Pengikut

Hadith Hari Ini

Remaja : Umbara vs wikipedia

Oleh ZALILA ISA

Dhiya tertekan. Setiap kuliah dihadiri dengan baik. Namun, penyampaian pensyarah tidak menyeluruh. Setiap subjek diberikan kertas tugasan yang harus disiapkan dalam tempoh yang singkat. Jika dia mengambil lima subjek, bermakna dia harus menyiapkan lima tugasan setiap minggu.

Dhiya tidak punya kesempatan mengulangkaji atau mencari rujukan secara terperinci. Untuk bertanya kepada pensyarah juga suatu masalah apabila sikap sesetengah pensyarah yang mengajar amat menyedihkan.

Namun, Dhiya tetap dapat menyiapkan kertas tugasan yang diberi. Bukankah zaman ini zaman teknologi. Internet boleh diakses di mana-mana. Melalui internet, Dhiya mencari maklumat dengan mudah. Hanya klik kata kunci dan apa yang diingini akan dipaparkan.

Biarpun dalam kisah di atas, Dhiya berjaya mengatasi masalah menyiapkan kertas kerja dengan mudah, ia masih tidak berbaloi untuk dibanggakan kerana usaha Dhiya terlalu kecil. Dalam hal ini peranan internet amat membantu. Dalam hal ini, Dhiya yang bersalah kerana tidak pandai mengurus masa ataupun sistem pendidikan yang diterimanya mempunyai kepincangan?

Hal lain yang mungkin berlaku akibat sistem pendidikan dan situasi semasa ialah pelajar sekolah mudah bosan persekolahan dan pengajian dan mula melaksanakan agenda mereka sendiri seperti menjadikan sekolah atau universiti tempat berseronok-seronok.

Tidak hairanlah setiap hari kita melihat paparan berita yang menyedihkan tentang pelajar sekolah yang terlibat dengan pelbagai jenayah kecil dan besar. Sekolah bukan tempat untuk mencambah ilmu dan ilmu pula bukan sesuatu yang menyeronokkan untuk digali.

Dengan memerhati sistem pendidikan dan juga proses pembelajaran yang kita gunakan sejak dahulu sehingga kini, mampukan negara kita melahirkan generasi muda yang mempunyai nilai umbara iaitu generasi muda yang bijak berfikir, menaakul dan mengkaji apa yang berlaku di sekelilingnya?

Atau dengan sistem pendidikan yang sentiasa berubah-ubah, sukatan pelajaran yang ketinggalan dan mengenepikan aspek agama dan kebudayaan, serta sikap menjadikan pendidikan sebagai bahan komoditi, kita hanya akan mampu menghasilkan remaja dan generasi wikipedia* yang hanya mampu meniru dan lemah berfikir.

Pelajar yang tergolong dalam tahap usia remaja iaitu berumur 12 hingga 24 tahun sering dikaitkan dengan transisi yang tidak stabil. Hal ini juga berkaitan dengan perjalanan dari alam kanak-kanak kepada alam dewasa yang menempuh beberapa proses mematangkan fikiran memerlukan daya ketahanan yang kuat kerana pada waktu ini remaja akan mengalami perubahan dari aspek jasmani, mental, sosial dan sebagainya.

Dalam pencarian ilmu, tanpa kebijaksanaan remaja pasti akan mengalami kegagalan. Mereka gagal mentafsir sesuatu, menghayati ilmu dengan berkesan dan menghargai peluang yang disediakan. Remaja adalah golongan yang berisiko tinggi untuk menjadi golongan ‘wikipedia’.

Yang dimaksudkan dengan remaja wikipedia ialah remaja yang hanya menggunakan kemudahan yang ada tanpa menggunakan akal yang dikurnia. Ini bermakna remaja bijak menggunakan teknologi internet dalam memudahkan urusan seharian terutama yang berkaitan pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan.

Namun, sayangnya, mereka kurang bijak menilai maklumat dan data yang diperolehi melalui internet.

Wikipedia : Peranannya dalam sistem pemerolehan ilmu remaja.

Wikipedia merupakan ensiklopedia terbesar yang memuatkan bermilion bahan bacaan dengan beratus bahasa di seluruh dunia. Melalui wikipedia, apa sahaja perkara yang ingin diketahui ada di dalamnya.Wikipedia menjadi gedung ilmu yang disediakan melalui internet demi memudahkan masyarakat terutama golongan pelajar.

Melalui kemudahan internet yang boleh diakses di mana-mana jua, sudah pasti pencarian ilmu tidak akan tergantung begitu sahaja. Apa sahaja yang ingin dicari pasti diperolehi dengan sekali klik. Tanpa disedari tidak semua bahan yang diperolehi itu muktamad atau sahih.

Tidak dinafikan pengaruh internet sangat besar kepada kehidupan manusia pada hari ini. Tidak terelak juga keburukan yang di bawa oleh gergasi teknologi ini. Menerusi hakikat globalisasi dan letusan teknologi yang begitu cepat tersebar, kita tidak seharusnya leka dan mengambil mudah setiap perkara. Namun itulah yang berlaku. Apatah lagi memang diketahui teknologi sangat akrab dan sinonim dengan remaja.

Mereka bijak menggunakan teknologi yang bergerak pantas ini. Dan sejauh mana generasi wikipedia ini akan memahami konsep pencarian ilmu yang sebenarnya hanya dengan membaca dan menyalin apa yang terkandung di dalam ensiklopedia ini?

Umbara : Pemupukan yang bermakna buat remaja

Umbara merupakan satu proses penggalian ilmu pelbagai bidang melalui kaedah yang juga pelbagai. Umbara atau mengembara meliputi ruang lingkup yang luas. Mengembara menambah ilmu dan mempelajari perkara baru boleh dilihat pada zaman Nabi Muhammad S.A.W sendiri, di mana baginda sendiri berhijrah dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain demi menambah ilmu dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Halangan dan dugaan yang berlaku akan menentukan seberapa banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi.

Usaha dan tabiat pencarian ilmu begitu diteruskan oleh cendekiawan zaman lampau sehingga ke ulama-ulama Islam yang terkemuka. Mereka menjadi tokoh yang disegani kerana kehebatan serta kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Sudah pasti jika dikupas dan dibongkar sejarah lampau, terlihat usaha mereka mendapatkan ilmu pengetahuan adalah dengan mengembara.

Aspek mengembara zaman dahulu sehingga kini tidak ada bezanya. Mengembara bukan sahaja melibatkan perjalanan yang jauh mencari ilmu seperti kata pepatah lama, “jauh berjalan luas pandangan, kaya pengalaman”. Ia juga melibatkan perjalanan minda dan akal semasa mentafsir sesuatu ilmu yang baru diperolehi.

Ini bermakna setiap ilmu yang diperolehi, tidak digunakan secara terus tetapi mengalami proses demi proses pengkajian. Apa sahaja yang diterima, dihadam menggunakan akal, dinilai dengan jiwa yang bersih dan ikhlas serta individu tersebut berani mencabar diri mengupas ilmu tersebut dengan lebih mendalam.

Umbara vs wikipedia

Mencari punca dan titik tolak kegagalan remaja dalam mencerna ilmu pengetahuan bukan sesuatu yang mudah. Namun, ia harus diselongkar agar kegagalan remaja tidak dibiarkan. Ada baiknya jika beberapa perkara dilihat sebagai punca kepada keadaan ini.

Pertamanya, melihat kepada corak arus globalisasi yang wujud. Keduanya melihat sistem pendidikan negara yang mempunyai beberapa kelompongan sehingga gagal melahirkan generasi yang memenuhi falsafah pendidikan negara. Dan ketiganya melihat jati diri individu itu sendiri.

Corak kehidupan masyarakat hari ini saling berkaitan. Sejak bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya warga emas, saling berkaitan dan tidak mungkin terpisah. Itulah rantaian yang harus diikuti selagi bernyawa. Secara langsung, apa yang berlaku sejak kecil mempengaruhi perjalanan ke usia seterusnya. Pada tahap ini, sudah pasti peranan ibu bapa, masyarakat dan dasar negara harus dimainkan sebaiknya.

Ibu bapa memainkan peranan memberi pendedahan yang baik buat anak. Mengapa melenting sekiranya dilabel ‘bapa borek anak rintik’ apabila anak berperangai tidak senonoh? Sudah pasti apa yang terbentuk pada anak-anak adalah hasil acuan keluarganya. Di sini, ibu bapa tidak harus leka.

Meniti usia seterusnya, anak-anak mula bersekolah. 20 tahun atau lebih adalah jangkamasa yang dihabiskan oleh individu di sekolah. Sedari umur 4 tahun ke taska atau tadika sehingga menjejak usia 19 tahun ke 25 tahun melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Itulah formaliti sistem pendidikan di negara ini.

Melihatkan jangkamasa yang lama ini, sudah pasti sistem pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam memanusiakan individu. Bagaimana dengan sistem pendidikan kita?

" Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. " (Falsafah Pendidikan Negara)

Sejumlah dana yang banyak juga diperuntukkan dalam memastikan tiada kelompok masyarakat yang ketinggalan daripada menguasai ilmu pengetahuan. Berbilion dana disalur untuk meninggikan tahap kemodenan sistem pendidikan di negara ini.

Tiga strategi khusus yang digariskan melalui bajet 2009 harus dilaksanakan demi mendukung konsep kerajaan prihatin. Tiga teras itu adalah menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara. Oleh kerana misi nasional negara adalah mengukuhkan modal insan, secara tidak langsung bukan aspek kewangan yang harus diteliti tetapi aspek pendidikan yang diterima oleh setiap generasi pelapis.

Kemudahan dan dana yang disediakan oleh kerajaan suatu hal yang baik. Namun, terlebih baik sekiranya isi kandungan proses pembelajaran dan apa yang dipelajari dikukuhkan menjadi jati diri dan pelengkap untuk menghasilkan pelajar yang benar-benar berkualiti sejajar dengan gagasan falsafah pendidikan negara.

Menyalahkan sistem pendidikan negara yang sentiasa berubah-ubah bukanlah suatu tindakan yang bijak. Sistem peperiksaan yang terancang, sukatan yang ditetapkan, sistem perpenggalan, dan semester untuk pelajar pengajian tinggi merupakan satu gambaran yang baik bagi sistem pendidikan negara, walaupun pelbagai isu wujud sehingga menjadikan pelajar keliru dan menjadi mangsa sistem pendidikan.


Melihat laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam The Sun pada 20 Mac 2007 pendidikan tinggi Malaysia telah melangkah jauh ke hadapan dalam mana pada tahun 2002 sebanyak 11.1% daripada penduduk Malaysia mempunyai ijazah dari institusi pengajian tinggi.

Angka ini agak menakjubkan kerana pada tahun 1995 hanya 6.2% rakyat Malaysia memiliki pendidikan tinggi. Dalam jangka masa tujuh tahun lagi iaitu pada 2014 berdasarkan kepada perkembangan sekarang ini rakyat Malaysia yang memiliki pendidikan tinggi ialah sekitar 22%. Pencapaian ini sama dengan apa yang dimiliki oleh negara-negara maju sekarang seperti USA 29%, Korea Selatan 22%, Denmark 25%, Canada 22%.

Agak malang apabila rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja dilihat sebagai berpendidikan tinggi, namun masih terlibat dengan anasir negatif seperti pengedaran dadah, pelacuran, berpeleseran di pusat hiburan dan sebagainya. Kualiti ‘bijak’ yang ada dalam diri mereka disalah guna dan seterusnya mempamerkan kebijaksanaan dan jatidiri mereka bernilai sifar.

Setiap hari, pasti ada sahaja berita tentang jenayah yang dilakukan oleh golongan remaja dan pelajar sekolah. Kegiatan samseng dan kongsi gelap, pelacuran di kalangan mahasiswi pengajian tinggi dan pelbagai masalah sosial lagi tidak harus dipandang sebelah mata memandangkan mereka adalah generasi pelapis yang bakal menentukan jatuh bangunnya negara ini pada masa akan datang.

Besar bezanya antara pelajar umbara dan pelajar wikipedia. Melalui situasi semasa, yang terlahir nanti adakah remaja dan generasi muda yang umbara atau hanya sekadar generasi atau remaja wikipedia. Dan kesan jangkamasa panjang nanti, terlahir tokoh dan pemimpin yang benar-benar berkualiti atau sekadar menghafal dan bijak meniru.

Percambahan para cerdik pandai yang pesat ini hanya dalam konteks angka atau nombor yang tidak selari dengan peningkatan kualiti. Dan kualiti kemanusiaan itu hanya akan dapat dicapai dengan sistem pendidikan dan proses pembelajaran yang utuh.

Kesungguhan kerajaan dalam memperbanyakkan institusi pendidikan ini sesuai dengan jumlah kemasukan pelajar yang semakin meningkat saban tahun. Walau bagaimanapun, usaha meningkatkan tahap pendidikan negara bukan sahaja perlu dilihat dari aspek pembangunan material dan kemudahan semata-semata.

Usaha memperkasakan pembangunan modal insan, intelektualiti serta kemahiran-kemahiran tertentu perlu dijadikan agenda utama melalui pengkajian dan penyelarasan semula sistem pendidikan negara. Selain itu, guru dan ibu bapa juga harus kembali kepada tanggungjawab sebenar mereka dalam melahirkan generasi yang umbara dan bukannya generasi wikipedia yang hanya tahu angguk dan geleng.

Sumber: http://www.yadim.com.my/Remaja/RemajaFull.asp?Id=154