrahim pun lupa bahawa dia mempunyai anak yang bernama Nabi Ismail kerana ketakutan yang amat sangat. Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita yang berkata kepada suaminya, ‘semoga engkau mendapat kutukan Allah s.w.t’, maka dia dikutuk oleh Allah s.w.t dari atas langit ketujuh dan mengutuk pula segala sesuatu yang dicipta oleh Allah s.w.t kecuali dua jenis makhluk, iaitu manusia dan jin.’

Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermkasud: “Seorang isteri yang menyebabkan kesusahan kepada suaminya dalam hal belanja atau membebani sesuatu yang suaminya tidak mampu lakukan, maka Allah s.w.t tidak akan menerima amalannya yang wajib dan sunatnya.”

Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seandainya apa yang ada di bumi ini merupakan emas dan perak serta dibawa oleh seorang wanita kerumah suaminya. Kemudian pada suatu hari dia terlontar kata-kata angkuh, ‘engkau ini siapa? Semua harta ini milikku dan engkau tidak punya harta apapun.”

Maka hapuslah semua amal kebaikannya walaupun banyak. Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang yang sangat kasih kepada umatnya. Baginda menghadapi segala rupa bentuk penderitaan, kesakitan, keletihan, dan tekanan. Begitu juga air mata dan darah baginda telah mengalir semata-mata kerana kasih sayang terhadap umatnya. Maka lebih-lebih lagi kita sendirilah yang wajar berusaha untuk menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan seluruh umat baginda. Ali r.a. meriwayatkan sebagai berikut: “Aku bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui baginda sedang menangis. Kami bertanya kepada baginda, “Mengapa tuan menangis, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Pada malam aku diisrakkan ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai-bagai penyeksaan, maka apabila teringatkan mereka, aku menangis.” Aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apakah yang tuan lihat?’ Beliau bersabda:
1. Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak kepalanya mendidih.
2. Wanita yang digantung dengan lidahnya serta tangannya dipaut dari belakangnya sedangkan lahar yang mendidih dari neraka dituangkan ke kerongkongnya.
3. Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari belakangnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.
4. Wanita yang digantung, diikat kedua-dua kaki dan tangannya ke arah ubun-ubun kepalanya serta dibelit di bawah kekuasaan ular dan kala jengking.
5. Wanita yang memakan badannya sendiri serta di bawahnya kelihatan api yang menyala-nyala dengan dahsyat.
6. Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.
7. Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.
8. Wanita yang tuli, buta, dan bisu dalam peti neraka, sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung, telinga, mulut) dan badannya membusuk akibat penyakit kulit.
9. Wanita yang berkepala seperti kepala babi dan kaldai yang menerima berjuta jenis seksaan.

Maka berdirilah Fatimah seraya berkata, “Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku... ceritakanlah kepadaku, apakah amal perbuatan wanita-wanita itu.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Wahai Fatimah, adapun tentang:
• Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (di jilbab) di kalangan lelaki.
• Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana dia menyakiti hati suaminya dengan kata-kata kesat.
• Kemudian Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Tidak seorang wanita yang menyakiti hati suaminya melalui kata-katanya kecuali Allah s.w.t akan membuatnya mulutnya kelak pada hari kiamat, selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya.
• Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.
• Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib daripada haid dan nifas.
• Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka membicarakan keaiban orang.
• Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) di kalangan orang ramai dengan tujuan supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta padanya kerana melihat perhiasannya.
• Adapun wanita yang diikat kedua-dua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya dan dibelit oleh ular dan kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat dan puasa, tetapi dia tidak mahu berwuduk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.
• Adapun wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti kaldai kerana dia suka melaga-lagakan orang serta berdusta.
• Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ‘ahli fitnah’ serta suka marah-marah pada suaminya.

Ada di antara isteri para yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik. Di antara sifat buruk mereka:
1. Isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya.
2. Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.

KEISTIMEWAAN WANITA

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, baginda menjawab: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”
2. Wanita yang salihah (baik) itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang salih.
3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t dan orang yang ttakut akan Allah s.w.t, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.
4. Barangsiapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka, barangsiapa yang menggembirakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail a.s.
5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah s.a.w) di dalam syurga.
6. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.
7. Daripada Aisyah r.a. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”
8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
9. Apabila ibu bapa memanggil kamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.
10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya, akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan walinya serta menjaga sembahyang dan puasanya.
12. Aisyah r.a berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?” Jawab baginda, “Suaminya.” “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ibunya.”
13. Wanita, apabila melakukan solat lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.
14. Setiap wanita yang membantu suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).
15. Apabila seseorang wanita mengandungkan janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t mencatatkan baginya setiap hari dengan seribu kebaikan dan menghapuskan daripadanya seribu kejahatan.
16. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.
17. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.
19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t memberinya pahala seperti memerdekakanya 70 orang hamba dengan ikhlas demi membela agama Allah s.w.t.

Demikianlah besarnya anugerah Allah kepada para wanita yang taat akan perintah Allah, ajaran rasul-Nya, juga kepada suaminya.

sumber: sini
Baca selanjutnya...

Jihad Bukan Berperang Semata-Mata


Oleh mohd Rumaizuddin bin Ghazali
Timbalan Presiden ABIM

Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa jihad hanya disyariatkan selepas nabi s.a.w berhijrah ke Madinah. Sebelum itu, umat Islam tidak mengenali istilah jihad dan hukumnya. Padahal kenyataannya bukanlah begitu. Ini kerana terdapat ayat al-Quran yang diturunkan pada zaman Mekah yang menyuruh nabi agar berjihad. Ayat ini ialah dalam surah al-Furqan ayat 52. Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan jihad yang benar."

Dalam surah al-Nahl ayat 110, Allah juga telah berfirman yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Tuhanmu adalah (pelindung) bagi orang orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Nahl, ayat 110)

Menurut sebahagian besar ulamak ayat ini diturunkan di Mekah. Antaranya ialah Ibn Zubair, Hasan al-Basri, Ikramah ‘Ata dan Jabir. Menurut Ibn Abbas, surah ini adalah makkiyyah kecuali ayat 95-97. Maksud hijrah dalam ayat diatas ialah hijrah ke Habsyah dan bukannya hijrah ke Madinah.

Sebab utama mereka beranggapan bahawa ayat jihad diturunkan di Madinah selepas hijrah kerana mereka berpendapat bahawa jihad dengan makna yang sempit. Mereka melihat jihad itu hanya melalui peperangan semata-mata. Sememangnya perintah untuk berjihad dan memerangi orang musyrikin adalah setelah Rasulullah berhijrah dan tinggal di Madinah.

Pandangan seperti ini menyebabkan sebahagian makna dan kondisi jihad yang lain dipinggirkan. Tidak diragukan lagi bahagian terpenting jihad adalah yang muncul pada masa awal permulaan Islam di kota Mekkah iaitu jihad berdakwah, mengajak orang musyrikin ke jalan yang benar dan memerintahkan mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka dengan mengikut kesesatan nenek moyang mereka. Juga termasuk dalam kategori jihad ini ialah kesabaran Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dalam mempertahankan akidah, kebenaran meskipun menghadapi pelbagai cabaran, hambatan yang berupa seksaan dan cemuhan. Satu lagi jihad yang terpenting dalam period ini ialah kesunggguhan nabi dan para sahabatnya dalam mempelajari al-Quran dan menyingkap hukum-hukum dengan segala sesuatu yang terkandung di dalamnya dengan penuh teliti dan tekun.

Bagaimana tidak dikatakan jihad sedangkan secara jelas Allah menyebutkan ketika berfirman kepada Rasul-Nya iaitu ketika nabi masih di kota Mekkah dengan menyatakan : "Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar." (al-Furqan, ayat 52)

Ibn Abbas menyebutkan berjihadlah pada jalan Allah dengan menggunakan al-Quran dan dalil-dalilnya dengan jihad yang besar. Jihad ini merupakan jihad yang besar dan merupakan inti dari perintah jihad itu sendiri. Kedudukan jihad sebegini mempunyai keistimewaan dan kemuliaan dibandingkan dengan jihad-jihad yang lain. Jihad yang dilakukan oleh Rasulullah semasa di Mekkah ini bagaikan sebatang pohon yang kukuh sepanjang zaman. Sedangkan perang di jalan Allah diibaratkan sebagai cabang-cabangnya yang tumbuh berganti sesuai dengan musim yang dilaluinya.

Inilah hakikat jihad yang sebenar iaitu jihad dakwah mengajak manusia mengesakan Allah. Ia bukan bermakna berperang atau bertempur di medan terbuka semata-mata seperti yang tersirat dalam fikiran sebahagian umat Islam kini.

Masih banyak orang yang ketika dibacakan hadith nabi s.a.w. yang bermaksud : "Jihad yang paling utama adalah mengucapkan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim." (Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Turmizi dan Ibn Majah secara marfu'). Lantas mereka mentakwilkan hadith ini dengan perintah untuk melaksanakan perang. Tidak terlintas dalam fikiran mereka "kalimah yang benar” (kalimah haq) dalam hadith tersebut kecuali mereka ertikan dengan perang dan pertempuran. Sedangkan maksud yang sebenarnya dari hadith tersebut adalah agar dalam memberi peringatan kepada para penguasa yang zalim hendaklah dengan cara bertutur dengan bahasa yang halus dan benar, jauh dari kata-kata kotor ,mengumpat dan memaki.

Perintah untuk berperang baru datang setelah nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah dan dakwah pada masa itu telah diatur oleh satu negara yang dipimpin oleh Rasulullah. Hal itu juga berkaitan untuk memelihara masyarakat Islam yang semakin berkembang dan menjaga negara dari segala bentuk pencerobohan. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap muslim untuk berjihad secara menyeluruh dengan dimulai dengan menerapkan pokok jihad yang utama iaitu jihad berdakwah, mengenal Tuhan dalam diri kita, keluarga dan masyarakat. Kemudian barulah dilanjutkan dengan cabang-cabang jihad yang lain sesuai dengan perkembangan masyarakat dan zaman..

Oleh itu, usaha untuk mengenal Islam, ilmu-ilmu yang berhubungan dengan Islam dan berdakwah kepada agama Islam merupakan rukun pertama dalam berjihad. Perkara yang perlu diketahui dari hakikat jihad yang pertama ini ialah bahawa jihad ini merupakan sebahagian dari kewajipan umat Islam untuk menyampaikan agama Islam kepada orang lain. Kewajipan menyampaikan jihad dakwah ini merupakan kewajipan setiap individu muslim tanpa menunggu kebenaran keizinan ketua sepertimana terjadi dalam peperangan.

Jihad dalam berdakwah dilakukan dengan cara halus, tidak dengan kasar. Seorang pendakwah tidak diperkenankan berdakwah dengan menggunakan cara-cara yang kasar, keras dan paksaan. Ini kerana dakwah kepada Allah dalam erti globalnya adalah memenuhi kewajipan Allah kepada hambaNya untuk saling membantu dalam kebaikan dan ketakwaan. Firman Allah yang bermaksud : " Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya ,” (al-Maidah, ayat 2)

Firman Allah yang bermaksud : " Jika kamu berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan rasul kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (al-Maidah, ayat 92)

Ayat ini diturunkan di Madinah setelah turunnya kewajipan untuk berjihad dengan berperang. Ertinya, dalam apa jua keadaan dan masapun kewajipan dakwah tidak berubah, iaitu dilakukan dengan cara halus dan damai, tidak dengan cara kekerasan.

Seorang pendakwah adalah seorang yang berusaha untuk merealisasikan tertanamnya hidayah dalam setiap individu muslim dan manusia keseluruhannya. Di samping itu, seluruh kegiatannya harus disertai dengan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Demi untuk kejayaan dakwah itu, pendakwah perlu menunjukkan contoh teladan yang baik, berbudi pekerti dan berakhlak mulia dalam interaksinya bersama semua lapisan masyarakat. Namun kita dapati juga ada yang terjun dalam dunia pergerakan Islam dan parti tertentu yang memperjuangkan matlamat masing-masing. Mereka ini saling berlumba dengan mengagungkan parti dan kelompok masing-masing demi merebut populariti, kerusi dan kedudukan. Dan untuk mencapai apa yang mereka inginkan itu mereka satu sama lain saling menjatuhkan. Jika demikian berlaku,bagaimana mereka hendak mempersiapkan diri untuk melakukan dakwah dan bagaiman mereka mampu untuk merebut hati masyarakat sedangkan mereka sendiri tidak mampu mengendalikan diri sendiri dengan sempurna. Jika para pendakwah kita bersifat demikian, saya yakin dakwah kita tidak akan berjaya. Saya juga tidak yakin mereka lakukan semua itu dengan penuh keikhlasan.

Faktor kejayaan dakwah yang dimaksudkan adalah agar seorang pendakwah memiliki rasa cinta kepada mad'unya. Bagi seorang pendakwah, hatinya selalu diliputi dengan perasaan kasih sayang kepada seluruh manusia yang berbeza-beza agama, aliran pemikiran, adat kebiasaan dan perbezaan-perbezaan yang lain. Perkara ini dapat direalisasikan sekiranya seorang pendakwah dapat mengorbankan kepentingan duniawi demi kebaikan masyarakat disekelilingnya. Inilah hakikat dakwah Islam sebagai pembawa rahmat kepada seluruh manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : " Dan tidaklah kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (al-Anbiya',ayat 107) Sabda Rasulullah yan bermaksud : "Orang-orang penyayang akan disayangi Allah, maka sayangilah orang-orang yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi orang-orang yang ada di langit." Dalam kitab sirah disebutkan bahawa Rasulullah sentiasa berdoa kepada seluruh golongan manusia sama aada muslim atau bukan Islam agar mereka mendapatkan rahmat, pengampunan dan hidayat dari Allah. Nabi s.a.w. tidak pernah berdoa untuk musyrikin kecuali doa-doa kebaikan. Selama beberapa tahun di Mekah, beliau tidak pernah menggerakkan lisan baginda untuk mendoakan dengan doa-doa yang buruk.

Jihad melalui dakwah itu bukti di atas keimanan. Ia sentiasa mempunyai perasaan cinta kepada Allah dan rasul-Nya. Alamat kecintaan itu ditonjolkan dengan berjihad pada jalan-Nya dan berdakwah kepada agama-Nya dan melindungi orang-orang yang beriman. Oleh itu, sesiapa yang tidak mengetahui hakikat dari dakwah dan jihad ini, maka mereka akan melakukan dakwah, namun pada hakikat itu bukan makna dakwah yang sebenar dan begitu juga mereka akan melakukan jihad namun apa yang mereka lakukan itu bukanlah erti jihad yang sebenar.

Jelaslah kepada kita bahawa jihad dakwah dapat dilakukan dengan cara-cara halus tanpa menggunakan kekerasan dan paksaan, didasarkan pada kasih sayang, rahmat serta sabar dalam menghadapi ujian dan mehnah hidup. Oleh itu, dakwah dengan mengajak manusia kepada agama Allah, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan berterusan merupakan jihad yang agung dan dapat membangunkan masyarakat Islam ke arah umat yang terbaik dalam memimpin tamadun manuia pada masa akan datang.

sumber: SINI
Baca selanjutnya...

Kitab Bahru al-Maazi (Bahagian Empat): Islamnya Saidina Umar RA


Sambungan

(Teks asal yang dialih daripada jawi ke rumi)

6) Masalah: Apa sebab Islam Saidina Umar? (Ya saudaraku) Adalah sebab Islam Saidina Umar itu ialah mulanya iaitu ada baginya saudara perempuan yang telah Islam dahulu daripadanya ianya dengan suaminya. Apakala didengarnya orang dua laki isteri telah Islam naiklah meradang didalam hatinya kerana panaskan mengapa orang dua laki isteri meninggalkan ugama datuk nenek, iapun terus pergi kerumah saudaranya itu bermaksud hendak dideranya manakala sampai ia kesana lalu dibacakan oleh saudaranya akan Quran. Orang arab bila mendengar Quran istimewa orang yang tinggi akal seperti Saidina Umar itu sudahlah disambar oleh kelazatan Quran akan papan hatinya dan sempurna kenyang perasaan ruhnya. Didalam itu pun sudah tertanya-tanya mana Muhammad, mana Muhammad SAW? Dan berbetulan pada masa itu ada seorang sahabat nabi bersama disitu bernama Khabab lalu berkata: terimalah khabar kesukaan ya Umar! Engkau telah didoakan oleh Rasulullah SAW malam kemarin pada Tuhan, ia minta muliakan Islam dengan salah seorang daripada dua Umar, iaitu engkau atau Abu Jahal. Maka Tuhan sudah makbulkan doanya menjadikan engkau memuliakan Islam. Maka pergilah is kepada Rasulullah SAW dirumahnya disisi tempat bernama al-Sofa di Mekah dan menzahirkan Islamnya dihadapan segala sahabat. Maka sekalian orang Islam pun mengucap takbir belaka oleh mendapat kesukaan kerana Islamnya.

Huraian:

Sebelum Saidina Umar RA memeluk Islam, beliau telah didahului oleh adiknya. Setelah mengetahui Islamnya adik dan suaminya maka meradanglah Saidina Umar RA. Sejurus itu, Saidina Umar RA terus ke rumah adiknya dengan tujuan meyakiti adiknya suami adiknya itu. Namun setibanya dirumah adiknya itu, beliau mendengar bacaan ayat suci al-Quran yang amat menusuk jiwanya yang menjuruskan dirinya untuk memeluk Islam. Ketika itu terdapat salah seorang sahabat Nabi SAW berada disitu dan menyatakan kepada Umar RA bahawa beliau merupakan salah seorang dari dua Umar yang didoakan Nabi SAW agar memasuki Islam. Maka pergilah Saidina Umar RA kepada Rasulullah serta menzahirkan Islamnya dihadapan Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain. Maka gembiralah sekalian para sahabat setelah seorang yang sangat berani telah bersama-sama Islam.
Baca selanjutnya...

Bangau oh Bangau


Oleh: ZALILA ISA

SUASANA hingar seketika. Hilaian si perempuan tiada henti. Sambil tangan kanan membetul-betulkan helaian rambut di dahi yang terjulur keluar melepasi tudung, tangan kiri pula kemas digenggam si lelaki. Bibir si lelaki pula tidak berhenti memperkatakan sesuatu sambil memandang rakan-rakan yang lain. Sekali-sekala si perempuan menyandarkan kepala di bahu temannya.

Di bahagian tempat duduk bertentangan pula dipenuhi dengan barisan si arjuna muda yang baru belajar bergaya. Berfesyen ala-ala model kononnya, menggenggam erat telefon bimbit dan memasang lagu-lagu Barat dengan kuat.

Fesyen mereka sangat pelik. Sekali pandang seumpama gaya ‘mat rempit’. Selekeh. Ada juga yang berfesyen ala-ala penyanyi ‘underground’ dari Barat. Itu belum lagi fesyen-fesyen yang muncul dan diaplikasikan oleh belia muda tanpa segan silu atau tanpa tahu di sebalik cerita fesyen tersebut yang kebanyakannya mendukung suatu idealisme yang kadangkala menyimpang dari budaya dan agama. Malah, pakaian yang dikenakan oleh mereka bukan sahaja melambangkan lontaran perasaan tidak puas hati dan marah kepada budaya dan prinsip sekeliling tetapi juga membenci suatu elemen yang dinamakan kehidupan sebagai manusia. Maka syaitan dan iblis menjadi pujaan dan itulah yang biasanya menjadi intipati dalam lagu-lagu yang didendangkan.

Remaja kita tidak tahu, malah sengaja tidak mengambil tahu latar belakang perkara yang cuba mereka aplikasikan dalam hidup. Mengikut-ikut, itulah istilah terbaik yang boleh dilabel kepada mereka.

Di Malaysia, merujuk kepada generasi mudanya, usah pelik apabila melihat mereka berpakaian senteng walaupun bukan musim hujan. Jangan geleng kepala bila melihat mereka menindik telinga sebesar syiling lima sen (lelaki dan perempuan) serta deretan subang pelbagai bentuk menghiasi cuping telinga. Usah ternganga jika mata terlirik dedahan pusat dan punggung yang menjadi fesyen kegemaran kebanyakan remaja perempuan di Malaysia. Juga, tidak janggal melihat anak-anak muda yang kadangkala hanya berumur awal belasan tahun sudah pandai pegang-pegang tangan, gesel-gesel badan atau kucup-kucup pipi di khalayak ramai.

Itu belum lagi remaja yang terlibat dengan jenayah-jenayah ringan dan berat seperti pengambilan alkohol yang berlebihan, dadah dan ganja, mencuri, meragut, merogol malah membunuh. Siapa yang mempengaruhi mereka? Cetek benarkah akal mereka sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk?

Apabila berbicara soal remaja dan masalah-masalah yang dihadapinya, pelbagai pihak terlibat sama dan adakalanya saling tuding menuding menyalahkan satu sama lain. Babak ini tak ubah seperti kisah dalam lagu “Bangau oh Bangau”. Bangau dijadikan watak utama dalam lagu ini kerana perkembangan cerita bermula dengan sang bangau yang terlalu kurus kerana tidak dapat memakan ikan yang bersembunyi di celah rumput yang panjang.

Bangau oh bangau,
kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus,
ikan tak mahu timbul…..ikan tak mahu timbul.

Ikan oh ikan,
kenapa engkau tak timbul?
Macam mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat…..rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,
kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku…..kerbau tak makan aku.

Kerbau oh kerbau,
kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan,
perut aku sakit…..perut aku sakit.

Perut oh perut,
kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit,
makan nasi mentah….makan nasi mentah.

Nasi oh nasi,
kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah,
api tak mahu menyala…..api tak mahu menyala.

Api oh api,
kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam mana aku nak menyala,
kayu api basah…..kayu api basah.

Kayu oh kayu,
kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah,
hujan timpa aku…..hujan timpa aku.

Hujan oh hujan,
kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa,
katak panggil aku…katak panggil aku.

Katak oh katak,
kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil,
ular nak makan aku…..ular nak makan aku.

Ular oh ular,
kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan,
memang makanan aku….memang makanan aku

Persamaan lagu itu dengan masyarakat kita amat banyak. Bukan sahaja isu remaja yang terlibat dalam jenayah, malah boleh diaplikasi berdasarkan isu-isu lain seperti masalah pengangkutan, banjir, alam sekitar, penganguran, kebanjiran warga asing, rasuah, keruntuhan sosial, dan rumah tangga serta pelbagai lagi.

Persamaan yang ingin dikemukakan melalui lagu tersebut dan juga situasi masyarakat pada hari ini ialah perbuatan menyalahkan orang lain atas sesuatu perkara. Rantaian tuding menuding akhirnya terhenti apabila si ular memberi jawapan “memang makanan aku”. Begitu jugalah dalam masyarakat yang akhirnya mengambil jalan mudah memberi alasan seperti, “sudah takdir”, “benda sudah berlaku” dan sebagainya yang akhirnya membuntukan segala penyelesaian dan penggalian ke akar umbi sesuatu masalah. Seolah-olah sesuatu yang berlaku itu tiada pilihan.

Kisah remaja dan generasi muda hari ini amat membimbangkan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan, pada tahun 2006, jenayah remaja tempatan bawah 18 tahun didapati 2 % daripada 232,620 kes pada 2006. Seramai 1,831 melibatkan remaja yang bersekolah. Dalam sesetengah kes ada yang melibatkan kanak-kanak seawal umur 7-10 tahun. Jika usia semuda ini sudah bergelumang dengan jenayah, bagaimana pula perjalanan mereka meniti usia dewasa?

Apabila jari dituding kepada ibu bapa kerana tidak menyediakan kesempurnaan akhlak, ibu bapa melenting. Mereka pula menyalahkan sekolah yang tidak bertindak seperti sepatutnya. Pihak sekolah pula dengan angkuhnya menyalahkan kerajaan atas dasar-dasar kebebasan dalam bentuk hiburan dan sebagainya. Kerajaan sekali lagi menyalahkan ibu bapa kerana terlalu mementingkan kebendaan sehingga lupa tanggungjawab terhadap anak-anak. Dan begitulah seterusnya.

Malaysia sudah mencapai tahun ke-50 kemerdekaannya. Kemajuan dan pencapaian sudah berada pada tahap membanggakan. Produk dan perkhidmatan kita sudah mendapat tempat di mata dunia. Pelaburan, eksport dan import semakin melebarkan sayapnya. Begitu juga aspek pendidikan dan pelancongan yang semakin membanggakan Malaysia.

Sudah tiba masanya Malaysia meninjau semula dasar-dasar keterbukaan yang diamalkan dalam sesetengah perkara seperti unsur hiburan yang melampau yang seringkali dikaut dari Barat. Sudah tiba masanya juga Malaysia yang merdeka ini tidak berkiblatkan Barat atas dasar kemajuan dan kemodenan. Lihat sahaja kemodenan barat yang disertai sekali dengan kemusnahan sosial dan budayanya. Semuanya di sebabkan oleh dasar keterbukaan atau liberalisme tanpa batasan. Takkan kita nak mengakui kerosakan akhlak artis-artis barat seperti Paris Hilton dan Britney Spears sebagai suatu nilai seni tersendiri?

Menurut mereka yang terlibat dengan masalah ini, punca kebejatan sosial remaja hari ini adalah disebabkan oleh hiburan yang melampau, tiada batasan atau sekatan. Hiburan yang bagaimana yang merosakkan generasi muda kita?

Menurut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui artikelnya yang bertajuk “Apabila Dunia Hiburan Kita Terbabas” (Utusan Malaysia, 24 Jun 2007), Islam bukanlah agama yang jumud menolak kehadiran unsur hiburan dalam masyarakat Islamnya. Malahan, pada zaman nabi wujud unsur-unsur hiburan dalam majlis keraian atau perkahwinan. Bezanya, pada waktu itu, unsur hiburan mempunyai batasan dan sempadan. Baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah bertindak sebagai lembaga penapisan dan penilaian seni agar unsur hiburan itu tidak terseleweng daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Lihat sahaja unsur hiburan yang melampau yang terdapat di Malaysia. Konsert yang kadangkala lebih banyak keburukan diadakan tanpa batasan. Rancangan-rancangan di televisyen yang disediakan untuk anak-anak dan remaja lebih berunsurkan keseronokan, kegembiraan dan seterusnya memupuk budaya hedonistik, sintetik (mengikut-ikut sesuatu budaya/tiruan) serta krisis identiti kepada mereka. Ditambah lagi dengan aktiviti luar yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada pemikiran dan sosiobudaya remaja.

Sebenarnya banyak lagi punca yang boleh dipaparkan berikutan masalah sosial remaja. Selain hiburan yang terlalu liberal, ibu bapa juga harus kembali kepada tanggungjawab asal mereka iaitu memelihara anak-anak sebagai suatu amanah dari Allah s.w.t. Kenal pasti semula peranan dan kuasa-kuasa yang ada pada ibu bapa untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah, seterusnya menjadi generasi yang berguna kepada negara.

Begitu juga dengan dasar pendidikan negara dan masyarakat. Masing-masing ada peranan dan hak untuk membentuk setiap anggota masyarakatnya melalui landasan yang betul. Sikap saling tegur menegur, bertolak ansur, dan muafakat antara semua pihak bakal melahirkan masyarakat yang merdeka dari segi jasmani dan rohani. Sistem pendidikan seharusnya memperkaya tamadun dan bukannya menjadi bahan dagangan.

Selain itu, sistem pendidikan di negara ini juga harus seimbang antara tradisional dan moden. Ajaran dan buah fikir orang dulu-dulu jangan dibuang, aplikasikan dengan cara dan sistem yang moden. Jangan terlalu memandang sains dan teknologi sebagai satu wadah yang boleh membawa manusia kepada kejayaan secara menyeluruh.

Imbangan antara budaya dan sains amat penting seperti yang disarankan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim, iaitu sistem pendidikan harus menekankan aspek budaya kerana budaya melahirkan manusia dan seterusnya manusia melahirkan sains. Sains dan budaya seterusnya lebih sempurna jika dilangsungkan melalui landasan “kepercayaan kepada tuhan”, iaitu sentiasa percaya bahawa Allah s.w.t telah memberi yang terbaik untuk kita.

Antara bangau, ikan, rumput, kerbau, perut, nasi, kayu api, hujan, katak dan ular, siapakah kita? Jadilah diri sendiri yang beretika tinggi namun bersikap rendah diri, kurang berfalsafah tetapi lebih berpraktikal, tidak berteori tetapi penuh rasional dan yang lebih penting memikul peranan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, dan juga peranan sebagai manusia di muka bumi ini. Biarlah lagu itu berkumandang di setiap zaman untuk menghiburkan anak kecil. Jangan lupa tafsirkan sekali maknanya agar anak-anak lebih tahu tanggungjawab dan nilai hidup yang harus ada pada mereka apabila dewasa kelak.

Sumber: sini
Baca selanjutnya...