Pengikut

Hadith Hari Ini

HUKUM MENYAMBUT PERAYAAN ORANG BUKAN ISLAM

Dalam sebuah negara Islam, warganegara bukan beragama Islam boleh merayakan hari-hari perayaan agama mereka, asalkan tidak menyinggung perasaan umat Islam, tidak mengganggu ketenteraman awam dan tidak membelakangkan undang-undang negara. Pendapat ini lebih sesuai dengan keadaan yang terdapat di Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan bangsa, yang sama-sama menyumbang ke arah pembangunan negara. Ini berdasarkan kepada tindakan dan fatwa para sahabat Rasulullah S.A.W sendiri seperti Khalifah Abu Bakar, Umar, Khalid bin al-Walid dan lain-lain. Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah berpegang dengan fatwa-fatwa para sahabat lebih utama berbanding dengan berpegang dengan pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa ulama yang datang kemudian, kerana fatwa-fatwa para sahabat lebih hampir kepada pendapat yang benar, memandangkan zaman para sahabat masih dekat dengan zaman Rasulullah S.A.W. Fatwa-fatwa para sahabat lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi’in, manakala fatwa-fawa tabi’in lebih utama dipegang berbanding dengan fatwa-fatwa tabi‘ tabi‘in dan seterusnya.

Walau bagaimanapun warganegara beragama Islam dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan Islam sama sebagaimana yang disambut oleh warganegara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama bukan Islam berdasarkan kepada nas yang lalu kerana termasuk ke dalam ertikata menyerupai bukan Islam dalam upacara keagamaan mereka dan menzahirkan kasih sayang kepada mereka dalam bentuk yang dilarang dalam Islam. 

Menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh warganegara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharamkannya dengan yang mengharuskannya. Pendapat yang menghukumkannya sebagai harus, lebih sesuai diterima pakai dalam konteks Malaysia, kerana telah menjadi tradisi dan adat yang diamalkan oleh penduduknya dan tidak mengandungi ertikata menyerupai orang bukan Islam, yang dilarang. Bukan sahaja warganegara bukan beragama Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan juga diadakan oleh warganegara beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah biasa berlaku kunjung mengunjung pada hari tersebut tanpa mengira latar belakang agama. 

Sheikh Muhammad Uthaymin yang mempunyai pandangan yang agak ketat dalam masalah ini pernah mengulas tentang konsep menyerupai bukan Islam yang dilarang oleh syarak. Bagi beliau ukuran yang melayakkan seseorang Islam dikatakan menyerupai bukan Islam ialah apabila dia melakukan perkara-perkara yang hanya khusus untuk orang-orang bukan Islam, tetapi jika perkara yang diserupai itu telah tersebar secara meluas di kalangan masyarakat dan tidak dapat dibezakan lagi antara yang dilakukan oleh orang Islam dengan bukan Islam atau telah menjadi adat dalam bahasa yang lebih mudahnya, melakukannya tidak lagi dinamakan sebagai menyerupai orang-orang bukan Islam dan hukumnya tidak lagi haram dari aspek tersebut. 

Beliau menguatkan pendapatnya dengan menakalkan keterangan yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, yang menjelaskan sebahagian ulama salaf menghukumkan makruh memakai Burnus iaitu jubah labuh di mana bahagian atasnya menutup kepala pemakainya yang biasa dipakai oleh orang-orang Kristian. Imam Malik pernah ditanya tentang pemakaian jubah seumpama itu pada masa hayatnya dan beliau berpendapat tidak ada apa-apa kesalahan memakainya kepada orang-orang Islam. Apabila diberitahu jubah labuh itu merupakan pakaian orang-orang Kristian, imam Malik menegaskan pakaian seumpama itu telahpun dipakai oleh kebanyakan orang sehingga tidak dapat lagi dibezakan antara yang beragama Kristian dengan bukan yang beragama Kristian. Beliau juga menakalkan ulasan Ibn Hajar al-Asqalani berhubung dengan pemakaian pelana kuda yang dilapik dengan kain sutera, yang menjadi kebiasaan kepada orang-orang bukan Islam, larangan tersebut menurut Ibn Hajar kerana menjaga kepentingan agama Islam. Pemakainya menyerupai orang-orang bukan Islam, kerana pakaian tersebut menjadi syiar agama mereka pada masa itu. Namun pada masa sekarang (pada zaman beliau) pakaian tersebut tidak lagi menjadi syiar agama mereka dan dengan itu hukum makruh memakainya telah berubah menjadi harus.

Walau bagaimanapun perlu meraikan beberapa syarat iaitu: 

Kehadiran di dalam rumah terbuka itu, tidak menggadai akidah dan maruah diri seorang Islam. 

Rumah terbuka itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampiran dengan rumah ibadah. 

Kehadiran ke rumah terbuka sebagai meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berbuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan majlis rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera, antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam. 

Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka. 

Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir seperti hidangan minuman keras, nyanyian yang melalaikan, mengganggu syiar ibadah orang Islam dan seumpamanya. 

Tidak ada unsur atau elemen penghinaan terhadap Nabi S.A.W, kitab suci al-Qur’an dan seumpamanya. 

Tidak terdapat upacara agama mereka di dalam majlis tersebut, sebaliknya semata-mata jamuan makan sahaja. 

Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu, berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya, yang tidak ada unsur membesarkan agama mereka. 

Rumah terbuka itu diadakan oleh orang-orang bukan Islam itu sendiri dan bukannya diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat bukan Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap menganjurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin juga diadakan rumah terbuka, hendaklah dibuat tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya. 

Jika syarat-syarat ini tidak wujud, sewajarnya tidak menghadiri majlis mereka, sebagai mengambil langkah ke arah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada umat Islam. 

Mengucapkan tahniah bersempena dengan perayaan bukan Islam juga menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan ulama antara yang mengharuskannya dengan yang mengharamkanya. Namun pendapat yang mengharuskannya lebih sesuai dalam konteks Malaysia, kerana tidak termasuk ke dalam ertikata menyerupai orang-orang bukan Islam yang dilarang, kerana pada kebiasaan ucapan tersebut tidak mengandungi pengertian reda dengan agama mereka. Ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan bersempena hari raya tersebut, kebiasaannya tidak mengandungi sebarang perakuan terhadap agama mereka atau tanda-tanda yang menunjukkan seseorang reda dengan agama mereka, sebaliknya ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan oleh orang ramai setiap kali hari raya masing-masing. Selain daripada itu, tidak menjadi masalah menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah tersebut, kerana Rasulullah S.A.W sendiri menerima hadiah daripada maharaja Muqawqis, asal sahaja tidak melibatkan benda yang diharamkan seperti arak, daging khinzir dan sebagainya. 

*Dipetik dari kertas ”Perayaan Bukan Islam Dalam Sebuah Negara Islam” oleh Dr. Basri bin Ibrahim, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia. Buku terbitan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor berjudul “Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia”
SUMBER : SINI

0 ulasan:

Catat Ulasan