Sambungan......
4) Masalah : Tarikh hayat Saidina Umar Bin al-Khattab (ya saudaraku) tiada daripada sahabat nabi kita SAW seorangpun bernama Umar bin al-Khattab lain daripadanya. Maka ialah khalifah yang kedua bagi Nabi kita Muhammad SAW. Dan ialah awal-awal orang yang dipanggil dengan nama Amirul Mukminin yakni raja segala orang yang mukmin. Sebelum ia bergelar dengan Amirul Mukminin itu semua orang memanggil akandia. Ya khalifah khalifah Rasulullah SAW. Kemudian berpaling mereka itu menukarkan panggilannya dengan yang demikian kerana panjangnya. Dan ialah juga yang dipanggil Nabi(SAW) dengan nama Abi Hafs yakni Pak Singa. Sebabpun Nabi(SAW) memanggil akan dia dengan demikian oleh garangnya seolah-olahnya ia singa sebagaimana cerita daripada Zaid bin Aslam daripada bapanya(Aslam) katanya telah aku lihat Umar bin al-Khattab itu apabila ia hendak berkuda maka dipegangnya dengan tangan kanannya akan sebelah telinga kudanya dan sebelah lagi memegang telinganya lalu iapun melompat naik ke atas kudanya.
(Teks Asal Daripada Kitab Bahru al-Maazi)
Huraian:
Masalah yang keempat(dan bab yang akan datang) ini akan menghuraikan tentang hayat dan sejarah hidup Saidina Umar bin al-Khattab r.a. Orang sekarang juga suka sebut biodata. Kalau resume pulak tak berapa sesuai sebab resume untuk nak mintak kerja. Lebih molek kita guna sejarah hidup sahaja lah. Mungkin lebih mudah nak difahami. Bahasa berbunga sangat pun tidak baik juga. Sebab ini bukan novel.
Baik, wahai sahabat-sahabat sekalian, pengarang kitab ini menyatakan kepada kita bahawa tidak ada seorangpun dari kalangan sahabat nabi yang lain mempunyai nama yang sama Saidina Umar ini. Kalau nama Abdullah pulak ramai juga yang memakai nama itu dari sahabat nabi umpamanya Abdullah ibn Mas’ud, Ibn Abbas, anak Umar sendiri dan lainnya.
Saidina Umar r.a ini adalah khalifah yang kedua selepas kewafatan Abu Bakar al-Siddiq r.a. Semasa menjadi khalifah beliau merupakan khalifah yang sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Keluar pada waktu malam meninjau keadaan rakyatnya. Sepatutnya pemimpin hari ini kena banyak belajar sejarah Saidina Umar r.a. Bukan jadi pemimpin untuk kayakan kroni, bukan jadi pemimpin untuk kayakan anak beranak, bukan jadi pemimpin untuk hidup mewah, bukan jadi pemimpin untuk kepentingan diri. Tapi jadi pemimpin untuk melaksanakan kewajipan dan amanah Allah SWT.
Beliaulah yang menjadi pelopor utama kepada memperkenalkan gelaran Amirul Mukminin yaitu ketua segala orang yang beriman. Sebelum gelaran tersebut diperkenalkan, semua orang memanggilnya dengan Ya Khalifah, Khalifah Rasulullah SAW. Panjang bukan? Maka oleh kerana terlalu panjang panggilan tersebut maka ditukarkan kepada Amirul Mukminin sahaja. Tapi orang sekarang, pemimpin sekarang sangat suka kepada panjangnya gelaran. Ada yang nama sebut seminit pun tak habis lagi. Betapa panjangnya gelaran. Yang Berhormat la. Yang Amat Berhormat la. Ada pulak yang ada Tan Sri Datok Seri dan sebagainya. Panjang sungguh. Takpa la. Gelaran panjang macam tu pun bukan boleh bagi syafaat pun . Buat jahat tempatnya neraka jugak akhirnya.
Dan Saidina Umar r.a ini juga digelarkan dengan Abi Hafs yang bererti Bapa Singa. Sebab Nabi SAW menggelarkannya dengan gelaran tersebut kerana sifat berani dan garangnya seolah-olah singa dalam mempertahankan Islam. Orang sekarang berani juga tapi berani tak bertempat. Mereka berani apabila untuk mempertahankan kepentingan mereka setelah tergugat.
Satu riwayat daripada Zaid bin Aslam daripada bapanya(Aslam) katanya: ”aku telah melihat Saidina Umar bin al-Khattab itu, apabila ia hendak menunggang kuda maka dipegangnya sebelah telinga kuda tersebut dengan tangan kanannya dan sebelah lagi memegang telinganya sendiri lalu ia pun melompat naik ke atas kuda”.
WALLAH A’LAM
Bersambung.............................................
2 ulasan:
nice post. tp nak tanya,
aku telah melihat Saidina Umar bin al-Khattab itu, apabila ia hendak menunggang kuda maka dipegangnya sebelah telinga kuda tersebut dengan tangan kanannya dan sebelah lagi memegang telinganya sendiri lalu ia pun melompat naik ke atas kuda”.
apa yang nak diceritakan atau dapat dirumuskan dari riwayat ini?
yakni nak menceritakn tentang kekuatan, ketangkasan dan keberanian Saidina Umar. Orang sekarang nak naik kuda kena bantuan orang lain atau apa apa alatan. Tapi tidak bagi saidina Umar. Itu hebatnya dia. Wallah Taala a'lam.
Catat Ulasan