Pengikut

Hadith Hari Ini

Bangau oh Bangau


Oleh: ZALILA ISA

SUASANA hingar seketika. Hilaian si perempuan tiada henti. Sambil tangan kanan membetul-betulkan helaian rambut di dahi yang terjulur keluar melepasi tudung, tangan kiri pula kemas digenggam si lelaki. Bibir si lelaki pula tidak berhenti memperkatakan sesuatu sambil memandang rakan-rakan yang lain. Sekali-sekala si perempuan menyandarkan kepala di bahu temannya.

Di bahagian tempat duduk bertentangan pula dipenuhi dengan barisan si arjuna muda yang baru belajar bergaya. Berfesyen ala-ala model kononnya, menggenggam erat telefon bimbit dan memasang lagu-lagu Barat dengan kuat.

Fesyen mereka sangat pelik. Sekali pandang seumpama gaya ‘mat rempit’. Selekeh. Ada juga yang berfesyen ala-ala penyanyi ‘underground’ dari Barat. Itu belum lagi fesyen-fesyen yang muncul dan diaplikasikan oleh belia muda tanpa segan silu atau tanpa tahu di sebalik cerita fesyen tersebut yang kebanyakannya mendukung suatu idealisme yang kadangkala menyimpang dari budaya dan agama. Malah, pakaian yang dikenakan oleh mereka bukan sahaja melambangkan lontaran perasaan tidak puas hati dan marah kepada budaya dan prinsip sekeliling tetapi juga membenci suatu elemen yang dinamakan kehidupan sebagai manusia. Maka syaitan dan iblis menjadi pujaan dan itulah yang biasanya menjadi intipati dalam lagu-lagu yang didendangkan.

Remaja kita tidak tahu, malah sengaja tidak mengambil tahu latar belakang perkara yang cuba mereka aplikasikan dalam hidup. Mengikut-ikut, itulah istilah terbaik yang boleh dilabel kepada mereka.

Di Malaysia, merujuk kepada generasi mudanya, usah pelik apabila melihat mereka berpakaian senteng walaupun bukan musim hujan. Jangan geleng kepala bila melihat mereka menindik telinga sebesar syiling lima sen (lelaki dan perempuan) serta deretan subang pelbagai bentuk menghiasi cuping telinga. Usah ternganga jika mata terlirik dedahan pusat dan punggung yang menjadi fesyen kegemaran kebanyakan remaja perempuan di Malaysia. Juga, tidak janggal melihat anak-anak muda yang kadangkala hanya berumur awal belasan tahun sudah pandai pegang-pegang tangan, gesel-gesel badan atau kucup-kucup pipi di khalayak ramai.

Itu belum lagi remaja yang terlibat dengan jenayah-jenayah ringan dan berat seperti pengambilan alkohol yang berlebihan, dadah dan ganja, mencuri, meragut, merogol malah membunuh. Siapa yang mempengaruhi mereka? Cetek benarkah akal mereka sehingga tidak dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk?

Apabila berbicara soal remaja dan masalah-masalah yang dihadapinya, pelbagai pihak terlibat sama dan adakalanya saling tuding menuding menyalahkan satu sama lain. Babak ini tak ubah seperti kisah dalam lagu “Bangau oh Bangau”. Bangau dijadikan watak utama dalam lagu ini kerana perkembangan cerita bermula dengan sang bangau yang terlalu kurus kerana tidak dapat memakan ikan yang bersembunyi di celah rumput yang panjang.

Bangau oh bangau,
kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus,
ikan tak mahu timbul…..ikan tak mahu timbul.

Ikan oh ikan,
kenapa engkau tak timbul?
Macam mana aku nak timbul,
rumput panjang sangat…..rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,
kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang,
kerbau tak makan aku…..kerbau tak makan aku.

Kerbau oh kerbau,
kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan,
perut aku sakit…..perut aku sakit.

Perut oh perut,
kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit,
makan nasi mentah….makan nasi mentah.

Nasi oh nasi,
kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah,
api tak mahu menyala…..api tak mahu menyala.

Api oh api,
kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam mana aku nak menyala,
kayu api basah…..kayu api basah.

Kayu oh kayu,
kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah,
hujan timpa aku…..hujan timpa aku.

Hujan oh hujan,
kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa,
katak panggil aku…katak panggil aku.

Katak oh katak,
kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil,
ular nak makan aku…..ular nak makan aku.

Ular oh ular,
kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan,
memang makanan aku….memang makanan aku

Persamaan lagu itu dengan masyarakat kita amat banyak. Bukan sahaja isu remaja yang terlibat dalam jenayah, malah boleh diaplikasi berdasarkan isu-isu lain seperti masalah pengangkutan, banjir, alam sekitar, penganguran, kebanjiran warga asing, rasuah, keruntuhan sosial, dan rumah tangga serta pelbagai lagi.

Persamaan yang ingin dikemukakan melalui lagu tersebut dan juga situasi masyarakat pada hari ini ialah perbuatan menyalahkan orang lain atas sesuatu perkara. Rantaian tuding menuding akhirnya terhenti apabila si ular memberi jawapan “memang makanan aku”. Begitu jugalah dalam masyarakat yang akhirnya mengambil jalan mudah memberi alasan seperti, “sudah takdir”, “benda sudah berlaku” dan sebagainya yang akhirnya membuntukan segala penyelesaian dan penggalian ke akar umbi sesuatu masalah. Seolah-olah sesuatu yang berlaku itu tiada pilihan.

Kisah remaja dan generasi muda hari ini amat membimbangkan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyatakan, pada tahun 2006, jenayah remaja tempatan bawah 18 tahun didapati 2 % daripada 232,620 kes pada 2006. Seramai 1,831 melibatkan remaja yang bersekolah. Dalam sesetengah kes ada yang melibatkan kanak-kanak seawal umur 7-10 tahun. Jika usia semuda ini sudah bergelumang dengan jenayah, bagaimana pula perjalanan mereka meniti usia dewasa?

Apabila jari dituding kepada ibu bapa kerana tidak menyediakan kesempurnaan akhlak, ibu bapa melenting. Mereka pula menyalahkan sekolah yang tidak bertindak seperti sepatutnya. Pihak sekolah pula dengan angkuhnya menyalahkan kerajaan atas dasar-dasar kebebasan dalam bentuk hiburan dan sebagainya. Kerajaan sekali lagi menyalahkan ibu bapa kerana terlalu mementingkan kebendaan sehingga lupa tanggungjawab terhadap anak-anak. Dan begitulah seterusnya.

Malaysia sudah mencapai tahun ke-50 kemerdekaannya. Kemajuan dan pencapaian sudah berada pada tahap membanggakan. Produk dan perkhidmatan kita sudah mendapat tempat di mata dunia. Pelaburan, eksport dan import semakin melebarkan sayapnya. Begitu juga aspek pendidikan dan pelancongan yang semakin membanggakan Malaysia.

Sudah tiba masanya Malaysia meninjau semula dasar-dasar keterbukaan yang diamalkan dalam sesetengah perkara seperti unsur hiburan yang melampau yang seringkali dikaut dari Barat. Sudah tiba masanya juga Malaysia yang merdeka ini tidak berkiblatkan Barat atas dasar kemajuan dan kemodenan. Lihat sahaja kemodenan barat yang disertai sekali dengan kemusnahan sosial dan budayanya. Semuanya di sebabkan oleh dasar keterbukaan atau liberalisme tanpa batasan. Takkan kita nak mengakui kerosakan akhlak artis-artis barat seperti Paris Hilton dan Britney Spears sebagai suatu nilai seni tersendiri?

Menurut mereka yang terlibat dengan masalah ini, punca kebejatan sosial remaja hari ini adalah disebabkan oleh hiburan yang melampau, tiada batasan atau sekatan. Hiburan yang bagaimana yang merosakkan generasi muda kita?

Menurut Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui artikelnya yang bertajuk “Apabila Dunia Hiburan Kita Terbabas” (Utusan Malaysia, 24 Jun 2007), Islam bukanlah agama yang jumud menolak kehadiran unsur hiburan dalam masyarakat Islamnya. Malahan, pada zaman nabi wujud unsur-unsur hiburan dalam majlis keraian atau perkahwinan. Bezanya, pada waktu itu, unsur hiburan mempunyai batasan dan sempadan. Baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah bertindak sebagai lembaga penapisan dan penilaian seni agar unsur hiburan itu tidak terseleweng daripada apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Lihat sahaja unsur hiburan yang melampau yang terdapat di Malaysia. Konsert yang kadangkala lebih banyak keburukan diadakan tanpa batasan. Rancangan-rancangan di televisyen yang disediakan untuk anak-anak dan remaja lebih berunsurkan keseronokan, kegembiraan dan seterusnya memupuk budaya hedonistik, sintetik (mengikut-ikut sesuatu budaya/tiruan) serta krisis identiti kepada mereka. Ditambah lagi dengan aktiviti luar yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada pemikiran dan sosiobudaya remaja.

Sebenarnya banyak lagi punca yang boleh dipaparkan berikutan masalah sosial remaja. Selain hiburan yang terlalu liberal, ibu bapa juga harus kembali kepada tanggungjawab asal mereka iaitu memelihara anak-anak sebagai suatu amanah dari Allah s.w.t. Kenal pasti semula peranan dan kuasa-kuasa yang ada pada ibu bapa untuk melahirkan anak yang soleh dan solehah, seterusnya menjadi generasi yang berguna kepada negara.

Begitu juga dengan dasar pendidikan negara dan masyarakat. Masing-masing ada peranan dan hak untuk membentuk setiap anggota masyarakatnya melalui landasan yang betul. Sikap saling tegur menegur, bertolak ansur, dan muafakat antara semua pihak bakal melahirkan masyarakat yang merdeka dari segi jasmani dan rohani. Sistem pendidikan seharusnya memperkaya tamadun dan bukannya menjadi bahan dagangan.

Selain itu, sistem pendidikan di negara ini juga harus seimbang antara tradisional dan moden. Ajaran dan buah fikir orang dulu-dulu jangan dibuang, aplikasikan dengan cara dan sistem yang moden. Jangan terlalu memandang sains dan teknologi sebagai satu wadah yang boleh membawa manusia kepada kejayaan secara menyeluruh.

Imbangan antara budaya dan sains amat penting seperti yang disarankan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim, iaitu sistem pendidikan harus menekankan aspek budaya kerana budaya melahirkan manusia dan seterusnya manusia melahirkan sains. Sains dan budaya seterusnya lebih sempurna jika dilangsungkan melalui landasan “kepercayaan kepada tuhan”, iaitu sentiasa percaya bahawa Allah s.w.t telah memberi yang terbaik untuk kita.

Antara bangau, ikan, rumput, kerbau, perut, nasi, kayu api, hujan, katak dan ular, siapakah kita? Jadilah diri sendiri yang beretika tinggi namun bersikap rendah diri, kurang berfalsafah tetapi lebih berpraktikal, tidak berteori tetapi penuh rasional dan yang lebih penting memikul peranan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, dan juga peranan sebagai manusia di muka bumi ini. Biarlah lagu itu berkumandang di setiap zaman untuk menghiburkan anak kecil. Jangan lupa tafsirkan sekali maknanya agar anak-anak lebih tahu tanggungjawab dan nilai hidup yang harus ada pada mereka apabila dewasa kelak.

Sumber: sini

1 ulasan:

Helmet Putih berkata...

Nasihat yang berguna...

Catat Ulasan