Sambungan
Muqaddimah
Bahagian Dua
TEKS ASAL KITAB:
الحمد لله الذي هدانا الى صراط مستقيم والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Segala puji-puji itu tertentu bagi Allah tuhan yang menunjuki kami kepada jalan yang betul dan rahmat Allah dan salamnya atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas segala keluarganya dan sahabatnya sekelian mereka itu.
Huraian Penulis:
Pembaca semua, ingatlah segala pujian hanyalah kepada Allah SWT, iaitu Tuhan yang menjadikan alam ini serta segala isi di dalamnya termasuklah manusia. Jadi tidak dapat tidak manusia wajib memuji Tuhannya yakni Allah SWT sekurang-kurangnya dengan lafaz Alhamdulillah. Pujian manusia kepada Allah SWT adalah sebagai manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada penciptanya akan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan. Cuba bayangkan betapa besarnya nikmat Allah SWT kepada manusia lebih-lebih lagi kepada manusia yang diberi nikmat iman dan Islam. Nikmat iman dan nikmat Islam ini adalah nikmat yang sangat tinggi nilainya yang tidak mampu ditebus dengan kekayaan, harta benda, pangkat dan kedudukan. Bermula sedari bangun tidur hinggalah kembali tidur(termasuk juga waktu tidur) kita telah pun menggunakan nikmat Allah SWT. Jadi layakkah kita untuk tidak mensyukuri akan nikmat Allah SWT yang sangat besar itu. Ingatlah wahai pembaca sekalian akan kecaman Allah SWT kepada manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah SWT:
Maksudnya:Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".
(Surah Ibrahim ayat 7)
Jadi, sewajarnya manusia besyukur lebih-lebih lagi nikmat berada dijalan yang benar dan diredhai Allah SWT.
Berikutnya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta ke atas para keluarganya dan para sahabatnya. Maksud ahli keluarga disini ialah para kerabat Baginda SAW yang beriman dengan Baginda. Begitu para sahabat. Para sahabat ialah mereka yang hidup pada zaman nabi, melihat nabi dan beriman dengan Nabi. Adapun yang tidak beriman tidak disebut sahabat. Baik, sebagai tanda sayangnya kita kepada Nabi Muhammad maka kita sangat-sangat disarankan supaya memperbanyakkan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.
(Surah al-Ahzab ayat 56)
Disana terdapat hadith yang menyatakan sesiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat. Mudah-mudahan dengan selawat Allah SWT kepada kita akan menjadikan manusia yang taat dan patuh kepada suruhan Allah SWT dan rasulnya. Oleh yang demikian tidak dapat tidak dalam kehidupan seharian sewajarnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang mendambakan syafaatnya sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita akan diberi syafaat oleh Nabi Muhammad SAW di Mahsyar kelak di mana pada hari itu kita amat-amat memerlukan syafaat Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah.
bersambung............
0 ulasan:
Catat Ulasan