Kalau kita semua ambil perhatian dan prihatin dalam minggu ni saja terdapat dua kes buang bapa. Biasanya kita duk dengar kes buang anak terutama sekali melibatkan anak haram. Tapi sekarang ni dah lain pulak. Buang bapa pulak. Sungguh pelik manusia sekarang. Apa yang tak dak kat Malaysia ni. Semua benda boleh buat. Hebat sungguh!
Cubalah bayangkan seorang warga emas yang dah nak tunggu hari kematian pun diperlakukan macam binatang oleh keturunan dia sendiri. Ada ka patut bapa pegi terima rawatan pun tak sanggup nak pegi ambik. Bukan apa pun. Bukan suruh dia yang buat rawatan. Cuma tolong pegi hantar dan ambil kat pusat rawatan bila dah selesai rawatan. Itu pun tak boleh ka.
Betullah kata orang tua-tua. Ibu bapa boleh jaga anak sampai 7, 8 orang, bahkan sampai berbelas orang pun ada. Tapi anak yang ramai tu tak mampu nak jaga ibu bapa dia. Lupa daratan sungguh. Manusia yang tak bersyukur dan tak berhati perut. Ibu bapa masa jaga anak, mereka kalau boleh tak mahu anaknya disakiti hatta dihinggapi nyamuk sekalipun. Kalau anak demam, sanggup tak tidur malam.
Dalam Islam seorang anak wajib berbuat baik kepada kedua ibubapanya hatta ibu dan bapa mertua sekalipun. Berbuat baik itu bukan hanya sekadar bagi makan, pakai, perubatan sahaja bahkan apa yang paling penting kasih sayang dari anak-anak. Saya yakin ibu bapa tidak mengharapkan sangat bantuan material dari anak-anak. Tapi anak-anak yang dah kerja besar dan pendapatan lumayan tak kan la tak boleh hulur sikit sebanyak sama ada dalam bentuk kewangan dan sebagainya.
Perlu diketahui ibu bapa yang telah melangkaui usia emas emosinya cepat tersentuh. Kadang-kadang sesuatu yang tidak disedari oleh anak melukakan hati mereka. Tapi bila dah buang bapa tepi jalan tu, memang sah la melukakan hati bapa tu. Anak sepatutnya menjaga perasaan mereka serta melayani kehendak dan keperluan mereka.
Dalam isu ini seperkara yang saya nak sebutkan ialah mengapa anak-anak sekarang menjadi begitu. Bagi saya punca utama yang menyebabkan anak-anak bersikap tidak menghormati dan tidak menghiraukan ibu bapa ialah tiada didikan agama. Kebanyakannya itulah masalah pokoknya. Kalau anak-anak diberi didikan agama yang cukup, saya yakin isu ini tidaklah sampai ketahap yang berlaku sekarang. Kalau ibu bapa dah bagi didikan agama tapi anak masih bersikap begitu, maka sahlah anak tu anak derhaka dan nak terjun dalam api neraka.
Akhir sekali, bagi ibu bapa yang tidak dipedulikan oleh anak-anak, saya menyarankan supaya dengan sisa baki umur yang masih ada itu, pergilah ke pondok-pondok pengajian Islam yang masih wujud di negara kita. Di sana mereka boleh menghabiskan sisa hidup mereka dengan menuntut ilmu yang dijalankan tiap-tiap hari disamping dapat beribadat dengan sempurna. InsyaAllah di sana adanya ketenangan. Dan yakinlah anak yang durhaka itu, akan dilakukan perkara yang sama oleh anaknya nanti terhadapnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan