Pengikut

Hadith Hari Ini

Remaja Menilai Hidup


Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SETIAP remaja harus waspada bahawa bumi kita ini bukanlah sebuah syurga yang selama-lamanya aman damai. Remaja harus mengerti bahawa dunia ini sebenarnya sebuah gelanggang hidup yang penuh dengan pergolakan dan percubaan.

Lantaran itu setiap remaja harus dibimbing dengan satu sikap hidup yang tegas dan pandangan hidup yang diisi dengan ketabahan dan kesabaran. Masa demi masa akan berlalu memahami usia setiap remaja. Jadi ke arah mana harus remaja meniti lorong-lorong hidup ini jika mereka tidak punya perancangan yang tetap dalam menilai aspek hidup ini?

Allah berfirman yang bermaksud: “Orang yang kafir di dalam usaha mereka (mencapai kesenangan dunia) adalah seperti fatamorgana di padang pasir. Dari jauh disangka air, setelah mereka sampai di tempat itu kiranya tidak ada satu apa pun juga. Mereka itu dihisab di sisi Allah dan Allah cepat sekali menghisab.” (An-Nur: 39)

Masa yang kita tempuh sering membuatkan insan itu belajar dari kehidupan. Dengan bimbingan agama Islam, seseorang itu dapat memandang hidup ini dengan pandangan yang optimis. Dengan pedoman Islam seseorang itu akan mendapat kedamaian dan ketenteraman dalam hidup ini.

Waktu yang begitu berharga janganlah digunakan ke jalan yang menyimpang daripada lunas-lunas Islam. Akibatnya seseorang itu akan hidup dalam kerugian yang berpanjangan dan penyesalan yang tidak berkesudahan. Menyesali nasib memang tidak ada gunanya jika sudah terlanjur jauh.

Oleh hal demikian itu, waspadalah pada hakikat hidup yang sebenarnya tanpa mengetepikan nilai yang baik dalam menghayati agama. Firman Allah yang bermaksud: “Maka berlumba-lumbalah di dalam membuat kebaikan.” (Al-Baqarah: 148)

Penyakit mabuk cinta (al isyq) akan menimpa orang-orang yang hatinya kosong daripada rasa ‘mahabbah’ (cinta) kepada Allah, selalu berpaling daripada-Nya dan dipenuhi kecintaan kepada selain-Nya. Hati yang penuh cinta kepada Allah dan rindu bertemu dengan-Nya pasti akan kebal terhadap serangan virus ini, sebagaimana yang terjadi terhadap Nabi Yusuf a.s, “Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai kata dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf pun termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.” (Yusuf: 24).

Nyatalah bahawa ikhlas merupakan imunisasi ampuh atau mujarab yang dapat menolak virus ini dengan berbagai kesan negatifnya, berupa perbuatan buruk dan keji. Ertinya, memalingkan seseorang dari kemaksiatan harus dengan menjauhkan berbagai sarana yang menjurus ke arah itu.

Berkata ulama salaf, “Penyakit cinta adalah getaran hati yang kosong dari segala sesuatu selain apa yang yang dicinta dan dipujanya. Allah berfirman mengenai bonda Nabi Musa a.s yang bermaksud: “Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah ).” (Al-Qashash: 10).

Yakni kosong daripada segala sesuatu, kecuali Musa; kerana sangat cintanya kepada Musa dan bergantung hatinya kepada Musa.

BAGAIMANA VIRUS BERJANGKIT

Penyakit ‘al isyq’ terjadi kerana dua sebab, iaitu:

Pertama:

Kerana menganggap indah apa yang dicintainya.

Kedua:

Perasaan ingin memiliki apa yang dicintainya.

Jika salah satu dari dua faktor ini tidak ada, nescaya virus tidak akan berjangkit. Walaupun penyakit kronik ini telah membingungkan ramai orang dan sebahagian pakar berusaha memberikan terapinya, namun jalan penyelesaian yang diberikan belum bgitu ampuh.

SALING MENCARI

Berkata Ibnu Al Qayyim, ketetapan Allah dengan hikmah-Nya menciptakan makhluk-Nya dalam keadaan saling mencari yang sesuai dengannya. Secara fitrah saling tertarik dengan jenisnya, dan sebaliknya akan menjauh daripada yang berbeza dengannya.

Rahsia adanya pencampuran dan kesesuaian di alam roh, menyebabkan adanya keserasian serta kesamaan, sebagaimana adanya perbezaan di alam roh akan berakibat tidak adanya keserasian dan kesesuaian. Dengan cara inilah tegaknya urusan manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah Yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya.” (Al-A’raf: 189).

Dalam ayat ini Allah menjadikan sebab perasaan tenteram dan senang seorang lelaki dan bentuknya. Jelaslah faktor pendorong cinta tidak bergantung dengan kecantikan rupa. Tidak juga kerana adanya kesamaan dalam tujuan dan keinginan, ataupun kesamaan bentuk dan dalam mendapat petunjuk. Pun demikian tidak dinafikan, bahawa hal-hal ini merupakan salah satu penyebab ketenangan dan timbulnya cinta.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Roh-roh itu ibarat tentera yang saling berpasangan, yang saling mengenali sebelumnya akan bersatu dan yang saling mengingkari akan berselisih.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Musnad Imam Ahmad diceritakan, bahawa ‘asbabul wurud’ hadis ini, iaitu ketika seorang wanita penduduk Mekah yang selalu melakukan hijrah ke Madinah tertawa, ternyata dia tinggal dan bergaul dengan wanita yang sifatnya sama sepertinya, iaitu mudah membuat orang tertawa. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis ini.

Lantaran itulah juga syariat Allah menghukum sesuatu, sesuai jenisnya. Mustahil syariat menghukumi dua hal yang sama dengan perlakuan yang berbeza atau mengumpulkan dua hal yang bertentangan. Barang siapa yang berpendapat lain, maka jelaslah minimanya ilmu pengetahuannya terhadap syariat ini atau kurang memahami kaedah persamaan dan sebaliknya.

Penerapan kaedah ini tidak saja berlaku di dunia. Lebih dari itu akan diterapkan juga di akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: “(Kepada malaikat diperintahkan), ‘Kumpulkanlah orang-orang yang zalim bersama teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah.’’’ (Asy-Syaffat: 22)

Khalifah Umar al-Khattab dan selepasnya Imam Ahmad pernah berkata mengenai tafsiran ‘azwajahum’, yakni yang sesuai dan mirip dengannya. Allah juga berfirman yang bermaksud: “... dan apabila jiwa (roh-roh) dipertemukan.” (At-Takwir: 7). Yakni setiap orang akan digiring beserta dengan orang-orang yang sama perilakunya. Allah akan menggiring sesama orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya ke dalam syurga, dan orang-orang yang saling berkasih-kasihan di atas jalan syaitan diiring ke Neraka Jahim.

Mahu tidak mahu, maka setiap orang akan diiring atau diganding dengan siapa yang dicintainya. Di dalam “Mustadrak Al-Isyq Hakim” disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seseorang mencintai suatu kaum, kecuali akan digiring bersama mereka kelak.” (Riwayat Ahmad)

CINTA DAN JENIS-JENISNYA

Cinta memiliki berbagai jenis dan tingkatan. Yang tertinggi dan paling mulia ialah ‘mahabbatu fillah wa lillah’ (cinta kerana Allah dan di dalam agama Allah), iaitu cinta yang mengharuskan mencintai apa-apa yang dicintai Allah, dilakukan berlandaskan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Cinta berikutnya adalah cinta yang kerana adanya kesamaan dalam cara hidup, agama, mazhab, ideologi, hubungan kekeluargaan, kerjaya, dan kesamaan dalam hal-hal lainnya. Di antara jenis cinta lainnya, yakni cinta yang motifnya kerana ingin mendapatkan sesuatu dari yang dicintainya, baik kerana kedudukan, harta, pengajaran dan bimbingan, ataupun keperluan biologi.

Cinta yang didasari hal-hal tersebut - iaitu ‘al mahabbah al ‘ardiyah’ - akan hilang bersama hilangnya apa yang ingin diperoleh daripada orang yang dicintainya. Yakinlah, bahawa orang yang mencintaimu kerana sesuatu akan meninggalkanmu ketika telah memperolehi apa yang diinginkan darimu.

Adapun cinta lainnya, iaitu cinta kerana adanya kesamaan dan kesesuaian antara yang menyinta dan yang dicinta. ‘Mahabbah al isyq’ termasuk cinta jenis ini. Tidak akan lenyap kecuali jika ada sesuatu yang menghilangkannya. Cinta jenis ini, iaitu berpadunya roh dan jiwa. Oleh kerana itu tidak terdapat pengaruh yang begitu besar baik berupa rasa was-was, hati yang gundah-gulana mahupun kehancuran kecuali pada cinta jenis ini.

Timbul persoalan, bahawa cinta ini merupakan bertemunya ikatan batin dan roh, tetapi mengapa ada cinta yang bertepuk sebelah tangan? Bahkan kebanyakan cinta seperti ini hanya sepihak daripada orang yang sedang ‘dilanda cinta’ sahaja? Jika cinta ini perpaduan antara jiwa dan roh, maka tentulah cinta itu akan terjadi antara kedua belah pihak dan bukan sepihak saja?

Jawabnya ialah, bahawa tidak terpenuhinya hasrat disebabkan kurangnya syarat tertentu. Atau adanya penghalang sehingga tidak terealisasikan cinta antara kedua-duanya. Hal ini disebabkan oleh tiga faktor, iaitu:

Pertama:

Cinta ini sebatas cinta kerana adanya kepentingan. Oleh kerana itu tidak mesti kedua-duanya saling mencintai. Kadang-kadang yang dicintai lari daripadanya.

Kedua:

Adanya penghalang sehingga seseorang tidak dapat mencintai orang yang dicintainya, sama ada kerana adanya cela dalam akhlak, bentuk rupa, sikap dan faktor lainnya.

Ketiga:

Adanya penghalang dari pihak orang yang dicintai. Jika penghalang ini dapat disingkirkan, maka akan terjalin benang-benang cinta antara keduanya. Kalau bukan kerana kesombongan, hasad, cinta kekuasaan dan permusuhan dari orang-orang kafir, nescaya para rasul-rasul akan menjadi orang yang paling mereka cintai lebih dari cinta mereka kepada diri, keluarga dan harta.

TERAPI PENYAKIT ‘AL-ISYQ’

Sebagai salah satu jenis penyakit, tentulah ‘al-isyq’ boleh disembuhkan dengan terapi-terapi tertentu. Di antara terapi tersebut ialah:

Pertama:

Jika terdapat peluang bagi orang yang sedang kasmaran tersebut untuk meraih cinta orang yang dikasihinya dengan ketentuan syariat dan suratan takdirnya, maka inilah terapi yang paling utama. Sebagaimana terdapat dalam hadis riwayat Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hai sekalian pemuda, barangsiapa yang mampu untuk menikah, maka hendaklah dia menikah. Barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa. Kerana puasa dapat menahan dirinya dari ketergelinciran (kepada perbuatan zina).”

Hadis ini memberikan dua jalan penyelesaian, ‘utama dan pengganti’. Jalan penyelesaian utama ialah menikah. Jika cara ini dapat dilakukan, maka tidak boleh mencari jalan penyelesaian lain. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku tidak pernah melihat ada dua orang yang saling mengasihi selain melalui jalur (jalan) pernikahan.”

Inilah tujuan dan anjuran Allah untuk menikahi wanita, baik yang merdeka ataupun hamba dalam firman-Nya yang bermaksud: “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (An-Nisa: 28)

Allah menyebutkan dalam ayat ini keringanan yang diberikan terhadap hamba-Nya. Dan Allah mengetahui kelemahan manusia dalam menahan syahwatnya, sehingga memperbolehkan para wanita yang baik-baik, dua, tiga, ataupun empat. Sebagaimana Allah memperbolehkan mendatangi hamba-hamba wanita mereka. Sehingga Allah membuka bagi mereka pintu untuk menikahi hamba-hamba wanita jika mereka memerlukannya sebagai peredam syahwat. Demikianlah keringanan dan rahmat-Nya terhadap makhluk yang lemah ini.

Kedua:

Jika terapi pertama tidak dapat dilakukan akibat tertutupnya peluang menuju orang yang dikasihinya kerana ketentuan syarie dan takdir, maka penyakit ini boleh semakin ganas. Adapun terapinya harus dengan meyakinkan pada dirinya, bahawa apa-apa yang diimpikannya mustahil terjadi.

Lebih baik baginya untuk segera melupakannya. Jiwa yang telah memutus harapan untuk mendapatkan sesuatu, nescaya akan tenang dan tidak lagi mengingatnya. Jika ternyata belum dapat dilupakan, boleh mempengaruhi keadaan jiwanya hingga semakin menyimpang jauh. Dalam keadaan seperti ini wajib baginya untuk mencari terapi lain.

Ketiga:

Dengan mengajak akalnya berfikir, bahawa menggantungkan hatinya kepada sesuatu yang mustahil dijangkaunya itu ibarat perbuatan gila. Ibarat pungguk merindukan bulan. Bukankah orang akan menganggapnya termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang tidak waras?

Apabila kemungkinan untuk mendapatkan apa yang dicintainya terhalang kerana larangan syariat, maka terapinya ialah dengan menganggap bahawa yang dicintainya itu bukan ditakdirkan menjadi miliknya. Jalan keselamatan iaitu dengan menjauhkan dirinya dari orang yang dicintainya. Dia harus merasa bahawa pintu ke arah yang diinginkannya tertutup, dan mustahil tercapai.

Jika ternyata jiwanya yang selalu menyuruhnya kepada kemungkaran masih tetap menuntut, handaklah dia mahu meninggalkannya kerana dua perkara iaitu, pertama, kerana takut (kepada Allah). Iaitu dengan menumbuhkan perasaan bahawa ada hal yang lebih layak dicintai, lebih bermanfaat, lebih baik dan lebih kekal.

Seseorang yang berakal jika menimbang-nimbang antara mencintai sesuatu yang cepat sirna dengan sesuatu yang lebih layak untuk dicintai, lebih bermanfaat, lebih kekal dan lebih nikmat, tentu akan memilih yang lebih tinggi darjatnya. Jangan sampai kamu menggadaikan kenikmatan abadi yang tidak terlintas dalam fikiran kamu dan menggantikannya dengan kenikmatan sesaat yang segera berbalik menjadi sumber penyakit.

Ibarat orang yang sedang bermimpi indah, ataupun berkhayal terbang melayang jauh, maka ketika tersedar ternyata hanyalah mimpi dan khayalan. Akhirnya sirnalah segala keindahan semu. Yang tertinggal hanyalah keletihan, hilang nafsu dan kebinasaan menunggu.

Kedua, keyakinan bahawa risiko yang sangat menyakitkan akan ditemuinya jika gagal melupakan yang dikasihinya. Dia akan mengalami dua hal yang menyakitkan sekaligus. Iaitu gagal mendapatkan kekasih yang diinginkannya, serta bencana menyakitkan dan seksa yang pasti akan menimpanya.

Jika yakin bakal mendapatkan dua hal menyakitkan ini, nescaya akan mudah baginya meninggalkan perasaan ingin memiliki yang dicinta. Dia akan berfikir, bahawa sabar menahan diri itu lebih baik. Akal, agama, harga diri dan kemanusiaannya akan memerintahkannya untuk bersabar, demi mendapatkan kebahagiaan abadi. Sementara kebodohan, hawa nafsu, kezalimannya akan memerintahkannya untuk mengalah mendapatkan apa yang dikasihinya. Sungguh, orang yang terhindar ialah orang-orang yang dipelihara oleh Allah.

Keempat:
Jika hawa nafsunya masih tetap degil dan tidak menerima terapi tersebut, maka hendaklah berfikir mengenai kesan negatif dan kerosakan yang akan ditimbulkannya segera, dan kemaslahatan yang akan gagal diraihnya. Sebab mengikuti hawa nafsu boleh menimbulkan kerosakan dunia dan menepis kebaikan yang bakal diterimanya. Lebih parah lagi, dengan memperturuntukan hawa nafsu ini akan menghalangnya untuk mendapat petunjuk yang merupakan kunci kejayaan dan kemaslahatannya.

Kelima:

Jika terapi ini tidak mempan juga untuknya, hendaklah dia selalu mengingat aspek-aspek keburukan kekasihnya dan hal-hal yang dapat membuatkannya menjauh darinya. Jika dia mahu mencari-cari keburukan yang ada pada kekasihnya, nescaya dia akan mendapatkannya lebih dominan daripada keindahannya.

Hendaklah dia banyak bertanya kepada orang-orang yang berada di sekeliling kekasihnya tentang berbagai keburukan yang belum diketahuinya. Sebab, sebagaimana kecantikan sebagai faktor pendorong seseorang untuk mencintai kekasihnya, maka demikian juga keburukan merupakan pendorong kuat agar dapat membenci dan menjauhinya.

Hendaklah dia mempertimbangkan dua aspek ini dan memilih yang terbaik baginya. Jangan terpedaya kerana kecantikan kulit, dan membandingkannya dengan orang yang terkena penyakit sopak atau kusta. Tetapi hendaklah dia memalingkan pandangannya kepada kejelekan sikap dan perilakunya. Hendaklah dia mentutup matanya daripada kecantikan fizikal dan melihat kepada kejelekan yang diceritakan mengenai hatinya.

Keenam:

Jika terapi ini masih saja tidak sesuai bagi dirinya, maka terapi terakhir iaitu mengadu dan memohon dengan jujur kepada Allah penolong orang-orang yang ditimpa musibah jika memohon kepada-Nya. Hendaklah dia menyerahkan jiwa sepenuhnya di hadapan kebesaran-Nya sambil memohon, merendahkan dan menghinakan diri.

Jika dia dapat melaksanakan terapi akhir ini, maka sesungguhnya dia telah membuka pintu taufik (pertolongan Allah). Hendaklah dia berbuat ‘iffah’ (menjaga diri) dan menyembunyikan perasaannya. Jangan menjelek-jelek atau memburuk-burukkan kekasihnya dan mempermalukannya di hadapan manusia ataupun menyakitinya kerana hal tersebut merupakan kezaliman dan melampaui batas.

Demikianlah di antara ‘penawar’ khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Namun ibarat kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sebelum terkena virus ini, maka lebih baik menghindarinya. Bagaimana cara mengindarinya? Tidak lain, iaitu dengan ‘tazkiyatun nafs’ (pembersihan jiwa).

Sumber: sini

1 ulasan:

Thariq berkata...

insya Allah

Catat Ulasan