بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين
Perkara pertama yang diwajibkan ke atas mukallaf menurut pendapat yang paling sahih ialah mengenal Allah SWT. Apabila seseorang mengenal Tuhannya, maka dia akan dapat menggambarkan bagaimanakah Tuhannya menjauhkan seseorang daripada rahmatNya dan bagaimanakah Tuhannya mendekatkan seseorang kepada keredhaanNya. Jesteru itu, seseorang hamba tadi akan sentiasa berasa takut terhadap kemurkaanNya dan sentiasa juga mengharapkan keredhaanNya. Lantas dia akan mendengar dengan teliti segala perintah dan larangan daripada Tuhannya dan berusaha melaksanakan segala perintah tersebut dan menjauhi daripada segala laranganNya. Dengan ini, Allah SWT akan mencintainya dan menggantikannya mengurus dan melaksanakan segala urusan hamba tersebut. Allah SWT akan melantiknya sebagai salah seorang wali yang permohonannya tidak akan ditolak dan sentiasa dilindungi apabila dia memohon perlindungan.
Orang yang mempunyai keinginan yang tinggi untuk sampai kepada Allah SWT, menjauhkan dirinya daripada akhlak-akhlak yang keji dan mendekatkan dirinya kepada akhlak-akhlak yang mulia. Adapun mereka yang tidak mempunyai keinginan tersebut maka dia mengikuti apa sahaja kehendak nafsunya, tidak mempelajari ajaran agamanya dan akhirnya menyebabkannya terkeluar daripada landasan agama. Maka pilihlah jalan kamu sendiri sama ada kebaikan, kerosakan, kebahagian atau kecelakaan.
Apabila terdetik di hati kamu sesuatu lintasan, maka kamu timbanglah ianya mengikut timbangan syariat. Sekiranya perkara tersebut diperintahkan, maka bersegeralah kamu melaksanakannya kerana ianya ialah lintasan daripada Allah SWT yang Maha Penyayang. Sekiranya kamu takut ibadat yang kamu niatkan semata-mata kerana Allah SWT akan dicederakan oleh rasa riak, ujub dan sebagainya, maka teruskanlah ibadat tersebut kerana kamu tidak bersalah. Istigfar kita sekalipun memerlukan kepada istigfar yang lain, namun ianya tetap tidak menyebabkan kita perlu meninggalkan istigfar tersebut. Beramallah dengan sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT sekalipun kamu takut diselubungi oleh perasaan riya`.
Sekiranya lintasan yang terdetik di hati kamu merupakan perkara yang terlarang, maka jauhilah kamu daripadanya kerana lintasan tersebut sesungguhnya datang daripada syaitan. Jika kamu dapati hati kamu cenderung kepada lintasan tersebut, maka mohonlah keampunan daripada Allah SWT.
Bisikan hati dan keinginan awal berbuat maksiat diampunkan oleh Allah SWT selama mana kedua-duanya tidak dilafazkan dan tidak dilaksanakan. Sekiranya jiwa yang cenderung kepada kejahatan tidak patuh kepadamu, maka hendaklah kamu berusaha bersungguh-sungguh menentang kemahuannya. Sekiranya kamu terdorong dan melaksanakan kehendaknya maka hendaklah kamu cuba sedaya upaya meninggalkan maksiat tersebut serta merta. Sekiranya kamu tidak mampu meninggalkan maksiat tersebut kerana tertipu dengan kelazatannya atau kerana keimanan yang lemah, maka ingatilah kematian dan kedatangannya yang mengejutkan. Namun sekiranya kamu tidak mampu meninggalkan maksiat tersebut kerana berasa putus asa dengan kerahmatan dan keampunan Allah SWT, maka hendaklah kamu wujudkan dalam jiwa kamu rasa takutkan kemurkaan Allah SWT dan keluasan rahmatNya. Bentangkanlah di hadapanmu keinginan bertaubat yang ianya merupakan penyesalan terhadap maksiat. Taubat hanya diterima apabila maksiat ditinggalkan serta merta, berazam untuk tidak mengulanginya dan melaksanakan semula perkara tertinggal yang mampu dilaksanakan semula. Menurut pendapat yang paling sahih, taubat daripada sesuatu dosa diterima sekalipun terlanjur terhadap dosa yang sama setelah itu dan sekalipun masih berkekalan melakukan dosa besar yang lain. Diwajibkan juga taubat daripada dosa kecil menurut pendapat yang sahih tersebut.
Sekiranya kamu tidak dapat memastikan sama ada lintasan tersebut menyeru kepada perkara yang diperintahkan atau kepada perkara yang dilarang, maka hendaklah kamu meninggalkan lintasan tersebut. Sebagaimana orang yang berwuduk meninggalkan basuhan apabila dia syak sama ada basuhannya merupakan kali yang ke tiga atau ke empat.
Setiap perkara di alam ini berlaku dengan kekuasaan dan kehendak Allah SWT. Dialah yang mencipta segala perbuatan hamba dan mengurniakan kepadanya Qudrat untuk membolehkannya berkehendak melaksanakan sesuatu perkara. Tetapi qudrat hamba tersebut tidak mampu mencipta apa-apa perkara. Maka Allah SWT merupakan pencipta perbuatan dan hamba merupakan penyebab penciptaan perbuatan tersebut. Bukanlah sebaliknya iaitu Allah SWT sebagai penyebab dan makhluk sebagai pencipta. Menurut pendapat yang paling sahih, qudrat hamba wujud serentak dengan penciptaan perbuatan. Justeru itu, ia tidak boleh berhubungan dengan dua perkara berlawanan. Begitu juga sifat lemah merupakan satu sifat yang wujud yang bertentangan dengan qudrat sebagaimana pertentangan dua benda wujud yang berlawanan.
Begitu juga keutamaan berkerja atau semata-mata bertawakkal berbeza antara satu insan dengan yang lain. Oleh itu, keinginan untuk menjauhkan diri daripada urusan dunia di waktu Allah SWT meletakkannya di tempat yang sebaliknya merupakan syahwat yang tersembunyi. Begitu juga seseorang yang ingin berurusan dengan urusan dunia di waktu Allah SWT meletakkannya di tempat tawakkal dianggap sebagai menghinakan dan menjauhkan dirinya daripada martabat yang tinggi. Di waktu ini, kadang kala syaitan akan datang membisikkan bahawa hamba tersebut sebenarnya telah menjauhkan diri daripada Allah SWT sekiranya dia berurusan dengan dunia. Syaitan juga akan membisikkan bahawa hamba tersebut bergelumang dengan sifat malas tatkala dia meninggalkan urusan dunia dan hanya bertawakkal. Jesteru, mereka yang diberi petunjuk ialah hamba yang mengkaji dan menghalusi bisikan tersebut dan meyakini bahawa sesungguhnya tidak akan berlaku melainkan perkara yang diingini oleh Allah SWT.
Terjemahan Penutup Kitab Lubb al-Usul
sumber: sini
0 ulasan:
Catat Ulasan