Pengikut

Hadith Hari Ini

Peranan dan Sumbangan Lulusan Mesir dalam Masyarakat Melayu


Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau di Malaysian Hall, Abasiah, Kaherah, Mesir pada 2 Disember 2004 Anjuran YADIM, YPEIM, MBM,INMIND, ABIM Mesir dan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Oleh: Dr Mohamad Redzuan Othman (UM)


PENGENALAN

Penyebaran pengaruh Mesir dalam masyarakat Melayu dikaitkan dengan peranan yang dimainkan oleh Universiti al-Azhar sebagai pusat ilmu yang menjadi destinasi belia-belia Melayu sejak tahun 1920-an. Di samping sebuah pusat ilmu, Mesir juga merupakan pusat peradaban Islam yang agung yang perkembangannya turut mempengaruhi perkembangan umat Islam secara keseluruhannya. Menjelang awal abad ke-19, hampir kesemua wilayah yang didiami oleh umat Islam, termasuklah Tanah Melayu dan Mesir telah dijajah oleh Barat. Berbeza dengan Tanah Melayu, perkembangan kesedaran Islam dan kesedaran kebangsaan di Mesir berlaku sebaik-baik sahaja penjajahan Barat mencengkam kukunya ke atas negara tersebut. Perkembangan yang berlaku di Mesir ini banyak dipengaruhi oleh faktor latar belakang penghayatan Islam oleh penduduknya dan kewujudan institusi pengajian tinggi yang agung, iaitu Universiti al-Azhar. Universiti ini telah berjaya melahirkan ramai aktivis yang berusaha dan memainkan peranan membela nasib bangsanya. Di samping peranan yang dimainkan ole Univerisiti al-Azhar, kepesatan penyebaran kesedaraan ini di Mesir juga turut dibantu oleh perkembangan media persuratkhabaran yang berkembang pesat sejak akhir abad ke-19.

Dalam sejarah perkembangan awal nasionalisme Melayu, peranan pengaruh dari Mesir telah memainkan peranan penting menyemai kesedaran tersebut kepada masyarakat Melayu. Penyaluran perkembangan kesedaran ini berlaku melalui peranan yang dimainkan oleh orang Melayu yang mendapat pendidikan di Mesir. Pelajar-pelajar ini yang telah ditiupkan semangat kesedaran ketika menuntut dan melalui pembacaan akhbar terbitan negara tersebut telah menyebarkan kesedaran ini melalui akhbar-akhbar yang mereka terbitkan di sini dan melalui penubuhan madrasah bagi menyebarkan kesedaran Islam atau pemikiran islah ke dalam masyarakat.


PEMIKIRAN ISLAH DAN PERJUANGAN KAUM MUDA

Perkembangan politik yang berlaku di Mesir telah menarik minat orang Melayu sejak awal abad ke-20 lagi. Pergolakan politik yang berlaku dalam negara tersebut sering mendapat perhatian orang Melayu dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar Melayu. Pada tahun 1900 akhbar Chahaya Pulau Pinang telah menyiarkan secara berturut-turut dalam tiga keluarannya ucapan Mustafa Kamil, iaitu tokoh perjuangan kebangsaan Mesir untuk tatapan pembacanya. Sebagai seorang tokoh yang memperjuangkan pembebasan Mesir daripada belenggu penjajah Inggeris sejarah perjuangan Mustafa Kamil diikuti dengan penuh minat, dan malahan ketokohannya turut menjadi sanjungan orang Melayu. Apabila beliau meninggal dunia pada bulan Februari 1908, berita kematiannya yang tersebar di Singapura diterima dengan penuh kesangsian. Guru-guru di Madrasah al-Iqbal, iaitu madrasah pertama yang ditubuhkan di Singapura lebih cenderung mendapat pengesahan langsung dari negara tersebut tentang kematian ini terlebih dahulu sebelum mempercayai. Kesangsian ini timbul kerana pada waktu itu usia Mustafa Kamil masih muda. Kematian Mustafa Kamil telah dihebahkan oleh akhbar al-Imam dengan disertakan ucapan takziah. Akhbar ini berjanji bahawa ia akan menyiarkan sejarah hidup serta perjuangan Mustafa Kamil sebaik-baik sahaja menerimanya dari Mesir.

Berikutan pertumbuhan pesat yang dialami oleh akhbar Melayu pada tahun 1920-an dan 1930-an, perkembangan yang sedang berlaku di Mesir, terutamanya perkembangan politik semakin menarik perhatian masyarakat Melayu. Akhbar Idaran Zaman yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1925 merupakan antara akhbar yang memberi perhatian mendalam terhadap perkembangan yang berlaku di negara tersebut. Akhbar ini sering menyiarkan berita yang dipetik dari akhbar terbitan parti-parti politik di Mesir untuk dimuatkan dalam akhbar tersebut. Selain akhbar Idaran Zaman, akhbar-akhbar Melayu yang lain yang turut melaporkan tentang perkembangan politik yang berlaku di Mesir ialah akhbar Suara Malayu, al-Ikhwan dan Saudara.

Walaupun berita tentang gerakan kebangsaan rakyat Mesir hanya mendapat liputan di Tanah Melayu pada abad ke-20 berikutan peranan yang dimainkan oleh akhbar-akhbar Melayu, namun kesedaran yang bersumberkan dari negara tersebut telah menular sejak beberapa dekad sebelumnya. Perkembangan kesedaran ini mempunyai kaitan yang erat dengan gerakan islah dan gerakan Pan-Islamisme yang dipelopori oleh Jamal al-Din al-Afghani. Gerakan inilah yang telah mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir. Semasa hayatnya, Jamal al-Din al-Afghani (1839-97) yang asal-usulnya masih dianggap tidak jelas dan menimbulkan kontroversi terpaksa hidup dalam buangan sepanjang tiga puluh terakhir hayatnya sebelum meninggal dunia. Antara negara yang pernah didiaminya sepanjang berada dalam buangan ialah Mesir. Ketika berada di Mesir al-Afghani telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada generasi muda, dan malahan terdapat dikalangan pengikutnya muncul memainkan peranan penting dalam perkembangan sejarah Mesir moden. Ketika dalam buangan pada tahun 1879, al-Afghani tinggal beberapa ketika di India dan kemudiannya pergi ke Paris pada tahun 1883. Di sini al-Afghani sekali lagi bertemu dengan anak didiknya Muhammad cAbduh dan kedua-duanya berganding bahu menerbitkan majalah al-cUrwah al-Wuthqa. Majalah ini mula diterbitkan pada 5 Jumada al-Ula 1301 (13 Mac 1884) dan berjaya diedarkan sebanyak lapan belas keluaran. Al-cUrwah al-Wuthqa ternyata berjaya mencetuskan kesedaran islah dikalangan umat Islam dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka.

Jamal al-Din al-Afghani juga dianggap sebagai pelopor idea Pan-Islamisme, iaitu pemikiran yang menyeru supaya umat Islam membebaskan diri daripada belenggu penjajah dan bersatu di bawah kepimpinan khalifah. Melalui idea Pan-Islamisme, al-Afghani berjaya mencetuskan kesedaran kebangsaan rakyat Mesir menentang penjajah Inggeris sehingga gagasan ini lebih berpengaruh pada waktu itu jika dibandingkan dengan pergerakan nasionalisme Arab atau Mesir. Walau bagaimanapun, pergerakan Pan-Islamisme yang diperjuangkan oleh al-Afghani ternyata tidak mendapat reaksi yang menggalakkan Tanah Melayu jika dibandingkan sokongan yang diberikan kepada pergerakan ini oleh umat Islam di dunia Arab atau di Benua Kecil India.

Walaupun gagasan Pan-Islamisme yang diperjuangkan oleh al-Afghani tidak mendapat sambutan yang sewajarnya di Tanah Melayu, namun pemikiran islah yang juga diperjuangkannya memperlihatkan pengaruh yang lebih ketara dalam masyarakat Melayu. Pemikiran islah yang diperjuangkan oleh al-Afghani amat mempengaruhi dua orang tokoh pemikir Arab, iaitu Muhammad cAbduh (1849-1905) dan Rashid Rida (1865-1935). Melalui mereka inilah pemikiran al-Afghani yang menyeru supaya umat Islam melakukan pembaharuan dalaman bagi memperbaiki kelemahan mereka tersebar ke dalam masyarakat Melayu. Pengaliran pengaruh ini ke Tanah Melayu dimainkan oleh mereka yang pernah mendapat pendidikan di Mesir atau terdedah kepada perkembangan yang berlaku di sana. Mereka ini secara tidak langsung mempunyai hubungan dengan kedua-dua tokoh ini.

Usaha awal pendukung gerakan islah mengembangkan pemikiran mereka dilakukan melalui akhbar al-Imam. Al-Imam diterbitkan pada 23 Julai 1906 (1 Jamada al-Akhir, 1324AH) dalam tulisan Jawi dan berjaya diterbitkan sebanyak tiga puluh satu keluaran sebelum ia berhenti penerbitan pada bulan Disember 1908. Penggerak utama penerbitan al-Imam ialah Shaykh Tahir dengan dibantu oleh Sayyid Shaykh al-Hadi dan Haji Abbas Mohd. Taha. Penerbitannya dibiayai oleh Shaykh Awad al-Sa’aidan. Melalui usaha Sayyid Shaykh al-Hadi, Sayyid Hassan bin Shahab dan Sayyid Muhammad bin Aqil bin Yahya, iaitu seorang lagi pembiayai penerbitan al-Imam, sebuah syarikat berhad iaitu, Al-Imam Printing Company telah ditubuhkan pada bulan Mac 1908. Ketika ditubuhkan syarikat ini memiliki modal sebanyak $20,000.

Hampir kesemua mereka yang terlibat dalam penerbitan al-Imam merupakan mereka yang pernah terdedah kepada perkembangan yang berlaku di Timur Tengah, mempunyai hubungan dengan Mesir dan terpengaruh dengan pemikiran akhbar al-Manar. Penerbitan al-Imam yang merupakan penyaluran pemikiran majalah al-Manar yang diterbitkan oleh Rashid Rida, dianggap sebagai pemindahan perbahasan yang sedang berlaku di Kaherah ke rantau ini. Penerbitannya juga dianggap sebagai manifestasi pekembangan pemikiran islah tokoh-tokoh islah Mesir ke dalam masyarakat Melayu.

Pengaruh pemikiran islah yang sedang berkembang di Mesir mempengaruhi pemikiran penggerak al-Imam yang turut merasakan perlunya mereka memainkan peranan yang sama merubah masyarakat Melayu. Ini dibuktikan sejak keluarannya yang pertamanya lagi apabila al-Imam menyeru orang Melayu “bangun daripada tidur” dan berusaha mencapai kemajuan dengan mengikuti jalan yang sebenar, sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah. Dalam usaha memenuhi hasrat dan bagi mencapai aspirasi inilah akhbar tersebut dinamakan oleh penggeraknya sebagai al-Imam atau pemimpin dengan matlamatnya dijelaskan sebagai: "…mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mereka yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat…”.

Di samping menjuarai peranan menyebarkan pemikiran islah, al-Imam juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan kesedaran sosio-politik orang Melayu. Akhbar ini merupakan akhbar Melayu yang pertama mengandungi pemikiran yang menyeru kepada perubahan sosial dalam masyarakat dengan memasukkan unsur-unsur politik dalam tulisan yang diterbitkan. Unsur ini dapat dilihat dengan terdapatnya tulisan yang mempunyia unsur demikian seperti memaklumkan kepada pembaca tentang berita dan pergolakan yang sedang berlaku di Timur Tengah. Walaupun al-Imam mengisytiharkan bahawa peranan yang cuba dimainkannya ialah untuk membawa perubahan kepada masyarakat, namun penyiaran berita-berita ini ternyata bermotifkan politik kerana tujuannya ialah bagi mendedahkan pembacanya kepada perkembangan politik yang sedang berlaku yang mempunyai kaitan dengan kepentingan umat Islam.

Di Tanah Melayu, mereka yang mendukung pemikiran al-Imam dan berjiwa islah dikenali sebagai Kaum Muda. Secara kebetulan mereka yang mendukung pemikiran ini terdiri daripada mereka yang usianya secara relatif masih muda. Namun begitu, panggilan ini bukan disebabkan oleh faktor tersebut semata-mata kerana dalam masyarakat Melayu panggilan ini sering bernada sinis. Panggilan ini selalunya diberikan oleh mereka yang tidak menyukai kumpulan tersebut yang menghubungkan Kaum Muda dengan kumpulan Turki Muda yang dasar perjuangannya dianggap menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Menurut Sidek Haji Fadzil, secara jelasnya penggunaan label ini adalah bertujuan bagi merendah-rendahkan perjuangan Kaum Muda, walaupun matlamat perjuangan mereka adalah bagi mengembalikan umat Islam ke jalan yang benar. Pemikiran Kaum Muda ditentang oleh kumpulan yang berfikiran konservatif yang dikenali sebagai Kaum Tua. Sebagai kumpulan yang telah lebih awal mendapat kedudukan dalam masyarakat, Kaum Tua bersama-sama dengan pentadbiran agama di negeri-negeri Melayu dan disokong oleh pentadbiran Inggeris apabila diperlukan, berjaya mengawal kegiatan yang dijalan oleh Kaum Muda.

Disebabkan Kaum Muda dinafikan peluang untuk menyebarkan pemikiran mereka melalui institusi agama yang rasmi, aktivis gerakan ini menyebarkan pemikiran mereka dengan membuka madrasah dan menerbitkan akhbar. Melalui saluran inilah mereka menyebarkan pemikiran islah yang diperjuangkan kepada umum dalam usaha menggerakkan perubahan sosial dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, kegiatan Kaum Muda ini, khususnya dalam berkaitan dengan penerbitan bukanlah bebas daripada sebarang halangan. Seksyen 19b Enakmen Undang-Undang Islam 1904, Pindaan Enakmen 1925 memperuntukkan bahawa sesiapa yang mencetak dan menerbitkan bahan bacaan berkaitan dengan Islam tanpa kelulusan bertulis daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak $200 atau dihukum penjara. Peruntukan ini telah digunakan untuk menyekat penerbitan akhbar dan dalam sesetengah kes digunakan untuk mengharamkan sebarang penerbitan atau memaksa penarikan penyebarannya. Berhadapan dengan sekatan ini menyebabkan pendukung Kaum Muda terpaksa memindahkan sebahagian besar kegiatan penerbitan mereka ke Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai Majlis Agama dan sultan. Walaupun kegiatan penerbitan mereka berpusat di Negeri-Negeri Selat, namun masih terdapat percubaan menghalang penyebaran akhbar yang diterbitkan daripada diedarkan ke dalam negeri-negeri Melayu. Umpamanya dalam kes yang pernah berlaku di Kelantan apabila terdapat percubaan menghalang penyebaran akhbar-akhbar islah seperti al-Ikhwan dan Saudara daripada memasuki negeri tersebut.

Penggerak Kaum Muda juga menggunakan pendekatan pendidikan madrasah yang mengikut model Mesir bagi menyebarkan pemikiran mereka. Sejarah pendidikan madrasah bermula dengan penubuhan Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah di Singapura di bawah naungan Raja Ali Kelana Riau. Ketika ditubuhkan, bagi memastikan madrasah ini melaksanakan pendidikannya mengikut sistem madrasah sebagaimana yang diamalkan di Mesir, seorang Arab Mesir bernama cUthman Effendi Rafcat telah dilantik menjadi mudirnya. Sebagai sebuah institusi pengajian yang mengamalkan pendidikan moden di madrasah ini mata pelajaran yang diajar termasuklah geografi, matematik, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, di samping mata pelajaran agama dan bahasa Arab. Madrasah al-Iqbal yang menggunakan pendekatan moden dalam pengajarannya kemudiannya telah menjadi ikutan madrasah yang ditubuhkan di seluruh Tanah Melayu. Antara madrasah yang ditubuhkan mengikut model Madrasah al-Iqbal ialah Madrasah al-Hadi di Melaka dan Madrasah al-Mashhor di Pulau Pinang. Madrasah-madrasah ini ditubuhkan oleh Sayyid Shaykh al-Hadi yang matlamat penubuhannya ialah untuk memberikan pendidikan agama secara moden kepada orang Melayu. Kepimpinan dan usaha Sayyid Shaykh al-Hadi menjadikan pendidikan madrasah sebagai pendidikan yang berkesan kepada orang Melayu paling berjaya ketika beliau menerajui Madrasah al-Mashhor. Di bawah kepimpinannya, madrasah ini berjaya menjadikan sebuah pusat pengajian Islam yang berkembang maju dan menjadi tapak semaian melahirkan anak-anak orang Melayu yang ditanamkan dengan semangat kesedaran.

Setelah Sayyid Shaykh meletakkan jawatan sebagai mudir Madrasah Mashhor jawatan tersebut diambil alih oleh Shaykh Abdullah al-Maghribi yang pemikirannya sealiran dengan beliau. Pada tahun 1923, jawatan mudir diisi oleh Shaykh Abu Bakar al-Rafi'. Zaman ketika beliau menjadi mudir dianggap sebagai tempoh paling cemerlang dalam sejarah perkembangan madrasah tersebut. Pada waktu ini ramai lepasan madrasah ini telah dihantar ke Kaherah bagi meneruskan pengajian mereka. Ketika memegang jawatan, Shaykh Abu Bakar telah melakukan pelbagai pembaharuan dengan menambah serta memperbaiki infrastruktur madrasah dan mengemaskinikan pengajaran yang diberikan. Sebagai seorang ulama progresif Shaykh Abu Bakar telah memainkan peranan penting dalam pembentukan pemikiran agama dan politik pelajar-pelajarnya. Pada waktu itu pemikiran islah amat berpengaruh dikalangan pelajar madrasah tersebut.

Walau bagaimanapun, matlamat perjuangan kumpulan islah ini bagi menimbulkan kesedaran sosial dan politik dalam masyarakat Melayu berkembang agak perlahan dan mengambil beberapa dekad sebelum menunjukkan kesan yang dapat dirasakan. Malahan ketika meletusnya Perang Dunia I apabila keadaan tidak stabil wujud dibeberapa bahagian dunia, keadaan politik di Tanah Melayu secara relatifnya agak stabil. Sikap orang Melayu yang menunjukkan seolah-olah mereka tidak ambil peduli terhadap perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka mungkin juga merupakan jawapan kepada kegagalan gerakan islah dalam menterjemahkan gerakan yang terokai menjadi gerakan politik yang berkesan. Kaum Muda ternyata tidak berjaya melahirkan, baik melalui program atau organisasi politik kebangsaan, pergerakan massa yang mampu merubah sikap orang Melayu ini ke arah perjuangan memperbaiki nasib bangsa. Kaum Muda berhadapan dengan tugas yang berat mencetuskan perubahan yang mendadak dalam masyarakat Melayu yang pasif, walaupun dengan menggunakan pengaruh dari luar sebagai sumber inspirasi, terutamanya pengaruh dari Mesir yang sebelum ini telah mempengaruhi pemikiran mereka.


REAKSI TERHADAP PERSIDANGAN KHALIFAH DI KAHERAH

Selepas Perang Dunia I, perkembangan politik yang berlaku memperlihatkan potensi Mesir sebagai sumber yang mampu mencorakkan pemikiran politik umat Islam, termasuklah orang Melayu. Berikutan penamatan pemerintahan Khalifah di Turki oleh Kemal, ulama di Universiti al-Azhar telah mengadakan sidang dan meluluskan beberapa resolusi pada 25 Mac 1924 berhubung dengan isu kepimpinan ummah. Sebagai usaha menangani permasalahan ini satu persidangan yang akan dihadiri oleh mereka yang mewakili umat Islam telah dirancang penganjurannya. Namun begitu, persidangan yang dicadangkan itu terpaksa ditangguhkan melalui surat yang diedarkan bertarikh 25 January 1925. Alasan yang diberikan oleh Jawatankuasa Penganjur Persidangan Khalifah berhubung penangguhannya ialah keadaan di Mesir yang tidak menentu kerana pilihan raya parlimen yang bakal diadakan. Sebab lain yang dinyatakan ialah implikasi yang boleh dicetuskan berikutan peperangan yang sedang berlaku di Hijaz antara Ibn Saud dan Sharif Hussein jika persidangan ini diteruskan penganjurannya.

Penganjuran persidangan dan penangguhannya dilaporkan oleh akhbar Idaran Zaman. Di samping menerbitkan prosedur persidangan dan alasan penangguhannya Idaran Zaman juga turut menerbitkan keputusan yang diambil oleh mesyuarat Jawatankuasa Persidangan Khalifah yang diadakan pada 10 April 1925. Walaupun perbincangan bagi menganjurkan persidangan yang bakal menentukan masa depan institusi ini diadakan sebaik-baik sahaja penamatannya, namun Persidangan Antarabangsa Khalifah hanya diadakan pada 13 hingga 20 Mei 1926 di Kaherah, iaitu dua tahun setelah pemerintahan Khalifah di Istanbul dibubarkan. Bagi membolehkan Persidangan Antarabangsa Khalifah ini menjadi persidangan yang dianggap istimewa, jemputan bagi menghadirinya yang dihantar kepada individu dan organisasi di seluruh dunia Islam dibuat atas nama Shaykh al-Azhar, iaitu Shaykh Muhammad Abu Fadl. Orang Melayu juga turut dilibatkan dalam persidangan ini apabila surat siaran yang menggariskan isu kepimpinan ummah bersama-sama dengan surat jemputan dihantar kepada Sayyid Hassan al-cAttas. Beliau adalah seorang pemimpin Islam, berketurunan Arab yang mempunyai hubungan erat dengan kalangan ulama'Universiti al-Azhar. Sayyid Hassan telah diberikan peranan mengedarkan jemputan ini kepada raja-raja Melayu.

Sultan Ibrahim Johor yang menerima jemputan ini melahirkan rasa gembira kerana turut diundang menyertai persidangan tersebut dan meminta mufti negeri tersebut menterjemahkan surat edaran dalam bahasa Arab tentang persidangan ini ke dalam bahasa Melayu. Sultan Pahang juga menunjukkan minat terhadap penganjuran persidangan ini dan meminta salinan surat siarannya. Apabila persidangan semakin hampir, Sultan Ibrahim menyampaikan jawapan dukacita kerana tidak dapat menghadiri persidangan tersebut. Namun begitu, baginda menghantar surat yang memberikan restu terhadap penganjuran persidangan tersebut dan menyatakan bahawa baginda akan menghantar Sayyid Hassan bin Ahmad al-cAttas bagi mewakilinya.

Persidangan Antarabangsa Khalifah berjaya dianjurkan sebagaimana yang dirancangkan dan dihadiri oleh kira-kira empat puluh orang wakil daripada empat belas buah negara yang diiktiraf oleh pihak penganjur sebagai wakil rasmi persidangan. Penganjuran persidangan ini turut menarik minat orang Melayu dan berita mengenai dilaporkan dengan meluas oleh beberapa buah akhbar Melayu. Sebagai contoh beberapa bulan sebelum persidangan ini dijadual akan diadakan, majalah Pengasoh telah membuat pengumuman tentang penganjuran persidangan tersebut. Apabila persidangan diadakan, senarai penuh para pesertanya termasuklah dari Tanah Melayu dan Indonesia telah disiarkan oleh Idaran Zaman.

Kejayaan Persidangan Antarabangsa Khalifah bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh umat Islam secara keseluruhannya. Namun begitu, sejak awal-awal lagi penganjurannya diselubungi kekaburan yang membawa kepada kegagalannya. Walaupun persidangan ini dihadiri oleh perwakilan yang dianggap mewakili umat Islam, namun ia tidak dapat dianggap sebagai mewakili aspirasi umat Islam seluruhnya kerana tidak seorangpun pemimpin Islam yang terkemuka pada waktu itu yang menghadirinya. Antara negara yang umat Islam tidak diwakili dalam persidangan ini ialah Turki, Iran dan Afghanistan Kekeliruan penganjuran Persidangang Khalifah ini turut dikaburkan lagi oleh pemikiran yang dikemukakan oleh Ali Abd al-Raziq. Beliau adalah seorang Qadi dan saudara kepada Mahmud Pasha Abd al-Raziq, iaitu pemimpin Parti Berperlembagaan Liberal. Ali Abd al-Raziq mempertikaikan kewajaran perlantikan Khalifah sebagai pemimpin umat Islam dan pemikirannya tentang isu ini dihuraikan dalam bukunya yang berjudul al-Islam Wa Usul al-Hukm (Islam dan Asas Pemerintahan) yang diterbitkan dalam tahun 1925. Dalam bukunya Ali Abd al-Raziq menyatakan bahawa prinsip-prinsip pemerintahan Khalifah telah disalahertikan kerana Islam tidak menggariskan sebarang bentuk peraturan dalam menentukan kepimpinan politik ummah. Oleh yang demikian, pengujudan institusi yang bentuknya sebagaimana yang dirancangkan bukanlah merupakan tanggung jawab yang mesti ditunaikan oleh umat Islam. Pemikiran sekular Ali Abd al-Raziq yang memisahkan agama dan politik telah menimbulkan kontroversi dan ditolak oleh ulama Universiti al-Azhar. Pelajar-pelajar Melayu yang sedang menuntut di Kaherah juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam kontroversi yang diperbincangkan dan turut menolak pandangan yang dikemukakan oleh Ali Abd al-Raziq. Mereka menyokong hujah-hujah yang dikemukakan oleh ulama Universiti al-Azhar tentang keperluan kepada kepimpinan ummah dan menolak pemikiran yang memisahkan antara agama dengan politik.

Persidangan Antarabangsa Khalifah sepatutnya berjaya menghasilkan keputusan yang bermakna berhubung dengan kepimpinan ummah. Namun begitu, keputusan yang dicapai menyimpulkan bahawa Khalifah sebagaimana yang digariskan oleh al-Qur'an adalah sukar untuk direalisasikan. Ini memandangkan kepada realiti yang sedang dialami oleh dunia Islam dan pelantikan Khalifah akan lebih menyulitkan keadaan. Persidangan yang diadakan di Mesir ini yang sepatutnya mempunyai kesan yang besar umat Islam, termasuklah umat Islam di Tanah Melayu ternyata gagal menjana sebarang kegiatan politik yang berkesan yang mampu merubah nasib umat Islam. Walaupun demikian, minat yang ditunjukkan oleh orang Melayu terhadap isu ini jelas menunjukkan bahawa mereka sudah mempunyai kesedaran tentang permasalahan yang membabitkan umat Islam. Kesedaran ini merupakan petanda kewujudan bibit-bibit awal dalam perkembangan kesedaran kebangsaan dikalangan orang Melayu selepas berakhirnya Perang Dunia I.


AKTIVITI PELAJAR MELAYU DI KAHERAH

Walaupun isu Khalifah gagal menimbulkan kesedaran politik orang Melayu, namun Mesir telah memainkan peranan penting dalam mencetuskan kesedaran awal pemikiran politik Melayu, terutamanya selepas tahun 1920-an. Kesedaran ini bukan digerakkan oleh peranan isu-isu tertentu, tetapi sebaliknya oleh agen yang berupa pelajar Melayu yang menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah. Suasana politik di Mesir yang lebih terbuka telah menggalakkan pendedahan pelajar Melayu yang sedang menuntut di sini kepada kegiatan yang berunsur politik dan menimbulkkan kesedaran. Keadaan inilah yang menjadi daya penarik sehingga menyebabkan peningkatan jumlah pelajar Melayu meneruskan pengajian mereka di sana pada pertengahan tahun 1920-an dan tahun 1930-an setelah mendapat pendidikan sebelumnya di Makkah.

Kecenderungan ini wujud terutamanya bagi mereka yang bukan sekadar ingin memperoleh ilmu agama yang boleh didapati di Makkah. Menurut Othman Abdullah yang merupakan salah seorang pelajar Melayu yang memutuskan penyambung pengajian ke Kaherah setelah mendapat pendidikan di Makkah, keputusannya itu dipengaruhi hakikat bahawa di Makkah seseorang itu hanya belajar agama sedangkan di Kaherah mereka boleh turut mempelajari politik. Seorang lagi pelajar, Harun Nasution yang turut berbuat demikian berkongsi pendapat ini, dan malahan percaya bahawa mereka yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke Mesir cenderung berfikiran islah jika dibanding dengan mereka yang meneruskan pengajian di Makkah. Harun juga berpendapat Kaherah merupakan pusat kegiatan politik, dan malahan beliau sendiri merupakan salah seorang pemimpin pelajar yang terkemuka ketika menuntut di Kaherah. Ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Harun merupakan seorang aktivis pelajar dan menjalin hubungan erat dengan pemimpin politik Mesir daripada parti Wafd, Misr al-Fatat dan juga al-Ikhwan al-Muslimun. Bagi pelajar-pelajar lain, Kaherah juga merupakan pilihan utama bagi melanjutkan pengajian kerana kota tersebut merupakan pusat ilmu pengetahuan, sedangkan Arab Saudi pada waktu itu masih miskin, dan malahan terpaksa bergantung pemberian makanan dari Mesir.

Walaupun kegiatan politik pelajar Melayu di Kaherah kelihatan paling ketara pada pertengahan tahun 1920-an, namun kesedaran politik dikalangan mereka telah wujud sejak awal lagi. Kesedaran politik ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila mereka menerbitkan akhbar Ittihad pada tahun 1913. Melalui akhbar ini kecenderungan politik mereka dizahirkan secara jelas seperti menyatakan sokongan kepada pergerakan rakyat Indonesia apabila mereka menubuhkan badan seperti Sarekat Islam dan Budi Utoemo. Manifestasi kesedaran politik pelajar Melayu ini juga dapat dilihat dengan jelas melalui tulisan yang dimuatkan dalam akhbar Neracha. Akhbar ini merupakan sebuah akhbar yang popular pada waktu itu dan menjadi jurubicara pemikiran islah selepas perberhentian penerbitan al-Imam. Akhbar ini pernah digunakan oleh pelajar-pelajar Melayu ini bagi menyuarakan pandangan mereka dengan menulis dalam ruang surat pembaca yang tema utamanya menyeru supaya orang Melayu berusaha dengan lebih gigih bagi menjamin survival agama, bangsa dan tanah air mereka.

Walaupun telah wujud kesedaran politik sejak awal, namun kegiatan politik pelajar Melayu di Mesir hanya mengalami perkembangan yang menggalakkan selepas penubuhan al-Jamciyyah al-Khairiyyah pada tahun 1923. Persatuan pertama yang diwujudkan oleh pelajar Melayu yang menuntut di Kaherah ialah Jamciyyah Setia Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1913 di bawah pimpinan Shaykh Ismail, iaitu seorang ulama Minangkabau yang berasal dari Padang. Walau bagaimanapun, usia persatuan ini tidak panjang apabila menghadapi krisis berikutan pembunuhan seorang pelajar dari Palembang. Berbeza dengan Jamciyyah Setia Pelajar, penubuhan al-Jamciyyah al-Khairiyyah bukan semata-mata bagi menjaga kebajikan pelajar-pelajar Melayu di Kaherah, kerana penubuhannya juga tidak dapat lari daripada motif politik. Dalam ucapannya ketika berada di Makkah, presiden pertama al-Jamciyyah al-Khairiyyah, iaitu Djanan Taib menegaskan bahawa asas penubuhan persatuan tersebut ialah bagi menyatukan umat Melayu dalam satu persahabatan untuk kebaikan dan berusaha ke arah kebebasan dalam erti kata yang sebenar.

Pemikiran politik pelajar-pelajar Melayu di Kaherah semakin terserlah apabila akhbar Seruan Azhar diterbitkan pada tahun 1925 sebagai lidah rasmi al-Jamciyyah al-Khairiyyah. Penerbitan akhbar ini dibantu oleh kehadiran pusat-pusat penerbitan yang terdapat di Kaherah dan juga wujudnya suasana politik yang secara relatif bebas yang membolehkan mereka menyuarakan pandangan mereka secara agak terbuka. Ini termasuklah dalam persoalan yang menjadi halangan di tempat lain, seperti perkara yang berkaitan dengan politik dan kebangsaan. Sebagai lidah rasmi al-Jamciyyah al-Khairiyyah, Seruan Azhar telah digunakan oleh pelajar Melayu di Kaherah bagi menyuarakan pandangan sosial dan politik mereka serta cuba menyebarkannya ke Tanah Melayu dan Indonesia. Bagi pelajar-pelajar ini, unsur penting yang boleh membawa kepada kemajuan kepada satu-satu bangsa ialah kebebasan politik. Seperti al-Imam, Seruan Azhar juga menyeru para ulama supaya memainkan peranan penting bagi menyemaikan kesedaran politik dalam masyarakat. Para ulama secara khusus diamanahkan peranan serta memikul tanggung jawab ini dan mereka yang gagal melaksanakannya dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa, tanah air dan agama.

Seruan Azhar juga mengenalpasti bahawa kemunduran orang Melayu adalah disebabkan mereka kehilangan kebebasan politik lantaran "mata mereka dibutakan dan fikiran mereka ditutup" oleh penjajah yang merampas kebebasan mereka. Penjajah dikecam oleh Seruan Azhar kerana menyekat kebebasan orang Melayu dan merosakkan kepentingan mereka. Tindak tanduk penjajah yang mengeksploitasi hasil bumi Tanah Melayu dan Indonesia secara terang-terangan ditentang oleh Seruan Azhar. Sebagai sebahagian rangka mencapai kebebasan Seruan Azhar menyeru orang Melayu bersatu dan bergabung di bawah satu pertubuhan. Walaupun orang Melayu berpecah-belah disebabkan angkara penjajah, namun akhbar ini masih yakin bahawa mereka boleh bekerjasama sesama sendiri kerana disatukan oleh faktor persamaan bahasa dan agama. Alam Melayu yang merdeka boleh dicapai dengan membebaskan rantau ini daripada penjajahan kerana penjajahlah yang menjadi batu penghalang bagi mencapai matlamat tersebut.

Isu betapa perlunya Tanah Melayu dan Indonesia membebaskan diri daripada penjajahan juga ditekankan secara khusus oleh Seruan Azhar dalam keluaran bulan Oktober 1927. Dalam keluaran ini, keperluan menjadi sebuah negara merdeka ditekankan kerana dengan hidup merdeka bangsa dapat hidup bebas dan negara berkembang dengan maju. Mesir sebagai contoh sebuah negara bebas dihuraikan oleh akhbar ini. Turut dihuraikan ialah sejarah hidup dan perjuangan Sacd Zaghlul, iaitu tokoh perjuangan kebangsaan Mesir yang memperjuangkan kemerdekaan negara tersebut daripada penjajahan British. Bagi mengukuhkan lagi hujah manfaat menjadi bangsa merdeka Seruan Azhar turut mengemukakan beberapa contoh. Ini termasuklah peristiwa Belanda sanggup berperang dengan Perancis bagi mengekalkan kemerdekaannya. Dalam contoh yang lain Seruan Azhar merujuk kepada peristiwa Kemal melawat sebuah istana bekas Sultan Uthmaniyah, tetapi orang ramai telah dihalang berbuat demikian oleh pengawal yang menjaga istana tersebut. Kemal digambarkan tidak dapat menerima hakikat ini dan mengarahkan supaya orang ramai diberi peluang untuk memasuki istana tersebut bersama-samanya. Seruan Azhar mengulas bahawa perkara ini hanya boleh berlaku jika negara ditadbirkan oleh penduduknya sendiri.

Seruan yang menyeru supaya diwujudkan Alam Melayu yang bebas dan bersatu yang dibuat oleh Seruan Azhar bukanlah suatu yang tidak berkesan kerana ideanya juga turut didukung oleh Pengasoh yang diterbitkan di Kelantan. Akhbar ini ketika mengalu-alukan penerbitan Seruan Azhar turut memperkatakan tentang Alam Melayu yang merdeka dan bersatu dari segi politik. Pelajar Melayu di Kaherah yakin bahawa kebebasan dan kemerdekaan hanya boleh dicapai melalui perpaduan yang diwujudkan dikalangan umat Melayu dan Seruan Azhar dengan jelas menekan kepentingannya sebagai pra syarat kepada kejayaannya. Menyedari kepentingannya, sejak diterbitkan “bersatu” telah dijadikan motto oleh Seruan Azhar yang dari semasa ke semasa memperingatkan pembaca tentang kepentingannya. Dalam rencana pengarang keluaran sulung Seruan Azhar, Mahmud Yunus menulis bahawa bangsa Melayu di mana sahaja mereka berada haruslah bersatu untuk mencapai kemajuan dan janganlah ada di antara mereka yang berpecah-belah. Seruan yang sama juga dibuat oleh akhbar Pilehan Timoer, iaitu sebuah lagi akhbar yang diterbitkan oleh pelajar Melayu di Kaherah yang menyeru supaya umat Melayu bekerjasama antara satu sama lain membentuk persatuan di setiap peringkat. Akhbar ini turut menyarankan supaya persatuan-persatuan ini bergabung membentuk sebuah badan di peringkat kebangsaan bagi menyelaraskan kegiatan mereka dan meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang.

Kegiatan politik pelajar Melayu di Kaherah tidak hanya terbatas kepada menyuarakan pandangan politik melalui Seruan Azhar dan Pilehan Timoer. Melalui naungan badan induk, iaitu al-Jamciyyah al-Khairiyyah, pelajar Melayu di Kaherah turut menzahirkan kesedaran politik dengan menghantar Djanan Taib sebagai wakil menghadiri Mu'tamar Islami di Makkah yang dianjurkan Ibn Sacud pada musim haji tahun 1926. Beliau mewakili jawatan kuasa dalam al-Jamciyyah al-Khairiyyah yang dipanggil al-Difa' al-Watani yang dibentuk pada tahun 1926 di bawah pimpinan Mukhtar Lutfi. Apabila berlaku pertumpahan darah di Bait al-Muqaddis berikutan meletusnya pertempuran di antara penduduk Arab dengan pendatang haram Yahudi, Suruhanjaya Buraq al-Sharif telah ditubuhkan oleh Liga Bangsa-Bangsa. Badan ini berperanan menyiasat peristiwa tersebut dan mengelakkannya daripada menjadi konfrantasi terbuka yang boleh membawa kepada konflik antara agama. Apabila suruhanjaya ini sampai ke Palestin pelbagai kumpulan, termasuklah yang mewakili masyarakat Islam telah mengadakan pertemuan dengannya bagi menyuarakan pandangan masing-masing bagaimana untuk mempertahankan kedaulatan bandar suci tersebut. Pelajar-pelajar Melayu di Kaherah juga tidak ketinggalan dalam menyuarakan pandangan mereka dan Abu Bakar Ashaari yang merupakan presiden al-Jamciyyah al-Khairiyyah bersama-sama dengan Abdul Kahar Muzakkir telah dihantar mewakili persatuan untuk tujuan tersebut. Pada tahun 1931 Mufti Palestin Hajj Amin al-Husayni telah memanggil Persidangan Islam dalam usaha menyatukan umat Islam dalam usaha mengekalkan unsur-unsur Arab-Islam di bumi Palestin. Dalam persidangan yang diadakan itu Abdul Kahar telah dilantik sebagai setiausaha bagi persatuan yang ditubuhkan, iaitu Mu'tamar Alam Islami.

Kesedaran politik pelajar Melayu di Kaherah juga dipupuk melalui hubungan erat yang dijalin dengan pimpinan parti politik Mesir ketika itu. Al-Jamciyyah al-Khairiyyah telah mengadakan hubungan yang erat dengan al-Hizb al-Watani (Parti Kebangsaan). Parti ini merupakan antara parti yang mendapat sokongan luas daripada rakyat Mesir kerana peranannya menentang pendudukan Inggeris di negara tersebut. Hizb al-Watani pernah dipimpin oleh dua orang pimpinan yang berwibawa, iaitu Mustafa Kamil (1874-1908) dan Muhammad Farid (1868-1919). Pelajar Melayu di Kaherah amat menyanjungi perjuangan tokoh-tokoh ini, terutamanya kegigihan yang pernah ditunjukkan oleh tokoh nasionalisnya yang awal, iaitu Mustafa Kamil. Sebagai menyanjungi ketokohannya, Seruan Azhar pernah menyiarkan gambar tokoh tersebut untuk tatapan pembacanya serta memaparkan sejarah hidup dan perjuangannya. Gambar Mustafa Kamil bersama-sama dengan pemimpin parti yang lain seperti Muhammad Bey Farid dan cAli Bey Kamil juga pernah disiarkan oleh Seruan Azhar bagi mendedahkan kepada para pembacanya kewibawaan yang dimiliki oleh pertubuhan politik tersebut.

Hubungan erat pelajar Melayu di Kaherah dengan parti ini juga dapat dilihat apabila mereka secara aktif terlibat dalam kegiatan yang dianjurkan oleh Hizb al-Watani. Ini termasuklah menghadiri upacara memperingati ulang tahun kematian Mustafa Kamil dan Muhammad Farid yang diadakan pada 30 Disember 1926. Di samping terpengaruh dengan perjuangannya, hubungan erat dengan pimpinan parti ini juga wujud kerana pelajar-pelajar Melayu terhutang budi kepada kepimpinan parti tersebut yang telah memberi perhatian dan menjaga kebajikan mereka ketika berada di Kaherah. Apabila pemimpin al-Hizb al-Watani cAli Fahmi meninggal dunia, wakil pelajar Melayu di Kaherah turut menghadiri upacara pengebumiannya sebagai tanda hormat. Sebagai lambang hubungan erat yang wujud, sejarah hidup dan perjuangan cAli Fahmi dihuraikan secara terperinci oleh Seruan Azhar.

Hubungan erat antara pelajar Melayu di Kaherah dengan pimpinan politik Mesir juga dibina melalui hubungan yang berterusan yang membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran. Melalui intraksi ini pelajar Melayu memperoleh input politik yang berguna. Antara pemimpin Hizb al-Watani yang mempunyai hubungan erat dengan pelajar Melayu di Kaherah ialah cAbd al-cAziz al-Jawish yang juga dihormati kerana sering memberi bantuan kepada mereka apabila diperlukan. Shaykh cAbd al-cAziz juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap perkembangan politik Tanah Melayu dan Indonesia dan menyarankan supaya pelajar Melayu menimba ilmu pengetahuan dan berjuang menentang penjajah yang menduduki tanah air mereka. Selain hubungan yang erat dengan pimpinan Hizb al-Watani pelajar-pelajar Melayu di Kaherah juga mengadakan hubungan dengan pimpinan politik dan agama Mesir yang lain, seperti Sacd Zaghlul, cAbd al-cAziz Affendi Suhaimi, Shaykh Abd al-Majid al-Ban dan lain-lain.

Kesedaran politik yang wujud dikalangan pelajar Melayu di Kaherah juga mendorong mereka menunjukkan sikap prihatin terhadap perkembangan yang berlaku di Tanah Melayu, terutamanya yang membabitkan survival orang Melayu. Apabila orang bukan Melayu menuntut hak mereka di Tanah Melayu dipertingkatkan supaya menjadi sama taraf seperti orang Melayu, pelajar Melayu di Kaherah menunjukkan rasa kurang senang terhadap tuntutan tersebut. Mereka mengambil keputusan menghantar telegram merayu Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Selat supaya tidak melayani tuntutan ini. Bagi orang Melayu pula pelajar-pelajar ini menyeru supaya mereka berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh lagi bagi memperbaiki kedudukan politik dan sosial dalam tanah air mereka sendiri. Mereka berpendapat bahawa kelemahan orang Melayu adalah disebabkan mereka tidak bersatu dalam memperjuangkan nasib mereka sendiri dan tidak mengikuti ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan Hadith. Pelajar Melayu di Kaherah juga menunjukkan sikap prihatin terhadap nasib akhbar islah di Tanah Melayu apabila terdapat usaha oleh beberapa buah negeri Melayu mengharamkan pengedarannya. Pelajar-pelajar ini menunjukkan sikap kurang senang dengan mengecam langkah yang dilakukan tersebut.

Pengalaman yang diperoleh oleh pelajar ketika berada di Kaherah dan penglibatan mereka melalui al-Jamciyyah al-Khairiyyah serta penerbitan Seruan Azhar serta Pilehan Timoer ternyata merupakan pengalaman yang amat berguna apabila pelajar Melayu ini pulang ke tanahair setelah menamatkan pengajian masing-masing. Baik di Indonesia mahupun di Tanah Melayu graduan Universiti al-Azhar telah memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan agama yang moden, menerbitkan akhbar dan mencetuskan kesedaran politik dalam masyarakat. Di Indonesia bekas pemimpin pelajar Melayu di Kaherah seperti Ilias Ya'acob and Mokhtar Lutfi memainkan peranan penting dalam masyarakat sekembalinya mereka ke tanahair setelah menamatkan pengajian. Kedua-duanya pulang ke Indonesia pada tahun 1929 dan menjadi pemimpin Persatuan Muslimin Indonesia (PMI) yang kemudiannya dikenali sebagai PERMI. Pada tahun 1934 Mukhtar Lutfi dan Ilyas Ya'acob telah dibuang ke Digul oleh pemerintah Belanda kerana kegiatan mereka yang dianggap mengancam keselamatan. Mukhtar Lutfi terbunuh dalam pemberontakan Andi Aziz di Maluku pada tahun 1950

Pelajar dari Tanah Melayu juga turut memainkan peranan penting setelah kembali ke tanah air. Othman Abdullah kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1929. Pada tahun 1931 beliau telah dilantik menjadi pengurus dan penulis sambilan akhbar dwi-minguan Majlis yang memulakan penerbitannya pada bulan Disember tahun tersebut. Pada tahun 1938 bersama-sama dengan beberapa yang lain, Othman Abdullah turut memainkan peranan menubuhkan Persatuan Melayu Selangor (PMS). Matlamat yang cuba dicapai oleh persatuan ini ialah untuk mewakili orang Melayu dalam konteks hubungannya dengan pemerintah British berhubung dengan kepentingan yang membabitkan mereka. Sebagai seorang ahli jawatan kuasa PMS Othman adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkam mukim (cawangan) PMS yang pertama di Petaling pada akhir bulan Ogos 1938. Apabila Kesatuan Melayu Muda yang beraliran lebih progresif ditubuhkan pada tahun 1939 Othman Abdullah telah dilantik menjadi bendaharinya yang pertama.

Abdul Wahab Abdullah pula kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1930 bekerja untuk seketika sebagai pembantu ketua pengarang akhbar Saudara. Beliau kemudiannya dilantik menjadi pengarang akhbar Bumiputera. Abdul Wahab kemudiannya berhijrah ke Perlis dan bekerja di Jabatan Syarikat Kerjasama dan seterusnya sebagai penyelia sekolah serta sebagai ahli jawatankuasa Zakat dan Fitrah negeri Perlis. Abu Bakar Ashaari pula sekembalinya ke Tanah Melayu pada tahun 1932, bertugas sebagai penolong pengarang akhbar Bahtra dan Saudara sebelum pergi ke Perlis untuk menjadi imam besar Masjid Alwiyyah, Kangar. Dikalangan pelajar-pelajar Melayu hanya Muhammad Idris al-Marbawi sahaja yang memutuskan untuk terus tinggal di Kaherah dan berkahwin dengan seorang wanita Mesir. Ketika berada di Mesir di samping memiliki percetakannya sendiri, iaitu Matbacah Marbawiyah, Muhammad Idris juga merupakan seorang penulis yang prolifik yang menghasilkan lebih dua puluh buah buku. Bukunya yang paling terkenal ialah Qamus al-Marbawi yang ditulisnya pada tahun 1925. Muhammad Idris kembali ke Malaysia pada tahun 1980 dan meninggal dunia pada tahun 1988.

Kemudahan yang terdapat di Kaherah dan persekitaran yang menggalakkan telah dimanfaatkan oleh pelajar Melayu yang menuntut di Universiti al-Azhar pada tahun 1920-an dan 1930-an bagi melengkap diri mereka menjadi pemimpin masa depan bangsa. Ketika menuntut ini pelajar-pelajar ini telah berjaya membina semangat bersatu-padu melalui persatuan yang dibentuk. Melalui penerbitan akhbar pula mereka menyalurkan idea yang bertujuan mendidik bangsa supaya berusaha ke arah perubahan supaya bangsa mempunyai jati diri dan bergerak maju seperti bangsa-bangsa lain. Kesedaran yang wujud dikalangan pejajar yang menuntut di Kaherah mendorong mereka menyuarakan pendirian mereka yang jelas dalam isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam seperti isu kemunduran orang Melayu dan pergolakan di Palestin. Pengalaman sebagai penuntut, pemimpin pelajar dan pendedahan politik ternyata merupakan aset berguna apabila pelajar lulusan Mesir kembali ke tanah air apabila mereka berperanan dalam menggerakkan perubahan sosial dan mencetuskan kesedaran politik dalam masyarakat.


KESIMPULAN

Dalam sejarah perkembangan awal pemikiran politik Melayu pengaruh dari Mesir telah memainkan peranan sebagai sumber yang penting, bermula daripada peranan yang dimainkan oleh pemikiran islah. Tokoh-tokoh islah yang terdedah kepada perkembangan yang berlaku di Mesir cuba menimbulkan kesedaran dalam masyarakat Melayu dengan menerbitkan akhbar dan membuka madrasah. Pada tahun 1920-an dan 1930-an peranan Mesir sebagai sumber kesedaran awal politik masyarakat Melayu disumbangkan pula oleh pelajar-pelajar yang menuntut di Kaherah. Iklim politik yang menggalakkan dan wujudnya kemudahan percetakan membolehkan pelajar-pelajar ini memainkan peranan menyebarkan kesedaran sosial dan politik kepada masyarakat Melayu melalui tulisan dalam akhbar yang mereka terbitkan. Pelajar-pelajar ini menyuarakan pandangan supaya Tanah Melayu dan Indonesia dibebaskan daripada kongkongan penjajahan politik serta ekonomi dan mengemukakan wawasan yang bercita-cita menyatukan alam Melayu sebagai sebuah rantau merdeka yang bersatu.

Selain peranan yang dimainkan oleh pelajar-pelajar Melayu di Kaherah, Mesir juga menjadi sebagai sumber kepada kesedaran politik apabila akhbar-akhbar yang diterbitkan di Tanah Melayu turut memainkan peranan dengan menyiarkan perkembangan dan pergolakan politik yang berlaku dalam negara tersebut, terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan kebangsaan untuk tatapan orang Melayu. Sebahagian akhbar-akhbar ini diterbitkan oleh pelajar-pelajar yang pernah bergiat aktif ketika berada di Kaherah, manakala yang lain merupakan mereka yang mempunyai hubungan tidak langsung dengan negara tersebut.

sumber: sini

0 ulasan:

Catat Ulasan