Oleh mohd Rumaizuddin bin Ghazali
Timbalan Presiden ABIM
Sebahagian umat Islam beranggapan bahawa jihad hanya disyariatkan selepas nabi s.a.w berhijrah ke Madinah. Sebelum itu, umat Islam tidak mengenali istilah jihad dan hukumnya. Padahal kenyataannya bukanlah begitu. Ini kerana terdapat ayat al-Quran yang diturunkan pada zaman Mekah yang menyuruh nabi agar berjihad. Ayat ini ialah dalam surah al-Furqan ayat 52. Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan jihad yang benar."
Dalam surah al-Nahl ayat 110, Allah juga telah berfirman yang bermaksud :
" Dan sesungguhnya Tuhanmu adalah (pelindung) bagi orang orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Nahl, ayat 110)
Menurut sebahagian besar ulamak ayat ini diturunkan di Mekah. Antaranya ialah Ibn Zubair, Hasan al-Basri, Ikramah ‘Ata dan Jabir. Menurut Ibn Abbas, surah ini adalah makkiyyah kecuali ayat 95-97. Maksud hijrah dalam ayat diatas ialah hijrah ke Habsyah dan bukannya hijrah ke Madinah.
Sebab utama mereka beranggapan bahawa ayat jihad diturunkan di Madinah selepas hijrah kerana mereka berpendapat bahawa jihad dengan makna yang sempit. Mereka melihat jihad itu hanya melalui peperangan semata-mata. Sememangnya perintah untuk berjihad dan memerangi orang musyrikin adalah setelah Rasulullah berhijrah dan tinggal di Madinah.
Pandangan seperti ini menyebabkan sebahagian makna dan kondisi jihad yang lain dipinggirkan. Tidak diragukan lagi bahagian terpenting jihad adalah yang muncul pada masa awal permulaan Islam di kota Mekkah iaitu jihad berdakwah, mengajak orang musyrikin ke jalan yang benar dan memerintahkan mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka dengan mengikut kesesatan nenek moyang mereka. Juga termasuk dalam kategori jihad ini ialah kesabaran Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dalam mempertahankan akidah, kebenaran meskipun menghadapi pelbagai cabaran, hambatan yang berupa seksaan dan cemuhan. Satu lagi jihad yang terpenting dalam period ini ialah kesunggguhan nabi dan para sahabatnya dalam mempelajari al-Quran dan menyingkap hukum-hukum dengan segala sesuatu yang terkandung di dalamnya dengan penuh teliti dan tekun.
Bagaimana tidak dikatakan jihad sedangkan secara jelas Allah menyebutkan ketika berfirman kepada Rasul-Nya iaitu ketika nabi masih di kota Mekkah dengan menyatakan : "Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah kepada mereka dengan al-Quran dengan jihad yang besar." (al-Furqan, ayat 52)
Ibn Abbas menyebutkan berjihadlah pada jalan Allah dengan menggunakan al-Quran dan dalil-dalilnya dengan jihad yang besar. Jihad ini merupakan jihad yang besar dan merupakan inti dari perintah jihad itu sendiri. Kedudukan jihad sebegini mempunyai keistimewaan dan kemuliaan dibandingkan dengan jihad-jihad yang lain. Jihad yang dilakukan oleh Rasulullah semasa di Mekkah ini bagaikan sebatang pohon yang kukuh sepanjang zaman. Sedangkan perang di jalan Allah diibaratkan sebagai cabang-cabangnya yang tumbuh berganti sesuai dengan musim yang dilaluinya.
Inilah hakikat jihad yang sebenar iaitu jihad dakwah mengajak manusia mengesakan Allah. Ia bukan bermakna berperang atau bertempur di medan terbuka semata-mata seperti yang tersirat dalam fikiran sebahagian umat Islam kini.
Masih banyak orang yang ketika dibacakan hadith nabi s.a.w. yang bermaksud : "Jihad yang paling utama adalah mengucapkan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim." (Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, Turmizi dan Ibn Majah secara marfu'). Lantas mereka mentakwilkan hadith ini dengan perintah untuk melaksanakan perang. Tidak terlintas dalam fikiran mereka "kalimah yang benar” (kalimah haq) dalam hadith tersebut kecuali mereka ertikan dengan perang dan pertempuran. Sedangkan maksud yang sebenarnya dari hadith tersebut adalah agar dalam memberi peringatan kepada para penguasa yang zalim hendaklah dengan cara bertutur dengan bahasa yang halus dan benar, jauh dari kata-kata kotor ,mengumpat dan memaki.
Perintah untuk berperang baru datang setelah nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah dan dakwah pada masa itu telah diatur oleh satu negara yang dipimpin oleh Rasulullah. Hal itu juga berkaitan untuk memelihara masyarakat Islam yang semakin berkembang dan menjaga negara dari segala bentuk pencerobohan. Oleh itu, menjadi kewajipan setiap muslim untuk berjihad secara menyeluruh dengan dimulai dengan menerapkan pokok jihad yang utama iaitu jihad berdakwah, mengenal Tuhan dalam diri kita, keluarga dan masyarakat. Kemudian barulah dilanjutkan dengan cabang-cabang jihad yang lain sesuai dengan perkembangan masyarakat dan zaman..
Oleh itu, usaha untuk mengenal Islam, ilmu-ilmu yang berhubungan dengan Islam dan berdakwah kepada agama Islam merupakan rukun pertama dalam berjihad. Perkara yang perlu diketahui dari hakikat jihad yang pertama ini ialah bahawa jihad ini merupakan sebahagian dari kewajipan umat Islam untuk menyampaikan agama Islam kepada orang lain. Kewajipan menyampaikan jihad dakwah ini merupakan kewajipan setiap individu muslim tanpa menunggu kebenaran keizinan ketua sepertimana terjadi dalam peperangan.
Jihad dalam berdakwah dilakukan dengan cara halus, tidak dengan kasar. Seorang pendakwah tidak diperkenankan berdakwah dengan menggunakan cara-cara yang kasar, keras dan paksaan. Ini kerana dakwah kepada Allah dalam erti globalnya adalah memenuhi kewajipan Allah kepada hambaNya untuk saling membantu dalam kebaikan dan ketakwaan. Firman Allah yang bermaksud : " Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya ,” (al-Maidah, ayat 2)
Firman Allah yang bermaksud : " Jika kamu berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan rasul kami hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang." (al-Maidah, ayat 92)
Ayat ini diturunkan di Madinah setelah turunnya kewajipan untuk berjihad dengan berperang. Ertinya, dalam apa jua keadaan dan masapun kewajipan dakwah tidak berubah, iaitu dilakukan dengan cara halus dan damai, tidak dengan cara kekerasan.
Seorang pendakwah adalah seorang yang berusaha untuk merealisasikan tertanamnya hidayah dalam setiap individu muslim dan manusia keseluruhannya. Di samping itu, seluruh kegiatannya harus disertai dengan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Demi untuk kejayaan dakwah itu, pendakwah perlu menunjukkan contoh teladan yang baik, berbudi pekerti dan berakhlak mulia dalam interaksinya bersama semua lapisan masyarakat. Namun kita dapati juga ada yang terjun dalam dunia pergerakan Islam dan parti tertentu yang memperjuangkan matlamat masing-masing. Mereka ini saling berlumba dengan mengagungkan parti dan kelompok masing-masing demi merebut populariti, kerusi dan kedudukan. Dan untuk mencapai apa yang mereka inginkan itu mereka satu sama lain saling menjatuhkan. Jika demikian berlaku,bagaimana mereka hendak mempersiapkan diri untuk melakukan dakwah dan bagaiman mereka mampu untuk merebut hati masyarakat sedangkan mereka sendiri tidak mampu mengendalikan diri sendiri dengan sempurna. Jika para pendakwah kita bersifat demikian, saya yakin dakwah kita tidak akan berjaya. Saya juga tidak yakin mereka lakukan semua itu dengan penuh keikhlasan.
Faktor kejayaan dakwah yang dimaksudkan adalah agar seorang pendakwah memiliki rasa cinta kepada mad'unya. Bagi seorang pendakwah, hatinya selalu diliputi dengan perasaan kasih sayang kepada seluruh manusia yang berbeza-beza agama, aliran pemikiran, adat kebiasaan dan perbezaan-perbezaan yang lain. Perkara ini dapat direalisasikan sekiranya seorang pendakwah dapat mengorbankan kepentingan duniawi demi kebaikan masyarakat disekelilingnya. Inilah hakikat dakwah Islam sebagai pembawa rahmat kepada seluruh manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : " Dan tidaklah kami mengutuskan kamu melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (al-Anbiya',ayat 107) Sabda Rasulullah yan bermaksud : "Orang-orang penyayang akan disayangi Allah, maka sayangilah orang-orang yang ada di bumi, maka kamu akan disayangi orang-orang yang ada di langit." Dalam kitab sirah disebutkan bahawa Rasulullah sentiasa berdoa kepada seluruh golongan manusia sama aada muslim atau bukan Islam agar mereka mendapatkan rahmat, pengampunan dan hidayat dari Allah. Nabi s.a.w. tidak pernah berdoa untuk musyrikin kecuali doa-doa kebaikan. Selama beberapa tahun di Mekah, beliau tidak pernah menggerakkan lisan baginda untuk mendoakan dengan doa-doa yang buruk.
Jihad melalui dakwah itu bukti di atas keimanan. Ia sentiasa mempunyai perasaan cinta kepada Allah dan rasul-Nya. Alamat kecintaan itu ditonjolkan dengan berjihad pada jalan-Nya dan berdakwah kepada agama-Nya dan melindungi orang-orang yang beriman. Oleh itu, sesiapa yang tidak mengetahui hakikat dari dakwah dan jihad ini, maka mereka akan melakukan dakwah, namun pada hakikat itu bukan makna dakwah yang sebenar dan begitu juga mereka akan melakukan jihad namun apa yang mereka lakukan itu bukanlah erti jihad yang sebenar.
Jelaslah kepada kita bahawa jihad dakwah dapat dilakukan dengan cara-cara halus tanpa menggunakan kekerasan dan paksaan, didasarkan pada kasih sayang, rahmat serta sabar dalam menghadapi ujian dan mehnah hidup. Oleh itu, dakwah dengan mengajak manusia kepada agama Allah, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan berterusan merupakan jihad yang agung dan dapat membangunkan masyarakat Islam ke arah umat yang terbaik dalam memimpin tamadun manuia pada masa akan datang.
sumber: SINI
0 ulasan:
Catat Ulasan