Pengikut

Hadith Hari Ini

Nasaruddin al-Albani (1914 -1999M) : Tokoh Hadith dan Pembela Sunnah

Oleh: Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Nama penuhnya ialah Muhammad Nasaruddin bin Nuh Najati bin Adam digelar sebagai al-Albani kerana dinisbahkan kepada negara Albania dan nama timbangannya ialah Abu Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada tahun 1914 di ibu negara Albania . Al-albani dibesarkan dalam keluarga yang miskin tetapi kuat beragana dan cintakan ilmu. Bapa beliau merupakan graduan Kolej Syariah di Istanbul dan kemudian pulang berkhidmat berdakwah di sana. Apabila pemerintahan Albania dipegang oleh Ahmad Zugho maka beliau menjalankan pemerintahan yang meniru pemeruintahan sekular Turki. Oleh sebab itu, bapa mengambil keputusan untuk berhijrah ke Syria dan tinggal di Damsyiq. Bapa beliau mengenali Damsyiq ketika singgah dalam perjalanan ke menunaikan haji ke Mekkah.

Semasa al-Albani berhijrah ke Damsyiq, beliau berumur 9 tahun dan bapanya telah menghantarnya ke Sekolah Kebajikan Bulan Sabit sehinggalah ia tamat peringkat rendah. Apabila bapa beliau mengetahui bahawa sistem pelajaran di peringkat menengah tidak mengandungi pelajaran agama, maka bapanya telah mengeluarkannya dan mengajarnya sendiri. Albani belajar dari bapanya al-Quran sehingga khatam mengikut riwayat Hafas bin Asim, saraf dan feqah terutama feqah Hanafi. Menurut al-Albani bahawa bapanya seorang yang kuat berpegang pegang kepada mazhab Hanafi. Al-Albani semasa kecilnya menghabiskan masa dengan mebaca buku dalam pelbagai bidang. Al-Albani juga menyebutkan bahawa nikmat Allah yang besar kepadannya ialah keputusan ayahnya berhijrah ke Syria yang membolehkannya belajar bahasa Arab dan mengenali ajaran Islam dengan mendalam.


Al-Albani mula menekuni bidang ilmu hadis ketika berusia 20 tahun dan peristiwa itu berlaku kerana terkesan dengan majalah al-Manar yang diterbitkan oleh Rashid Reda. Dalam memahami ilmu hadith, beliau mempelajari ilmu-ilmu yang dapat memberi kefahaman terhadap ilmu hadith seperti buku-buku bahasa dan balaghah. Beliau telah menyunting semula buku al-Mughni ann hamal al-Asfar fi al-Asfar yang mengandungi 3 jilid dan hampir seribu muka surat. Ini merupakan antara buku suntingan pertama yang dilakukannya. Menurut al-Albani bahawa antara taufiq Allah ialah beliau menjadi tukang memperbaiki jam yang membolehkan menekuni ilmu hadith. Beliau menekuni ilmu hadith setiap hari kecuali hari Selasa dan Jumaat selama tiga jam untuk mencari nafkah keluarga.

Selain dari itu dihabiskan untuk menkuni bidang hadith terutama buku-buku manuskrip di Perpustakaan Zahiriah. Beliau menghabiskan masa antara 6 sehingga 8 jam sehari di perpustakaan tersebut. Malahan kadang-kadang melangkaui 12 jam sehari dan hanya berhenti untuk solat dan makan sedikit. Buku yang terakhir sekali yag disunting ialah Tahdhib al-Jami’ al-Saghir. Al-Albani telah menyumbang jasa yang banyak dalam menyunting manuskrip hadith dan Ibn Baz pernah menyebutkan bahawa tidak ada seorang yang pakar dalam ilmu hadith pada zaman ini melainkan al-Albani.

Al-Albani sangat terkesan dengan manhaj Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim dan Muhammad bin Abdul wahab yang menyeru berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dan memerangi segala bentuk bidaah. Beliau juga sangat prihatin mengenai akidah dan mengarang buku mengenainya seperti Syarah kepada buku Fath al-Majid syarah kepada Kitab al-Tauhid. Nasaruddin al-Abani mengajar dua kali seminggu sejak tahun 1956. Antara buku yang digunakan seperti Usul al-Fiqh karangan Abdul Wahab Khalaf, Fath al-Majid karangan Abdul Rahman bin Hassan, Riyadah al-Salihin karangan Imam al-Nawawi, Fiqh al-Sunnah karangan Sayyid Sabiq.

Beliau juga menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Madinah sejak penubuhannya pada tahun 1961. dan dilantik menjadi ahli lembaga Pengarah Universiti tersebut pada tahun 1975-1978.1 Pada tahun 1980M, beliau berhijrah dan tinggal di Amman sehinggalah beliau meninggal dunia.

Antara ciri-ciri manhaj al-Albani ialah :

1. Merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah yang shahih dan memahami kedua-dua sumber dengan mengikut manhaj yang telah digariskan oleh para ulamak.

2. Mengajar umat Islam agama mereka yang sebenar dan menyeru agar beramal ajarannya nagi mencapai kebahagiaan.

3. Menyeru kepada tauhid dan dan menerangkan akidah salaf pada nama allah dan sifatnya serta memperingati orang Islam dari terjebak dalam syirik termasuk dalam melakukan bidaah dan pemikiran-pemikiran asing.

4. Mendekatkan umat Islam dengan sunnah dan beramal dengannya terutama beramal dengan hadith yang shahih dan mengindarka daripada hadith yang lemah dan palsu.

5. Melakukan penyuntingan terhadap buku-buku klasik terutama dalam bidang hadith.

6. Menghidupkan pemikiran Islam yang bebas dalam ruang yang dibenarkan oleh Islam dan memerangi jumud yang berlegar dalam pemikiran umat Islam.

7. Berusaha untuk membina keperibadian muslim dan masyarakat Islam yang menjalankan syariat Allah.


Al-Albani menegaskan bahawa dua perkara dalam mengubati penyakit umat Islam kini iaitu pembersihan dan pendidikan. Pembersihan sunnah daripada hadith yang palsu dan dhaif serta menafsirkan al-quran mengikut hadith yang shahih. Pendidikan pula ialah mendidik generasi dengan akidah yang betul yang bersandarkan al-quran dan al-Sunnah terutama mendidik anak-anak dengan ibadat.

Al-Albani seorang ulamak yang gigih dalam bidang sunnah.namun ia juga tidak lari dari kesalahan dan kritikan seperti para ahli ilmu yang lain. Antara kritikan n kepadanya ialah :

1.Kritikannya yang pedas terhadap orang yang berbeza pendapat dari kalangan ulamak. Kritikan ini telah terkeluar dari sifat adil dalam menghormati pandangan orang lain. Perbezaan ini bukan sahaja dari sudut pemikiran tetapi membawa kepada perkelahian dan perbalahan.

2.Terdapat dalam buku-bukunya penolakan hujah kepada orang yang berbeza pandangan dengannya. Dalam hal ini, pembaca seharusnya meneliti kedua-dua buku tersebut bagi mengetahui masalah tersebut dengan lebih tepat kerana al-albani juga mungkin betul dan juga mungkin salah.

3.Interaksi beliau dengan gerakan Islam kurang menyenangkan. Ini disebabkan pandangan al-Albani tehadap kesalahan individu dalam jamaah tersebut dianggap ssebagai pandangan jamaah tersebut lalu dihukum atas jamaah dan gerakan tersebut. Di samping itu, banyak pandangannya dalam hal tersebut kurang tepat disebabkan kurang maklumat.

Dalam hal ini , penulis berpendapat ada dikalngan masyarakat Islam yang mendewakan al-Albani sehingga tidak ada buku yang patut dibaca kecuali buku al-Albani dan Ibn Baz. Ada yjuga yang hanya mahu membaca buku Imam al-Syafi’i dan al-al-Ghazali sahaja dan mengharamkan buku al-Albani. Sepatutnya sebagai seorang penuntut ilmu, kita perlu membaca dan mengambil yang baik dari kesemua ulamak-ulamak tersebut.

Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu 22 Jamadil Akhir 1420 bersamaan 2 Oktober 1999 selepas Asar dan berdekatan waktu maghrib ketika berumur 88 tahun di Amman, Jordan. Beliau telah berwasiat agar disegerakan pengebumian jenazahnya dan dipilih tempat penguburan yang paling hampir. Oleh itu, pengebumian dilakukan selepas solat Isya’ pada hari tersebut juga bagi memenuhi wasiat tersebut. Beliau dikebumikan di Hayyu Hamlan, Amman. Hampir 2000 orang yang menghadiri semasa pengebumian dan jumlah ini adalah banyak memandangkan hanya beberapa jam sahaja selepas kematiannya.

Sumber: Sini