Pengikut

Hadith Hari Ini

Peranan kewangan Islam hadapi kegawatan ekonomi

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Kewangan Islam, yang telah mendorong banyak minat sepanjang tempoh dua tahun kemelesetan ekonomi global, akan memainkan peranan penting pada tahun ini.


Ketika pasaran dunia semakin menyedari kekuatan kewangan Islam untuk bertahan di celah-celah kegawatan ekonomi, negara-negara Islam terutamanya, telah mula menggunakannya untuk memperkukuhkan asas ekonomi mereka.
Malaysia, sebagai perintis kewangan Islam dengan pengalaman lebih 20 tahun, dan telah melalui tiga krisis ekonomi, harus mengunakan sepenuhnya potensi industri ini.
Memperkukuhkan kewangan Islam dengan mekanisme yang sesuai adalah satu-satunya cara, kata penganalisa.
Tahun ini mungkin akan lebih mencabar, dan apa-apa perkembangan luaran bukan sahaja akan memberi kesan kepada asas ekonomi sekarang tetapi juga kewangan Islam.
Dalam pasaran sukuk, sebagai contoh, aktiviti dagangan dan penerbitan adalah perlahan pada 2009 berikutan kekurangan penerbitan bon korporat dan berita tentang kredit negatif Dubai.
Antara peristiwa penting tahun ini ialah Sukuk Al-Ijarah lima tahun bernilai AS$1.5 bilion yang diterbitkan oleh syarikat minyak negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Ia menandakan era baharu bagi penerbitan bon dan sukuk di negara ini. Ia adalah penerbitan dolar AS paling besar oleh satu entiti Asia selain Jepun tahun ini dan juga sukuk dolar AS antarabangsa tertinggi semenjak terbitan Dubai Port AS$1.5 bilion pada 2007.
Dikenali sebagai sukuk Petronas Emas, ia adalah sebahagian pakej bon yang juga termasuk bon konvensional AS$3 bilion.
Sukuk Petronas Emas, bersama-sama Sukuk Al-Musharaka RM4 bilion yang diterbitkan oleh Cagamas MBS awal tahun ini, disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan juga Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan dan Bursa Saham Luxembourg.
Ketua Pegawai Pelaburan Asian Islamic Investment Management Sdn. Bhd., Chan Cheh Shin berkata, Malaysia telah mempromosi secara berterusan dan kian memperkukuhkan usahanya untuk menjadikan negara ini peserta sukuk utama dunia.
Chan, yang menyelia aset di bawah pengurusan bernilai RM730 juta berkata, kedua-dua kerajaan dan sektor swasta telah memainkan peranan dalam penerbitan bon sukuk bersaiz penanda aras.
"Peserta tempatan boleh dan harus menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mempromosi nama Malaysia sebagai pusat kewangan Islam. Penerbit dan pemula harus meningkatkan usaha mereka dalam penerbitan dan permulaan hutang dalam bentuk sukuk," katanya.
Beliau berkata, ketika ekonomi semakin pulih, syarikat akan lebih bersedia untuk meminjam. Oleh itu, penerbitan sukuk akan meningkat, katanya.
Dasar terkini untuk membenarkan bank-bank bukan Islam untuk mengambil bahagian dalam produk-produk yang mematuhi Syariah juga adalah langkah yang disambut baik dalam mempromosi dan mengekalkan minat asing dalam industri ini, katanya.
Ditanya jika Malaysia akan terus menjadi pendahulu dalam pasaran sukuk global, beliau berkata: "Malaysia jauh ke hadapan dalam prasarana dan mempunyai kumpulan pelabur sedia ada untuk sukuk. Oleh itu, ia adalah petanding yang serius di Asia. London mungkin akan mendominasi pasaran Eropah."
Dalam perbankan Islam, tumpuan diberikan kepada penerima terbaharu lesen-lesen perbankan Islam dan takaful keluarga.
Dengan lebih ramai peserta baharu, persaingan dalam industri akan menjadi lebih sengit.
Oleh itu, adalah penting bagi peserta perbankan Islam dan takaful sedia ada untuk meningkatkan kemampuan mereka dan mencipta lebih banyak produk inovatif.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini mengesahkan bahawa negara telah menyenarai pendek dua bank asing untuk dilesenkan sebagai bank Islam-mega dengan modal minimum AS$1 bilion setiap satu.
Beliau berkata, permohonan bagi dua bank Islam itu sedang diproses dan satu pengumuman akan dibuat menjelang penghujung setengah tahun pertama 2010.
Buat masa ini, Malaysia mempunyai 14 bank milik penuh asing, kedua-dua konvensional dan Islam, dan mungkin akan memberikan lima lagi lesen perbankan menjelang 2012.
Perbankan Islam mewakili 18.8 peratus aset perbankan keseluruhan.
Dr Zeti berkata ciri-ciri yang ada pada kewangan Islam merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan kewangan negara.
Beliau berkata, Malaysia secara berterusan terbabit dalam pengukuhan kewangan Islam untuk memastikan kestabilan dan daya tahan industri itu.
Malaysia juga mahu mengukuhkan dimensi antarabangsa kewangan Islam menerusi perkaitan bukan sahaja dengan pusat-pusat kewangan antarabangsa, tetapi juga dengan negara-negara baru muncul di Timur Tengah, Afrika, Asia Tengah dan juga Amerika Latin.
"Kami percaya pemulihan ekonomi di tempat-tempat ini adalah lebih pantas.
Dagangan dua hala kekal penting, tetapi kita juga perlukan hubungan strategik dan kewangan Islam boleh memainkan peranan penting dalam aspek ini," kata Zeti.

Sumber: Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan