Pengikut

Hadith Hari Ini

Wanita dan Pendidikan Alam Sekitar

Oleh : DR RATNA ROSHIDA ABD RAZAK (USM)

Pendidikan untuk mencintai alam sekitar seharusnya bermula di rumah. Ibu merupakan pendidik pertama dan utama untuk menerapkan pengertian tentang pemeliharaan persekitaran kepada anak-anak dan generasi seterusnya. Sejak dari peringkat awal lagi anak-anak perlu diberi pendedahan tentang alam sekitar yang merupakan satu anugerah Allah kepada manusia. Agama dan nilai-nilai murni mempunyai pertalian yang rapat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Agama itu adalah kemuliaan budi pekerti”. Kemuliaan budi pekerti yang dimaksudkan di sini meliputi seluruh interaksi kita, sama ada sesama manusia, dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Penglibatan dan pembabitan wanita dalam pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar, merupakan perkara yang sangat penting untuk meningkatkan mutu sumber daya manusia pada masa akan datang. Asas yang paling mudah untuk menanam semangat cintakan alam sekitar ialah dengan cara mendidik mereka bagaimana menjaga kebersihan.

Wanita yang lazimnya memiliki sikap lebih teliti wajar memberikan perhatian kepada masalah alam sekitar dan memberikan pendidikan yang sepatutnya kepada anak-anak. Menjaga kebersihan ini bermula dengan kebersihan diri, bilik dan rumah secara keseluruhan. Mungkin sesetengah orang memandang perkara ini sebagai perkara yang remeh-temeh dan tidak perlu dibebankan anak-anak untuk tugas menjaga kebersihan kerana tugas itu boleh kita lakukan tanpa pertolongan dari mereka. Inilah sebenarnya kesalahan besar yang dilakukan oleh kita sebagai ibu yang tidak memberi penekanan tentang kebersihan dari peringkat yang paling awal. “Charity begins at home”, itulah kata-kata bagi menunjukkan bahawa sesuatu yang baik itu bermula di rumah.

Cara pembuangan sampah yang betul perlulah dididik di peringkat yang seawalnya. Rasulullah sendiri melarang umatnya melonggok sampah sarap sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu baik dan menyukai yang baik. Dia juga bersih dan menyukai yang bersih. Dia juga mulia dan menyukai yang mulia. Dan juga dermawan dan menyukai yang dermawan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah mengikut resam orang Yahudi mereka melonggokkan sampah sarap di depan rumah mereka.”

Pada masa dahulu, sebelum negara ini membangun dengan pesat, sampah sarap masih tidak berapa banyak dan masih boleh dikawal. Tetapi dalam konteks perkapita, semakin maju sesebuah negara, semakin banyaklah sampah yang dihasilkan. Bermula dengan mengajar mereka menyusun semula mainan setelah bermain, mengatur semula buku selepas dibaca, membasuh kasut pada hujung minggu dan membuat giliran untuk membuang sampah, sikap menyintai kebersihan mulai ditanam di dalam diri kanak-kanak. Dengan ini anak-anak akan menjadi terbiasa dengan didikan berkenaan dan akan terbawa-bawa ke alam remaja dan dewasa sekaligus akan melahirkan masyarakat yang peka kepada kebersihan.

Antara metodologi pendidikan harian yang boleh digunakan untuk memupuk minat cintai alam sekitar dan juga sistem ekologi ialah dengan mengelakkan dari menggunakan barangan pada bilangan yang tidak sepatutnya. Selalulah bertanyakan kepada anak-anak adakah mereka amat memerlukan benda-benda yang mereka guna contohnya 50 permainan kanak-kanak. Begitu juga dengan keperluan-keperluan rumah yang lain seperti peti televisyen yang lebih dari satu, pakaian dan tuala yang sebegitu banyak, juga bilangan kasut yang digunakan dalam setahun.

Dari segi penggunaan air, adakah mereka membiarkan air memancut keluar setiap kali menggosok gigi dan mengambil wudhu´. Adakah mereka diajar untuk menggunakan paip hujan atau paip biasa untuk lebih menjimatkan air. Kanak-kanak juga hendaklah dibiasakan dengan banyak berjalan dan keraplah menunggang basikal. Selain elok untuk kesihatan, aktiviti ini juga mengurangkan pembuangan asap kereta ke dalam udara persekitaran. Penjelasan kepada perkara-perkara yang merbahaya atau benda-benda yang beracun juga perlu diberi pendedahan dari peringkat awal.

Kualiti masa bersama anak-anak juga perlu diberi perhatian. Kesempatan terbaik bagi ibu untuk memenuhi masa lapang bersama anak-anak ialah dengan membawa mereka untuk memerhatikan keindahan alam semesta. Hal ini akan membuat hati menjadi lapang dan tenang bila merenungkan keindahan ciptaan Allah Yang Maha Agung sebagaimana firmanNya dalam Surah al-Naml: 60, yang bermaksud “Lalu kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah.” Dalam memerhati setiap kejadian Allah, hubungkait antara kita sebagai manusia dengan ajaran Islam boleh dilakukan. Contoh yang mudah ialah sepohon pokok dan kaitannya dengan iman dan Islam. Seseorang muslim sama ada lelaki atau wanita yang baik dan beriman adalah ibarat sepohon kayu yang kuat, subur lagi indah. Akarnya teguh terjunam di bumi sedang pokoknya pula rimbun, subur dan teguh. Seseorang seperti pokok ini pastinya dapat menghadapi apa jua cobaan dan kesusahan dalam kehidupannya kerana keimanannya yang kuat lagi teguh umpama akar-akar pokok itu.

Gunakan peluang Malaysia sebagai salah sebuah daripada 12 negara di dunia yang diiktiraf memiliki “mega diversiti”, yang mempunyai lebih daripada 12500 jenis tumbuhan berbunga, 1100 jenis paku pakis, 300 jenis mamalia, 750 jenis burung, 350 jenis reptilia, 300 jenis ikan air tawar, 1200 jenis kupu-kupu dan 12000 jenis rama-rama untuk berinteraksi dengan alam dalam usaha memupuk perasaan cinta kepada alam semulajadi.

Golongan wanita lebih berperanan serta aktif di dalam mengelolakan bahan buangan domestik yang ditimbulkan daripada aktiviti rumah tangga seperti memanfaatkan sampah melalui kitar semula sampah organik (sayur-sayuran) dan anorganik (kertas dan tin). Sebagai menyokong usaha yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar iaitu program kitar semula, kaum ibu perlu mendidik anak-anak tentang cara untuk asingkan bahan-bahan plastik seperti botol, bekas balut makanan, kaca dan bahan-bahan kertas. Kanak-kanak sejak kecil lagi perlu dilatih membuat perkara-perkara kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberikan bila anak-anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif itu.

Kaum ibu perlu sentiasa memastikan anak-anak jagaannya mendapat perhatian dan juga kasih sayang yang sepenuhnya. Kasih sayang ini merupakan antara unsur yang paling penting dalam pembentukan peribadi mulia. Bagi kanak-kanak, pendidikan di rumah inilah yang merupakan asas sebelum mereka memasuki alam muda-mudi dan alam dewasa. Pada peringkat ini jugalah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati antara adik-beradik, rakan taulan, saudara-mara dan juga persekitaran seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan perlu disemai di dalam diri setiap anak.

Hubungan antara ibu, ayah dan anak-anak juga antara adik-beradik hendaklah sentiasa dipereratkan. Salah satu cara untuk merapatkan talian ahli kekeluargaan ialah dengan mengadakan program berkelah di hujung minggu, sebagaimana yang biasa dilakukan oleh masyarakat Jepun. Di samping mengeratkan talian kekeluargaan, aktiviti seperti ini juga boleh mendekatkan ahli keluarga dengan keindahan alam sekitar, kepelbagaian flora dan fauna.

Sumber: Sini
Baca selanjutnya...