Bagaimana kalau kali ini kita berkongsi pendapat tentang satu masalah pembelajaran di sekolah?
Kalau kita mengamati perilaku pelajar yang lemah, baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah, terdapat satu sifat yang sangat nyata. Mereka tidak ada ´attention span´ atau daya tumpuan yang kuat.
Tumpuan mereka terhadap sesuatu perkara sangat singkat. Mereka tidak berupaya menumpukan perhatian pada sesuatu perkara walaupun selama setengah minit. Tumpuan atau konsentrasi mereka sangat lemah dan mudah beralih.
Walau bagaimana menarik sekalipun pelajaran yang diberikan, mereka tidak boleh menumpukan perhatian pada pelajaran. Mereka menoleh ke kiri dan ke kanan, membuat itu dan ini dan tidak boleh fokus pada apa yang sedang diajarkan.
Apabila disuruh membuat sesuatu, guru perlu mengulanginya berkali-kali kerana ketika guru menerangkan sesuatu, mereka tidak mendengar dan fokus pada apa yang diterangkan. Kemudian mereka akan bertanya berulang kali apa yang mesti dibuat.
Dan kalau mereka membuat sesuatu kegiatan yang disuruh, mereka akan membuatnya lekas-lekas tanpa mengira sama ada ia betul atau salah. Mereka hendak lekas membuatnya dan hendak membuat kegiatan lain. Ini kerana tumpuan mereka sudah beralih kepada yang lain. Rencam dan tidak ada sesuatu yang boleh mengekalkan perhatian atau tumpuan mereka.
Akibatnya, mereka tidak memahami dan tidak ingat apa yang diajarkan kalau tidak diulang berkali-kali. Apa saja yang memerlukan usaha minda ditolak, dan menjadi satu kepayahan kepada mereka. Inilah antara sifat-sifat yang menyebabkan mereka gagal dalam ujian dan peperiksaan.
Daya tumpuan atau konsentrasi ini sangat penting dalam pembelajaran. Kajian-kajian menunjukkan para pemikir yang hebat-hebat mempunyai daya konsentrasi yang sangat tinggi.
Mengapa daya tumpuan anak-anak itu lemah?
Pada mulanya, penulis agak-agak, ia adalah akibat menonton televisyen. Apabila saya melayari internet, rupa-rupanya betul. Sudah ada kajian dibuat oleh Akademi Pediatrik Amerika (AAP). Mengikut dapatan mereka, kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah yang selalu terdedah kepada televisyen akan mempunyai masalah pembelajaran di sekolah kelak.
Bagaimanakah boleh terjadi begitu?
Jika kita perhatikan televisyen, imej yang ditonton pantas berubah dari satu imej ke satu imej lain. Cerita yang kita tonton pun berselang-seli dengan iklan. Penonton perlu membuat analisis yang mana cerita yang ditonton dan yang mana iklan.
Anak-anak kecil menerima semua yang mereka lihat sebagai imbasan-imbasan imej yang sentiasa bertukar. Lama-kelamaan, hal yang sentiasa berubah-ubah itu menjadi norma yang sebati dalam minda mereka.
Lagi satu hal yang penulis perhatikan ialah mainan kanak-kanak yang dibeli oleh ibu bapa untuk anak-anak tersayang.
Ini bukanlah mengkritik. Tetapi begitu banyak dibeli sehingga memenuhi satu bilik. Terlalu banyak mainan yang ada sehingga mereka tidak lekat atau fokus dengan sesuatu mainan.
Mungkin kita hendak memberikan rangsangan yang berbeza, tetapi dalam pada itu, mereka ´overstimulated´ - terlalu dirangsang dengan pelbagai rangsangan. Mereka tidak dididik memberi tumpuan fokus pada sesuatu kerana kita tidak memikirkannya dan sebaliknya kita menggalakkan mereka dengan perlra-perkara yang rencam.
Penulis teringat kata-kata ustaz penulis dulu. Katanya, kalau hendak menjadi pakar dalam sesuatu perkara, kita mesti ´asyik´ dengannya. Beliau menggunakan perkataan ´asyik´. Orang sekarang menggunakan perkataan ´fokus´ atau ´konsentrasi´.
Apa pun, daya tumpuan amat penting disemai sejak kanak-kanak lagi supaya apabila di sekolah nanti, mereka tidak mempunyai masalah pembelajaran.
Kadang-kadang kerana kurang maklum, secara tidak sedar kita membuat kesilapan. Kerana hendak senang menjaga kanak-kanak itu, kita hidupkan televisyen untuk mereka tonton dari pagi hingga ke petang. Bukan saja minda mereka terancam, bahkan penglihatan mereka pun boleh menjadi rosak.
Di Asia Tenggara ini, kadar kanak-kanak yang rabun adalah yang tertinggi di dunia. Itu pun ada hubungan dengan televisyen juga. Dan sekarang ditambah satu lagi - komputer. Kanak-kanak bermain komputer berjam-jam.
Bukanlah televisyen dan komputer itu tidak baik atau perosak. Cuma manfaatnya bergantung pada cara kita menggunakannya.
Terlalu banyak menonton boleh menumpulkan akal. Atau sebenarnya kita telah mengalami simptom tersebut tetapi kita sengaja menafikannya?
Sumber: sini
0 ulasan:
Catat Ulasan